Friday, October 19, 2012

Ucapan Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Tinggi 2012

Saya bersyukur pada hari ini kita berhimpun dalam melaksanakan tugas kita sebagai ahli parti keramat kita UMNO selaras dengan tuntutan Perlembagaan UMNO. Alhamdulillah mesyuarat di peringkat cawangan di setiap sayap telah selesai dengan Berjaya. Begitu juga mesyuarat Bahagian di peringkat wanita pemuda dan puteri juga telah selesai dengan jayanya. Kata putus yang diambil adalah menetapkan akujanji saudara dan saudari sekalian untuk menggerakkan jentera parti diperingkat akar umbi supaya berada dalam kesiapsiagaan serta berupaya memasuki medan peperangan bila-bila sahaja semboyan dibunyikan untuk PRU 13. Samada janji kita itu benar dan tepat bergantung kepada keputusan PRU 13. Hari ini saya ingin menyentuh perkara-perkara berikut dalam perjuangan parti berdepan dengan PRU13 :

1. Sejarah 
2. Kesetiaan kepada parti 
3. Pengorbanan 
4. Perpaduan 
5. Kelangsungan

Masa ini kita berdepan dengan keadaan getir yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Sebagaimana dikatakan oleh Perdana Menteri, Presiden Parti, kita tidak boleh mengambil sikap “business as usual”. Kita tidak boleh syok sendiri. Insyaallah melalui barisan mantap dan perpaduan yang kukuh UMNO dan Barisan Nasional meneruskan kesinambungan perjuangan yang dimulakan oleh bapa-bapa dan ibu-ibu kita yang telah berkorban bagi memerdekakan dan membawa kehormatan kepada umat Islam dan orang Melayu.

Dulu kita panggil diri kita orang UMNO kerana kita taat patuh dan setia kepada parti. Kita patuh pada parti. Parti pula dengar rintihan rakyat dan rakyat menghargai sikap kita dengan memberi sokongan mereka kepada UMNO dan BN. Kita tegur parti dan pemimpin, tapi bukan untuk menjatuhkan sesiapa. Kita tidak menceritakan kelemahan, tetapi membuat cadangan untuk menguatkannya. Ada banyak kasih sayang terjalin diantara kita kerana parti. Kita tidak rela parti dikorbankan, biarlah kita terkorban.

Keikhlasan terpancar nyata Sillaturrahim terserlah jelas Kedamaian dan ketenteraman Tidak ada kebencian Tidak ada dendam Tidak ada kepalsuan dan kepura-puraan Membangkitkan kerinduan yang tidak terhingga Kerana itu hanya impian kini

Sebab tu kita menerima dan patuh kepada keputusan parti. Kerananyalah kita dapat mempertahankan kuasa dimana UMNO menjadi tunggak kepada pemerintahan di Negara sejak Negara berkerajaan sendiri pada tahun 1955 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 bagi mengelakkan dari ancaman komunis. Alhamdulillah dari bangsa yang dihina dan dipandang rendah, mundur, Malaysia kini berada diambang menjadi Negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Kita dapat mengeluarka rakyat dari tahap kemiskinan yang tinggi. Kini angka golongan miskin tegar amat rendah sekali. Ini perjuangan UMNO.

Setiap seorang daripada kita perlu mengimbas perjuangan dan laluan susah dan payah bapa dan ibu-ibu kita. Kita berterima kasih kepada pejuang-pejuang lampau kerana kecekalan dan keberanian mereka menyebabkan kita berada disini sekarang. Kini kita dalam keadaan yang membanggakan. Ramai diantara kita menginsafi kejayaan ini dan bersyukur pada Allah swt, kerana Malaysia tidak tersungkur menjadi Negara gagal sebagaimana ramalan sesetengah pihak. Kita tidak berdepan dengan keadaan kucar-kacir sebagaimana negara-negara membangun lain.

Ada diantara kita mungkin lupa dan tidak ingat segala pencapaian ini adalah hasil perjuangan parti kita. Sebenarnya kerana ada kestabilan dan keselamatanlah kita telah dapat memberikan kehidupan yang makmur, lebih mulia dan sejahtera untuk anak cucu generasi hari ini dan mendatang. Kita kadang lupa sumbangan parti dan kerajaan. Apa yang kita nikmati adalah kerana perjuangan pengasas-asas kita yang telah meletakkan kepentingan agama, bangsa dan Negara diatas kepentingan diri. Ada yang terus lupa dengan mengatakan parti tidak menyumbang apa-apa kepada mereka. Pemimpin terdahulu telah berkorban untuk mendaulatkan negara dan memartabatkan agama dan bangsa. Jangan kita gadaikan ini semua kerana cita-cita dan kepentingan peribadi dan akhirnya parti ternoda kerana terjejas perbuatan dari tangan-tangan kita sendiri yang suka mengadu domba.

