Friday, November 16, 2012

Dasar Luar Negara


Dasar luar mana-mana negara dipandu oleh apa yang dipanggil sebagai kepentingan nasional mengikut persepsi kepimpinan tertinggi negara atau elita dasar luar yang semestinya dipengaruhi oleh perkembangan terkini dalam negeri dan juga dan persekitaran luaran selaras dengan operasinya dalam sistem antarabangsa. Kepentingan nasional dari segi dan konsepnya diberi berbagai makna dan pendekatan. Tidak ada satu makna di terima oleh semua pihak sebagai mutlak kerana ia ada kaitan dengan persoalan kepentingan politik. Walaupun begitu ia sering digunakan sebagai satu alat ataupun instrumen membuat dasar luar ataupun untuk tujuan menjelaskan dasar atau memberikan sebab mengapa pemimpin mengambil sesuatu keputusan atau bila membuat keputusan dasar. Ia selalu digunakan sebagai jalan mudah bagi menjustifikasikan setiap pendekatatan atau keputusan dasar luar yang dikatakan dilakukan untuk kepentingan nasional yang menjadi lebih rumit untuk disangkal oleh mana mana pihak lain.

Secara lazimnya dasar luar saling bergantungan dengan dasar domestik, walaupun ia tidak semestinya dua perkara yang sama kerana dimensi pengoperasian berbeza dari persekitaran dasar domestik. Oleh kerana itu timbullah berbagai penulisan dari sudut falsafah dan politik yang masing-masing cuba memberi penganalisaan ilmiah terhadap maksud kepentingan negara. Mengikut penulisan-penulisan akademik dari perspektif hubungan antarabangsa, teori kepentingan nasional mula menjadi subjek penulisan pada kurun ke enam belas di Itali dan ketujuh belas di United Kingdom. Machiavelli yang mula menulis buku “The Prince” bagi menjelaskan kuasa Raja ataupun gulongan pemerintah dalam menaongi sesebuah negara mengatakan, pemerintah berhak untuk mengambil apa jua tindakan bagi mempertahankan kuasa dan pemerintahan walaupun perbuatannya mengakibatkan jenayah berlaku ianya tidak boleh diambil tindakan atau dihukum. Itulah dogma dan prinsip yang dianuti dalam doktrin Machiavelli yang membuat penyataan matlamat menghalalkan cara. Namun demikian banyak cendiakawan dan ilmuan politik dan hubungan antarabangsa tidak bersetuju dengan rumusannya kerana ia dianggap tidak bermoral dan beretika. Apa yang jelas adalah konsep kepentingan nasional ini bermula dari sistem pemerintahan Raja Mutlak. Di mana Duke Henri de Rohan (1638) mengatakan yang tugas Raja adalah untuk memerintah jelata dan kepentingan pula mendominasikan tindakan Raja-Raja (princes rule people and interests dominate princes). Dalam hal ini ia mengandungi elemen resiprositi, iaitu Raja menaongi dan memberi perlindungan dan rakyat memberi kesetiaan. Kemudiannya timbullah penulisan ilmiah yang mahu mengaitkan doktrin kepentingan nasional kepada nilai dan norma kemanusiaan supaya amanah dan tanggungjawab dilaksanakan dengan berhemah. Maka itu lahirlah mazhab-mazhab hubungan antarabangsa dan dasar luar seperti “the Realist School”, “the Liberal” atau “neo-liberal”, “constructivists” dan lain-lain yang membawa teori hubungan antarabangsa dalam konteks politik bagi mempengaruhi penganalisaan politik antarabangsa dan Dasar Luar supaya ia dapat di fahami dan di pertahankan.

