Monday, July 22, 2013

Jangan Menggadai Keselamatan


Kini banyak perbincangan mengenai Akta-Akta pencegahan yang telah dihapuskan oleh kerajaan di atas nama demokrasi dan kebebasan seperti Ordinan Darurat 1969Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 serta penghapusan kepada Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012. Di sebaliknya kini mula timbul persoalan samaada kerajaan telah mengambil langkah yang tepat serta penghapusannya membawa kesan positif kepada keamanan dan keselamatan negara. Seiring dengan ini kita perhati melalui laporan laporan akbar yang kes kes jenayah berat makin bertambah dan begitu juga kes kes rompakan menggunakan senjata api ataupun pisau dan parang. 

Mengikut Menteri KDN dan KPN kebanyakkan jenayah tersebut dilakukan oleh mereka yang di bebaskan setelah Ordinan Dharurat di hapuskan. Kalau perkara ini benar maka kemungkinan kerajaan telah mendedahkan negara dan rakyat kepada ancaman jenayah dan keselamatan yang tidak sewajarnya berlaku dengan menghapuskan kedua-dua Akta tersebut. Sekarang kita hanya berharap wujudnya sebuah Akta yang bukan sahaja untuk menghukum mereka yang melakukan ancaman keselamatan dan jenayah tetapi untuk mengambil tindakkan sebelum ancaman jenayah dan keselamatan dari berlaku. 

Semenjak negara mencapai kemerdekaan, negara dan rakyatnya selamat dari jenayah dan keselamatan kerana kejayaan kita mengambil tindakan awal sebelum sesuatu kejadian berlaku berbeza dengan mengambil tindakkan setelah kejadian berlaku. Mencegah lebih baik dari kita membiarkan ia berlaku, kemudian nya baru mengambil tindakan. Saya harap kerajaan tidak keliru di antara memberi kebebasan  dan pengamalan demokrasi dan hak asasi dari menjaga keselamatan dan keamanan negara bagi mencegah insiden insiden jenayah dan ancaman keselamatan dari berlaku. Kalau dikhuatiri bila ada Akta pencegahan mungkin boleh berlaku penyalahgunaan kuasa, maka lebih baik kuasa menyemak dan kuasa mengawal selia diberikan kepada mahkamah. Namun tindakan awal bagi sesebuah negara sememangnya perlu. 

Diharapkan kerajaan tidak dengan mudah menghapuskan pula Akta Hasutan dengan Akta keharmonian kerana kedua-dua perkara ini memiliki matlamat yang berbeza. Biarlah seluruh rakyat di rundingi sebelum mengambil apa-apa tindakan kerana sejajar dengan apa yang PM sering ulangi zaman ini bukan lagi zaman yang kerajaan mengetahui segala-galanya. Biar lah menjadi amalan sebenar kita.     

Wednesday, July 10, 2013

PRU 13

Hambar dari PRU 12 walaupun UMNO dapat pertambahan 9 kerusi Parlimen. Itu yang tersurat disebalik PRU 13 kali ini. Apa sebenarnya yang tersirat di sebalik apa yang terjadi? Mungkin realitinya agak pahit untuk ditelan. Tetapi itulah hakikatnya.

Mengapa BN tidak dapat memperbaiki kedudukan pencapaiannya pada PRU 13 setelah mengalami apa yang dipanggil Tsunami PRU 12. Cara ringkasnya boleh dikatakan mungkin BN tidak belajar dari PRU 12. Ada juga yang mendakwa, strategi pembangkang lebih baik dan berkesan. Namun begitu rumusan simplisitik begini tidak mengupas jawapan sebenar. Jika kita mengimbas kembali Tsunami PRU 12, asas utama dikatakan berpunca dari hilang keyakinan pengundi kepada kerajaan, kenaikan harga barangan dan kos saraan hidup, penambahan kes-kes jenayah dan antara lain peranan media sosial yang dikatakan rata-ratanya menjadi penyampai propaganda pembangkang secara berkesan. Ada juga yang mendakwa satu lagi punca kekalahan pada ketika itu adalah orang-orang dipersekitaran PM dan pejabatnya. Ada juga suara-suara yang mengatakan perkara yang sama berulang kembali pada PRU 13 baru-baru ini.

Sepatutnya setelah tahu kesilapan lampau, BN lebih mudah untuk menyusun strategi dan mengambil tindakan yang tepat. Perkara awal sekali yang dibincangkan setelah PRU 12 dan setelah penubuhan kerajaan ialah tentang perlunya ada perubahan untuk persediaan awal bagi berdepan dengan PRU 13. Abdullah Badawi telah dipersalahkan di atas kekalahan PRU 12, serta diminta mengundurkan diri secara terhormat bagi memberi laluan kepada anak wira bangsa, Najib mengambil alih pimpinan parti dan negara.