SEJARAH
Saya ingin menyingkap sejarah silam kita bagi mengingatkan diri saya dan saudara-saudari yang kita masih perlu berkorban lagi bagi menjamin kelangsungan maruah dan martabat agama, bangsa dan Negara. Kita boleh berbeza tapi janganlah perbezaan kita menghancurkan kuasa dan pemerintahan. Jangan seruan perubahan kerajaan yang dilaungkan pembangkang dibenarkan bertapak. Niat mereka adalah untuk menggantikan sistem dan nilai yang telah membawa keamanan, kestabilan, keharmonian, pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Pakatan Rakyat menjaja kisah-kisah fitnah dan putar belit untuk mengaburi mata dan pemikiran rakyat. Kini rakan karib komponen PR, DAP menghina agama dan umat Islam. PAS digunakan DAP dan berdosa kerana terus berdiam diatas kebiadapan DAP.

Saudara dan Saudari,

Apabila berakhirnya perang dunia kedua, pihak British dengan muslihatnya telah mengubah Negara kita dari Negara yang dinaungi(protectorate) kepada sebuah tanah takluk jajahan British. Mereka berjaya menubuhkan ‘Malayan Union’ dari 1946 sehingga 1948 dengan menghakis kuasa raja-raja dan umat Melayu. Siapa yang berjaya mengubah tindakan British? UMNO. Justru Raja selamat dan Melayu selamat. Berkat keberanian, semangat juang dan keikhlasan pejuang-pejuang UMNO kita berjaya meruntuhkan cita-cita British yang terpaksa tunduk kepada desakan UMNO. Malayan Union dibatalkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan sekaligus memartabatkan umat Melayu. Kita terus bergerak dan berjuang dengan akal fikiran sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 melalui kerelaan umat Melayu untuk berkongsi kuasa dengan kaum Cina dan India bagi mencapai kemerdekaan. Ini sejarah. Jangan ada pihak hendak menukar keberanian. Pada tahun 1965 kita memperluaskan kemerdekaan melalui kemasukan Sabah dan Sarawak dalam satu persekutuan Malaysia.

Begitulah onak dan duri yang pendahulu kita lalui. Jalannya penuh dengan berbagai cabaran liku-liku yang tidak mudah. Ibu bapa kita tidak mencari kesenangan diri semasa berjuang untuk Agama, Bangsa dan Negara tetapi mengutamakan Agama, Bangsa dan Negara dibawah panji-panji parti. Perpaduan telah mengalahkan penjajahan dan kuasa besar pada zaman itu. Mereka telah melalui pahit maung, masam manis, supaya generasi hari ini hidup selesa dan tidak terbelenggu kerana penjajahan material atau minda.

KESETIAAN KEPADA PARTI

Masihkah saudara-saudari ingat dan menghayati dan menjiwai perjuangan UMNO yang kita warisi. Ia adalah satu wadah suci yang memerlukan kita untuk terus berjanji tidak akan menodainya dengan perpecahan sesama sendiri. Bagi menjiwai perjuangan, perlulah kita semua mengambil iktibar dan mengenali sejarah perjuangan bapa dan ibu kita. Menghayati payah dan susah mereka mengharungi gelombang dan lautan semata-mata supaya saudara dan saudari tidak dihina dan dipinggirkan. Setiap matlamat, tujuan, lambang dan slogan parti dibuat setelah menghalusi asas-asas untuk memertabatkan Agama, Bangsa dan Negara. Slogan kita Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat tidak dilahirkan dalam kekosongan. Ia adalah ikat janji kita untuk mencapai kesatuan, kesetiaan dan mencurahkan khidmat untuk parti.

Ada orang UMNO beritahu saya masa dulu bila mereka menjadi ahli parti mereka berikan 90% tumpuan kepada parti, kepentingan parti dan mungkin 10% hanya untuk kepentingan peribadi. Mereka terus bertanya apa mereka boleh buat dan lakukan untuk memperkasakan parti. Hari ini orang yang sama memberitahu saya, mungkin angka orang masuk UMNO tersebut telah terbalik 90% untuk menafaat diri dan hanya 10% untuk parti. Hari ini kita sering bertanya apa parti boleh buat untuk memperkasakan kita dan bukan apa yang kita boleh sumbang kepada parti.

Pemimpin-pemimpin Johor sebelum kita seperti Tun Dr. Ismail, Syed Jaafar Albar dan Tun Musa Hitam berhenti dari jawatan masing-masing diatas asas prinsip tetapi mereka tidak pernah meninggalkan parti dan perjuangan ataupun menganiaya parti. Mereka terus setia dan patuh kepada parti. Mereka tidak bertindak untuk memburuk dan melemahkan pemimpin, walaupun ada perbezaan. Inilah tahap kesetiaan yang perlu ada dan kita capai, tanpa mengkhianati dan menganiayai parti walaupun kita tidak bersependapat dengan pucuk pimpinan parti samada diperingkat Nasional, Bahagian ataupun Cawangan. Jelas sekali tidak seorang dikalangan ahli parti patut memberikan peluru untuk parti lawan menggunakan untuk menembak dan membunuh parti yang kita cintai. Jika ada kelemahan dan kepincangan adalah tanggungjawab bersama ahli-ahli parti membetulkannya dan bersama bertindak menyumbang tenaga dan pemikiran bagi mengukuhkan parti. Tidak seharusnya kita membasuh kotoran dikhalayak, warong-warong dan dimana-mana pinggir, semata-mata kita benci dan tidak bersetuju dengan pimpinan parti. Musuh kita ada diluar sana. Bila tiba masa pemilihan parti kita bebas menukar pemimpin. Demokrasi bermakna menerima keputusan dan perlembagaan parti dan Negara. Kita perlu mengikis syak wasangka, iri hati diantara satu sama lain.

