Tuesday, March 30, 2010

PEMBANGKANG BERCELARU


Selepas Mac 2008 dan keputusan PRU12, parti-parti pembangkang menjadi begitu ghairah. Pada mulanya mereka berasa yakin seolah-olah cahaya bersinar bagi mereka selepas PRU12. Masuk tahun kedua pakatan parti-parti pembangkang berhadapan dengan gerhana serta mendung mula menyelubungi pasukan mereka. Apa yang berlaku masa ini menonjolkan ketidaksepakatan bukan lagi pakatan yang diwar-warkan oleh pembangkang. Janji-janji palsu mereka untuk mengambil alih pemerintahan negara jelas berupa mimpi disiang hari. Mereka telah menggunakan pelbagai taktik yang mempamerkan matlamat menghalalkan cara bagi mengaburi mata rakyat. Bila tembelang mereka diketahui umum, maka timbullah krisis keyakinan dikalangan ahli-ahli mereka sendiri. Ada tanda-tanda jelas yang Pakatan Rakyat sudah berpecah-belah dan tidak hairan mereka akan tersungkur.

Pelbagai sebab boleh diberikan mengapa pembangkang kelihatan gagal untuk bertapak sebagai parti alternatif pada kerajaan sekarang. Cara mudah dan pendek adalah kerana faktor utama kemenangan pembangkang di PRU12 bukanlah disebabkan populariti mereka berasaskan kepada keyakinan dan kekuatan dikalangan rakyat. Ia sebenarnya adalah berpunca dari undi protes terhadap kerajaan oleh kerana persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin BN. Rakyat dikatakan benci kepada “keangkuhan dan kesombongan” pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan mereka yang berada disekeliling. Mereka memang menyokong Barisan Nasional sejak dari Perikatan lagi sehingga sekarang. Apa yang sering didengar pada PRU12 rakyat mahu memberikan isyarat yang jelas kepada kerajaan BN. Hakikatnya rakyat sendiri tidak jangkakan parti kerajaan akan mengalami kekalahan yang teruk.

Pembangkang pula sebenarnya terperanjat dengan keputusan PRU12 yang tidak mereka dugakan. Ia sungguh memberangsangkan kerana berjaya menafikan majority 2/3 kepada Barisan Nasional di Parlimen serta mereka juga berjaya menawan 5 buah negeri.

Pada ketika itu, Anwar Ibrahim berjaya mengumpul parti-parti pembangkang untuk bersama melahirkan satu Barisan Pembangkang yang “credible”. Di peringkat awal ada pandangan bahawa inilah permulaan sistem dua parti di Malaysia. Jelas sekali ia menyimpang jauh dari kenyataan. Pakatan yang ditubuhkan ini bukan sesuatu yang mempunyai kemantapan dan kejituan untuk menyatu dan mempertahankan parti-parti yang berbeza ideologi dan pendekatan. Parti seperti PAS dan DAP mempunyai jurang yang luas dan tidak mudah untuk disatu dan diselaraskan walaupun PAS menunjukkan kecenderungan beralah dalam kepimpinannya untuk mengambil kuasa di peringkat persekutuan. Namun demikian untuk mendisiplinkan wakil-wakil Pakatan Rakyat sendiri dengan masing-masing memiliki pendapat dan pendirian tersendiri bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Ini diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Pas.

Apa yang ketara adalah membangkang tidak sama dengan memerintah. Jelas mereka tidak berpengalaman untuk mentadbir kerajaan walaupun kebanyakan dari mereka mempunyai kelulusan akademik. Dengan latarbelakang yang berbagai-bagai, ia merumitkan kerjasama dikalangan mereka dan pegawai-pegawai awam. Untuk membangkang memang mudah tetapi untuk melahirkan dasar dan pelaksanaan tidak semudah yang mereka fikirkan.

