Sunday, April 26, 2015

Berdiam


Apakah lebih baik berdiam diri melihat segala kesilapan yang berlaku atau menegur untuk membawa kebaikan? Kalau mengikut ajaran agama, sekiranya kamu melihat sesuatu kemungkaran hendaklah menyekatnya dengan menggunakan tangan (jika kita ada kekuatan atau kuasa), jika tidak berhasil gunakan mulut (memberi nasihat atau cadangan), dan kalau tidak berhasil juga maka gunakan hati atau berdoa kerana itu adalah selemah-lemah iman. Mengikut surah Al Asr' maksudnya, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar". Berpesan pesan dengan kebenaran bermakna kita di tuntut untuk memberitahu terhadap perkara perkara yang benar. 

Oleh sebab itu saya cuba memandu kehidupan seharian dengan bercakap dan menulis untuk memberi sedikit sumbangan atau nasihat kepada umat dan negara supaya dapat bersama menjamin masa depan yang lebih baik dan cemerlang. Malang nya pada masa in ramai yang terpesona kepada fitnah dan mendengar perkara perkara yang tidak benar. Ada juga golongan bila membaca mereka mencari jalan singkat dengan melihat pada tajuk ataupun membuat rumusaan berasaskan pada apa orang lain ceritakan. Lantaran mempercayainya walhal ianya bukan datang dari sumber asal. Lebih parah lagi bila  rumusan di buat tanpa maklumat tepat dan benar terhadap orang lain. 

Pendekatan sebegitu amat merbahaya, lebih lebih lagi jika ia di lakukan samaada oleh pemimpin ataupun rakyat biasa. Pasti sekali ianya tidak akan mengeluarkan pihak yang memerlukan dari kegelapan kepada cahaya untuk menyelesaikan kebuntuan nya. Ada pula golongan yang suka menceritakan pada pihak yang bergantung pada nya seolah tiada masalah dan semua berjalan lancar dan baik, sedangkan keadaan sebenar adalah tidak begitu. Mereka yang terpedaya dengan maklumat tidak benar akan berasa tenang dan selesa. Golongan ini akan menyekat sesiapa juga yang hendak menyampaikan perkara benar kerana takut rahsia mereka akan terbongkar. Lantas akan memberitahu pihak lain supaya mengelakkan dari bercerita benar di atas alasan tidak mahu pemimpin tersinggung. Berlarutan lah tipu helah. Justru pendekatan bercerita atau menasihati perkara perkara benar menjadi tidak popular. Mereka yang konon nya jadi pelindung mengatakan jangan menimbulkan masalah dan membangkitkan kemarahan. Jelas sekali bila keadaan sedemikian berterusan maka ia boleh tiba ke tahap di mana pemimpin akan terus terpedaya dan pastinya tidak dapat bertindak tepat walaupun dia seorang yang cerdik dan pintar.

Akhirnya kerana hendak dapat manfaat mereka juga memilih jalan selamat dan menyembunyi kebenaran dari pengetahuan pemimpin. Inilah punca pemimpin tidak dapat merasai dan memahami perasaan dan sensitiviti sebenar rakyat di peringkat akar umbi dan oleh itu tidak mampu memberi jawapan kepada keresahan dan persoalan-persoalan yang ditimbulkan rakyat. Di persekitaran beginilah akan timbul golongan yang pandai mengampu dan menganggap dengan cara ini sajalah mereka akan selamat dan dapat mengukuhkan kerjaya, kedudukan dan status dan sekaligus dapat menguatkan diri mereka. 

Orang yang suka bercakap benar akan berasa disisihkan, ataupun dianggap penentang. Oleh yang demikian pandangan bernas mereka sering tidak diambil peduli dan di ketepikan. Maka kerana mengharapkan habuan dan selamat lahirlah sindrom bisu dan hanya membiarkan sahaja apa jua perkara yang berlaku di depan mata termasuk perkara yang negatif. Akhirnya fenomena membiarkan, “si luncai terjun dengan labu-labunya”, akan menjadi prinsip yang di anuti dari berkata benar. Mereka akan berpuas hati dengan berkata biarlah masa menentukan segala-galanya dan tindakan untuk membenterasnya pada masa yang tepat akan ditolak tepi dengan sewenangnya.

Justru untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat, kepimpinan mesti bersikap positif serta mengilap sikap suka mendengar untuk manfaatkan maklumat yang datang dari bermacam-macam sumber  sebelum membuat apa-apa keputusan dan tidak hanya bergantung kepada penasihat di sekeliling sahaja.

Landskap ekonomi, politik, keselamatan dan sosio-budaya dunia dan domestik kini ternyata sudah berubah berpunca daripada arus globalisasi dan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat. Pada hari ini mudah untuk menguasai maklumat dengan hanya menggunakan satu gadget di tapak tangan.  Sebab itu ada yang mengatakan kita kini tidak hidup di alam bulat tapi alam leper. Dalam erti kata lain pergerakan dan penguasaan maklumat boleh diperolehi dengan pantas dan tidak mungkin dapat di sekat lagi. Siapa yang menguasai maklumat menguasai kuasa sebenar. Begitu juga dengan kemunculan tamadun baru yang ada positif dan negatifnya, undang-undang dan akhlak atau moral ada masanya akan menjadi songsang di atas alasan kebebasan. 

Polar kuasa-kuasa utama dunia pun telah melalui proses perubahan dengan kehadiran kuasa-kuasa ekonomi dan ketenteraan baru. Justru tuntutan rakyat dan masyarakat antarabangsa juga pada waktu ini turut berubah. Mana boleh paradigma pemikiran dan pendekatan domestik  di berbagai dimensi tidak bergerak mengikut tuntutan masa. Ketara sekali kita berdepan dengan cabaran cabaran yang sebelum nya kita pandang sepi. Hari ini soal urus tadbir baik dan kebertanggungjawaban menjadi permintaan utama dalam kemahuan rakyat untuk melihat wujudnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pemerintahan sebuah negara yang demokratik. Lantas polar permainan politik juga ikut berubah kerana rakyat menuntut supaya ahli-ahli politik bersih, jujur dan tidak rasuah. Ini bermakna kaedah berpolitik juga perlu berubah sejajar dengan perubahan landskap ekonomi, politik, keselamatan dan sosio budaya  dunia. Berdiam dan menafikan sesuatu yang mudah di putar belitkan tanpa jawapan di peringkat  domestik atau antarabangsa tidak lagi menjadi pilihan. 

Bagi menjamin kuasa dan kelangsungan pasukan pemimpin politik dan koporat juga perlu berubah dan memahami persekitaran masa kini. Mereka yang mengelilingi tokoh penting adalah sama bertanggugjawab mengukuhkan pemimpin mereka. Semoga generasi akan datang tidak menyalahkan generasi kini kerana mereka bersikap diam dan hanya melihat. Kesetiaan yang sebenar hanya pada Allah, Rasul dan akhirnya ulil amri. Ini di tuntut oleh agama dan terkandung dalam Quran sebagai pengajaran kepada orang-orang yang beriman. Kesetiaan pada Allah swt dan Rasulnya adalah bersifat mutlak tetapi kesetiaan kepada ulil amri bergantung kepada amal maarof dan nahi mungkar.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete