Friday, November 20, 2009

PULAU BATU PUTIH, BATUAN TENGAH (MIDDLE ROCK) DAN TUBIR SELATAN (SOUTH LEDGE) OLEH TAN SRI SYED HAMID BIN SYED JAAFAR ALBAR


Pada 21 Ogos 2009 saya telah ditemubual oleh seorang pelajar Hamzah Ishak dari Universiti Malaya berkenaan kes pertikaian ‘Pedra Blanca’ (Pulau Batu Putih), ‘Middle Rock’ (Batuan Tengah) dan ‘South Ledge’ (Tubir Selatan) diantara Malaysia dan Singapura. Penulisan ini adalah urutan dari temubual tersebut.

Hubungan Malaysia/Singapura sering dipengaruhi oleh isu-isu lama yang masih tertunggak diantara kedua-dua negara. Salah satu pertikaian lama diantara Malaysia dan Singapura adalah mengenai kes tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih/Batuan Tengah/Tubir Selatan. Malaysia menganggap bahawa tempat tersebut tidak seharusnya dipertikaikan oleh Singapura berasaskan fakta sejarah dan kedudukan geografinya. Jelas yang ketiga-tiga ‘feature’ tersebut adalah dibawah hak kedaulatan Malaysia. Disebaliknya Singapura pula terus mengatakan pada peringkat awal yang Pulau Batu Puteh adalah sebuah pulau kosong yang diduduki oleh penjajah Inggeris. Sekaligus dengan penguasaan dan pengurusannya tanpa gangguan oleh Malaysia maka ia menjadi wilayah dibawah penjajah Inggeris. Singapura mendapat hak itu sebagai pewarisnya. Sedangkan tuntutan keatas Batuan Tengah dan Tubir Selatan kemudian dimasukkan dalam tuntutan diatas alasan ia adalah sebahagian dari Pulau Batu Puteh.

Diantara negara-negara ASEAN banyak isu-isu tuntutan bertindih yang belum diselesaikan lagi. Oleh itu ia boleh mencetuskan kemungkinan pertembungan terbuka di kalangan negara-negara ASEAN, jika isu-isu tuntutan bertindih ataupun sempadan darat dan maritim tidak diuruskan secara bijaksana melalui rundingan. Pendekatan yang diambil Malaysia dari perspektif dasar luar, adalah menyelesaikan apa jua masalah melalui saluran diplomasi. Pendekatan ini bertujuan bagi mengelakkan ianya merebak kepada konflik terbuka. Salah satu mekanisma utama diplomasi yang digunapakai adalah ‘rundingan’ diantara negara-negara terlibat. Tujuan ini adalah supaya persoalan tuntutan hak kedaulatan wilayah tidak mengheret negara-negara yang bertelingkah ke kancah peperangan. Sebagaimana terbukti dalam sejarah, peperangan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada mana-mana pihak pun.

Memanglah hubungan dua hala Malaysia/Singapura berdepan dengan perselisihan kerana ia negara jiran terdekat yang berkongsi sejarah dan penjajah. Lokasi geografi dan sejarah kedua-dua negara juga memainkan peranan dan menyumbangkan kepada keadaan itu tidak dapat dielakkan dan berlaku. Pada pendapat saya hubungan Singapura/Malaysia banyak dipengaruhi oleh kerana penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 serta melibatkan juga watak-watak pemimpin. Boleh dikatakan sejak dari penyingkiran itu Singapura senantiasa mahu membuktikan yang ia boleh ‘survive’ tanpa Malaysia. Justru sikap dan cara Singapura bertindak dan menguruskan hubungannya dengan Malaysia diselubungi oleh latarbelakangnya. Bila menganalisa isu hubungan Malaysia/Singapura, tidak dapat dinafikan ia saling bertaut dengan sejarah, hubungan kerajaan dengan kerajaan, dan rakyat dengan rakyat. Memang tidak dapat dielakkan dari masa ke semasa ia berdepan dengan pasang surut serta turun naik yang tidak menentu dan adakalanya membimbangkan. Adalah penting dalam soal ini untuk mendekati watak pemimpin-pemimpin dari kedua-dua negara, dari Singapura seperti Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong dan termasuk Menteri-menteri Luarnya. Begitu juga dipihak Malaysia untuk mengenali peranan pemimpin lama dan baru Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah termasuk Menteri-menteri luarnya.