Cita-cita Anwar Ibrahim dari mula lagi adalah untuk menjadi Perdana Menteri, yang beliau tidak mencapainya sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dibawah pimpinan Tun Dr. Mahathir. Diperingkat awal barisan pembangkang dibawah pimpinan Anwar telah membuat janji-janji yang sungguh aneh dan menakjubkan. Mereka telah gembar-gemburkan yang mereka akan menubuhkan kerajaan pada 16 September. Sekarang telah diketahui ramai bahawa apa yang Anwar ceritakan pada penyokong-penyokong serta rakyat berkenaan mendapat restu Yang DiPertuan Agong dan kononnya Panglima Angkatan Tentera adalah tidak benar. Ini adalah sebahagian taktik yang amat merbahaya yang mengheret Institusi negara tanpa asas dan kebenaran. Pendedahan-pendedahan yang telah dibuat oleh bekas-bekas ahli partinya sendiri di Parlimen menunjukkan bagaimana nafsu boleh mengatasi pemikiran rasional sehingga memfitnah orang-orang yang tidak terlibat.

Dalam keadaan kegoyahan parti-parti pembangkang Barisan Nasional tidak patut berasa selesa dan berpeluk tubuh. Barisan Nasional perlu membuat persediaan politik yang rapi untuk menawan hati rakyat kembali menyokong Barisan Nasional dalam PRU13. Ini perlu dilakukan di semua peringkat dari akar umbi hinggalah ke peringkat atasan. Sekiranya hanya sekadar berpuas hati dengan keadaan pembangkang masa ini tanpa membuat anjakan yang sesuai, maka BN akan sekali lagi kecewa. BN perlu perihatin terhadap kedudukan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional yang amat membimbangkan. Mereka bukan dalam zon selesa. Walaupun parti-parti pembangkang lemah dan berpecah, rakyat tidak akan sokong BN jika rakyat meluat dengan tindak-tanduk Barisan Nasional tidak kira dimana-mana peringkat sekalipun. Barisan Nasional perlu disegarkan semula bagi menempuh kejayaan pada PRU13.

Jentera dan persiapan perlu dibuat dari sekarang. Permusuhan dan pertelingkahan sama sendiri perlu diatasi. Pada PRU13 ramai berpandangan yang pengundi bukan sahaja akan melihat pada parti tetapi juga pada calon yang bertanding. Kriteria yang sering disebutkan ialah calon-calon mesti diterima oleh rakyat berasaskan kredibiliti dan integriti masing-masing. Jika ia dilakukan, BN bukan sahaja akan memenangi PRU13 tetapi boleh mendapat 2/3 majoriti di Parlimen serta menawan kembali negeri-negeri yang BN kalah. Berusaha dan berdoalah untuk mencapai kejayaan.



Friday, March 5, 2010

SEDUTAN UCAPAN YB TAN SRI SYED HAMID ALBAR DI PERSIDANGAN UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI PADA TAHUN 2004


Assalamualaikum w.b.t.,

Saya mengucapkan syukur kepada Allah yang menjadikan kita dan menentukan segala-galanya untuk kita. Alhamdulillah, pada hari ini kita mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan. Tujuan mengadakan Mesyuarat Agong adalah untuk menentukan pucuk pimpinan UMNO yang akan menerajui kepimpinan, Insya-allah dengan selamat dan terpelihara. Yang hendak dipilih bukan dikalangan musuh, tetapi dikalangan warga dan keluarga UMNO yang besar, yang menjadi tunggak kepada kerajaan Barisan Nasional. Saya percaya yang utama sekali ialah untuk menjaga kesejahteraan dan perpaduan serta keharmonian parti.

Disinilah saya minta untuk warga UMNO sama-sama ingat saya hanya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan, selaku Ketua UMNO Bahagian. Hak untuk menentukannya adalah di dalam tangan saudara dan saudari para perwakilan. Semasa saya menjalankan tugas, saya cuba melakukan yang terbaik, walaupun mungkin ada yang tidak bersetuju. Selama ini pun kedudukan dan tempat saya, adalah kerana saya mendapat sokongan dari saudara dan saudari sekalian. Tanpanya, saya tidak akan menjadi wakil rakyat ataupun Menteri.

Saya tahu semasa berkempen, ada usaha bersungguh-sungguh menyerang calon dengan bermacam tuduhan dan tohmah serta fitnah. Seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri di dalam akhbar baru-baru ini, saya memetik dari ungkapannya.
“Mereka ini reka cerita yang bukan-bukan dengan melemparkan bermacam tuduhan hanya semata-mata kerana nak menang dalam pemilihan. Perbuatan ini tidak baik, memfitnah…. Rosak semuanya. Kalau rasuah diselesaikan, tetapi permainan politik dibiasakan dengan kerja yang macam ini, ‘character assassination’, menyebarkan fitnah, akhirnya tidak ada apa yang baik terhasil”

Saya sendiri sedar saya memang mudah percaya orang sebagai kawan dan sahabat. Saya tidak mempunyai sangka buruk kepada sesiapa. Saya lekas percaya pada orang yang menghampiri saya dan saya juga begitu terbuka dalam pimpinan. Saya tidak perlu berlakon atau berderama dengan sesiapa. Saya selalunya terus terang, jujur dan ikhlas mahu melihat UMNO selamat dan bangsa kita terpelihara supaya dapat kita mengangkat maruah dan martabat kita. Kalau saya melinangkan air mata atau bersedih, bukan kerana saya hendak meraih simpati tetapi sememang-memangnya saya merasakan yang bila ada pertandingan sama sendiri, seolah kita sudah hilang pegangan dan kasih sayang diantara kita sesama kita sebagai ahli parti. Kalaupun sudah benci dan tidak mahu, ada cara yang baik untuk meminta seseorang mengundur diri dan meletakkan orang lain untuk mengambil alih dengan cara demokratik sejajar dengan demokrasi serta perlembangan dan peraturan parti.

Bahagian ini adalah hasil dari persempadanan baru kawasan Parlimen yang terbahagi kepada dua iaitu Parlimen Kota Tinggi dan Pengerang. Saya ingat dulu saya menjadi ahli di Bandar Penawar dalam Bahagian Pengerang, saya diminta untuk bertukar cawangan dan mengekalkan kedudukan saya di Kota Tinggi oleh saudara dan saudari. Saya bertukar cawangan dengan kehendak saudara dan saudari sekalian. Kita ini bukankah sesama Islam. Orang Melayu memang terkenal dengan tertib, adab dan sopannya. Kita juga tidak perlu bermuka-muka sesama sendiri, didepan sokong dan dibelakang maki hamun, sumpah seranah. Kita juga tidak perlu berpura-pura sesama kita. Tidak ada untungnya buat begini melainkan untuk membalas dendam. Saya terlalu sibuk dengan urusan negara untuk merancang apa-apa konspirasi. Ada yang kini sudah merancang untuk menggantikan wakil rakyat sekarang di masa akan datang. Ini tidak mustahil. Boleh dilakukan apabila tiba masanya. Masa akan datang hanya tuhan sahaja yang tahu siapa akan mengambil tempat kita yang menjadi wakil rakyat.

UMNO milik kita, tidak usahlah bermain politik yang akan akhirnya melemahkan kita. Kekuatan saya datang dari saudara dan saudari, bukan kerana saya sendiri. Janganlah berbalah sehingga melemparkan nilai dan nama baik serta budaya kita yang suci dan murni. Kita ini adalah dari satu Parti. Yang hendak dilakukan masa ini ialah menawarkan perkhidmatan, bukan untuk mencipta kegemilangan peribadi masing-masing. Dalam Kota Tinggi saya tidak membawa klik atau kumpulan. Saya anggap semua kita dalam satu kumpulan. Apakah dengan memburukkan saya akan terjawab semua masalah yang dihadapi. Tidak menjadi satu kesalahan untuk bertanding dan menawarkan diri selaras dengan kehendak demokrasi. Tetapi demokrasi boleh menghancurkan kita andainya ia tidak digunakan dengan amanah dan bertanggungjawab.

Dari awal lagi saya minta supaya tidak ada pertandingan, dan kekalkan yang sedia ada. Tetapi entah macam mana ada orang telah memperdayakan orang lain untuk menyelamatkan diri sendiri. Saya harap apa juga keputusan, kita akan senantiasa menjaga keharmonian dan perpaduan. Saya sendiri, oleh kerana tugas terpaksa merantau jauh di seluruh pelusuk dunia untuk negara, bangsa dan mempertahankan agama kita yang kini tercemar pada mata dunia. Tetapi itu tugas saya sebagai Menteri.

