Tuesday, January 19, 2010

HUBUNGAN ANTARABANGSA MALAYSIA


Semasa saya dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Malaysia, saya menerimanya sebagai satu amanah dan tanggungjawab. Saya sedar yang Kementerian ini yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memiliki karakternya yang tersendiri serta dihuni oleh manusia-manusia yang terkenal di peringkat rantau dan antarabangsa. Masing-masing dengan karenah dan caranya sendiri kerana mereka adalah terdiri dari apa yang dikatakan “kumpulan antarabangsa”. Wisma Putra juga yang mempunyai budaya berbeza dari ahli perkhidmatan awam yang lain, dan tradisi korporat tersendiri kerana mereka beroperasi di dunia luar.

Pegawai-pegawai Wisma Putra dikatakan tidak memandang tinggi kepada orang-orang yang di anggap tidak bijak dan tidak sama gelombang intelek seperti mereka. Dalam lain perkataan ramai diantara mereka berpersepsi yang dikalangan perkhidmatan awam, merekalah yang terbaik kerana memperjuangkan kepentingan dan hak negara di persada rantau dan antarabangsa.

Justru bila saya dilantik, salah satu tugas utama saya adalah untuk mengenali personaliti-personaliti yang telah dan sedia ada yang akan membentuk integriti serta wibawa Wisma Putra. Bagi membolehkan saya melaksanakan tugas dengan berkesan dan lancar saya perlu mengenali siapa mereka. Lantaran itulah langkah pertama yang saya ambil adalah untuk bertemu dengan pegawai-pegawai tertinggi bagi mengenali dan mendekati Wisma Putra. Malahan ia pra-syarat utama sebelum saya melangkah masuk untuk mengenali rakan sejawat serta pegawai-pegawai di kementerian luar di negara-negara lain.

Terus-terang boleh saya sebutkan pegawai-pegawai Wisma Putra ada yang mudah untuk mendekati dan mesra tetapi ada juga yang seolah membina halangan di hadapan mereka sehingga sukar untuk saya menembusi dan memahami mereka. Salah satu proses mengasimilasi dan menyerasikan diri dengan budaya dan tradisi Kementerian Luar adalah melalui interaksi dan bergaul dengan mereka. Pada salah satu jamuan yang diadakan diperingkat awal untuk mengalukan perlantikan saya sebagai Menteri Luar adalah jamuan makan tengah hari bersama-sama diantara bekas-bekas Menteri Luar seperti Abdullah Badawi (sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 8 Januari 1999), Ghazali Shafiee, Tengku Rithauddin dan Abu Hasan. Turut diundang bersama di majlis tersebut adalah bekas-bekas Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian Luar seperti Tan Sri Kamil Jaafar dan Tan Sri Zainal Sulong serta Duta-Duta Kanan Malaysia. Dengan begitu ramai pegawai tertinggi sekarang dan dulu Majlis menjadi riuh dan riang masing-masing dengan pelbagai cerita dan coretan mereka. Mereka kelihatan seronok bergaul sesama sendiri dalam suasana yang tidak formal. Hubungan mereka kelihatan erat dan ia menjadikan saya berasa selesa berada bersama-sama mereka. Inilah satu-satu majlis terawal mendedahkan saya kepada budaya dan tradisi Wisma Putra.

Bagi menentukan saya dapat melaksanakan tugas yang amat mencabar ini dengan secepat mungkin, sebelum melapor diri di Wisma Putra lagi, (sebaik sahaja diumumkan rombakan Kabinet dan perlantikan), Kadir Muhammad KSU, Kementerian Luar Negeri telah menemui saya di Kementerian Pertahanan. Dia datang dengan persediaan yang rapi memaklumkan senarai mesyuarat yang telah dirancang dan lawatan yang perlu saya lakukan khususnya ke negara-negara ASEAN. ASEAN adalah asas utama Dasar Luar Malaysia. Oleh itu lawatan-lawatan suai kenal dilakukan sebaik sahaja menjawat jawatan Menteri Luar. Sekaligus terbentuk fikiran saya yang Wisma Putra ini sungguh teratur dan terancang. Sebagai Menteri baru saya berasa lega dan yakin dengan situasi sebegitu.

Dia juga telah memberi taklimat kepada saya berkenaan Jabatan dan Bahagian-bahagian dibawah Kementerian Luar dan nama-nama pemegang jawatan tertinggi dari TKSU I, TKSU II sampai TKSU III, serta Setiausaha-Setiausaha Bahagian yang masing-masing bertanggungjawab menguruskan Wisma Putra. Taklimat Kadir begitu menyeluruh dan dengan cepat memberikan saya gambaran holistik tentang bidang tugas Kementerian dan personaliti yang menguruskan tugas-tugas penting di Kementerian.