Berlatarbelakangkan pengalaman dan sejarah, masalah utama yang perlu dihadapi adalah bagaimana sepatutnya Malaysia menguruskan hubungan dalam pelbagai perkara dengan Singapura, lebih-lebih lagi setelah perpisahannya. Selain dari apa yang dipersetujui sebagai sempadan melalui perjanjian dan undang-undang laut antarabangsa, ada kedudukan sempadan maritim yang masih tidak jelas. Perkara-perkara sebeginilah yang boleh melahirkan salah faham dan persengketaan dalam penafsiran diantara kedua-dua negara.

Bagi tujuan tuntutan Pulau Batu Puteh/Batuan Tengah/Tubir Selatan penting sekali untuk difahami yang di bawah undang-undang antarabangsa sesebuah negara boleh kehilangan wilayah yang dimilikinya, sekiranya negara tersebut tidak mengambil langkah memelihara ataupun mengabaikan wilayahnya dengan membiarkan negara lain mentadbir atau menguruskannya tanpa apa-apa perjanjian. Apatah lagi jika ada tanda-tanda negara tersebut membiarkan negara lain menguasai dan mendudukinya. Persoalan inilah yang menjadi tajuk pokok dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh. Saya hanya menyebut soal Pulau Batu Puteh kerana kedua-dua ‘feature’ lain Batuan Tengah dan Tubir Selatan hanya ditimbulkan Singapura kemudian, sebagai tindakbalasnya kepada tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh.

Asas tuntutan Singapura secara ringkasnya boleh dirumuskan seperti berikut :
1. Pulau Batu Puteh adalah milik British dan sebagai pewaris ia berhak untuk mewarisinya.
2. Pulau tersebut adalah satu kawasan ‘terra nullius’ atau tempat kosong. Oleh kerana Singapura telah mendudukinya dan melaksanakan kedaulatannya (a titre de souverain) tanpa gangguan oleh mana-mana pihak maka ia adalah hak Singapura.
3. Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah sebahagian dari ‘features’ Pulau Batu Puteh. Oleh hal yang demikian apa jua keputusan mengenai Pulau Batu Puteh sepatutnya dikaitkan sekali dengan Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Disebaliknya asas tuntutan Malaysia adalah seperti berikut :
1. Pulau Batu Puteh/ Batuan Tengah / Tubir Selatan adalah hak Malaysia dari segi sejarah, sekaligus undang-undang.
2. Malaysia tidak pernah menyerahkan kedaulatannya kepada pihak British untuk memberikan Singapura berhak menjadi pewaris keatasnya. Kebenaran yang diberikan adalah hanya untuk mengurus dan mentadbir ‘Rumah Api’.
3. Adalah salah hujah Singapura yang Pulau Batu Puteh/Batuan Tengah/Tubir Selatan adalah kawasan kosong. Ia adalah sebahagian dari wilayah Kesultanan Johor dan sekaligus Malaysia.
4. Keputusan keatas kawasan tersebut tidak seharusnya dibuat secara bersama, iaitu jika Pulau Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sekaligus milik Singapura. Disebaliknya mahkamah patut memutuskannya secara berasingan dan bersendirian.

Kalau ditinjau dari perspektif sejarah geografi atau garis sempadan maritim, boleh ditegaskan dibawah undang-undang Pulau Batu Putih sememangnya adalah hak milik serta dalam wilayah Malaysia. Pendirian ini memang telah menjadi pegangan Malaysia selamanya. Pada tahun 1979 apabila Malaysia muktamadkan persempadanannya, Pulau Batu Putih semestinya dimasukan sebagai Wilayahnya. Walaubagaimanapun peta tersebut telah dibantah Singapura melalui ‘Nota Bantahan’ bertarikh 14 Februari 1980. Dari tarikh tersebut itulah pertikaian serta rundingan berkenaannya bermula secara berterusan sehinggalah kes ini dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk diputuskan.

Pegangan serta pendirian Malaysia yang Pulau Batu Puteh adalah sebahagian dari wilayah Malaysia dari perspektif sejarah serta undang-undang diakui oleh ICJ dalam penghakimannya. Diantara lain ICJ menyatakan “The court thus concludes that the Sultanate of Johor had original title to Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh”- Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008.