Dengan cara terhormat mantan PM, Abdullah menyerahkan jawatannya kepada Najib pada bulan April 2009. Maka dari situ bermulalah segala macam pendekatan dan strategi baru – Tranformasi Ekonomi dan Politik untuk memulihkan keyakinan rakyat. Di antara perubahan radikal yang dibuat Najib ialah urus tadbir yang lebih telus dan tulus, pengamalan demokrasi yang lebih luas dan terbuka. Contoh-contohnya termasuk pemansuhan ISA undang-undang darurat, memperkasakan budaya kerja kerajaan menerusi NKRA dan KPI, termasuklah usaha gigih membanteras gejala rasuah.

Malahan Najib dilihat berkali-kali menyarankan kepada ahli-ahli parti agar berubah atau diubah. Beliau juga mengingatkan BN bahawa PRU 13 adalah ibu segala PRU. Beliau meminta agar pemimpin parti untuk mesra rakyat dan bersikap rendah diri serta turun ke bawah. Segala arahan beliau dilaporkan telah dipatuhi dengan taat setia. Penegasan sebegitu memanglah baik untuk menjadi formula dan diagnosis kepada gagasan dan persediaan untuk memenangi PRU 13 kalau diamalkan dan dilaksanakan secara jujur dan ikhlas. Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir berpendapat setelah Najib mengambil alih pimpinan parti dan negara, beliau yakin Najib yang akan mengembalikan kegemilangan parti. Jika semasa kepimpinan Abdullah, beliau menentang Abdullah dan keluar parti, kini beliau telah kembali menjadi ahli UMNO serta memberi sokongan yang tidak berbelah bagi malahan dilihat bekerja keras untuk memulihkan kredibiliti dan penerimaan rakyat kepada BN bagi menghadapi PRU 13.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perancangan rapi, pemikiran yang kreatif dibawa dengan 1M, ‘Janji Ditepati’ dan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ menjadi kempen. Bagi melaksanakan agenda ini, pakar-pakar dari dalam dan luar Negara diambil untuk merangka pendekatan yang lebih terbuka, berdaya saing, mengutamakan kepentingan rakyat dan strategi ekonomi yang lebih mapan untuk rakyat nikmati. Sebagai PM, Najib bekerja keras dan teliti dalam usahanya memenangi PRU 13. Tempoh akhir Parlimen dan Dewan-dewan Negeri pun telah dibiarkan tamat dan bubar dengan sendirinya (yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Negara sejak mencapai kemerdekaan) untuk tentukan program transformasi dapat dilihat berkesan terlaksana.

Jika dianalisa dari perspektif ini, perancangan dan tindakan yang diambil oleh kepimpinan Najib, tiada sebab BN tidak mendapat kemenangan yang lebih baik daripada PRU 12. Di antara pendekatan yang di ambil pada PRU 13 ialah pemantauan terperinci jentera pilihanraya di peringkat PDM, Bahagian dan ‘Bilik Operasi Perang’ di peringkat negeri dan kebangsaan. Perincian ini diambil sebaik sahaja Najib menerajui BN pada 2009. Beliau telah mengisi jawatan di peringkat pentadbiran dan kerajaan dengan orang-orang yang beliau percayai. Pendek kata, tidak ada sebab BN tidak boleh mencapai kemenangan yang diharapkan atau setidak-tidaknya, lebih baik dari segi jumlah kerusi Parlimen daripada pencapaian PRU 12. Namun ketidakseimbangan terserlah pada parti-parti komponen yang jelas tidak yakin dan tidak mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat. Walaupun Najib menegaskan yang beliau akan meletakkan ‘calon boleh menang’ atau ‘winnable candidate’ sahaja tetapi beliau mengambil risiko meletakkan calon-calon yang tidak semestinya boleh menang.

Pelbagai telahan, dakwaan dan analisa telah dibuat oleh ahli politik, cendekiawan dan ahli akademik sebaik sahaja keputusan PRU 13 diumumkan. Ada yang mengampu, ada yang membuat justifikasi dan ada juga yang melontarkan pendapat yang agak pedas berteraskan kebenaran. BN seharusnya menerima keputusan secara iktibar dan tidak menyapu di bawah permaidani setiap masalah ataupun menganggap segala teguran terhadap parti atau pemimpin sebagai kritikan negatif dan tidak setia kepada parti. Inilah masanya untuk kita berlapang dada dan menerima teguran dengan hati yang terbuka agar BN kekal relevan di hati rakyat. Malahan, keputusan PRU 13 memeranjatkan kerana BN gagal dalam perang menangani persepsi yang di mainkan di alam maya secara meluas oleh pembangkang.