Saya tidak ada masalah tentang soal banyak kerja, kerana memang itu tabiat saya yang suka bekerja. Saya juga sedar bahawa kejayaan mana-mana organisasi bukan sahaja bergantung kepada ketuanya sahaja tetapi pasukannya juga. Sebelum saya sampai di Wisma Putra saya sudah pun mendengar macam-macam cerita. Justru itu perlu bagi saya mendekati kesemua pegawai-pegawai tertinggi Kementerian. Saya telah bertemu dengan TKSU I, Mohd Ghazali bin Sheikh Abdul Khalid, TKSU II, Parameswaran dan Tunku Najihah, TKSU III. Saya mendengar dengan teliti apa yang mereka katakan dimasa yang sama saya bertanya tentang perkara-perkara serta isu yang saya anggap penting.

Apa saya rumuskan ialah Wisma Putra memang memiliki personaliti-personaliti berpengalaman dan bijak. Yang hendak saya lakukan adalah untuk memanfaatkan kehadiran mereka kepada prestasi Kementerian. Dimana pun kita berada akan ada ramai orang-orang bijak, justru cara menguruskan mereka juga memerlukan kebijaksanaan. Saya bertemu dengan Dr. Mahathir bagi memaklumkan saya telah memulakan tugas sebagai Menteri Luar. Saya minta pandangan dan nasihat beliau terhadap tugasan saya. Beliau telah memberikan beberapa pandangan terhadap isu-isu rantau dan antarabangsa yang diarahkan saya untuk menguruskan dengan baik. Saya faham maksud beliau dan saya juga meminta beliau memberi saya masa untuk menyusun Kementerian tatkala negara berhadapan dengan cabaran semasa dan akan datang. Beliau bersetuju, saya pun berasa lega.

Melalui proses pengasimilasian pantas ia memberikan kefahaman kepada saya mengenai karakter, budaya, dan tradisi Wisma Putra. Saya juga didedahkan kepada pelbagai cerita-cerita nostalgia yang mereka tempuhi sepanjang karier mereka. Ada yang susah dan mencemaskan. Memanglah yang paling penting sekali untuk difahami oleh seorang Menteri Luar adalah karakter dan wibawa Perdana Menterinya selaku Ketua Kerajaan. Ini kerana dasar luar sesebuah negara sentiasa mempunyai jalinan secara langsung kepada Ketua Kerajaan sebagaimana lumrah dimana-mana negara. Saya mengambil alih dari Abdullah Badawi sebagai Menteri Luar pada Januari 1999. Di ketika itu nama negara di peringkat antarabangsa begitu terserlah dan dikenali kerana Dr. Mahathir aktif di arena antarabangsa memperjuangkan kepentingan negara kecil dan membangun melibatkan isu bilateral dan multilateral. Walaupun ada pandangan yang Dr. Mahathir kurang keyakinan terhadap keberkesanan sistem multilateral, namun begitu beliau tidak dapat menafikan yang tidak ada alternatif lain.

Saya dilantik menyandang jawatan Menteri Luar pada satu masa yang susah dan genting dalam sejarah negara. Waktu itu negara baru sahaja mengatasi krisis ekonomi dan kewangan 1997/98. Dr. Mahathir telah berjaya mengeluarkan Malaysia dari kemelut krisis tersebut dengan menggunakan formulanya yang tersendiri yang telah melahirkan kontroversi dan persoalan dikalangan institusi dan kumpulan pakar ekonomi antarabangsa. Ada yang mengkritiknya serta memandang sinikal terhadap model yang digunapakai. Walau bagaimanapun ia terbukti tepat dengan kehendak dan keadaan ekonomi yang dihadapi Malaysia. Apabila akhirnya Dr. Mahathir berjaya menyelamatkan Malaysia daripada krisis ekonomi dan kewangan tersebut, masyarakat dunia mula bertukar pandangan terhadapnya, sekaligus menyanjung dan mengiktiraf Dr. Mahathir. Beliau telah terbukti tepat dalam pendekatan mengatasi krisis kewangan 1997/98. Apa yang nyata ialah ia menunjukkan yang ada cara lain yang berkesan (one size does not fit all) dalam menangani masalah krisis ekonomi dan kewangan di setiap negara.