Penghakiman yang dibuat ICJ keatas Pulau Batu Putih yang dikatakan dalam milik kedaulatan Singapura, bukanlah berlandaskan perspektif sejarah tetapi aspek undang-undang antarabangsa. Apakah asas keputusan tuntutan?. Diantara lain ICJ menyatakan ia mengakui dari aspek sejarah Pulau Batu Putih adalah milik Malaysia dibawah penguasaan Kesultanan Johor. Malaysia gagal mempertahankan milik dan kedaulatan keatas tempat tersebut disebabkan antara lain; (i) surat 1953 yang dihantar oleh Penolong Setiausaha Kerajaan negeri Johor berbunyi “…the court expresses the view that the Johor reply is clear in its meaning: Johor does not claim ownership over Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh. That response to the island as a whole and not simply to the lighthouse……it becomes evident that the letter addresses the issue of sovereignty over the island. The Court accordingly concludes that Johor’s reply shows that as of 1953 Johor understood that it did not have sovereignty over Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh.”- Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008 dan
(ii) kerana Malaysia telah kelihatan membiarkan Singapura membina, mengurus dan mentadbir berserta mengadakan kemudahan di Pulau Batu Putih tanpa menunjukkan bantahannya terhadap apa-apa yang dibuat oleh Singapura dalam menguruskan Rumah Api yang dinamakan “Rumah Api Horsburg”.

Di dalam penghakiman ICJ, Singapura telah menzahirkan kedaulatan (a titre de souverain) keatas Pulau Batu Puteh. “Singapore claims that “the selection of Pedra Blanca as the site for building of the lighthouse with the authorization of the British Crown”, a process which started in 1847, “constituted a classic taking of possession a titre de souverain”…”- Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2009.

Singapura juga menegaskan bahawa Pulau Batu Puteh adalah sebuah kawasan kosong yang tidak dituntut kedaulatannya oleh mana-mana pihak (terra nullius). “……. no reference is made expressly to the status of Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh as terra nullius, the Court observes that in its Reply Singapore expressly indicated that “[i]t is obvious that the status of Pedra Blanca in 1847 was that terra nullius”. –Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2009. ICJ bersetuju dengan hujah Malaysia dan menolak penghujahan Singapura yang Pulau tersebut adalah satu kawasan kosong. Bahkan menerima hujah Malaysia yang telah mengesahkan ia bukan Pulau kosong tetapi ianya dalam penguasaan kedaulatan Malaysia sehingga tahun 1953.

Yang menjadi permasalahan Malaysia apabila kes ini dirujuk ke ICJ adalah kerana Malaysia telah dikatakan mengabaikan Pulau Batu Putih. Bila ia membenarkan pihak British membangunkan dan menguruskan Rumah Api Horsburg di pulau tersebut pada kurun ke 19 tidak ada sebarang perjanjian yang mencatatkan statusnya, termasuklah tidak ada bukti yang kukuh dan ketara kebenaran diberikan hanya untuk kegunaan ‘Rumah Api’ sahaja. Lantas terus menguasai tempat tersebut sebagai hak dan wilayahnya. Berbeza dengan Pulau Pisang, dimana ada perjanjian pajakan untuk memberi kebenaran kepada Singapura menguruskan Rumah Api.

Oleh yang demikian apabila perkara itu menjadi pertikaian Malaysia mempunyai dua alternatif iaitu pertamanya samada menggunakan pendekatan rundingan secara langsung yang telah mengambil masa bertahun-tahun lamanya tanpa apa-apa keberhasilan yang bermakna. Keduanya setelah gagal melalui perundingan, maka pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk persoalan tuntutan bertindih ke ICJ untuk diputuskan secara muktamad.

Kaedah ‘rundingan’ selalu digunakan oleh Malaysia sebagai mekanisma diplomasi termasuklah dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, dan Brunei untuk isu-isu bertindih dengan negara lain. Adakalanya pendekatan kerjasama ekonomi tanpa menyentuh soal hak dan kedaulatan juga digunapakai.