Sememangnya Dasar Luar di gubal mengikut keperluan semasa berasaskan suasana geo-politik atau geo-ekonomi negara dan persekitarannya. Malaysia juga mengambil pendekatan yang tidak berbeza dengan negara-negara lain didunia. Dapat perhatikan sejak negara mencapai kemerdekaan dasar luar negara di warnai oleh pendekatan yang konsisten, berprinsip dan pragmatik berteraskan kepentingan nasional mengikut persepsi negara terhadap persoalan keselamatan, politik, ekonomi dan sosial bagi menjamin pembangunan dan kestabilan politik sebagai sebuah negara majmuk kaum, agama dan budaya. Justru itu elemen politik dan sosial tersebut telah mendorong dan mendukung hubungan antarabangsa Malaysia di peringkat rantau dan antarabangsa samaada bilateral ataupun multilateral. Tujuannya adalah bagi mempromosi, mempertahan dan melindungi kepentingan nasional dan strategik negara.


Tunku Abdul Rahman

Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setiap Perdana Menteri mengasaskan dasar luarnya kepada kepentingan nasional yang bersaling-kait kepada suasana dan persekitaran negara dan antarabangsa pada ketika itu. Tunku Abdul Rahman kerana adanya ancaman pengganas komunis dan keadaan keselamatan masih tidak menentu lagi dan rapoh, kepentingan nasional mendorongnya untuk mengambil pendirian anti komunis dan pro barat dalam dasar domestik dan luarnya. Perkara utama pada kerajaan pimpinan beliau adalah menjamin keselamatan negara supaya usaha membangunkan negara dan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya dapat di beri tumpuan. Oleh kerana pada masa itu Malaysia serba kekurangan dari aspek ketenteraan dan sumber manusia maka ia terpaksa bergantung kepada bantuan Inggeris untuk menjaga keselamatan dan pentadbiran negara. Justru itu tidak hairanlah dasar luar negara ketika itu dilihat anti komunis dan pro-barat dan komanwel di atas hambatan semasa. Perjanjian AMDA menjadi bukti kepada keperluan keselamatan tersebut. Bila pihak British berundur naongan pertahanannya dari Timur Suez, Malaya tidak menyertai perjanjian SEATO di bawah naongan Amerika Syarikat kerana ada khuatir kepada tentangan dalaman dan dari negara di Afro/Asia dan negara jiran yang akan mempertikaikan kemerdekaan dan menganggap Malaysia sebagai alat penjajah. Oleh itu lebih berkepentingan nasional dan strategik Malaya/Malaysia tidak menyertainya.


Tun Abdul Razak

Selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 Tun Razak mengambil alih kepimpinan dan di lantek Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1971. Beliau setelah memegang teraju pemerintahan negara dan menyedari landskap politik rantau dan antarabangsa berdepan dengan perubahan, maka beliau mengubah dasar luar dari anti komunis ke berkecuali dan pro barat kepada non alignment. Konfrontasi dengan Indonesia selepas Malaysia ditubuhkan menjadi satu pengajaran politik antarabangsa dan diplomasi untuk Malaysia dan menyebabkannya membuat perubahan kepada pendekatan dasar luar. Apabila Malaysia dipencilkan pada ketika itu oleh negara baru merdeka di Afro/Asia kerana kempen dan pengaruh Indonesia dan menyedari hakikat dan wujudnya perubahan persekitaran politik antarabangsa beliau mengambil initiatif untuk mendekatkan Malaysia dengan aspirasi dan perjuangan negara-negara Afro-Asia serta mengambil pendiririan berkecuali serta equidistance bagi menjalin hubungan negara-negara lain diasaskan kepada prinsip Malaysia akan berbaik-baik dengan semua negara yang ingin berbaik dengannya tanpa mengira sistem dan ideologi negara-negara tersebut. Ini adalah satu anjakan ketara bila Malaysia menjalin hubungan dengan lain daripada negara barat seperti USSR dan Yugoslavia. Pada tahun 1974, menjalin hubungan diplomatik dengan negara China. Pendekatan itu menyelesaikan masalah sosial dan politik dalaman serta ancaman keselamatan MCP serta mendapat sokongan masyarakat Cina yang tidak bernegara melalui pemberian kerakyatan Malaysia. Dasar Luar Malaysia yang digunapakai pada ketika itu jelas sekali bersandarkan kepentingan nasional. Dasar luar yang berkecuali dan non-align serta equidistance menjadi asas untuk membina dan membolehkan Malaysia bertindak lebih fleksibel dan pragmatik yang menjadikannya lebih di hormati oleh masyarakat rantau dan antarabangsa di kalangan negara membangun dan barat.