“Melati kuntum tumbuh melata, 
Sayang rebah dipohon cemara,
Marilah kita berjuang bersama 
Mengangkat maruah bangsa dan negara”

Alhamdulillah, kita berkumpul, dalam satu parti keramat. Wadah ini, adalah wadah kita bersama sebagai pejuang UMNO. Kita berada disini,bukan bertujuan untuk mengenang kembali sejarah lama, bukan bertujuan untuk kita semata mata bernostalgia, tapi kita mengalirkan air mata mengenang ancaman di depan kita dan memikirkan apakah boleh penerusan dan kelangsungan perjuangan umat islam dan umat melayu dipertahankan. Kita berada disini untuk buktikan komitmen dan tekad kita mengimbau sejarah supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Dulu jika ramai orang lama dan veteran mengingati setulusnya kisah-kisah perjuangan. Ayahanda saya mithalnya sebagai jurucakap UMNO berminggu menjelajah diseluruh pelusuk negara. Ibu pula menjadi pengurus ekonomi di rumah dan mereka merasai kepayahan dan keperitan perjuangan. Ibu secara total menyokong suami berjuang untuk UMNO. Allahyarham Dato` Onn, pengasas UMNO yang menyatukan umat melayu yang pada masa itu berpecah belah. Selepas itu diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan kini Dato’ Najib. Kita masih berkuasa. Suara sumbang hari ini adalah masanya sudah tiba untuk kita berubah. Apakah itu yang kita mahu?

Masa dulu orang tua saya pergi ceramah berminggu-minggu mengajak orang Melayu untuk menyokong UMNO dan Perikatan. Bonda yang tinggal bukan ada pelajaran, tapi diberikan tanggunjawab pengurusan supaya anak-anak pergi ke sekolah dan tidak kelaparan. Dulu kita pergi balik sekolah jalan kaki, naik bas, jalan sesorang ataupun beramai-ramai. Bonda pergi kedai India untuk berhutang. Tidak ditinggalkan duit cukup hendak bayar tunai. Hutang, semua di masuk dalam buku kecik. Banyak orang lama masih ingat peranan buku kecik yang saya maksudkan. Namun hari ini anak-anak orang-orang UMNO dah senang, dah ada kereta, dan macam-macam kemudahan, ada kredit kad. Tapi dulu kalau terlalu banyak berhutang, tokey tidak beri ambil barang lagi. Mahu bayar terpaksa tunggu suami balik dari kempen. Abang saya cerita ada masanya mak saya menangis. Tapi ibu saya tetap tabah tidak pernah komplain kerana suaminya berjuang untuk UMNO. Dia terus kasih dan sayang kepada UMNO.

BERKORBAN

Kekuatan kita pada masa dahulu kerana ada penghayatan cantuman budi dan kasih sayang yang dicurahkan kepada perjuangan parti untuk berkorban. Bukan untuk mendapat sesuatu. Saya ingat bila saya ikut orang tua saya pergi kempen di Kota Tinggi, yang mula-mula dipanggil Parlimen Johor Tenggara, bilik gerakan pun daif tidak macam sekarang canggih dan selesa. Rumah kita menginap dan tidur pun berkongsi beramai-ramai duduk dan baring atas lantai simen dan bertikar getah. Tidur dan masak pun ditempat sama. Tak pernah merungut pun. Tak mengata sesiapa pun. Tapi terus berjuang kerana mahu tentukan bahawa UMNO ditabalkan menjadi teras kepada pemerintahan Negara.

Begitulah susahnya laluan pejuang kita terdahulu. Kini sebagai pewaris kita tidak perlu hidup macam dulu lagi. Dalam perjuangan ada pasang surutnya. Ada masanya kita diatas dan ada masanya kita dibawah. Saya masih ingat, bila Dato` Onn keluar dari parti ayahanda saya dalam keadaan serba salah. Beliau terpaksa kempen untuk UMNO walaupun Dato` Onn rapat dengan beliau. Perjuangan perlu diteruskan. Dia terpaksa teruskan bersama UMNO kerana sayangkan parti dan perpaduan umat Melayu. Tapi pada masa itu sokongan orang Melayu kepada UMNO masih mantap kerana mereka percaya pada UMNO. UMNOlah bagi mereka yang dapat memerdekakan dan menetapkan hala tuju orang-orang Melayu supaya dihormati dan maruah serta martabat mereka terbela.

PERPADUAN


Bila Tunku berbeza dengan ayahanda saya, ayahanda saya berhenti tiga kali sebagai Menteri Muda, Setiausaha Agong dan Ketua Penerangan UMNO. Namun beliau tidak pernah keluar parti atau mengutuk pemimpin. Dia tetap dengan parti, tapi sekarang kita kena lihat kembali, adakah kita mengamalkan pendekatan yang sama atau bila tidak beri jawatan atau tidak ada apa-apa adakah kita akan terus setia dan taat kepada parti? Malangnya ada diantara kita sabotaj parti.