Bahkan Malaysia berhadapan beberapa pertikaian yang menunggu kepada penyelesaian dengan Singapura. Contohnya isu tertunggak semenjak 1988 merangkumi soal harga air, gas, perkhidmatan feri dan jambatan baru. Pada tahun 1990 di bawah ‘Points of Agreement’ beberapa isu tanah Keretapi Tanah Melayu yang telah dirumuskan, ‘CIQ’, dan ‘Central Provident Funds’ (CPF) juga mencetus konflik dan ketegangan diantara kedua-dua negara.

Semasa krisis kewangan 1997, Singapura melihat kepada peluang yang bermanfaat untuknya. Oleh itu ia bersetuju untuk membantu Malaysia, jika ia dikaitkan dengan isu bekalan air jangka panjang ke Republik tersebut. Singapura mencadangkan supaya bekalan air diberikan tanpa had masa. Malaysia menolak syor Singapura. Sebagai syor balas Malaysia bersetuju untuk menjual air kepada Singapura selama seratus tahun tertakluk kepada harga. Pendirian dan pendekatan Singapura dalam menguruskan isu-isu Singapura/Malaysia mempamerkan sikapnya malahan ia tidak berjaya menyelesaikan masalah-masalah utama sejak dari era Tun Dr Mahathir sehinggalah sekarang.

Dalam kes Pulau Batu Puteh setelah gagal mencari penyelesaian yang memuaskan Tun Dr. Mahathir telah bersetuju untuk merujuknya ke ICJ. Walaupun keputusan tersebut adalah sesuatu yang tidak menyenangkan Malaysia. Semasa rundingan pertikaian hanya melibatkan Pulau Batu Puteh, tetapi pada tahun 1993 Singapura mahukan Batuan Tengah dan Tubir Selatan dimasukkan sekali kolumnya adalah kedua tempat tersebut sebahagian dari Pulau Batu Puteh perlu diputuskan secara bersama. Tidak syak lagi yang Batuan Tengah dan Tubir Selatan dimasukkan kerana Malaysia menuntut Pulau Batu Puteh. Lantas tindakbalas Singapura adalah melebarkan tuntutannya kepada Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Singapura menegaskan oleh kerana Pulau Batu Puteh adalah wilayahnya, maka Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah sebahagian darinya. “….Thus, according to Singapore, whoever owns Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh owns Middle Rocks and South Ledge, which, it claims, are dependencies of the island of Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh and form with the latter a single group of maritime features.”- Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2009.

Pendirian Malaysia adalah soal Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak pernah dibawa atau dipertikaikan oleh Singapura sebagai satu kumpulan Pulau dengan Pulau Batu Puteh. Perkara ini pun hanya ditimbulkan Singapura pada tahun 1993. ICJ menerima hujah Malaysia bahawa status Batuan Tengah adalah kekal dengan Malaysia. “The Court therefore finds that original title to Middle Rock should remain with Malaysia as the successor to the Sultan of Johor.”- Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2009. Begitu juga dengan status sah Tubir Selatan, ICJ mendapati ianya sebagai satu tempat yang timbul semasa air surut, maka tubir itu dimiliki oleh negara dimana ia berada semasa air surut. “….the Court concludes that sovereignty over South Ledge, as a low-tide elevation, belongs to the State in the territorial waters of which it is located” - Rujuk kepada penghakiman ICJ pada 23 Mei 2009. Oleh yang demikian Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah dalam hak kedaulatan Malaysia.

Ramai yang bertanya mengapa perlu persoalan Batu Puteh/Batuan Tengah/Tubir Selatan perlu dirujuk kepada ICJ. Pendapat ini juga menyarankan biarkan sahaja keadaan “status quonya” tidak diganggu. Jawapan ringkasnya bagi persoalan-persoalan tersebut adalah jika ia dibiarkan seperti sediakala, Malaysia tidak dapat mendekati kawasan disitu atau menghampiri perairan tersebut, kerana ia akan dihalang oleh Singapura. Dengan keputusan kes ini, walaupun Malaysia tidak berpuas hati dengannya, namun kawasan perairan itu kini boleh diawasi oleh Malaysia. Ini bermakna perairan dipersekitaran itu tidak lagi menjadi hak eksklusifnya tetapi terpaksa berkongsi bersama Malaysia mengikut apa yang ditentukan oleh undang-undang laut antarabangsa. Saya dapati pasukan Malaysia dan peguam-peguamnya telah melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dan cemerlang.

