Bila membaca artikel dalam blog Jebat mengenai peranan saya dalam SPAD, saya berasa tersentuh dan simpati padanya kerana jelas dia tidak faham tentang struktur dan organisasi SPAD serta akta yang menaungi SPAD. Saya fikir ada kemungkinan desakan tertentu mendorong Jebat menulis peranan saya dalam SPAD. Penulis nampaknya hendak menjadi juara yang tidak kena tempat bagaimana SPAD patut diuruskan. Saya punya nasihat, tidak payah Jebat buat kerja membazir dan membuang masa.
Untuk makluman Jebat, jawatan ini bukan sesuatu yang saya cari dan minta. Lagipun, bila saya digugurkan daripada jawatan Menteri, saya tidak pernah meraih sesuatu daripada kerajaan. Itu terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab dan mengenang budi. Saya telah dimaklumkan bahawa saya di antara orang-orang lama yang telah banyak menabur bakti kepada parti dan kerajaan. Jebat baca dan tengoklah dengan mata dan hati yang terbuka ramai orang-orang baru berkhidmat kepada parti dan kerajaan ada yang meminta pelbagai manfaat dan jawatan. Saya telah diamanahkan oleh PM untuk menjaga dan bertugas di SPAD walaupun sebelum ini saya telah pun dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan digugurkan setelah menerima surat perlantikan.
Serangan Jebat tidak berasas dan jauh tersasar dan mendukacitakan. Serangan membuta tuli Jebat hanya mendedahkan kepincangan dan kelemahan maklumat yang tidak tepat disediakan untuk Jebat. Saya tidak ingin bersaing dengan mana-mana Menteri tetapi hanya melaksanakan amanah yang diberikan. Apa agaknya motif dan niat Jebat. Untuk pengetahuan Jebat, bidang tugas saya ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010. Perlantikan saya berdasarkan Seksyen 5 Akta SPAD 2010 (Akta 714) di bawah keanggotaan Suruhanjaya yang jelas termaktub di bawah kuasa SPAD. Bacalah sebelum menulis.
Seperti yang saya katakan tadi, Jebat ‘ibarat anjing menyalak bukit’. ‘You are barking the wrong tree my friend’. Saya tidak perlu untuk meraih undi mahupun publisiti. Pengurusan SPAD yang meminta saya bertemu dengan media dan memberi ‘interview’. Jauh sekali meraih apa-apa jawatan. Malahan saya hanya menjalankan tugas yang di amanahkan untuk menukar wajah atau lanskap pengangkutan awam Negara ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Mengikut Akta, SPAD bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Janganlah kerana menyokong orang-orang tertentu, Jebat menjadikan Pengerusi SPAD sebagai sasaran. Untuk pengetahuan Jebat, di bawah Akta SPAD, jawatan yang disebut adalah Pengerusi yang bertanggungjawab sepenuhnya, dan tidak timbul samada eksekutif ataupun tidak. Mungkin Jebat keliru di antara Pengerusi Syarikat dan Pengerusi sebuah Suruhanjaya.
Ada baiknya Jebat turun padang dan menyelami keluh kesah rakyat dan buat kerja yang lebih membawa manfaat kepada agama, bangsa dan Negara. Jangan ditanya apa Negara boleh bagi pada anda, sebaliknya tanyalah diri sendiri apakah sumbangan anda kepada Negara? Alangkah baiknya Jebat bersama-sama mengembleng tenaga membantu kerajaan agar disayangi rakyat dan bukannya menabur gosip dan fitnah yang membuang masa? Jangan sia-siakan bakat penulisan Jebat, buatlah sesuatu yang produktif dan menguntungkan Negara.