Friday, July 16, 2010

KONFLIK ISRAEL/PALESTIN MASIH SAMAR

Saya merasakan yang dunia masih lagi terpukau dari mengambil apa-apa tindakan terhadap Israel supaya patuh kepada obligasi serta tuntutan masyarakat dan undang-undang antarabangsa. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyedarkan masyarakat dunia yang mangsa sebenar dalam konflik ini adalah rakyat Palestin. Israellah yang telah melakukan jenayah dan pencerobohan terhadap rakyat Palestin. Sabra, Shatilla dan kini Gaza mencerminkan sikap melampau dan zalim rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Bantuan kemanusiaan telah disekat dan dicerobohi, seolah apa yang dilakukan oleh Israel adalah perkara yang hak.

Dalam pertemuan Barrack Obama dan Benjamin Netanyahu baru-baru ini, Obama secara jelas dan terbuka memberi sokongan kepada Israel, dengan mengatakan hubungan Israel dan Amerika tidak boleh dipisahkan. Beliau secara terbuka menunjukkan simpati dan kefahaman terhadap program nuklear Israel. Apakah harapan yang tinggal dalam mencari penyelesaian supaya dua buah negara yang berdaulat iaitu Israel dan Palestin terbentuk serta hidup dalam keamanan dan keadaan selamat. Di dalam konflik ini, Israel tidak seharusnya dianggap sebagai mangsa. Mereka telah merampas dan menceroboh serta melakukan pelbagai kekejaman kemanusiaan serta terrorisma terhadap Palestin. Yang mutakhir sekali baru-baru ini mereka telah menyamun dan membunuh sukarelawan dalam kapal Flotilla diperairan antarabangsa semasa kapal tersebut membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang menderita akibat sekatan oleh pihak Israel.

Dunia tidak boleh menerima justifikasi keselamatan yang diberi oleh Israel untuk menghalalkan apa jua tindakan yang tidak berperikemanusiaan selama ini. Mengapa PBB membiarkan Israel melanggar usul-usul PBB serta undang-undang antarabangsa?. Apa yang dituntut rakyat Palestin dan masih tertunggak sejak tahun 1948 hingga hari ini adalah supaya dihentikan terrorisma yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan supaya ditubuhkan negara Palestin yang bebas dari belenggu Israel. Masalahnya pada hari ini dasar Amerika Syarikat terhadap Palestin dan Timur Tengah masih lagi dipengaruhi polisi zaman Perang Dingin. Pendirian dan sikap Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terhadap konflik Israel/ Palestin perlu berubah. Matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang aman dan damai masih lagi tergantung dan ianya perlu disegerakan tanpa hanya mengikut kehendak dan rentak Israel.

Apa yang pasti jika disenaraikan setiap perlanggaran Israel, tidak dapat dinafikan ianya adalah satu-satu negara dan kerajaan yang beroperasi mengikut kehendaknya sendiri. Mereka tidak mengendahkan undang-undang dan pandangan antarabangsa. Mereka tidak menghiraukan sesiapa pun kerana mereka ada pelindung yang kuat dan gagah. Tidak salah jika kita merasakan seolah kehilangan nyawa Arab tidak menimbulkan persoalan tetapi sebaliknya nyawa orang Israel dianggap lebih bernilai dan berharga lagi.

Seperti yang dapat dilihat, masyarakat antarabangsa cepat mengambil tindakan keatas Iraq kerana kononnya Iraq memiliki senjata pemusnah. Sehingga sekarang kita tahu tuduhan tersebut tidak dapat dibuktikan. Hari ini dikatakan demokrasi di Iraq telah terlaksana tetapi Iraq sehingga kini bukan lagi negara aman dan selamat. Malahan ia terus dilanda keganasan.

