Friday, October 25, 2013

PEMILIHAN UMNO 2013

20 Oktober 2013

Pemilihan UMNO 2013 sudah pun berakhir di semua peringkat dengan menggunakan sistem yang lebih demokratik. Sistem pemilihan ini kita telah pinjam dari sistem elektoral Amerika Syarikat. Ini pun tidak hairan memandangkan hubungan dua hala dan multilateral Malaysia/Amerika begitu akrab. Masa ini banyak pendekatan dasar Malaysia diilhamkan dari kuasa terkuat dan terbesar dunia.

Kembali kepada sistem pemilihan umno sememangnyalah ia lebih demokratik dari 3000 orang memilih pucuk pimpinan UMNO kini lebih 100000 orang terlibat. Ini bermakna lebih ramai ahli umno yang telah diberi kuasa untuk meletakkan pucuk pimpinan pilihan mereka.

Tujuan utama mengikut matlamat asal yang digariskan adalah menjadikan UMNO parti yang paling demokratik dan juga bagi menghapuskan politik wang dalam pemilihan UMNO. Lebih 'mempersonakan' adalah apabila Najib mengatakan beliau tidak terlibat dalam pemilihan dan ahli UMNO mesti memiliki dua nilai utama dalam memilih, iaitu kejujuran dan keikhlasan. Alhamdulilah dari aspek penyataan luaran semuanya kelihatan lengkap dan sempurna.

Mereka yang berjaya di semua peringkat telah pun diketahui umum. Saya fikir dari segi gempitanya inilah pemilihan UMNO yang paling tersusun dan teratur. Seharusnya, kita mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat menguruskannya.

Namun begitu apakah rakyat yang memerhatikan pemilihan ini turut berpuas hati dengan keputusan pilihan UMNO? Apakah mereka menganggap transformasi sudah bertempat dalam UMNO, justru diberikan mandat yang lebih besar kepada UMNO?

Jawapan cepat dan singkat adalah mungkin. Walaupun Najib dapat kerusi Parlimen yang kurang daripada Abdullah Badawi tetapi kedudukannya tidak tercabar. Cengkamannya ke atas parti dan kerajaan makin kukuh dan mantap. Beliau berjaya meletakkan "orang-orangnya" di setiap tempat. Pasti sekali kedudukan parti dan kerajaannya tidak tergugat dan terancam. Ahli parti pula turut taat dan setia kepadanya dengan memilih mereka yang menjadi pendukung Najib yang kuat. Seorang  Presiden dan PM tidak perlu sebut dia tidak terlibat kerana betul tidak betul, ketara tidak ketara, dia pasti terlibat. Beliaulah yang melantik ahli Kabinet, Penasihat Kerajaan, bertaraf Menteri atau tidak bertaraf Menteri, jawatan2 dalam agensi kerajaan atau GLC semuanya dalam bidang kuasanya. Masing2 faham apa yang beliau bisik atau tidak bisikkan. Politik Melayu terlalu halus dan "subtle" untuk orang yang sudah tercebur lama tidak memahaminya. Persoalannya samada kita perbualkan secara terbuka atau tertutup. Kalau seseorang itu tidak diminati macam-macam boleh jadi. Itulah lumrah yang banyak faham dan tidak perlu untuk dinafikan. Selalunya ahli parti UMNO patuh dan setia. Beruntung jadi pemimpin UMNO.

Ada yang politik wang atau ada yang menggunakan jawatan. Ini juga tidak perlu dipolemikkan dalam demokrasi terpimpin kita. Apa pun sudah ada keputusan yang membawa kepada satu era baru. Demokrasi kita matang, politik wang dan kuasa pun turut matang.

Marilah kita pelihara Agama, Bangsa dan Tanah Air untuk diwariskan kepada generasi penerus yang bersih dan telus.