Thursday, September 22, 2011

Internal Security Act (ISA) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN)



Akhirnya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali dengan ISA (Internal Security Act) melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada 15 September 2011. Masyarakat Dunia menyambut baik keputusan tersebut tetapi Singapura berasa tertekan kerana kerajaannya mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri yang seakan sama seperti Malaysia. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak menentang keputusan yang diambil kerajaan kerana menganggap kerajaan telah memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya. Namun masih ada perasaan bercampur-baur dikalangan segelintir rakyat yang kurang pasti bagaimanakah pemansuhan Akta ini dapat menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta apakah mekanisme yang akan digunakan untuk mencegah ancaman keselamatan dalam negara daripada berlaku walaupun PM dalam ucapannya telah menggariskan bagaimana beliau akan laksanakannya. 

Parti pembangkang, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia turut menyokong dan memberi sambutan baik sebagai satu langkah berani yang memaparkan kematangan demokrasi dan kebebasan di negara ini. Ramai juga yang walaupun bersetuju masih tertanya-tanya apakah bentuk Akta baru yang akan dikemukan kerajaan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Namun demikian ada juga pihak yang akan cuba mendapatkan kredit dari keputusan tersebut. Saya percaya kerajaan telah mengkaji semua aspek dan kesan sebelum mengambil keputusan pemansuhan AKDN 1960 dan Akta Buang Negeri 1956. Begitu juga kajian semula terhadap 3 lagi Akta secara komprehensif yang membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 dalam Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan dalam perkara 10 perlembagaan negara.

Tindakan yang diambil oleh Dato’ Seri Najib ini memeranjatkan kerana semasa mengambil alih beliau setakat mengatakan akan meminda AKDN. Namun ketegasan dan keberanian beliau akan membawa satu transformasi yang besar terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam negara serta masa depan politik Malaysia.

AKDN ini diwujudkan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi ianya satu undang-undang pencegahan (preventive law) bagi mengelakkan sesuatu keadaan buruk daripada berlaku. Kini kita tidak perlukannya lagi sejajar dengan perubahan zaman. Hasrat menyemak semula Akta ini sememangnya telah lama difikirkan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana soal berkaitan keselamatan negara dan ketenteraman awam menarik pelbagai reaksi. Saya masih ingat semasa saya menjadi Menteri di JPM dan Menteri Undang-undang pada tahun 1990an saya telah mengemukakan satu memorandum kepada Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) untuk menghapuskan AKDN dan mencadangkan pengwujudan Akta lain bagi menangani ancaman kepada keselamatan dan ketenteraan awam. Dr Mahathir bersetuju dengan syor tersebut, tetapi ianya terhenti disitu kerana Peguam Negara dan KDN pada ketika itu menganggap masanya masih belum sesuai lagi.

Apa yang penting pada saya undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat mesti mengandungi peruntukan supaya bersama-samanya ada “due process” bagi mengelakkan kekhuatiran rakyat berkenaan penyalahgunaan kuasa atau ia digunakan untuk tujuan politik. Saya sering mencadangkan supaya diwujudkan kaedah ‘due process’ untuk melindungi hak kebebasan rakyat yang akan ditentukan oleh mahkamah sebagai pengimbang untuk mencapai keadilan. Saya percaya rakyat juga mengharapkan apa-apa tindakan pencegahan mengikut lunas undang-undang mestilah adil dan saksama serta menjamin kesejahteraan rakyat. Demokrasi dan kebebasan sememang menjadi pegangan negara ini semenjak merdeka lagi. Walaupun begitu ia tidak seharusnya membenarkan mana-mana individu atau kumpulan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada keselamatan dan ketenteraman awam. Tahniah kepada PM yang suka membawa transformasi di Malaysia. Semoga cita-cita beliau akan membawa kepada kesejahteraan negara dan keselamatan rakyat akan tercapai.