Saya tahu ramai yang berminat hendak jadi calon dan telah berkunjung ke Kuala Lumpur. Itu tidak menjadi kesalahan. Ada juga telah mewar-warkan yag dia calon untuk kerusi ini dan itu. Biarlah Dato Najib putuskan siapa. Kita kena patuh. Yang mesti menang adalah parti bukan calon. Jangan juga kerana hendak menjadi calon atau bila orang lain menjadi calon kita kucar kacir dan memburukkan orang lain.

Saya bermula politik di Kuala Lumpur kerana saya bukan hendak jadi wakil rakyat. Saya pada masa itu tidak hendak balik Johor. Saya hendak belajar macam mana berkhidmat untuk setinggan-setinggan, orang-orang miskin bandar yang semuanya asal dari kampong juga. Bila orang Melayu kampong datang ke Bandar dia jadi orang miskin bandar. Saya beritahu pemimpin Johor, biar saya belajar dulu, saya tidak gopoh. 46 tahun umur saya baru jadi calon. Mulanya sudah dapat surat jadi calon, telah tiba ke saujana tak jadi. Bukan rezeki. Kuasa bukan dalam tangan saya. Taufik Tun Dr Ismail ambil tempat saya di Sungai Benut. Dia anak seorang pejuang, saya pun anak seorang pejuang. Apa patut saya buat bila tak dapat jadi calon? Adakah saya memberontak melawan UMNO..?.Tidak..Saya terus bekerja dalam Parlimen Sungai Benut seolah saya yang menjadi calon. Saya berarak bersama Taufik pada hari penamaan calon. Bukan saya hendak cakap besar. Tapi soalnya, pada saya, yang penting sekali, ialah parti. Dia sudah dipilih itu rezeki dia. Tengok kalau ada rezeki seperti Hjh Asiah baru beberapa bulan menjadi Ketua Wanita pada ketika itu sudah dapat jadi calon dan Razman setelah 12 tahun masuk UMNO dapat jadi calon. Ada yang lebih lama dan layak, tapi takdir menetapkan orang lain. Terimalah ini sebagai Qada’ dan Qadar. Penentu hidup mati dan segala galanya adalah Allah swt. Allah swt yang menetapkan kedudukan kita. Jangan kita ingkar dan jangan sombong dengan kedudukan. Ia satu pinjaman Allah swt. Satu hari kita semua akan mati tidak kira umur. Itulah perjuangan UMNO. Saya tidak pernah keluar daripada parti, yang saya lawan parti pembangkang. Bukan perjuangan sempit bagi popularkan diri. Tetapi perjuangan untuk tentukan landasan UMNO untuk Agama, Bangsa dan Negara terpelihara dan tidak tergelincir dari landasan UMNO.

Kita, kadangkala pemimpin juga, kita dengar, kadang kala tak dengar. Pemimpin ini ada masanya ada telinga dia dengar. Kadang kala entah macamana telinga tertutup mata tak terpandang. Mereka belok sini sana. Tapi yang penting akhirnya mereka mesti balik ke landasan. Landasan kita adalah Agama, Bangsa dan Negara. Ini landasan kita, bila kita tahu landasan, kita tidak fikir diri sendiri. Kita sebenarnya tidak pentingkan diri kerana yang lebih penting adalah parti. UMNO lebih besar dari kita semua. Relakah kita tengok negeri ini diambil alih?. Pilihanraya kali ini bukan pilihanraya biasa tetapi pembangkang bersungguh-sungguh sarankan perubahan. Berubah bukan saja pemerintahan, tapi untuk mengubah nilai dan sistem kita. Kita mohon supaya perkara ini dijauhkan Allah swt daripada berlaku. Orang kata mereka tidak mahu lagi Negara berasaskan Islam, mahu menjadi Negara sekular, Negara liberal yang bermakna, Agama dan Negara dipisahkan. Sekarang, Pas sokong DAP. Kini PAS menjadi parti kebajikan kerana mereka mahu mengaburi mata rakyat. Kata PAS beri kuasa dulu apabila berkuasa nanti mereka akan tentukanlah kedudukan Islam. Tapi sebenarnya, kita akan hilang segala galanya apabila dipisahkan agama dan kerajaan.