Saya sememangnya tidak ada apa-apa perancangan atau ingin mengenepikan ataupun menjatuhkan sesiapa. Saya berpegang kepada janji dan amanah orang-orang yang saya anggap sebagai kawan dan cukup yakin kepada janji-janji mereka yang saya fikir setia. Sebab itulah saya telah cuba sedaya upaya mencari pendekatan untuk berkompromi, bukan kerana saya takut tetapi untuk memelihara UMNO dari berpecah-belah. Kalau saudara hendak menukar pimpinan, ianya semua dalam kuasa para perwakilan. Buatlah apa yang difikirkan terbaik tetapi tidak payahlah mencemarkan nama dan imej seseorang. Pertandingan ini telah menarik perhatian di seluruh negara. Saya percaya ada diantara saudara dan saudari yang mungkin berbangga diatas keupayaan mengheret warga UMNO dalam pertarungan yang sebegini hebat. Kalau saya telah melakukan kesalahan yang tidak boleh diampunkan, tuhan akan menentukan hukuman yang setimpal.

Terpulanglah kepada saudara dan saudari untuk membuat keputusan.

Kota Tinggi, lagenda sejarah
Air terjun, pantai desaru
Hidup damai, rezeki bertambah
UMNO penyatu, rumpun Melayu

Ahli UMNO bekerja keras
Siang malam mengurus parti
Budi dikenang, jasa dibalas
Tak lesu, menabur bakti.

Saya yakin dengan minat yang subur dan bertenaga dikalangan saudara dan saudari, UMNO akan terus mantap dalam menentukan halatuju bagi meneroka cabaran dan mencipta kejayaan. Kita mahu mencari kawan, bukan lawan, kerana kita dari satu warga dan keluarga.

Kehidupan politik akan cerah bila mengikat tujuan serta mengikut keutamaan. Sukar bagi sesiapa mengambil sikap positif dalam persepsi yang negatif. Kritikan akan sentiasa wujud. Jika kita lari dari kebenaran, kita akan terdedah kepada kebatilan dan kepalsuan. Saya ini, insan yang tidak jauh dari melakukan kesilapan. Saya rasa cukup sedih bila melihat suasana aman dan mesra dijadikan keruh dengan debu dan lumpur.

“Tanduk ditanam, daging dilapah, gulai dikacau” patut menjadi pedoman dalam pergaulan politik UMNO. Calon yang tinggi integriti akan menguruskan parti dengan baik. Kepimpinan beretika dari calon yang baik akan menjadikan identiti kehidupan politik bertambah matang. Etika pejuang parti ialah mereka yang memahami budaya parti berteraskan kepada roh yang luhur dan ikhlas untuk diuruskan parti dengan berkesan. Saya harap kita akan terus berfikir, melihat untuk bergerak seiring jalan bagi kebaikan bersama. Insya-allah saudara dan saudari akan dapat memahami, bagi memelihara parti, walaupun ada onak dan durinya. Tidak kita hilang kewajaran dan kewarasan dengan menumpahkan kasih dan sayang kepada UMNO yang telah sama-sama kita bina.

UMNO Kota tajau bertuah
Rumpun Melayu bersatu hati
Dimana lagi kuah nak tumpah
Kalau tidak di Kota Tinggi

Jalan-jalan cari makan
Lepas makan hisap rokok
UMNO Kota menjalin kenalan
Tidak terlintas sorok menyorok

Kota Tinggi Bumi bertuah
Dulu Kuat kini gagah
Maaf atas silap dan salah
UMNO Kota kan terus terserlah.



Jadi Pemimpin hati teguh
Jalankan tugas bersungguh-sungguh
Memikul beban pantang mengeluh
Sakit dan susah pantang mengaduh

Sakit dan susah kita tahankan
Perit pedih kita sabarkan
Berkorban tak harapkan balasan
Berbudi tidak harapkan pujian

wabillah hitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.