Bila konfrontasi dengan Indonesia berakhir Malaysia sebagai negara yang dari mula lagi berpegang kuat kepada prinsip regionalisma seperti penubuhan ASA dan MAPIHLINDO (walaupun berjangka hayat pendek) oleh Tunku, kembali kepada regionalisma bagi mencipta keamanan dan keselamatan dan menjadi pengasas bersama-sama Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura untuk menubuhkan ASEAN pada tahun1967 dengan menandatangangani satu dokumen mudah iaitu “Bangkok Declaration”. ASEAN menjadi tunggak dan jaminan kepada keamanan dan keselamatan Asia Tenggara.


Tun Hussein Onn

Tun Hussein meneruskan dasar-dasar luar yang ditinggalkan Tun Razak dan kerana persekitaran politik dan rantau yang tidak menentu beliau membawa pendekatan dasar luar berteraskan kesinambungan bagi mengelakkan dari ancaman keselamatan oleh kerana penerusan perang dingin dan persaingan di antara negara kuasa-kuasa besar dan terus menjadikan ASEAN sebagai tunggak utama kepada dasar luar Malaysia. Pada masa itu termetrilah perjanjian TAC dan ZOPFAN.


Tun Dr Mahathir Mohammad

Bila Dr Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia, walaupun beliau meneruskan pendekatan dasar luar yang disandarkan kepada kepentingan nasional dan pragmatisma tetapi orientasinya berubah kepada mengutamakan kepentingan ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan ekonomi, kestabilan politik, keselamatan dan melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu serta memiliki jati diri untuk berjaya sebagai negara maju mengikut objektif yang di gariskan di bawah Wawasan 2020. Walaupun dasar ekonominya memenuhi sasaran, tetapi diplomasi dan politik antarabangsanya berdepan dengan percangahan dan kontoversi. Walaupun begitu kerana kebijaksanaannya mengunakan nationalisma dalam kontek kepentingan nasional, maka beliau dapat membawa initiatif baru terhadap dasar luar yang memberi menafaat kepada Malaysia. Dalam pendekatan ekonomi beliau membuat beberapa perubahan radikal terhadap dasar luar Malaysia. Beliau mengantarabangsakan peranan negara secara ketara dan lebih terbuka dan nationalistik serta bebas termasuk meletakkan Malaysia dalam peta dunia, memberi kepimpinan kepada negara selatan-selatan dan negara membangun serta perjuangan negara dan umat Islam. Beliau juga memperkenalkan dasar Antartika sebagai warisan kemanusiaan, Dasar Pandang ke Timur, Buy British last 1 dan 2. Inisiatif-inisiatif Dr Mahathir di peringkat bilateral dan multilateral menonjolkan Malaysia ke persada antarabangsa tanpa menjejaskan hubungan ekonomi dan perdagangan. Tetapi beliau berjaya melakukan itu semua kerana persekitaran sosial dan polisi awam domestik kondusif untuk membawa pembangunan dan kestabilan politik. Polisi-polisinya diberikan sokongan padu dan kuat oleh pasukannya dalam parti dan kerajaan secara berterusan. Justeru itu persepsinya terhadap kepentingan nasional tidak dicabar diperingkat parti atau kerajaan selain dari tahun 1987/88.

Walaupun demikian negara-negara barat tidak senang dengan pendekatan-pendekatan Mahathir yang terlalu vokal dan mengkritik negara dan pemimpin-pemimpin mereka. Mahathir di lihat bersikap anti-barat pro Arab/Palestin dan anti-Israel. Beliau juga berjaya mengasingkan Malaysia dari hubungan sejarah dengan Britain serta terus vokal mengkritik negara-negara barat dalam sistem politik dan kewangan multilateral antarabangsa yang dianggapnya bersifat double standard, hipokritik dan berat sebelah. Tindakan Mahathir melalui Buy British Last pada waktu itu telah memberi kesan negatif ke atas pernigaan dan syarikat syarikat British. Pada era Tony Blair pula, tindakan negara barat ke atas Afghanistan dan Iraq serta sikap Blair sendiri tunduk kepada telunjuk Presiden Amerika Syarikat banyak mempengaruhi hubungan dua hala Malaysia/Britain yang menjadi tegang dan renggang. Ketegasan dan keberanian beliau sememangnya cukup dihormati oleh rakyat Malaysia. Tindakan Mahathir pada waktu itu adalah kerana pertikaian dalam isu pembelian Guthrie, kenaikan yuran dan perubahan peraturan London Stock Exchange dan penulisan journalis Andrew O’Neil dari akhbar Times di zaman Margaret Thatcher telah memberi kesan negatif kepada hubungan dua hala Malaysia/Britain. Walaupun kemudiannya hubungan kedua-dua pemimpin Mahathir dan Magaret Thatcher menjadi akrab. Pada era Tony Blair pula, tindakan Unilateral tanpa usul Majlis Keselamatan PBB ke atas Afghanistan dan Iraq serta sikap Blair telah menjejaskan hubungan dua hala Malaysia/Britain. Pegangan kritikal dan vokalnya itu terus menjadi pendirian dari mula menjadi Perdana Menteri sehinggalah sekarang.


Tun Abdullah Badawi

Abdullah menerus dan menguruskan dasar luar yang di warisinya dari Dr. Mahathir tetapi berbeza cara dan pendekatannya kerana karektar dan personaliti serta latar belakang yang tidak sama. Abdullah lebih reconciliatory di kata lebih akrab dan mesra. Oleh kerana Dr. Mahathir meninggalkan kerajaan dan parti semasa popularinya tinggi kerana pencapaian dasar luar dan pertumbuhan ekonomi serta Visi 2020 dan mengeluarkan Malaysia dari krisis ekonomi dan kewangan pada tahun 1997/1998, yang diiktiraf sebagai berkesan oleh masyarakat rantau dan antarabangsa, maka pengaruhnya di kedua-dua peringkat terus mantap. Walaupun Abdullah membawa keputusan cemerlang dalam PRU 11, akhirnya menimbulkan masalah kepada parti dan kerajaan yang di warisinya dari Dr Mahathir. Abdullah mengambil pendekatan yang berteraskan kepada kemesraan dan perundingan dan lebih intim dengan pemimpin dan negara-negara barat. Justru itu hubungan bilateral dengan Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Britain mithalnya menjadi lebih kukuh dan akrab. Di peringkat multilateral di forum-forum antarabangsa seperti kedudukan Umat Islam, perjuangan rakyat Palestin dan pendirian negara dalam konflik Arab/Israel, peranan NAM dan OIC terus di berikan keutamaan oleh Abdullah. Bila timbul pertembungan Mahathir/Abdullah seluruh kedudukan parti dan kerajaan pimpinan Abdullah tergugat dalam PRU12 pada tahun 2008 dengan terjadinya tsunami politik. Pada April 2009 Abdullah menyerahkan kepimpinan parti dan kerajaan kepada Timbalannya Najib Razak.


Dato' Seri Najib Razak

Apabila Najib Razak mengambil alih pimpinan negara dari Abdullah Badawi beliau memperkenalkan 1Malaysia dan program Transformasi Ekonomi dan Politik melalui inisiatif-inisiatif dasar baru bagi membezakan dasarnya dari pimpinaan Abdullah. Najib dalam dasar luarnya maseh lagi bertunggakkan kepada mempertahankan kepentingan nasional, walaupun beliau menegaskan dasar luarnya dilandaskan kepada prinsip 1Malaysia. Jelas sekali yang sandaran sebenar dasar luarnya adalah berteraskan kepada tuntutan dasar domestik. Namun demikian ramai pemerhati berpendapat bahawa dasar luar hari ini tidak terserlah dan lebih akomodatif dan tradisional mengikut persepsinya kepada kepentingan geopolitik dan geoekonomi negara. Ada tanggapan pada hari ini Malaysia lebih pro barat dan tidak terserlah di medan polemik antarabangsa seperti Palestin, OIC ataupun NAM. Semua pandangan-pandangan sebegitu lebih bersifat persepsi, namun sebenarnya menunjukkan landskap politik dan strategik Malaysia telah berubah. 