Kita tengok di Indonesia. Indonesia dalam satu keluarga ada macam-macam agama. Itulah lahirnya pesantren. Kerajaan mereka tidak boleh membantu sekolah sekolah agama Islam. Tidak boleh membina masjid-masjid. Tidak boleh mengadakan bank yang bernamakan Islam. Sistem pelajaran berteraskan Islam. Alhamdulillah di negeri Johor dan seluruh Negara kita mempunyai pelbagai sekolah, intitusi-intitusi, universiti yang berteraskan agama Islam. Ini kerana di Negara kita, agama persekutuan adalah agama Islam. Dalam peruntukan perlembagaan dibenarkan untuk kerajaan membiayai serta memberikan bantuan kewangan kepada umat dan institusi Islam. Sistem pendidikan tidak mengenepikan Islam. Tidak perlu kita hendak jadi seperti Negara Turki. Tidak usah kita tiru Libya. Jangan kita terbawa bawa dengan perubahan. Pilihanraya pada kali ini ialah pilihanraya yang akan mencorakkan dan menentukan masa depan agama Islam dan orang Melayu. Jangan di permudahkan. Pilihanraya kali ini susah kerana ia akan menentukan hidup dan mati serta kelangsungan Melayu sebagai bangsa induk negara kita. Kalau UMNO kalah, tidak mungkin kita bangkit lagi. Orang Melayu dari segi sejarahnya, orang Melayu bukanlah kumpulan ekstrimis. Orang Melayu cukup dengan toleransinya, harmoninya, perpaduannya. Kalau kita teliti dalam Perlembagaan Malaysia, Agama Islam adalah Agama Persekutuan, tetapi ia memberikan kebebasan kepada agama-agama lain untuk diamalkan. Semuanya diimbangkan. Tidak ada satu pun yang orang Melayu ambil untuknya sendiri. Kita tidak akan bolot semua, sedangkan Negara ini adalah asal Negara Melayu. Kita beri orang lain juga untuk berkongsi kuasa.

KELANGSUNGAN

Bila berebut dan terlupa pandang masa depan kita, hancur. Jangan anggap ini lagi satu pilihanraya biasa mudah untuk mendapat majoritinya dan boleh menang. Sebenarnya inilah PRU yang paling genting sekali kerana ia akan menentukan cara dan kaedah sistem dan nilai. Tuan-tuan dan puan-puan, tujuan dan matlamat UMNO perlu dibaca dan dihayati. Kita kena teliti betul-betul. Jangan tidak berani untuk berjuang semata-mata kerana orang lain selalu buat tuduhan jika kita mempertahankan kedudukan Melayu kita dikatakan rasis dan pelampau. Kalau memperjuangkan untuk orang Melayu perkauman. Kita kena betulkan persepsi yang salah ini. Orang boleh pijak gambar pemimpin kita, bendera kita, boleh bakar bendera. Saya terus terang, dari awal-awal lagi saya tidak setuju Anwar Ibrahim menjadi ahli parti UMNO, kerana dia adalah orang yang pernah memijak bendera UMNO. Saya lawan Anwar pada tahun 1982. Saya hanya dijangkakan mendapat undi sebanyak 5 peratus kerana seluruh pucuk pimpinan parti dan kerajaan menyokong Anwar. Saya ingat dalam satu mesyuarat pemuda UMNO di Perak saya masuk dewan saya diberi gambaran seolah saya masuk wilayah musuh. UMNO tiada kemesraan kerana Anwar bawa sistem ketaksuban. Sistem itu menjadikan dia sahaja yang idolakan. Dan ini membawa padah buruk kepada UMNO. Saya bersyukur mendapat 30 peratus undi perwakilan pemuda UMNO pada masa itu.

Allahyarham orang tua saya bertanding Ketua Pemuda khususnya pencalonan dari Gerakan Pemuda Bahagian Beruas pada tahun 1976. Diatas kemahuan Pemuda sebab itu dia menang dengan majoriti yang banyak. Kita perlukan kebijaksanaan , golongan lama di dalam UMNO, golongan baru untuk berikan kita tenaga. Bila kita tidak boleh lagi, maka golongan baru sudah bersedia untuk mengambil alih dengan kesinambungannya yang akan menjanjikan penerusan dan kelangsungan kuasa didalam Negara ini insyaallah. 
Bila kita bergaduh, bercakar sesama sendiri kita akan membuka ruang untuk orang-orang lain mengambil alih tempat kita. Kelemahan dan ketidakadanya perpaduan akan menjatuhkan UMNO. Pada 2008 parti berdepan dengan cubaan yang amat gusar. Bukan kerana parti lawan kuat tapi kerana tidak setia sesama kita sendiri. Kita sabotaj akhirnya kedudukan kita terjejas. Pada hari ini memanglah di Parlimen Kota Tinggi 85 peratus pengundi Melayu, untuk DUN Sedili 90 peratus lebih. Undi kita tinggi dan undi populariti tertinggi di seluruh Negara. Tapi ini bukan untuk berbangga dan angkuh.