Tindakan Singapura memasukkan Batuan Tengah dan Tubir Selatan memeranjatkan Malaysia kerana sebelum ini kedudukan kedua-dua “feature” itu tidak langsung berbangkit.

Adalah lumrah di setiap rundingan kita akan berhadapan dengan perbezaan. Apa yang jelas adalah Singapura sering tidak fleksible bagi mencapai kompromi. Justru perunding-perunding Malaysia menganggap memang sudah tabiat Singapura tidak mahu membuat pendekatan seimbang menangani sesuatu masalah dan persoalan. Mereka hanya melihat dari sudut mereka sahaja. Sebab itu untuk mencapai apa-apa penyelesaian dengan Singapura memang sukar, melainkan ia menguntungkan Singapura.

Semasa penyediaan terma rujukan untuk kes itu dibawa ke ICJ dan dibincangkan dalam Kabinet, saya menyuarakan pendapat bahawa tidak wajar Malaysia bersetuju dengan Singapura memasukkan Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam kes Pulau Batu Puteh disaat akhir rundingan. Pada saya, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak seharusnya dipertikaikan kedudukannya.

Singapura juga hendak terma rujukan mesti mengatakan apa-apa jua keputusan keatas Pulau Batu Puteh merangkumi Batuan Tengah dan Tubir Selatan, sekaligus menjadi hak kedaulatannya. Malaysia hanya bersetuju jika terma rujukan menyebut satu persatu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan sebagai perkara-perkara yang berasingan. ‘Draft’ awal Singapura adalah (“if the court decides Pedra Blanca belongs to Singapore, then Middle Rock and South Ledge should also belong to her”). Malaysia membantah dan buat pindaan keatas berasaskan tiap satu disebutkan bersendirian. Saya masih ingat semasa mesyuarat Kabinet Malaysia hanya boleh bersetuju jika setiap tuntutan disebut secara berasingan. Singapura akhirnya bersetuju dengan Malaysia terhadap terma rujukan kepada ICJ berkenaan perkara ini. Pada tahun 1994 beberapa perjanjian telah ditandatangani diantara Malaysia/Singapura.

Urutan dari merujuk pertikaian kedaulatan keatas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bermula dengan pemberitahuan kepada ICJ mengenai Perjanjian Khas (Special Agreement) diantara kedua-dua negara pada 6 Februari 2003 di Putrajaya yang berkuatkuasa pada 9 Mei 2003 (melalui surat bersama kepada Mahkamah pada 24 Julai 2003). Dengan itu juga bermakna kedua-dua negara bersetuju menerima Penghakiman ICJ sebagai mengikat dan muktamad.

Tarikh pertikaian mula tercetus secara terbuka pada 14 Februari 1980 apabila Malaysia menerbitkan peta-peta Malaysia 1979. Di dalam peta tersebut Malaysia memasukkan Pulau Batu Puteh sebagai wilayahnya termasuk sekali kawasan perairannya. Singapura pula memasukkan tuntutan terhadap Batuan Tengah dan Tubir Selatan hanya pada 6 Februari 1993 semasa rundingan dua hala kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia menerbitkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Puteh sebahagian dari wilayahnya.

Saya hairan dengan sikap dan tindakan Singapura sehinggakan tidak langsung mahu menggunakan nama pulau tersebut dalam Bahasa Melayu. Walaupun menggunakan perkataan ‘Pedra Blanca’ memberikan maksud yang sama dalam Bahasa Melayu. Kononnya ini adalah satu bukti yang kawasan itu adalah kawasan kosong dan tidak dimiliki oleh sesiapa sebelum British mendudukinya dan membina Rumah Api. Mereka juga mahu tentukan tidak dikaitkan Pulau itu sebagai milik Johor atau Malaysia. Sikap dan pendirian Singapura dianggap tidak munasabah oleh Malaysia. Setelah Malaysia terus bertegas kedua-dua nama digunakan, iaitu ‘Pedra Blanca/Pulau Batu Puteh”.