Secara umumnya keputusan PRU 13 boleh dirumuskan di bawah empat(4) perkara utama.

Pertamanya pengundi Cina sudah buat keputusan untuk mengubah kerajaan yang ada akibat kempen perkauman kotor yang diamalkan DAP. Malahan, pengundi tidak berminat dengan MCA dan Gerakan. Terutamanya di kawasan di mana pengundi Cina menjadi majoriti atau undi penentu, calon BN pasti tumbang.

Yang keduanya, faktor pengundi muda. Di kawasan-kawasan di mana ramai pengundi muda, mereka lebih mengambil berat soal calon yang bertanding. Pengundi muda yang pada mulanya yakin dengan BN mula beralih arah bila pembangkang mula mainkan sentimen ‘Ubah’. Sikap ‘tidak-apa’ dan tidak kira siapa kerajaan yang bakal memerintah di kalangan pengundi yang tinggal di bandar membawa padah pada BN. Jika hambatan bandar tidak dapat diatasi, PRU 14 kelak bakal memberikan kesedihan kepada BN.

Yang ketiga, Parti Pembangkang masuk gelanggang dengan yakin yang mereka akan mengambil alih pemerintahan negara oleh kerana ramalan menunjukkan kedudukan pada ketika itu adalah 50/50. Mereka berpendapat, undi masyarakat Cina dan orang-orang muda bandar akan memihak kepada mereka. Ia berlaku tetapi tetapi pengundi luar Bandar tetap setia kepada BN. Bila keputusan menunjukkan BN mendapat 133 kerusi sedangkan pembangkang hanya dapat 89 kerusi Parlimen. Ada juga dakwaan kononnya ada warga asing yang dibenarkan mengundi. Ini semua propaganda pembangkang untuk melahirkan keadaan huru hara. Bukan itu sahaja, malahan Pembangkang cuba memainkan propaganda undi ‘popular’ mereka lebih tinggi dari BN, justeru mereka memberitahu rakyat merekalah yang berhak untuk memerintah negara. Ini adalah satu lagi cara untuk mengelirukan rakyat dan membangkitkan huru hara. Sedangkan demokrasi berparlimen di Malaysia adalah berasaskan ‘first past the post’ iaitu berasaskan jumlah kerusi di DUN atau Parlimen yang diperolehi oleh parti-parti yang bertanding. Parti yang paling banyak mendapat kerusi berhak menubuhkan kerajaan. Sistem ini telah digunakan semenjak merdeka lagi yang diwarisi dari UK.

Salah satu punca utama yang mungkin tidak dapat dihidu pemimpin atau parti komponen BN secara berkesan adalah “Kempen Ubah” oleh Pakatan Pembangkang secara agresif menerusi alam maya yang dilaksanakan setelah selesai saja PRU 12. BN dilihat tidak begitu tegas dengan kecelaruan yang ditimbulkan oleh pembangkang. Kempen ini menular secara meluas dan berkesan di kalangan pengundi muda dan bandar khususnya di kalangan pengundi Cina. Polemik dalaman MCA dan Gerakan menyebabkan mereka gagal mendapat kepercayaan pengundi kaum mereka. Justeru dari 37 kerusi yang ditandingi MCA mereka hanya berupaya mendapat 7 kerusi. Begitu juga dengan Gerakan, mereka menang hanya 1 kerusi dari 15 kerusi Parlimen yang diberikan pada mereka untuk bertanding. Parti komponen BN yang mewakili pengundi Cina perlu terima hakikat ini dan perlu segera membuat pembetulan. UMNO dan parti-parti di Sabah dan Sarawak telah menyumbangkan kerusi untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan. Justeru itu, tidak hairanlah ramai wakil mereka di dalam barisan kabinet yang dilantik oleh PM baru-baru ini. Pengundi Cina tidak yakin walaupun BN telah menegaskan beberapa kali bahawa perubahan boleh dilakukan oleh kerajaan BN. Persepsi inilah yang gagal diubah oleh BN di saat genting.

Seruan-seruan PM Najib untuk pemimpin-pemimpin BN dan ahli-ahli parti berubah cara dan pendekatan mereka pada PRU 13 berjaya kerana kemenangan bergantung kepada kebolehpercayaan pengundi kepada janji BN, menjadi terjawab bila BN memperolehi hanya 133 kerusi Parlimen sahaja. Biasanya dalam amalan demokrasi, ini adalah satu jumlah majoriti mudah yang memuaskan walaupun kurang dari dua pertiga. Di Malaysia, kita lebih cenderung kepada kelebihan undi yang lebih besar.