Ini menunjukkan bahawa UMNO diterima sebagai teras kepada Barisan Nasional. Parti yang mesra kepada akar umbi. Bila kita boleh dengar apa yang akar umbi hendak, apa yang akar umbi tegur, maka insyaallah mereka akan merasa mesra dan memberikan kita sokongan. Justru janganlah kita ikut cerita P.Ramlee, berubah kerana kita sudah hidup senang dan berjawatan. Bila ada duit dan kaya kena berubah kepada negatif. Jauhkan ini dari berlaku. Ada seorang kaya dan beriman yang membuat kesilapan. Bila dia duduk di masjid, kemudiannya orang miskin yang kotor dan berbau duduk disebelahnya dan terduduk di atas jubahnya. Orang kaya menarik jubahnya dengan sombong. Habis sembahyang, si miskin itu keluar. Nabi saw ternampak dan beritahu orang kaya itu bahawa si miskin itu telah tersinggung dengan perbuatannya itu. Langsung si kaya merasa bersalah dan mengejar orang miskin itu sehingga bertemu dan memohon maaf.
Kemudian si kaya menawarkan 50% dari kekayaannya untuk dihadiahkan kepada si miskin namun dia menolak dan berkata “aku tidak mahu hartamu kerana sekiranya aku terima, aku khuatir akan menjadi sepertimu”. Ambil iktibar saudara dan saudari dari cerita ini supaya kita akan menjadi manusia yang boleh berfikir.

Dari Hazrat Abu Hurairah r.anhu pula berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, "Apabila umatku membesar-besarkan dunia maka akan dicabut daripada mereka kehebatan Islam dan apabila mereka meninggalkan amr bil maaruf dan nahi anil mungkar, mereka akan kehilangan keberkatan wahyu dan apabila mereka caci mencaci antara satu sama lain, mereka akan gugur daripada pandangan Allah swt".
Sebab itu Presiden kita mengingatkan kita supaya tawadhuk, mesra rakyat serta merapatkan barisan kita. Letakkan kepentingan parti diatas kepentingan lain. Tidak ada orang lain yang akan menolong orang Melayu selain orang Melayu sendiri. Kalau kali ini,kita tidak dapat sokongan orang Melayu, usahlah kita mimpikan Putrajaya. Kalau hari ini orang Melayu tidak memberi kita sokongan padu kita akan kecundang. Saya sekarang tidak fikir 2 per 3. Saya fikir mendapat kemenangan munasabah pun cukup dan insyaallah jika kita bersatu dan kerja kuat dan bersungguh-sungguh dan mengambil iktibar dari sejarah pejuang-pejuang lama, letakkan UMNO diatas landasannya, menjiwai, menghayati kemahuan dan kehendak orang Melayu, insyaallah kita akan dapat 2 per 3.

Tapi ia bukan jalan yang mudah pada kali ini, kerana mereka sudah mula merasakan cara yang terbaik untuk menentukan kelemahan orang Melayu berpecah sama sama sendiri. Pada hari ini kita sudah terbagi kepada PKRnya, PAS dan UMNO. Kalau kita biarkan keadaan ini berterusan, maka tidak mustahil pembangkang akan dapat mengambil Putrajaya. Dijauhkan Allah tuan tuan dan puan puan sekalian, daripada membenarkan Putrajaya diambil alih oleh parti lawan. Cakap boleh, Menjerit pun boleh, Bersemangat pun boleh. Tapi kalau kita tidak berkerja, kita boleh hilang kuasa.

Sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sokong menyokong antara satu sama lain.” Hadis riwayat Bukhari.

Saya bekerja dalam kerajaan 20 tahun. Saya jadi Menteri dan tidak jadi Menteri satu tahun. Saya tidak tahu apa hendak buat bila tidak berjawatan. Mujurlah dapat pergi ke pejabat di MAYC yang daif. Saya panggil kawan-kawan lama yang masih mahu bergaul dengan saya. Mengapa? kerana hendak terus menanamkan semangat. Supaya saya tidak hilang keyakinan dan kepercayaan kepada parti. Sebenarnya kita semua ini berjuang kerana kita kasih, cinta dan sayangkan kepada UMNO. Bila kita ada kedudukan, kita berlagak sebagai orang yang ada kedudukan dan jawatan. Bila tidak ada pun, kita dapat menerimanya. Kita masih boleh menyumbangkan kepada wadah dan perjuangan UMNO. Jadi tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan sekalian, tidak guna menangis air mata darah kalau kita kecewa dan kecundang dalam perjuangan. Kalau hendak menangis, hendak merasa sedu, biar sekarang. Untuk memberikan kekuatan dan membangkitkan semangat dan keyakinan. Semuanya belum hilang lagi. Segala yang kita hendak, masih boleh lagi kita capai. PAS adalah parti yang tidak langsung berteraskan kepada agama Islam tapi politik, sebab itulah mereka rela bekerjasama dengan Karpal Singh yang menentang agama Islam dan sistem pemerintahan yang berasakan agama Islam. Kalau dulu kita berbaik dengan orang bukan Islam mereka kata kita kafir, tapi hari ini boleh Nik Aziz berpeluk dengan Karpal Singh.

Alhamdulillah dinegara kita ada sekolah berasrama penuh, macam macam sekolah dibina. Jadi kita tidak perlu merasa rendah diri. Jangan UMNO berasa rendah diri. Sekarang ada yang bercakap mahu mengubah bendera. Soalnya tuan-tuan dan puan-puan hendakkah bendera kita diubah? Kita mahu jalur gemilang atau kita mahu bendera lain. Jika kita hendak jalur gemilang, kita mesti mempertahankan kedudukan kita sebagai pemerintah didalam Negara ini.

