Dewasa ini dunia sedang diledakan dengan apa yang dipanggil sebagai kebangkitan Arab. Banyak cerita sedih dan pilu yang bermula di Tunisia bila Mohammed Bouazizi mengambil nyawanya dengan membakar diri. Begitu juga konflik Libya yang telah menjemput penglibatan tentera asing dari NATO membantu kumpulan pemberontak untuk menjatuhkan Ghadaffi. Belum pun habis dengan peristiwa kacau bilau, kematian dan kemusnahan di negara-negara Arab, pada 2 Mei 2011 dikejutkan pula dengan pembunuhan Osama bin Laden yang dianggap ‘the most wanted man by the West’ di Abbottabad, Pakistan oleh pasukan khas Seal dari tentera laut Amerika Syarikat.
Dengan bangganya Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama mengumumkan yang dialah orang bertanggungjawab mengarahkan operasi tersebut. Dengan pengumuman pembunuhan Osama sambutan semeriah mungkin diadakan di tapak ‘Ground Zero New York’. Namun mayatnya langsung tidak ditunjuk dan justru dikatakan oleh jurucakap Amerika Syarikat, dia telah ‘dikebumi’ di laut kononnya mengikut hukum dan tradisi Islam. Dari mana mereka dapat hukum dan tradisi ini pun masyarakat Islam berasa binggung. Dalam pengumuman awal dikatakan Osama mati dalam peristiwa tembak menembak. Belum pun sempat akal menerima perkara itu, dunia dikejutkan pula bahawa Osama sebenarnya tidak memiliki senjata semasa ditembak mati di depan isterinya. Isterinya pula dilaporkan cuba berlari ke arah penyerang dan ditembak di kaki. Sekarang pula dimaklumkan yang foto-foto kejadian tidak boleh ditunjukkan kepada umum kerana terlalu ngeri dan boleh membangkitkan kemarahan. Pelik juga. Apa yang jelas bila kebenaran cuba ditutup dan pembohongan dilakukan pasti bercelaru segala-galanya. Akhirnya kebenaran juga yang terserlah.
Sheikhul Azhar dengan berani mempersoalkan terhadap cara pengkebumian di laut yang bertentangan dengan hukum Islam. Amerika Syarikat terus keluarkan kenyataan yang kononnya Saudi Arabia tidak mahu menerima mayat Osama dikebumi di negara itu, walaupun beliau adalah rakyat Saudi. Justru kerana itulah terpaksa mayatnya dicampak ke laut.
Persoalannya mengapa mereka terus mengambil tindakan dengan menembak sedangkan lebih baik dia ditangkap sejajar dengan ‘rules of engagement’. Maka keluar berbagai justifikasi untuk menyokong tindakan yang diambil oleh Amerika Syarikat. Kini hakikatnya terbongkar yang pembunuhan telah berlaku terhadap Osama yang tidak bersenjata ketika itu. Tidak hairan kerana arahan yang diberikan kepada pasukan khas itu mengikut jurucakap Amerika Syarikat adalah arahan dari Presiden sendiri supaya Osama dibunuh. Dengan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dari masa ke semasa, susah untuk mengetahui cerita sebenarnya. Tambah pula tindakan Amerika Syarikat dilihat tidak sejajar dengan undang-undang antarabangsa. Dalam hal ini nampaknya pelaksanaan tindakan dilakukan berasaskan kepada undang-undang masa zaman Nabi Musa a.s, ‘a tooth for a tooth’ dan ‘an eye for an eye’. Hakikatnya selagi kita tidak melihat kepada sebab musabab sebenar berlakunya keganasan atau terrorisma, masalah terrorisma tidak akan dapat diselesaikan. Pembunuhan Osama tidak akan menjadi penyelesai kepada masalah terrorisma. Semangat akan terus berkocak dengan kemarahan terhadap cara pembunuhan dilaksanakan.
Masalah konflik Palestin, kehadiran tentera asing di Iraq dan Afghanistan akan menjadi polemik berterusan dan simpati terhadap Osama akan meningkat. Selagi layanan berbeza yang diberikan kepada pelanggaran dan keganasan Israel ia akan menimbulkan kemarahan terhadap Amerika dan Barat. Pencabulan undang-undang antarabangsa sebagaimana Human Rights Watch di Geneva katakan di penjara Abu Gharib Iraq dan Guantanamo masih lagi tidak terjawab.
Tidak boleh dinafikan yang keganasan bukan bermula dari September 11. Kita juga patut mengingati ratusan ribu yang terkorban di semenanjung Balkan di masa pihak Serb menyembelih orang Islam, walaupun begitu Ketua Serb tidak dipanggil pengganas. Jumlah kematian di Iraq, di Palestin dan Afghanistan juga beratus ribu melibatkan orang-orang yang tidak berdosa kepada keganasan ataupun konflik. Siapa perlu dihukum? Kita perlu melihat semula oder dunia yang berat sebelah dan mengizinkan kuasa besar bertindak tanpa asas undang-undang adalah merbahaya kepada kestabilan dan keselamatan di masa kini dan masa hadapan. Sebab itulah lebih rasional bagi PBB menjadi pendamai dan bukan penyokong kepada tindakan militari dan peperangan. Perang mestilah diharamkan dan mereka yang menyebabkan peperangan mesti dibawa kemuka pengadilan.
(tidak perlu publish)
ReplyDeleteSalam Tan Sri,
Mohon untuk dapatkan alamat email tan sri. Email saya zailaden@hotmail.com
Tq