Selain dari krisis ekonomi, pada waktu itu juga negara dikritik hebat oleh negara-negara maju kerana kes pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Suasana politik juga diwarnai dengan insiden ‘Black Eye’ Anwar Ibrahim yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara pada masa itu. Bila Anwar Ibrahim mengambil tindakan provokatif terhadap kerajaan serta mengakibatkan keadaan huru-hara, maka beliau ditangkap di bawah ISA kerana aktivitinya mengancam keselamatan negara. Tindakan itu terus dikritik hebat oleh negara-negara barat. Beliau ditahan dibawah ISA untuk jangka masa yang singkat. Pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan terhadap kepimpinan Dr. Mahathir di dalam dan di luar negara. Keadaannya menjadi lebih buruk lagi bila Anwar Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah dalam kes penyalahgunaan kuasa dan liwat. Beliau dihukum penjara selama 9 tahun. Begitulah suasana dan persekitaran negara yang mempunyai implikasi di peringkat antarabangsa. Tugas saya adalah untuk mempertahankan nama baik dan imej negara. Saya tidak berhenti-henti mengadakan pertemuan secara bilateral dengan Duta-Duta asing di negara ini bagi menjelaskan kedudukan isu melibatkan Anwar Ibrahim.

Saya masih ingat dimana juga saya berada dan mengambil bahagian di forum atau seminar saya terpaksa menjelaskan kes Anwar dan mempertahankan kedudukan Perdana Menteri serta sistem undang-undang dan demokrasi di Malaysia. Samada di PBB atau di dalam forum dan syarahan yang saya mengambil bahagian diluar negara diantaranya di AS atau Eropah, Anwar Ibrahim menjadi tajuk penting yang perlu diberi perhatian dan jawapan. Kes Anwar Ibrahim tidak dilupakan oleh rangkaiannya untuk diketengahkan. Tidak syak lagi pada saya, Anwar sememangnya mempunyai rangkaian di serata dunia yang amat meluas dan kukuh. Rakan-rakan peribadinya terdiri dari mereka yang cukup berpengaruh di negara-negara barat diantara lain seperti Chris Patten, William Cohen, Camdesus, Wolferson. Begitu juga di negara-negara Timur Tengah seperti Kuwait, Saudi, Sudan dan Arab Emeriyah. Di negara-negara ASEAN juga seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura.

Banyak masa yang perlu dihabiskan diperingkat bilateral dan multilateral dalam menerangkan isu-isu sebenar dalaman negara yang sering dicampuri oleh negara-negara lain. Ini menjadikan saya sibuk dengan tugasan dalam dan diluar negara. Namun saya selaku Menteri Luar Malaysia dapat berdiri tinggi dibawah pimpinan Dr. Mahathir, suara Malaysia adalah satu. Tiada suara sumbang dikalangan Ahli Pentadbiran atau tindakan yang melahirkan pandangan berbeza.

Saya percaya bahawa sistem dunia adalah tidak adil dan pincang kerana ia memberi kekuatan yang lebih kepada kuasa besar ketenteraan dan ekonomi. Saya melihat negara-negara membangun dan negara-negara Islam senantiasa menjadi mangsa dalam polar politik hubungan antarabangsa. Namun tidak ada pilihan lain, walaupun dalam serba kekurangannya sistem multilateral melalui PBB atau Pertubuhan multilateral lain adalah ruang terbaik untuk negara kecil dan oder dunia beroperasi. Negara-negara kecil dan membangun lebih terselamat melalui sistem Multilateral walaupun ianya dilanda pelbagai kepincangan dan kekurangan.

Saya percaya bila Tun Dr. Mahathir ambil alih kerajaan pada tahun 1981, beliau telah membuat keputusan untuk membawa pembaharuan kepada pendekatan politik dan ekonomi Malaysia. Oleh hal yang demikian beliau memainkan peranan yang lebih aktif diperingkat antarabangsa. Keputusannya untuk berbuat demikian adalah tepat kerana ia membolehkan Malaysia untuk melaksanakan tugas sebagai ahli masyarakat antarabangsa dengan lebih bermakna lagi. Saya berpendapat Malaysia tidak akan berjaya aktif jika keadaan politik dan ekonomi negara tidak menentu. Saya dapat merasai bila tiap-tiap kali Dr. Mahathir menghadiri persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu, sambutan yang diberikan kepadanya amat menghairah dan membanggakan. Perhimpunan Agong akan penuh dengan kehadiran bila tiba gilirannya untuk berucap, lebih-lebih lagi dari negara-negara membangun.


Beliau sering mendapat tepukan gemuruh. Sehabis sahaja ucapan beliau ramai delegasi akan berbaris (sebagaimana biasa dalam tradisi di Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk bersalaman mengucapkan tahniah kepadanya. Saya yang berdiri sama disebelahnya juga menerima ucapan tahniah kerana kelantangan pandangannya terhadap isu-isu yang menyentuh isu melibatkan oder dunia serta kepentingan negara-negara kecil dan negara-negara membangun.

Tun Dr. Mahathir bukanlah seorang pemidato yang berucap berapi-api tetapi beliau dihormati kerana ketegasan dan keberanian mengenengahkan subjek dan isu yang relevan kepada hubungan antarabangsa. Ramai pemimpin-pemimpin dan menter-menteri negara luar memberitahu saya yang mereka bersetuju dengan pandangan-pandangan yang diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai soal ketidakadilan sistem sejagat, peranan kuasa besar menggunakan serta mendominasi Bangsa-Bangsa Bersatu, hipokrasi dalam sistem antarabangsa, kepincangan senibina kewangan antarabangsa dan tidak demokratiknya PBB sendiri.

Begitu juga dalam isu Palestin / Israel. Sokongan mereka terhadap pendirian Tun Dr. Mahathir dan Malaysia begitu kuat dan bersungguh-sungguh. Bila saya bertanya mengapa mereka tidak membuat ucapan terbuka menyokong Dr. Mahathir. Respons yang sering diberikan walaupun mereka sependapat, mereka tidak dapat berbuat demikian kerana terikat dengan pelbagai syarat kerana kebergantungan negara masing-masing kepada derma dan bantuan kewangan. Justru keputusan Dr. Mahathir dari awal lagi tidak mahu terikat dan mahu bebas menyuarakan pandangan terhadap pelbagai subjek dan isu.

Friday, January 8, 2010

ISLAM DAN KALIMAH ‘ALLAH’




Pada ketika ini, negara kita dihebohkan dengan perbincangan popular mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Agama Kristian khususnya mazhab Katolik. Ramai rakyat berasa bimbang dan ada yang berasa hairan mengapa perkara ini ditimbulkan sekarang. Lebih menakjubkan apabila kalimah itu dilihat sebagai hanya ‘perkataan’ dalam konteks bahasa sedangkan hakikatnya ia adalah asas pegangan umat Islam yang menerima keesaan Allah. Hubungkaitnya dengan soal aqidah dan syariat bila menggunakan kalimah tersebut perlu dihayati oleh orang Islam dan bukan Islam.

Justru ada pihak telah menganalisanya tanpa penghayatan dan kefahaman tersebut. Ada yang mengatakan dalam lagu negeri yang dinyanyikan oleh semua pun ada menyebut perkataan Allah. Sebenarnya ini bukan persoalan bila digunakan dalam kitab agama. Mereka juga tidak mendalami konotasi kalimah Allah dalam konteks Islam. Sememangnya perkataan Allah, jika diambil begitu sahaja maksudnya ‘tuhan’ tetapi bagi agama Islam ia mempunyai maksud kepada pegangan ketuhanan dan kepercayaan serta penerimaan penganut agama Islam. Lagipula sekiranya dikaji dari kitab agama-agama lain khususnya Bible, samada dalam bahasa asalnya iaitu Bibilical Aramaic, ‘Elaha’ dan ‘Alaha’ atau ‘Aloho’ dalam bahasa Syriac. Dalam bahasa Greek dan Latin dipanggil ‘Allach’ atau ‘Theos’ atau dalam bahasa Inggeris perkataan yang menggambarkan tuhan adalah “God”, dan dalam bahasa Hebrew “Yahweh” atau “Jehovah”. Di Malaysia pula bila disebut perkataaan ‘Allah’ ia merujuk kepada kepercayaan dan pegangan orang-orang Islam. Justru semua pihak di negara ini untuk sekian lamanya menerima ‘Allah’ adalah khusus bagi umat Islam.

Kalimah 'Allah' pada prinsipnya ialah Tuhan yang satu dan Maha Esa, tiada beranak dan diperanakkan. Kalimah ini sememangnya digunakan oleh Umat Islam sebagai pegangan asas keagamaan seperti dilafazkan “Tiada tuhan yang disembah selain Allah”. Justru ianya dikhususkan kepada umat Islam. Dalam agama Islam tiada konsep tiga cabang Allah sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran “Katakan (Wahai Muhammad) : (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia (Allah) tiada beranak dan Dia (Allah) pula tidak diperanakkan. (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya” (4).- Surah al-ikhlas ayat 1-4

Oleh kerana kalimah “Allah” ini bukan sekadar perkataan yang boleh disamakan dengan perkataan yang menyebut tuhan lain, ia tidak sama dengan makna tuhan yang menjadi asas kepada kepercayaan agama Kristian itu sendiri. Sekiranya agama lain ingin menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan dan kitab mereka, sememangnya mereka terikat dengan hakikat makna kalimah tersebut. Jika tidak, ia akan dianggap mengelirukan dan mengancam kesucian agama Islam itu sendiri. Dengan sendiri ia menyentuh perasaan dan sensitiviti umat Islam.

