Tuesday, April 15, 2014

MENGIMBAS TARIKH YANG SIGNIFIKAN DALAM HIDUP


14 hb Januari ada lah satu tarikh yang amat signifikan untuk saya kerana pada tarikh itu dalam tahun 1977 ayahanda saya, Almarhum Syed Jaafar bin Hasan bin Hussin bin Muhammad Albar meninggal dunia di Muar, Johor ketika sedang memberi ucapan di perjumpaan Pergerakan Pemuda UMNO, Johor. Setahun sebelum itu, pada tarikh yang sama iaitu 14hb Januari 1976, Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri yang kedua meninggal dunia di United Kingdom.

Mengikut cerita Allahyarham Tun Omar Yoke Lin, pada 14hb Januari 1977, sedang mereka berada di majlis tahlil di rumah Allahyarham Tun Abdul Razak, lampu secara tiba-tiba terpadam. Apabila lampu menyala semula, di umumkan yang ayahanda saya telah kembali ke rahmatullah di Muar, Johor. 

Saya pula pada hari itu sibuk dengan persediaan untuk sambutan majlis hari lahir saya pada keesokan hari pada 15hb Januari yang mana semua ahli keluarga termasuk ayahanda dan bonda serta kawan rapat telah di undang untuk turut bersama meraikan hari gembira dan bersejarah dalam permulaan hidup saya. 

Tetapi, ketentuan dari Allah s.w.t. telah mendahului segalanya; Kita hanya merancang Allah swt jua menentukan - hari yang gembira berubah sedih untuk seluruh keluarga dan juga perjuangan UMNO, khususnya Pergerakan Pemuda, yang kehilangan seorang Ketua yang tegas, berdedikasi dan tidak mementingkan diri sendiri. 

Ayahanda saya yang di beri gelaran 'Singa UMNO' kerana ketegasan, keberanian dan kelantangan beliau dalam menyuarakan teguran dan pandangan dalam politik dan perjuangan tanah air. Sifat dan sikap beliau ini dimaklumkan kepada saya oleh veteran-veteran UMNO seperti Tan Sri Ashaari, Tan Sri Khalid Abdullah, Dato’ Seri Syed Nahar, Tan Sri Aishah Ghani, Tan Sri Hussein Ahmad dan ramai lagi termasuk dari kalangan pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO. Mereka ada bermacam cerita tentang contoh ketegasan mengenai beliau.

Saya menyesal kerana tidak merakam maklumat-maklumat lisan semasa diceritakan kerana kebanyakan mereka hari ini sudah tiada lagi. Begitu juga ahli UMNO di peringkat akar umbi yang mempunyai kenangan dan ingatan yang berbagai mengenai sikap dan tabiatnya.

Saya teringat kata-kata beliau memohon supaya Allah swt mengambil nyawa beliau dalam perjuangan bukan di atas katil. Allah makbulkan doa nya – Ditakdirkan beliau rebah diserang penyakit jantung ketika membuat ucapan balas kepada Pergerakan Pemuda UMNO Johor dan meninggal dunia di Hospital Muar. 

Sebelum rebah, beliau sempat mewasiatkan dan berpesan supaya ahli dan pemimpin UMNO tidak berpecah hanya kerana berbeza pendapat. Pendirian beliau ini mencerminkan sifat beliau yang memang terkenal dengan kelantangannya bersuara dan bercakap terus terang tanpa khuatir, jika ada sebabnya. 

Keputusan beliau menawarkan diri sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak disenangi oleh pucuk pimpinan walaupun beliau rakyat Johor dan Ahli Parlimen Kota Tinggi. Saya sendiri terfikir bahawa keputusan beliau untuk bertanding akan mengundang masalah kerana beliau tidak dikehendaki. Realitinya, beliau akan menentang Dato Mohammad Rahmat, seorang tokoh UMNO Johor yang lebih muda dan disokong kuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan kerajaan. Sudah tentu ramai di negeri Johor yang tidak senang dengan keputusan ini.

Namun beliau tetap bertegas dengan keputusannya untuk bertanding kerana provokasi keatasnya serta krisis Dato’ Harun yang telah mengoncang kedudukan UMNO. Beliau mahu menjadi jambatan untuk merapatkan jurang antara pemuda UMNO dan pucuk pimpinan.

Media massa lebih-lebih lagi akhbar Utusan Melayu tidak berselindung dengan pandangan sinis terhadap beliau. Walaupun begitu semangatnya tetap kental dan cekal. Beliau buat keputusan melawan jentera Presiden parti dan PErdana Menteri. Lagipula beliau hanya berbekal dengan satu pencalonan dari Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beruas, Perak. Ini bukanlah satu perkara yang mudah dan mengikut ramalan media dan pemerhati politik, beliau akan dikalahkan teruk. Itulah sangkaan.

Suasana dan persekitaran pada Mesyuarat Agong UMNO boleh dikatakan gusar dan panas. Namun ia berjalan lancar dan pengundian untuk jawatan-jawatan dalam Pergerakan Pemuda juga berjalan dengan aman. Habis pengundian dan undi dikira Pengerusi Tetap mengumumkan Albar menang dengan kelebihan undi dua ratus lebih. Pada ketika itu bergemalah Dewan DBP dengan laungan serentak “Allahuakbar”. Bersemangat kembali Pemuda UMNO menyambut kemenangan ini di Hotel Federal dalam suasana meriah dan gembira. Mengapa tidak, Pemuda UMNO merasakan maruah dan digniti mereka telah di kembalikan. Suhaimi Kamarudin menang sebagai Naib Presiden. Satu senarai ahli exco yang mantap juga sudah terpilih. 

Sememangnya, Pergerakan Pemuda UMNO pada zaman itu berani dan lantang bersuara dalam pendirian mereka berbeza dengan keadaan sekarang. Pertandingan itu berakhir dengan beliau dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan undi majority yang besar dengan sokongan kebanyakannya datang dari luar negeri Johor. 

Selepas menang, beliau terus bergegas ke Sri Perdana untuk bertemu Tun Hussein sebagai Presiden Parti. Malangnya Presiden parti tidak membenarkan beliau masuk kerana calon favoritnya ditewaskan teruk. Mengikut cerita Dato’ Wahab Majid, beliau akhirnya dibenarkan masuk atas pujukan Tun Suhaila.

Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin kemesraan di antara mereka terjalin semula. Maka terkeluarlah cerita yang ada orang telah memfitnah kononnya Albar bertanding untuk menjatuhkan Presiden. Itu sebenarnya tersasar dari kebenaran. 

Mengikut cerita Allahyarham, beliau menjelaskan kepada Tun Hussein bahawa beliau tiada niat langsung untuk menjatuhkan Tun Hussein dan jawatan Ketua Pemuda hanyalah jambatan untuk mengukuhkan UMNO yang mula menampakkan keretakan dan perpecahan disebabkan krisis Dato’ Harun dan pemergian Tun Abdul Razak. Tun Hussein berpuas hati dengan penjelasan ini.

Walaubagaimanapun, akhirnya Tun Hussein berundur kerana tekanan politik dari dalam dan juga faktor kesihatan. Anehnya, orang yang melawan Tun Hussein pada tahun 1979 adalah Sulaiman Palestin. Itulah merbahayanya fitnah lebih-lebih lagi dari dari orang yang dekat dengan Perdana Menteri. Orang lain yang teraniaya. Saya faham dan merasai ini kerana saya melalui proses yang sama sehingga kini.

Mengikut apa yang diceritakan oleh rakan-rakan seperjuangan beliau dalam UMNO, Albar memberi dan meniupkan semangat dan roh baru kepada perjuangan Pemuda UMNO yang mula malap semenjak krisis Dato’ Harun.

Albar tidak pernah berhasrat untuk melahirkan ’parti dalam parti’ tetapi sebaliknya mahu pemuda UMNO menjadi kumpulan yang beliau gelar ’ginger group’ bagi mengukuhkan perjuangan UMNO secara keseluruhan.

Memanglah kami sekeluarga berasa amat bangga di atas kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda pada masa umurnya menjangkau 62 tahun. Kalau ikut kemahuan kami ahli keluarga, kami mahu beliau bersara kerana berpendapat sudah cukup beliau berkhidmat dan berkorban untuk UMNO dan negara dari muda. Tetapi bersara dari perjuangan bukan sifat Albar. Hidup beliau penuh dengan perjuangan dan tiada persaraan dalam perjuangannya. 

Namun Allah swt lebih menyayangi Albar. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di hospital Muar dan bonda saya ada bersamanya. Walaupun MB pada masa itu Othman Saat minta ayahanda kami disemadikan di Muar, keluarga memutuskan agar jenazahnya di bawa pulang ke KL. Malam itu juga jenazahnya tiba di Rumah pada pukul 4 pagi di No 6 Jalan Stonor, Kuala Lumpur. 

Dari waktu itu mulalah ramai pengunjung datang menziarah ke kediaman kami. Ada yang terperanjat dan ada yang sedih. Kami menerima ucapan takziah dari ribuan manusia sehingga persekitaran rumah sesak dengan pengunjung-pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, rakyat mahupun ahli politik dari pelbagai kaum. Antara kenamaan yang hadir ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Syed Nasir, Tun Sulaiman, Tun Aishah Ghani, Tunku Razaleigh, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Senu Abdul Rahman, Daim Zainuddin, Sulaiman Alias dan ramai lagi termasuk rakyat dari Kota Tinggi dan seluruh negara.