Disebaliknya, Israel sah memiliki senjata nuklear namun negara barat mengunci mulut dan langsung tidak membangkitkan isu tersebut. Lebih istimewa lagi layanan kepada Israel apabila keengganannya menandatangani NPT supaya senjata nuklearnya tidak diperiksa. Namun tiada desakan atau tindakan diambil. Amerika Syarikat hanya meminta dengan secara lembut dan menjustifikasikan kononnya Israel mempunyai kedudukan unik dirantau tersebut. Berbeza pula bagi Iran atau negara-negara lain di Timur Tengah. Walaupun tidak memiliki senjata nuklear yang mengancam keselamatan Israel, mereka akan tetap dihukum dengan berat jika Israel membuat tuduhan bahawa mereka memiliki senjata nuklear.

Peperangan di Timur Tengah pada hari ini sering dimulakan oleh Israel. Walaupun mereka membunuh orang awam kononnya diatas nama keselamatan, Israel tidak perlu khuatir kerana mereka akan tetap dilindungi. Apa yang jelas ialah semenjak ia dilahirkan pada tahun 1948 sehinggalah hari ini Israel terus membelakangkan resolusi PBB, serta terus memperluaskan wilayahnya. Kawasan pendudukan Israel dibangunkan secara haram diatas tanah rakyat Palestin. Pelanggaran yang dilakukan Israel, semuanya serius dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Namun demikian tidak ada hukuman setimpal yang dikenakan terhadap Israel.

Kelakuan jenayah yang tidak dihukum ini membolehkan Israel bertindak sesuka hati. Masyarakat antarabangsa mesti bersungguh-sungguh menyokong dan melaksanakan pembentukan sebuah negara Palestin. Walaupun kini sudah dicapai persetujuan yang negara Palestin akan wujud sebelah menyebelah dengan Israel dalam keadaan aman dan selamat, rantau itu terus bergolak kerana Israel berdegil dan ingkar.

Tidaklah menjadi kehendak dunia Arab dan Islam supaya Israel dihapuskan sama sekali tetapi keadilan sejagat mestilah dipraktikkan dalam mengurus persoalan Palestin. Dunia mesti bebas membincangkan dan merumuskan pandangan terhadap pelanggaran Israel yang tidak henti-henti. Adalah tidak adil apabila sesebuah negara atau orang yang mempersoalkan Israel akan dilabelkan sebagai anti semitik.

Persoalannya juga timbul samada benarkah Israel sebuah negara demokratik yang tidak mengamalkan diskriminasi terhadap rakyatnya sendiri?. Sedangkan keadaan sebenarnya mereka menyekat kebebasan bersuara dengan cara cukup teliti dan halus. Apakah alasan yang sah apabila membiarkan Israel menzalimi kanak-kanak dan wanita?. Apakah justifikasi bagi mereka memusnahkan dan meroboh sewenang-wenangnya rumah-rumah orang Palestin dan membina secara haram rumah untuk penempatan rakyat Israel diatas tanah tersebut?. Adalah tidak munasabah apabila Israel dibenarkan memenjara Ahli Parlimen Palestin tanpa bantahan. Hairan juga bila Israel terus dibenarkan melanggar hak asasi manusia tanpa apa-apa tindakan dari PBB. Pembinaan tembok yang diputuskan oleh ICJ sebagai bertentangan dengan undang-undang antarabangsa juga tidak diendahkan oleh Israel.

Macam-macam seminar dan beratus resolusi telah diluluskan terhadap kekejaman Israel, namun ia terus bebas melakukan apa yang dikehendakinya. Walaupun begitu melalui usaha-usaha gigih negara Turki dan NGO-NGO antarabangsa termasuk dari Malaysia masyarakat dunia mula sedar dan mempersoalkan tingkah laku Israel. Saya yakin jika negara-negara Arab bersepakat tentu kedudukan rakyat Palestin akan dapat diubah. Mengapa dunia Arab tidak boleh memainkan peranan sepertimana Malaysia untuk memaksa Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah bertindak secara seimbang dan adil?.