Mengikut ajaran agama Islam ‘Allah’ bukan sahaja satu kepercayaan dan pegangan kepada keesaan tuhan sebagaimana terkandung dalam surah al-ikhlas atau nama-nama Allah (Asma-ul Husna) yang 99 serta sifat-sifat 20, ia juga adalah penyataan tentang kedudukan Allah dalam konteks Islam. Oleh itu kalimah Allah dalam Islam mempunyai erti yang amat mendalam dari segi syariatnya bukan hanya perkataan yang menjadi sebutan terhadap tuhan sahaja.

Larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ tidak langsung melanggar mana-mana peruntukan undang-undang ataupun Perlembagaan negara kerana ia tidak menyekat kebebasan beragama. Soal kebebasan agama tidak timbul langsung. Yang tidak dizinkan ialah kalimah ‘Allah’ bukan isu penganutan kepada agama oleh mana-mana pihak. Majlis Fatwa Negara telah membuat keputusan bahawa perkataan-perkataan ‘Allah’, ‘solat’, ‘baitullah’, ‘kaabah’ adalah khusus untuk kegunaan agama Islam.

Bayangkan apabila perkataan Allah digunakan dan apabila prinsip 3 cabang ketuhanan ‘Trinity’ dihuraikan mengikut kepercayaan agama Kristian. Bermula dengan "Allah-al-ab” yang bermakna “Allah Bapa”, “Allah al-ibn” yang bermaksud “Allah anak” dan “Allah al-ruh alquds” yang ditafsir sebagai “Allah alrohul kudus”. Untuk penganut agama Islam ia akan mengelirukan mereka, ia yang akan membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini. Ada kemungkinan ia akan membawa impak negatif dari segi hubungan agama.

Justru itu persoalan kalimah ‘Allah’ mesti dilihat dari perspektif bukan sahaja perkataan dalam sesuatu bahasa atau undang-undang semata-mata, tetapi ianya boleh mengakibatkan kesan keselamatan secara ‘tangible’ dan kemungkinan ianya boleh menjejaskan keselamatan. Tindakan awal atau ‘pre-emptive’ perlu diambil. Adalah tidak wajar untuk menunggu kejadian sesuatu buruk berlaku baru mengambil tindakan.

Persoalan ini bukan soal politik dan undang-undang semata-mata kerana ia tidak akan mencapai penyelesaian. Jalan terbaik sekali ialah mencari penghayatan dan kefahaman bersama-sama.

Saya pernah berjumpa dengan beberapa kenalan di Indonesia yang dahulunya beragama Islam dan kini beragama Kristian dan bertanya kepada mereka mengapa mereka bertukar agama?. Selain jawapan berbentuk kebendaan mereka mengatakan bahawa cerita-cerita yang terkandung dalam Injil dalam bahasa Indonesia tidak ada bedanya dengan cerita-cerita di dalam Al-Quran. Ini berpunca dari penggunaan kalimah tertentu dalam kitab ‘Injil’ yang diterbitkan di Indonesia. Oleh itu umat Islam sendiri telah menjadi keliru. Keadaan Malaysia dan Indonesia juga adalah berbeza sama sekali. Di Malaysia Islam dijadikan sebagai agama rasmi negara dalam Perlembagaan. Di Indonesia pula agama Islam bukanlah agama rasmi negara kerana mereka berpandukan kepada pancasila tidak seperti di Malaysia. Indonesia sememangnya adalah sebuah negara sekular dan ia tidak boleh digunakan bagi tujuan membuat bandingan.

Adalah aneh kalau masa ini ada minat untuk menterjemahkan perkataan “God” kepada “Allah” dalam bahasa Melayu. Lebih bermanfaat jika dipelihara keharmonian dan mengamalkan agama masing-masing tanpa membangkitkan konflik atau pertembungan diantara satu sama lain sejajar dengan firman Allah dalam Al-Quran dalam surah al-Kafirun ayat terakhir “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU

Saya sekeluarga ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU kepada semua rakyat Malaysia. Jgn kita jd org yg sombong, angkuh tapi merendah diri dan betul2 menghayati kehendak rakyat. Salam tahun baru ikhlas dr saya sekeluarga utk semua rakyat Malaysia.

Salam. Shalbar.