Yang keempatnya, ramai beranggapan, UMNO dan BN pada dasarnya masih belum berubah, baik dari aspek urustadbir yang bersih, telus dan mesra rakyat mahupun dari aspek tuduhan rasuah, kepentingan peribadi dan integriti. Walaupun Najib popular, tapi ini tidak bermakna beliau boleh mengangkat calon-calon yang kurang menyerlah dan mungkin juga seperti didakwa pengundi, calon yang bermasalah. Ia lebih buruk lagi bila rakan-rakan kongsi BN di Semenanjung gagal membantu BN dengan undi dari kaum mereka.

PRU 13 membuktikan UMNO telah berjaya menembusi kubu kuat PAS dan PKR. PAS telah menjadi mangsa DAP. Ia hanya dapat memenangi 20 kerusi dari 71 yang ditandingi. PKR dapat menambah kerusinya. Percaturan PAS telah gagal untuk meraih keuntungan. Yang nyata setelah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun, DAP masih lagi menjaja isu-isu perkauman di PRU 13 dan mengenepikan sama sekali kontrak sosial yang menjadi asas kepada Perlembangaan asal Negara ini.

Di sebalik keputusan PRU 13 ini, pemimpin-pemimpin BN terutamanya mestilah sedar betapa pentingnya mengubah paradigma, cara berfikir. Adalah mustahak untuk mereka mengambil pendekatan yang lebih strategik selari dengan arus politik alaf baru. Yang pertama, penggunaan teknologi maklumat hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan kita berinteraksi terus dengan rakyat jelata mahupun pengundi. Secara langsung, ia membolehkan pemimpin mengenalpasti sikap dan kemahuan pengundi. Dengan ini dapat mewujudkan ‘inklusiviti’ di antara pemimpin dan rakyat. Yang keduanya, di peringkat dalaman parti, apa sahaja permasalahan dan pertelingkahan yang timbul perlu dirujuk kepada pimpinan akar umbi sebelum pucuk pimpinan atasan membuat sebarang keputusan. Yang penting, keputusan yang dibuat mestilah menguntungkan BN secara total dan rakyat amnya dan bukannya memihak kepada pihak dan puak-puak tertentu sahaja.

Banyak pemerhati mengatakan UMNO dan BN masih dilihat mengutamakan kepentingan pemimpin di peringkat masing-masing serta sokongan mengelilingi mereka dan bukannya mewakili kepentingan rakyat. Persepsi sebegitu hendaklah diubah mulai sekarang dan bukannya menjelang PRU 14 nanti. Yang ketiganya, sikap pemimpin masih dianggap tidak mesra rakyat dan ada masanya sombong serta terpisah jauh dari isu pokok di peringkat bawahan. Sikap merendah diri (tawadhu’) pemimpin sebenarnya dapat mengubah persepsi negatif rakyat. Pengundi kadang kalanya beremosi sekiranya pemimpin mereka memahami isu pokok dan masalah mereka. Jelas sekali bahawa pengundi lebih selesa dengan memberi kemenangan kepada BN di peringkat kebangsaan tapi setakat cukup untuk memberi kemenangan tetapi tidak ke tahap 2/3.

PRU 13 kini sudah berakhir dan lima tahun akan berdepan dengan PRU 14. Senario yang sama atau lebih hebat mungkin akan melanda jika BN tidak berhati-hati dengan pendekatan yang digunakan. Sekiranya BN mahu terus memerintah di peringkat negeri dan persekutuan, post-mortem yang telus hendaklah dibuat bagi menyelongkar kelemahan dan strategi sedia ada. Yang paling utama, penemuan post-mortem tersebut hendaklah disusuli dengan tindakan pembetulan dan susulan yang tepat dan bersifat total dan menyeluruh bersesuaian dengan keadaan semasa. Jangan banyak alasan, janji dan penafian. Malahan, kaedah pemasaran politik BN untuk mengembalikan reputasi yang tercalar di PRU 13 yang lalu perlu dirombak. Perang yang perlu dimenangi adalah perang persepsi terhadap pimpinan parti dan kerajaan terutama sekali persaingan di alam maya dan kita perlu bijak menyerang dan bukan semata-mata menangkis segala tuduhan. Selagi tidak dapat diatasi, BN mungkin akan kecundang. BN mesti ada ‘umpph’ nya. Begitu juga parti komponen yang tidak menyumbang, malahan menjadi beban dan susah untuk dipikul. Sebenarnya BN memerlukan calon yang mampu memberi kemenangan dan menghadiahkan kerusi DUN ataupun Parlimen. Kawasan yang sudah kuat dan kukuh tidak perlu dikacau. BN perlu memberi fokus kepada kerusi yang bermasalah agar kedudukan BN lebih kukuh pada PRU yang akan datang.