Sunday, December 27, 2009

HIPOKRASI DALAM HUBUNGAN ANTARABANGSA


Apabila berakhirnya perang dunia kedua PBB ditubuhkan bagi tujuan melahirkan satu oder baru dunia dimana kemanusiaan dan kedamaian menjadi asas utama. Hak dan kedaulatan negara kecil dan besar dihormati dan dilindungi dengan cara sama rata. Amatlah murni dan suci wawasan dunia yang digariskan oleh piagam PBB. Umat manusia berasa yakin bahawa dunia tidak akan berhadapan dengan peperangan dan keganasan. Keadilan sejagat dapat dibangunkan.

Namun demikian dunia dan manusia dilandakan dengan pemisahan berteraskan ideologi Kapitalis, Sosialis dan Komunis. Bermulalah pula perang dingin (Cold War) yang membawa pelbagai kesan kepada kehidupan dunia. Kezaliman, ketidakadilan, serta konflik terus berlaku dibawah perhatian PBB tanpa dapat melakukan sesuatu yang bermakna. Konflik di Benua Eropah, Afrika, Asia dan Amerika terus dilanda dengan pelbagai akibat dan kesengsaraan. