Monday, June 16, 2014

Misi pengaman Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)


Malaysia dari segi sejarah dasar luarnya sentiasa mengambil bahagian dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak penglibatannya di Congo Africa pada tahun 1960. Banyak perkara yang mendorongnya untuk berbuat demikian diantaranya, adalah berteraskan kepada apa yang dianggap sebagai kepentingan Negara dari perspektif politik, ekonomi, keselamatan (strategik) dan sosio budaya. Justru itu dasar luar semestinyalah digubal bukan sahaja untuk mencapai matlamat simbolik sahaja, tetapi keputusan dan pelaksanaannya mestilah merangkumi kepentingan politik domestik, serantau dan antarabangsa. Mengikut Reynolds (1980:13) sesuatu dasar luar tidak memberi makna atau kesan melainkan bila ia berhubung-kait dengan keadaan atau perkara-perkara yang berlaku diluar kawasan atau wilayah Negara tersebut. (“Foreign policy would thus be a choice of action, or the range of actions, adopted in relation to situation or entities external to the actor.”)

Dasar luar Negara dibentuk dengan mengambil kira garis keutamaannya dan kemudiannya dikategorikan mengikut kepentingan “utama”, “seconder”, “sampingan” (jangka pendek) dan jangka panjang negara. Malahan apa juga keputusan yang diambil pasti akan diselaraskan dengan objektif yang hendak dicapai oleh negara dalam kontek yang berbeza-beza, samada kepentingan utama, menengah dan jangka panjang (Holsti-1992). Boleh dikatakan bahawa penglibatan Malaysia dengan misi pengaman PBB adalah didorong oleh objektif jangka panjang.

Selain daripada perkara-perkara tersebut ia akan diselaraskan dengan elemen strategik, taktikal dan keperluan semasa dalam memutuskan proses pembuatan dasar luar. Kesimpulannya, dasar luar dan penglibatan Malaysia dalam misi PBB lebih bersifat untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa dari segi keupayaannya, disamping menjamin keselamatan, kewibawaan wilayah dan melindungi kepentingan negara. Keputusan dasar luar akan mempamerkan penonjolan kuasa, kemampuan dan keupayaan negara dikalangan masyarakat antarabangsa.

Malaysia sebagai sebahagian dari masyarakat antarabangsa sentiasa mahu memenuhi tanggungjawabnya sepertimana terkandung dalam piagam Bangsa Bersatu. Penghantaran pasukan pengaman PBB adalah seiringan dengan dasar luar Malaysia dan piagam PBB. Tugas dan misi utama pasukan PBB adalah:


  • Mengawasi genjatan senjata dalam keadaan perang saudara dalam sesebuah negara
  • Membantu untuk memulihkan konflik politik
  • Membantu pihak berkuasa negara menubuhkan institusi pentadbiran; dan
  • Memantau persoalan hak asasi manusia atau pelanggaran terhadapnya

Persoalannya apakah manfaat yang diperolehi oleh Malaysia dengan penyertaannya? Secara ringkasnya, untuk mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa dan PBB. Manakala untuk Anggota Tentera Malaysia ia memberi pengalaman dan pendedahan kepada situasi konflik dan perang. Penglibatan negara dalam tujuh misi pengaman PBB diseluruh dunia sejak tahun 1960an telah memberi pengalaman dan pendedahan yang amat berharga. 

Dalam tempoh itu lebih daripada 20,000 anggota tentera telah mengambil bahagian dalam misi-misi PBB yang membawa kesan positif kepada anggota tentera serta negara. Misi-misi itu menguji kesiapsiagaan ATM dan membolehkan ATM menggunakan doktrin serta prosedur peperangan.

Antara misi yang telah disertai adalah Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo (UNOC) mulai Oktober 1960 hingga April 1963, Kumpulan Bantuan Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTAG) di Namibia (Februari 1989 - April 1990) dan Pihak Berkuasa Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC), Mac hingga November 1993. Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bosnia Herzegovina (UNPROFOR) (Disember 1993 - Julai 1998), dan Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan (Januari 2007 hingga 2010) serta Timor Leste sejak 1999 sehingga 2013.