Suasana dan perasaan sedih menyelubungi persekitaran rumah dan hati kami sekeluarga. Ketika itu kami juga dimaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO telah mendapat persetujuan Dr. Mahathir (dikala itu Tun Hussein berada di luar negara dan Tun Mahathir adalah Timbalan Perdana Menteri) untuk menyemadikan ayahanda saya di perkarangan Makam Pahlawan, Masjid Negara. 

Beliau adalah orang yang pertama dikebumi di perkarangan Makam Pahlawan dan Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah memberitahu saya bahawa tempat persemadian itu adalah satu keputusan yang tepat.

Aturan pengkebumian telah dibuat oleh Tan Sri Mansoor Mohd Noor CPO Kuala Lumpur. Beliau mencadangkan supaya jenazah tidak dibawa dengan van jenazah, disebaliknya di usung berjalan kaki dari Jalan Stonor melalui bandar ke Jalan Imbi dan Jalan Pudu sehingga ke Masjid Negara. Agak jauh perjalanannya tetapi Tan Sri Mansor menganggap ia sesuai untuk seorang pemimpin dan pejuang. Oleh kerana ribuan orang turut serta, jenazah yang di usung berasa ringan. Tanpa di rasai tidak lama kemudian jenazah tiba di Masjid Negara. Di sini juga penuh sesak dengan manusia. Semua ahli keluarga turut bersama memberi penghormatan terakhir kepada seorang suami, bapa, datuk, pemimpin dan pejuang yang berkorban hingga ke akhir hayatnya. Hanya adik saya yang bongsu Syed Zaid tidak sempat menatap wajah beliau kerana masih dalam perjalanan pulang dari United Kingdom. Namun begitu, beliau sempat juga tiba di Pusara sebelum tanah menutupi jenazah ayahanda. 

Hari itu cukup sayu bagi seluruh keluarga. Lebih-lebih lagi bonda saya. Kasih sayang mereka bersama semasa susah dan senang sehinggalah ke hembusan nafas terakhir Allahyarham. 

Bagi saya, saya hilang seorang guru, penasihat dan penyokong yang kuat dalam perjalanan hidup. Beliau senantiasa mengambil berat tentang kesejahteraan keluarga dengan menziarah setiap rumah anak-anak kini tiada lagi. Beliau juga rajin makan bersama dan bercerita kisah-kisahnya, kini sudah meninggalkan kami. 

Semoga Allah letakkan rohnya bersama-sama para ambiya dan solehin.

Beliau banyak mencetuskan pendekatan dan idea baru dalam UMNO seperti dalam Pemuda beliau hendak menjadi jambatan yang menghubungkan Pemuda kepada badan induk UMNO, Pemuda UMNO bukan kumpulan penekan tetapi 'kumpulan halia' yang pedas namun mengeluarkan angin serta menyegarkan. 

Beliau pernah mengingatkan Dr Mahathir semasa krisis Institute Teknologi Malaysia (ITM kini dikenali sebagai UITM) dan dialog bersamanya sebagai Menteri Pelajaran dalam response kepada apa yang Dr Mahathir katakan bahawa sebagai doktor, kalau ada pesakit yang dirawati dan perlu dibelah untuk memulihkan pesakit itu jika tidak mujarab hanya pesakit itu sahaja yang akan mati tetapi sebagai Menteri Pelajaran jika dasarnya tidak tepat keseluruhan generasi akan datang akan musnah. Begitu juga semasa beliau buat ucapan di Parlimen menentang Akta Universiti dan Maktab kerana mengikutnya negara akan keluarkan pelajar robot yang tidak boleh berfikir bebas. 

Satu perkara yang penting dalam sejarah negara adalah sejarah penyingkiran Singapura dari Malaysia. Albar dengan lantang tidak bersetuju kerana berpendapat itu bukan cara menyelesaikan masalah dan perkara yang begitu penting serta perlu untuk menjamin kewibawaan dan keutuhan negara. Pendapatnya ia perlu di bincang dan persetujui oleh parti bukan dibuat oleh seseorang atau sekumpulan kecil orang disekeliling Perdana Menteri. Bila Rang Undang-Undang memisahkan Singapura dari Malaysia di bentangkan di Parlimen beliau diminta Tun Dr Ismail supaya tidak masuk ke dalam Dewan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan. Beliau patuh dan tidak masuk untuk berbahas dan juga mengundi. Begitulah kesetiaan beliau - tiada penghujung.

Pendek kata sumbangan amat banyak dan berharga pada negara tetapi ia tinggal sebagai kenangan. Pada hari ini tiada sebatang jalan pun yang mengambil sempena namanya walaupun pemimpin-pemimpin pembangkang lain termasuk nama-nama jalan yang mengambil nama jalan sempena nama mereka. Hanya di Kota Tinggi ada nama sebuah Sekolah Menengah di Sedili diberi nama beliau sebagai Ahli Parlimen di sana. 

Begitulah perjuangan. Inilah kenyataan.

No comments:

Post a Comment