Saya melihat bahawa kes ini dari segi sejarah dan undang-undang memang kuat memihak kepada Malaysia. Kelemahan yang ketara adalah dari segi teknikal iaitu tidak ada surat-menyurat atau dokumen yang menunjukkan yang Malaysia hanya memberikan kebenaran kepada Singapura untuk membina ‘Rumah Api’ sedangkan kedaulatan tetap dengan Malaysia. Malaysia juga dikatakan tidak menunjukkan ia mengawasi kawasan Pulau Batu Puteh secara berterusan sebagai kawasan wilayah Malaysia.

Surat yang bertanyakan kepada Malaysia tentang kedudukan Pulau Batu Puteh tidak ditemui walaupun jawapannya pada tahun 1953 menjelaskan yang Malaysia tidak berkepentingan dalam Pulau Batu Puteh. Sebab itulah kes Malaysia menuntut Pulau Batu Puteh menjadi lebih kompleks dan rumit. “The 1953 letter did a lot of harm to the Malaysian case. The principle of ‘titre de sovereign’ seems to be applied by the ICJ.” Tuntutan keatas wilayah Pulau Batu Puteh dan memberikan sovereignty (hak kedaulatan) sudah tentu akan ada impak terhadap persoalan persempadanan.

Negara-negara ASEAN sedia maklum sekiranya setiap pertikaian dirujuk ke ICJ dan diputuskan mengikut undang-undang laut antarabangsa ianya bukan sahaja akan mengambil masa yang lama tetapi juga kompleks untuk menggariskan terma rujukan yang tepat. Oleh hal yang demikian banyak negara-negara mengambil pendekatan dalam soal pertikaian bertindih seperti diantara Malaysia dan Vietnam soal kedaulatan ditangguhkan disebaliknya dijalin kerjasama komersial bagi meraih kepentingan ekonomi, misalnya kerjasama diantara Pertronas dan Petrovietnam. Begitu juga pertikaian diantara Thailand/Malaysia, dimana kedua pihak bersetuju dengan pembentukan Joint Development Authority, untuk bersama-sama mencarigali gas dikawasan tuntutan bertindih diantara kedua-dua negara. Pendekatan ini juga sedang diusahakan oleh China untuk digunapakai dalam pertikaian tuntutan bertindih di kepulauan Spratlys. China mengajak semua negara yang menuntut kedaulatan supaya menangguhkan soal persempadanan serta kedaulatan, disebaliknya bekerjasama mencari sumber petroleum di kawasan Spratlys.

Seperti yang saya katakan ia akan memakan masa bertahun-tahun lamanya dan rumit untuk diselesaikan termanya mengikut undang-undang laut antarabangsa yang sememangnya ada peruntukannya diselubungi dengan keraguan dan kekaburan. Oleh kerana itu kebanyakan negara menganggap yang paling penting di dalam sesuatu kes adalah hak kedaulatan (sovereignty). Soal persempadanan dirasakan boleh diselesaikan melalui rundingan dua hala. Sebagai contoh isu tuntutan bertindih di laut Sulawesi diantara Malaysia dan Indonesia masih diperingkat rundingan. Ini bermakna kedudukan Status quo harus dikekalkan dan dipelihara.

Singapura dan Malaysia dari dahulu hingga kini sememangnya ada isu-isu yang mencetuskan perselisishan mendalam. Kita juga perlu memahami Singapura adalah sebuah Pulau dan negara bandar (city state). Oleh kerana itu mereka merasakan kedudukan mereka senantiasa terancam. Justru mereka perlu terus bersaing termasuklah dengan Malaysia untuk membuktikan kekuatan dan kemampuan mereka. Pendirian sebegitu pada Malaysia membentuk sikap Singapura terhadap hubungan Singapura/Malaysia semenjak tahun 1965.

Bagi saya, setelah kes Batu Puteh diputuskan oleh ICJ, Malaysia harus tidak mengabaikan Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam melaksanakan hak kedaulatan negara tidak tergadai di kemudian hari.