Kementerian Luar Negeri Malaysia bertanggungjawab untuk menggubal dasar luar Malaysia dan melaksanakannya berasaskan kepentingan nasional yang digariskan oleh pemimpin kerajaan. Kementerian Luar Negeri Malaysia diketuai oleh Menteri yang mewakili kuasa eksekutif, manakala proses penggubalan adalah berasaskan kepada pandangan dan persepsi pemimpin negara. Pelaksanaan dasar pula akan dilakukan oleh penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha.

Kementerian Luar Negara Malaysia bertanggungjawab untuk menentukan Dasar Luar negara sentiasa bergerak dilandasan yang tepat selaras dengan kepentingan negara mengikut keputusan Kerajaan. Dalam urusan mencadang, melulus dan menghantar kontijen Malaysia menyertai misi PBB, Kementerian Luar Negara Malaysia mengunakan model Birokrasi politik, dimana pegawai-pegawai Kerajaan akan mengumpul maklumat dan memaklumkan kepada Menteri untuk membawa ke perhatian Perdana Menteri. Kementerian Luar Negara Malaysia juga mengamalkan proses kerja “two way” (top bottom / bottom up). Selain daripada Kementerian Luar Negara Malaysia, terdapat juga kementerian dan agensi lain yang terlibat dalam proses dasar dan penghantaran misi PBB ini, antaranya Kementerian Pertahanan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat YAB Perdana Menteri.

Penglibatan Malaysia dalam misi PBB adalah untuk memenuhi kepentingan nasional dan strategik negara. Kini Dasar Luar Malaysia berada di fasa 7 dibawah pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib dan Malaysia ingin memainkan peranan aktif di arena antarabangsa dan inisiatif - inisiatif antarabangsa seperti di PBB, Komenwel, APEC, WTO dan sebagainya.

Namun demikian, aspek - aspek teras Dasar Luar Negara tidak diabaikan, antaranya:

  • Kepentingan nasional
  • Keselamatan;
  • Ketahanan Negara (national resilience)
  • Kepentingan ekonomi Negara
  • Pengiktirafan antarabangsa
Mengambilkira 5 perkara diatas sebagai asas penggubalan Dasar Luar Negara Malaysia, maka penglibatan Malaysia dalam sesuatu misi PBB jelas mempunyai kepentingan nasional dan strategik. Pendekatan ini dalam pengertian umumnya bolehlah diklasifikasikan sebagai “modal kepentingan nasional dan strategik”.

Dalam konteks model ini, saya berpendapat bahawa pertimbangan yang lazimnya diambil oleh Ketua Negara atau Kerajaan dalam sebarang reaksi ke atas sesuatu fenomena akan merangkumi sejauhmana reaksi atau tindakan itu boleh membawa manfaat jangka panjang kepada Negara dari sudut politik, keselamatan, pembangunan ekonomi, keutuhan wilayah dan menjamin kedaulatan.

Penglibatan dan usaha Malaysia dalam misi pengaman PBB berasaskan “kaedah kepentingan nasional dan strategik” dapat mempamerkan kepada dunia luar akan keperihatinan negara berhubung isu-isu keamanan, keadilan dan keharmonian sejagat.

Kemampuan dan usaha Malaysia untuk menyertai misi PBB selain mengambil kira elemen kepentingan nasional juga didorong oleh kemahuan bagi mendapat pengiktirafan negara luar atas kemampuan negara menyumbangkan kepada pembentukan keamanan / keharmonian global. 

Misi PBB juga perlu dilihat dalam suasana kontemporari, tidak semata-mata berasaskan kebergantungan, malah ianya boleh berbentuk kesalingan (reciprocity).

Kerjasama sebegini jika dilihat melalui sudut liberalisma, adanya trend dikalangan negara bangsa, dewasa ini untuk memasukkan diri dalam kelompok yang berasaskan pertalian “heredirity” yang boleh mewujudkan gabungan.

Selain daripada itu, ada faktor lain dipanggil “push and pull factors” yang berteraskan kepada:

Sejarah dan politik negara:
Malaysia dijajah selama hampir 500 tahun. Dasar Luar Malaysia pasti melihat secara kritikal nasib negara sewaktu zaman penjajahan. Oleh kerana itu pengaruh sejarah negara yang mengandungi rakyat berbilang kaum mempengaruhi Dasar Luar Malaysia, dalam konteks inginkan keamanan dan menentang segala bentuk peperangan, penjajahan dan peralihan kuasa secara paksa.

Kedudukan geo-politik negara
Malaysia terletak di persimpangan jalan utama antara lautan pasifik dan India. Oleh kerana pengaruh barat dan timur amat ketara dirantau ini, maka Dasar Luar Malaysia dan tindakannya perlu mengambil kira landskap geo-politik dan strategik antarabangsa, “international political economic landscapes” terutamanya melibatkan penglibatan kuasa besar dan kepentingan Islam global.

Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa
Pendekatan ekonomi berasaskan kepada globalisasi dan perdagangan bebas berteraskan sistem kapitalis dan ekonomi pasaran. Ini memerlukan Dasar Luar Malaysia dan tindakan dibawahnya berbentuk konsisten dan pragmatis, justeru tidak menjejaskan peluang negara untuk meraih manfaat ekonomi.

Kedudukan Islam dalam Dasar Luar Malaysia 
Dari segi sejarahnya dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan serta penduduk majoritinya beragama Islam, maka sejak merdeka lagi Malaysia mempunyai dasar luar yang mendekati Negara-negara Islam. Pendekatan dasar sebegini dapat memberi kepentingan politik dan ekonomi kepada Malaysia. 

Faktor Islam dan Negara Islam telah diambil kira dalam memutuskan keterlibatannya dalam misi pengaman PBB. Malaysia menganggap keselamatan dan kerjasama Ummah adalah penting. Hubungan Malaysia dengan negara-negara Islam jelas dalam OIC, malahan Malaysia adalah salah saru negara pengasas pertubuhan OIC. Malaysia sering menggunakan pelbagai platform antarabangsa untuk mengenengahkan isu-isu yang mengancam kedudukan negara dan persepsi terhadap OIC, keselamatan Ummah dan krisis politik antarabangsa yang berlaku di negara-negara Islam. Pengiktirafan PBB terhadap pasukan keselamatan Malaysia sejak tahun 1960 membolehkannya memainkan peranan yang lebih aktif dalam mencorakkan kedamaian sejagat yang melibatkan umat Islam.

Selain daripada itu, untuk beberapa dekad ini, Malaysia memperjuangkan hak kedaulatan Palestin dan mengambil sikap anti zionism. Pada tahun 90an, Malaysia memainkan peranan penting dalam isu dan konflik di Bosnia dan Kosovo, di mana Malaysia bersama-sama negara-negara lain mengambil bahagian dalam misi pengaman PBB ditempat-tempat tersebut. Ini jelas mencerminkan bahawa Dasar Luar Malaysia sering diwarnai oleh kedudukan Islam serta aktifnya negara untuk menjaga keamanan sejagat dan menyeru kepada perpaduan Ummah.

Sesungguhnya PBB, bertanggungjawab kepada urus tadbir dunia sejagat (global governance) untuk mengawal dan menyelia keamanan dunia. Namun begitu kini timbul keraguan terhadap kemampuannya berbuat demikian. Semakin hari semakin dilihat hilang 'taring'nya dalam menangani isu-isu antarabangsa. Dewasa ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada kuasa-kuasa besar tertentu yang mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung (hidden agenda). Misi pengaman antarabangsa dikatakan pada hari ini telah hilang sifat “collective security”nya dan 'multilateralisme’nya. Ianya sering dilihat bertindak untuk memenuhi dan mempertahankan kepentingan nasional negara-negara ahli tetap Bangsa-bangsa Bersatu dan kuasa besar tertentu dan berkepentingan di PBB.

Malaysia sentiasa memperjuangkan agenda Palestine disemua platform antarabangsa dan telah mencadangkan agar misi pengaman PBB dihantar ke kawasan lembah tersebut untuk membantu memulihkan konflik politik serta memantau persoalan berkaitan hak asasi manusia atau pelanggaran terhadapnya. Namun demikian, keputusan untuk menghantar misi pengaman hanya boleh dilakukan melalui Majlis Keselamatan PBB dan tiada pihak lain yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tersebut.

Kejayaan peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian penglibatan dalam menyelesaikan konflik serantau dan antarabangsa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat mengambil berat terhadap konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah membuktikan bahawa strategi pengurusan konflik secara permuafakatan, pengelakan dan penyesuaian serta persaingan yang baik telah berjaya menghapuskan ancaman pengganas komunis yang menjejaskan keamanan dan kestabilan negara. 

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara jiran dengan menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan konflik serantau. Selepas beberapa tahun, pendekatan diplomasi Malaysia ini telah berjaya menyumbangkan untuk menghasilkan negara dan rantau yang aman dan stabil. 

Malaysia telah memainkan peranan utama dalam usaha menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina serta mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa dan PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina pada 27 Mac 2014. 

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' kaedah diplomasinya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohingya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia telah menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin. Adalah dialukan kini sebuah kerajaan perpaduan merangkumi Fatah dan Hamas ditubuhkan di Palestin. Ini merupakan permulaan kepada satu episod baru dalam politik dan ekonomi antarabangsa di era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status 'negara kuasa pertengahan' (middle power state). Cabaran yang bakal dihadapinya semakin mencabar dan berliku terutamanya apabila landskap geopolitik antarabangsa begitu ”fragile” kini. Penerimaan sebuah negara segabai 'Negara kuasa pertengahan' mengikut konsep yang digunapakai oleh penulis dan cendiakawan adalah berkait dengan hubungan antarabangsa dan masyarakat sesebuah negara yang tidak 'besar' dan tidak juga 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan idea dan terlibat aktif dalam sistem pelbagai hala (multilateral) serta memberi impak dalam hubungan dan politik antarabangsa. 

Malaysia sentiasa berusaha mencari penyelesaian aman dan berterusan bagi konflik-konflik rantau ataupun antarabangsa melalui prinsip kesederhanaan dan keseimbangan. Saya juga berpendapat bahawa Malaysia atau dasar luar berhubung dengan misi PBB perlu:
  1. mengenengahkan agenda wasatiyyah atau “moderation”
  2. menggalakkan pendekatan pengantaraan serta berkongsi pengalaman dan kepakaran sebagai pengantara dalam usaha mencari penyelesaian yang aman dan berterusan terhadap konflik-konflik serantau dan antarabangsa;
  3. mengukuhkan lagi operasi dan pelaksanaan misi pengaman di serata dunia. Malaysia turut juga dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran sepanjang penglibatannya di misi pengaman PBB sejak tahun 1960; dan terus berusaha untuk menyokong usaha damai dan pembangunan negara yang baru pulih dari konflik
Apa juga yang dilakukan oleh Malaysia dalam misi-misi PBB sudah memberi pengiktirafan dan kredibiliti kepada keupayaan dan kemampuan Negara dan pasukan, ATM dan PDRM.

6 comments:

  1. Now i do understand..

    ReplyDelete
  2. terima kasih. maklumat ini membantu dalam penulisan karangan pengajian am

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga berjaya dengan cemerlang dalam pembelajaran...

      Delete
  3. I have a debate on this topic. saya sebagai pihak kerajaan. and i want to ask you, what is the best answer untuk menjawab andai pihak lawan tanya : "kalau benar pbb masih relevan, kenapa isu israel palestine masih tak dapat diselesaikan?" hope you can reply me!

    ReplyDelete