Hari ini adalah hari Sambutan Maulidur Rasul tahun 1435Hijriah. Hari istimewa kerana lahirnya seorang Insan mulia Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. yang me'nur'kan dan mencerahkan alam sewaktu dunia dalam kegelapan. Mengapa? Kerana Baginda adalah merupakan contoh yang terbaik untuk diikuti dari apa dimensi sekalipun. Seorang manusia yang di angkat Allah swt dengan keperibadian yang syumul.
Siddiq iaitu benar ada padanya; Amanah amalannya; Tabligh menyampaikan risalah dengan contoh teladannya; Fatanah, tiap yang dikata dan dilakukan di sulami kebijaksanaan. Begitulah sebahagian daripada sifat Nabi Muhammad s.a.w. khotimul anbiya'. Hari Sambutan Maulidur Rasul ini seharusnya memaparkan kerinduan dan kecintaan kita kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan roh dan semangat keIslaman yang dianjurkan seperti terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah Baginda.
لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٢٨) فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ حَسۡبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۖ عَلَيۡهِ تَوَڪَّلۡتُۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ (١٢٩
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (128) Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar. (129) (At-Taubah Ayat 128-129)
Kaedah terbaik ialah melalui memperingati dan mengkisahkan Sirahnya yang kaya tentang tauladan kepimpinan, keimanan, ketaqwaan, kejujuran, keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang kepada Ummatnya. Tidak payah bercerita hal lain kerana bila kita menghayati sirahnya In Sya Allah akan menimbulkan rasa insaf dan tawaduk dengan perwatakannya yang begitu agong. Kita akan sentiasa mengikuti jejaknya yang adil dan menyayangi antara satu dan yang lain dalam apa jua urusan. Bersyukurlah dengan rahmat yang dikurniakan Allah swt kepada ummat Manusia dan makhluk lain disebabkan Baginda Rasulullah s.a.w. diangkat untuk memberi cahaya kepada kehidupan kita.
وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (107) (Al-Anbiya’ ayat 107)
Sambutan Maulidur Rasul tidak menjadi sesuatu kesalahan atau termasuk dalam kategori bidaah seperti pemahaman segelintir pihak. Dr Yusuf Qardawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa menyatakan dengan jelas sambutan atau perayaan memperingati sirah perjuangan Rasulullah s.a.w., keperibadian Rasulullah s.a.w. yang agong dan misi yang dibawanya dari Allah swt kepada Alam semesta dibolehkan dan tidak tergolong dalam kategori bidaah. Dengan memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam terhadap nikmat Allah swt kepada manusia. Dr Yusuf Qardhawi berkata ”Mengingati nikmat Allah adalah sesuatu yang disyariatkan, terpuji dan memang diperintahkan. Allah swt memerintahkan kita untuk mengingat nikmat Allah swt”.
Jelas sekali kalau kita mahu menjadi umat Islam yang baik, beriman dan bertaqwa kita kena melihat dari contoh dan peribadi baginda. Untuk mencapai tahap itu pasti kita kena belajar dan mengikuti sirahnya. Di dalam sirat akan membangkitkan keinsafan dan kesedaran yang Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang amat istimewa.
Yusuf Qardawi menyatakan "Mengingatkan Umat Islam dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang di dalamnya terdapat pelajaran yang bermanfaat, bukan sesuatu yang tercela, dan tidak bisa disebut sebagai bidaah atau kesesatan. Termasuk hak kami adalah mengingat sirah perjalanan Rasulullah s.a.w. dalam ragam peringatan. Ini bukan peringatan yang bidaah. Kerana kita mengingatkan manusia dengan sirah nabawiyah yang mengikatkan mereka dengan misi Nabi Muhammad s.a.w.. Ini adalah kenikmatan luar biasa. Adalah dahulu para sahabat radhiallahu anhum kerap mengingat Rasulullah s.a.w. dalam beragam kesempatan."
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا(٥٦
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (56) (Al Ahzab ayat 56)
Kalau Allah s.w.t. dan Malaikat berselawat kepada baginda mengapa kita selaku insan biasa mempersoalkan dan mempertikaikannya. Jalan dan jihad Umat Islam hari ini penuh dengan berbagai pancaroba. Justru jika mahu mengangkat darjat dan martabat ummat Islam, perlu patuh pada perintah dan suruhan Allah s.w.t. serta berpegang erat dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Semoga Sambutan Maulid akan mengukuh dan memperkasakan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. serta senantiasa menyemarakkan lagi perasaan rindu dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.
Wassallam.
No comments:
Post a Comment