Malaysia perlu memahami sikap Singapura yang selalu mencari jalan untuk survivalnya. Pendekatan Singapura berasaskan kepada ‘Survival of Singapore’ adalah satu pendekatan yang dianggap tidak mengendahkan perasaan dan sensitiviti negara lain. Ini terbukti dengan pendekatan yang mereka gunakan terhadap kes tertunggak yang lain di antara Malaysia dan Singapura sebagai contoh semasa krisis kewangan 1997. Isu CPF, ruang udara, air dan lain-lain lagi. Ada pandangan yang Singapura tidak kenal kepada istilah ‘mengenang budi’. Yang paling penting bagi Singapura adalah manfaat dan survival mereka. Dalam buku yang ditulis oleh Lee Kuan Yew ‘The Singapore Story’, beliau menyamakan kedudukan Singapura seperti Israel kerana mereka dikelilingi oleh negara Melayu Islam. Oleh yang demikian Singapura perlu menunjukkan kekuatan pertahanan yang lebih dari negara jirannya yang lain, termasuklah dalam merancang strategi ekonomi, politik, pertahanan dan lain-lain.

Seraya itu pendekatan media dan pemimpin-pemimpin Singapura adalah satu dan sepakat. Di dalam apa perkara pun ada jurucakap, dan juga siapa yang bercakap mengenai sesuatu isu pendirian dan bunyinya tidak berbeza diantara satu sama lain. Perkara ini berbeza dengan Malaysia yang mempunyai banyak pihak yang suka mengambil bahagian dengan memberikan pelbagai pandangan dan pendirian yang kadangkala menimbulkan masalah kepada negara.

Sebenarnya penentuan wilayah dan kedaulatan tidak mudah untuk dirundingi dan diputuskan begitu sahaja. Strategi Singapura berkait rapat dengan kedudukan “Pulau”. Ia memberikan macam-macam kemungkinan. Malaysia harus berhati-hati dan bijak, dalam menanggani isu persempadanan maritim dan juga Teluk Benua.

Sebagai Menteri Luar, saya kerap kali mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai saya tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku di atas sesuatu tindakan yang Malaysia ingin ambil. Tetapi harus diingat Malaysia tidak boleh hanya menunggu kemungkinan itu berlaku, baru mengambil tindakan. Malaysia perlu bertindak cepat dan pro-aktif. Saya berharap Malaysia tidak menghantar protes sahaja tetapi perlu disusuli dengan satu bentuk tindakan-tindakan yang tepat dan sesuai.

HUBUNGAN MALAYSIA/INDONESIA
Menjawab persoalan berkenaan hubungan Indonesia dan Malaysia pada satu ketika dahulu ia mempunyai jalinan hubungan yang agak akrab dan istimewa. Tetapi kebelakangan ini kerap timbul pertikaian berorientasikan isu diantara Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi lebih mencabar dari perspektif hubungan dua hala. Mengikut pengalaman saya sewaktu menjadi Menteri Luar, saya pernah berbincang dengan 3 orang Menteri Luar Indonesia yang sependapat bahawa ia berdepan dengan suasana dan keadaan baru. Dinamik lama sudah tidak wujud lagi. Dari perbincangan tersebut mereka menyuarakan bagaimana pada masa langsai Malaysia banyak dibantu oleh Indonesia dari berbagai aspek seperti latihan guru, juruterbang, ketenteraan dan lain-lain. Kini apabila Malaysia telah maju dan mengatasi Indonesia, Malaysia dilihat sebagai sombong dan bongkak. Namun begitu boleh dikatakan sebenarnya pelbagai masalah dan pertikaian sengaja dicetuskan oleh media Indonesia. Hari ini hubungan Indonesia / Malaysia lebih mencabar dan ada masanya membimbangkan. Justru Malaysia perlu mengenal pasti punca masalah dan lebih bijak dalam menanggani masalah ini untuk keamanan dan kepentingan kedua-dua negara termasuk kepentingan rantau ASEAN.

Malaysia sudah banyak berkompromi. Seingat saya pada ketika Wan Napsiah mengetuai rundingan mengenai Laut Sulawesi, pendirian Indonesia tidak fleksible dibandingkan dengan Malaysia. Bagi saya, di dalam sesuatu rundingan ianya perlu adil dan seimbang serta tidak memihak kepada kepentingan hanya sebelah pihak sahaja. Kalau mereka mengatakan ianya memakan masa yang lama mengapa tidak dirujuk kepada pihak tribunal undang-undang laut antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian tersebut secepat mungkin. Tetapi Indonesia tidak mahu pertikaian diselesaikan melalui proses tribunal. Pendapat yang mengatakan Malaysia harus membuka seluas-luasnya pintu untuk Indonesia di Laut Sulawesi adalah tidak tepat kerana Malaysia dan Indonesia masing-masing adalah dua negara yang berdaulat dan mempunyai kepentingan tersendiri yang bertindih. Ianya boleh diselesaikan melalui rundingan. Malaysia sejak sebelum dari kemerdekaan lagi telah mengamalkan dialog dan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian.