Walaupun banyak penulis dan komuniti diplomatik serta ahli akademik menyatakan dasar luar hari ini memang sudah berubah kerana walaupun penegasannya disandarkan kepada kepentingan nasional. PM Najib yang dari perspektif personaliti, latar belakang, sejarah hidup dan pelajaran, politik telah mempengaruhi cara dan pendekatannya di dalam membentuk kepentingan politik, ekonomi, keselamatan, sosial dan budaya Malaysia. Atas faktor itu, hubungan dua hala Malaysia/UK kini bertambah mesra dan akrab setelah PM Najib mengambil alih pemerintahan negara. Sememangnya hubungan ini pada masa lalu berdepan dengan turun/naik bergantung kepada personaliti pemimpin, isu dan lanskap politik serantau dan antarabangsa. Pada era Dr Mahathir ada adunan di antara idealisme dan realiti yang berbeza dan dengan pragmatisma beliau mengolah dasarnya. Mengikut Profesor Nathan dasar kepentingan nasional diimbangkan diantara apa yang dikehendaki dan kesan kemungkinan yang boleh berlaku dari tindakan. Pendekatan PM Najib lebih tradisional dan tidak agresif manakala Dr Mahathir selalu bertindak diatas alasan kepentingan nasional tetapi dari retoriknya diimbangkan dengan ekonomi dan keselamatan secara pragmatis. Pasang surut di masa lampau hubungan dua hala Malaysia/Britain kini menjadi sejarah. 

Jelas sekali pendekatan PM Najib dalam dasar luar yang terus mesra dan akrab dapat merapatkan lagi hubungan diplomatik dengan Britain dan juga Amerika Syarikat yang bertemakan kepada prinsip 1Malaysia. Hubungan dengan Britain kini telah dipertingkatkan dengan pertukaran lawatan di antara kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Britain. PM Najib baru-baru ini telah membuat lawatan rasmi ke Britain, disusuli oleh Perdana Menteri Britain yang membuat lawatan balasnya ke Kuala Lumpur, bagi menterjemahkan bukti jalinan baru di antara kedua-dua negara. Perlu di ingati lawatan terakhir seorang Perdana Menteri Britain, John Major berlaku 25 tahun yang lalu.

Syarikat-syarikat British serta institusi pelajaran Britain mula menunjukkan kesungguhan mereka melabur dan mengambil bahagian dalam transformasi melalui siri-siri lawatan Menteri Britain ke Malaysia. Ia terus disokong, bila mutakhir ini pada 13 September 2012 dengan lawatan Prince William dan Kate Middleton. Dalam lawatan Diraja itu, sambutan yang diberikan oleh pemimpin dan rakyat jelata amat ghairah dan mengkagumkan. Ia menggambarkan kasih sayang tersirat yang terjalin agak istimewa di antara Britain dan Malaysia. Ia diramalkan akan membawa hasil yang bermanfaat antara Malaysia dan Britain. Begitulah beredarnya satu pemimpin ke pemimpin yang lain, namun terasnya ada kesinambungan melalui kepentingan nasional.

Najib terus menjalin hubungan yang lebih mesra dengan negara-negara barat di dalam aspirasinya untuk menjamin program transformasinya agar terus mendapat sokongan bukan sahaja oleh pelabur domestik malahan dari luar negara. Perubahan dasar luar dapat dirasai oleh masyarakat rantau dan antarabangsa. Jelas kini, hubungan dua hala Malaysia / UK bertambah mesra dan akrab setelah Dato’ Sri Najib mengambil alih pemerintahan negara.