Bersih, Suaram kita bangkang kerana mereka melanggar undang-undang. Tidak mengikut aturan dan tatasusila. Mereka bekerja dengan parti-parti pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan secara demonstrasi. Ia bukan isu perkauman kerana pemimpinnya mereka bukan Melayu. Kita bukan menentang mereka kerana mereka orang India atau Cina. Kita menentang Ambiga kerana dia telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Cuba menjatuhkan kerajaan, cuba menghina kemerdekaan kita. Kita perlu ambil tindakan bukan kerana sebab kaum. DAP memang parti perkauman.

Semenjak kemerdekaan UMNO memberi tempat dan undi kepada kaum Cina dan kita tidak memainkan isu perkauman untuk mendapat sokongan. Tapi DAP dari dulu sampai sekarang meniup api perkauman. Inspirasi mereka dari Negara jiran. Bila DAP meniup api perkauman jangan orang Melayu berpecah. Kalau itu berlaku akhirnya kemungkinan kita akan hilang kuasa. Kita golongan majoriti, jangan jadi golongan majoriti yang tidak mempunyai kuasa. Silent majoriti ini boleh tertekan dan dizalimi kalau dia berpecah belah. Tetapi kalau kita bersatu, insyaallah kuasa yang kita ada, akan dapat kita kekalkan.

Dato` Najib pada kali ini memang mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat berat. BN sekarang berada di tahap dimana kita sudah rasa seolah olah kita boleh dikalahkan. Takut dan sedih memikirkannya. Kita boleh kalah jika kita tidak berasa yakin diatas kemenangan. Kalau kita tak tanamkan keyakinan dan penghayatan, kita boleh Berjaya dan Berjaya dengan cemerlang. Sudah tentu kita akan berdepan dengan penentangan. Biar kita berdepan dalam suasana dan keadaan kuat dalam perpaduannya dan kesatuan kita mantap. Jentera-jentera diperingkat akar umbi sudah insyaallah bersiap sedia untuk kejayaan.

Usaha yang paling penting bagi kita adalah menjamin kemenangan kita? Bukan sahaja kemenangan tapi untuk menentukan kita dapat mempertahankan sistem dan nilai yang ada pada masa ini, supaya Negara ini akan terus menjadi Negara yang diteraskan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan serta Negara ini akan terus dapat dimajukan dengan keindukan kaum kita. Jangan tiap-tiap kali ada pembangunan, orang Melayu tersisih dan menjadi pemerhati kepada kemajuan. Lepas itu baru kita bangkit berbincang diperingkat warung -warung, parlimen warung. Satukan diri kita dalam perjuangan yang mampu menterjemahkan dan memberikan penghormatan maruah dan martabat kepada agama dan bangsa kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya amat yakin dan percaya, dengan semangat, dengan keluhuran perjuangan, banyak perkara yang dapat kita lakukan. Bukan segala galanya sudah terlepas daripada kita. Sama ada pilihanraya bulan depan. Sama ada pilihanraya bulan akan datang, atau pilihanraya pada tahun 2013 yang paling penting adalah persediaan kita. Yang paling penting adalah kita tentukan bahawa, rakyat tidak berubah daripada menyokong kita dan kita tidak menganiayai bangsa. Dalam kita berlumba sesama sendiri, berselisih sesama sendiri, parti lawan menanamkan kebencian terhadap pemimpin, jangan kita terheret. Jangan kita lakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan orang tidak suka meluat kepada pemimpin-pemimpin. Jangan kita pula menjadi sebahagian daripada proses yang boleh melemahkan perpaduan kita, barisan kita, saf kita, dalam menjamin kesejahteraan dan kekuatan kita sebagai parti yang menjadi teras kepada pemerintahan Negara ini.

UMNO adalah keramat. Negeri Johor adalah negeri yang dianggap fixed deposit, tapi fixed deposit ini kalau kita belanjakan tanpa hemah ia tidak dapat memberi pulangan yang memuaskan. Fixed deposit juga boleh hilang dan habis. Oleh itu jaga aset ini dengan baik. Mari kita tentukan bahawa kita tidak leka. Parti pembangkang sentiasa bergerak. Pada kali ini pilihanraya tidak akan menjadi pilihanraya masa lalu. Pilihanraya pada kali ini pada saya akan menjadi pilihanraya yang lebih ganas dan mencabar daripada yang pernah kita hadapi sebelum ini. Pilihanraya kali ini bukan untuk kita bercakap dengan memikirkan bagaimana kita boleh menyentuh tidak perasaan orang orang lain. Kita tidak perlu menggelabah. Kita tidak perlu bercelaru. Kita tidak perlu mengikut perangai parti lawan. Kita tidak perlu menjadi gangster, kerana kita matang. Kita lebih faham perjuangan. Tapi di masa yang sama, kita tentukan kekuatan dan kemantapan jentera parti di peringkat peti undi. Kekuatan ukhwah kita dikalangan kita dan melaluinya lah kita akan dapat mencapai kejayaan yang kita kehendaki. Biarlah bila patah sayap, bertongkatkan paruh, patah paruh, kita bertongkatkan siku, patah siku bertongkatkan dagu, bertongkat kuku, tetapi perjuangan tidak akan kita lupakan dan terus kita luhur dan kukuhkan.

Bagi menutup kata, 
“di petang raya pasang pelita, 
cahaya berkilau bak serbuk gangsa, 
teruskan perjuangan sesama kita, 
agar terpelihara Agama Bangsa dan Negara.”

TRANSFORMASI : SUATU PERSEPSI


Oleh YB Tan Sri Dato Seri Syed Hamid Albar 
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 
8 Ogos 2012 

PERSEPSI adalah satu proses dimana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan reality dan mewakili perangai kita. 

Keupayaan kita melihat, mendengar, dan memerhati, membolehkan kita memperhitung, memahami, atau menterjemah secara intuitif sesuatu yang berlaku disekeliling kita. 

Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan di antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar. Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika pula meramalkan ekonomi Amerika Syarikat tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing. 

Berlatarbelakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihanraya bebas atau melalui pemberontakan sepertimana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. ”Sumpitan” daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat. 

Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campurtangan asing secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai pengendosnya untuk menghalalkan campurtangan dan perubahan. Jelas sekali campurtangan ke atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa besar barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa bersama bagi mencorakkan oder baru dunia di atas asas persepsi bahawa campurtangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan. Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang dieksport barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di Eropah belum lagi terserlah. 

Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di Negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang mengatakan sistem kapitalisma, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia. 

Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak berlandaskan reality semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan. Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari dari hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan halatuju dalam berbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru itu, kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan. 

Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendekatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat. Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan NKRA, NKEA, ETP dan GTP yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan yang hendak dimanafaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan. Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanupulasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi tujuan agenda mereka bagi melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi akhirnya pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran. Justeru itu, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekaligus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan. Kerajaan tidak boleh hanya respon setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh “Dr. Spin” pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan jawapan. Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manafaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang. Mainstream dan alternative media harus di gunakan untuk melapurkan pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah. Persepsi adalah cerminan terhadap sesuatu fakta dan kebenaran, yang boleh diwarnakan oleh pemimpin dan pembawanya. Yang penting pemerintah mesti dapat menunjukkan pencapaian ketara yang di yakini rakyat. Sepertimana di masa lampau, rakyat bila mendengar penyataan kerajaan, menerima kenyataan sebagai benar kerana dikeluarkan oleh kerajaan. 

Apa yang membimbangkan dewasa ini adalah apabila komunikasi maklumat dari pemerintah samada tidak ujud, tidak lengkap atau terlalu perlahan mengenai apa jua rancangannya. Apa persepsi yang akan berputar di pemikiran rakyat apabila ini berlaku?. Seluruh jentera dan kepimpinan harus menunjukkan kefahaman dan komitmen dalam menterjemahkan segala program pemerintah dengan cara yang tepat dan telus supaya diyakini dan dipercayai rakyat. Ini akan mengelak dari timbulnya sebarang persepsi negative. Pasukan penyampai ini mestilah terselaras dan terancang. Misalnya, dalam NKRA mengurangkan jenayah, bukan fakta ataupun angka jenayah yang menjadi persoalan tetapi bagaimana pemerintah dapat menyalurkan maklumat semasa yang tidak diragui. Apa juga respon yang kita ada, persepsinya adalah bahawa jenayah semakin meningkat . Pemimpin lambat respon, sementara angka yang menunjukkan jenayah berkurangan amat diragui. Persepsi ini pasti ujud memandangkan ada saja cerita-cerita jenayah yang mengerikan dan menyayat hati dipaparkan di halaman-halaman media melalui blog, sms, twitter, dan sebagainya setiap hari. Bila tiada respon dan penjelasan cepat maka pembacanya sudahpun membentuk pandangan dan pegangan mereka. Itu persepsi mereka. Ia menjadi lebih rumit untuk membetulkannya. Pertanyaan-pertanyaan sebegini perlu dijawab dengan pantas dan bernas. Rakyat tahu apa yang YAB Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri lakukan tetapi ia perlu didokong oleh semua ahli pasukan seirama dan terselaras. 

Pemerintah belum menang lagi dalam pertarungan persepsi. Jelas bahawa PRU 13 akan banyak dipengaruhi oleh faktor persepsi. Terutamanya, persepsi terhadap urustadbir kerajaan yang tidak melambangkan konsep 1Malaysia dan tidak telus; serta persepsi berhubung rasuah samada secara ketara atau tidak ketara. Rakyat harus yakin terima dan melihat sendiri dengan nyata bahawa rasuah telah berjaya diberkas dan dikurangkan. Sekiranya kerajaan ingin berjaya di dalam PRU 13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri. 

Di masa yang sama dari sekarang hingga PRU 13, Insyaallah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salahlaku, sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU 13. 

Parti pembangkang telah mempamerkan banyak kepincangan dan kelemahan. Sedikit sebanyak ini akan membina persepsi negatif terhadap pemimpin kerajaan. Elakkan ini dari berlaku. Jangan biarkan retorika mereka memikat rakyat. Mereka bergocoh tidak berhabisan dan tidak sepakat. Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi mereka dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat Malaysia mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.