Selaku Menteri Luar Malaysia saya dalam satu pertemuan saya dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyuno beliau dengan penuh kefahaman mengatakan kepada saya “Pak Hamid perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan dipanjangkan. Soal kedaulatan wilayah perlu terus dirundingi. Sebelum itu kita boleh mendekatinya dari perspektif komersial dan membawa manfaat ekonomi untuk kedua-dua negara. Saya bersetuju dengan pandangan beliau dan memaklumkan kepada PM Malaysia pada ketika itu untuk ianya disepakati diperingkat tertinggi.

Tiba-tiba media Indonesia memainkan isu dan sentiment tertentu yang memburukkan hubungan Malaysia dan Indonesia. Laporan yang disiar dengan sengaja membakar sentimen anti Malaysia dengan kain rentang dan jeritan seperti Ganyang Malaysia. Semasa lawatan saya selaku Menteri Luar semasa kes penderaan pembantu Rumah rakyat Indonesia hebat dibahas dan isu laut Sulawesi berbangkit, saya interbiu dengan pelbagai pertanyaan yang menunjuk sikap benci dan marah pada Malaysia. Salah satu pengamal media yang interbiu saya bertanyakan “Bapak tidak takut atau gentar datang kemari”. Saya menjawab dengan tenang, “Mengapa saya perlu gentar Malaysia tidak bermusuh dengan Indonesia. Hubungan kedua-dua negara adalah rapat dan baik”. Saya memberitahunya kunjungan saya ke Indonesia adalah bertujuan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh kedua-dua negara. Isu Laut Sulawesi boleh dimuktamadkan berteraskan kebijaksanaan dan kewajaran kepimpinan politik tertinggi negara masing-masing.

Tidak dapat dinafikan Indonesia kini menikmati euphoria kebebasan dan demokrasi, sejak jatuhnya kerajaan Suharto. Ada keghairahan terhadap kuasa kebebasan dan demokrasi. Media dan Dewan Perhimpunan Rakyatnya mahu melaksanakan tugas mereka secara berkesan. Sentimen negatif terhadap Malaysia memang wujud dari masa ke semasa kerana masih ada perasaan abang/adik. Perkara ini diakui oleh Gus Dur semasa beliau menjadi Presiden Indonesia. Orang-orang lama yang memahami hubungan Malaysia / Indonesia sudah tiada lagi di aliran utama arena politik negara masing-masing.

Sebagai contoh Ali Al-atas pernah mengatakan kepada saya berasaskan persekitaran sekarang (perbincangan saya dengannya pada tahun 2007) beliau mengatakan hubungan Malaysia dan Indonesia boleh pada bila-bila masa sahaja meletup. Dia dengan serius mengatakan ada perasaan yang Malaysia memandang rendah rakyat Indonesia. Itu perspektif yang diberikan dari seorang penasihat Dasar Luar (kepada Presiden Indonesia yang luas pengalaman). Sebelum dia meninggal dunia dia memberitahu saya ada persepsi yang Malaysia menganggap Indonesia Bodoh, Malaysia Sombong, muncul pandangan the ugly Malaysian dan lain-lain persepsi negatif terhadap Malaysia. Namun demikian Malaysia senantiasa tabah dan tidak melatah dalam mengurus dan menanggani persoalan hubungan dua hala Malaysia/Indonesia untuk mengekalkan hubungan baik demi kepentingan bersama dalam konteks ASEAN.

2 comments:

  1. hakikatnya tanah melayu dan kerajaan kesultanan johor telah hilang salah satu kawasan takluknya!

    ReplyDelete
  2. YB Dato,

    Saya terkilan kerana batu putih hilang ketangan orang. Maruah negara yang `diremehkan` oleh kepimpinan yang sukar difahami.

    Tidak ada pula wira wira politik dari berbagai `sektor` yang bangun menempelak.

    Selective issue for selective leadership!

    ReplyDelete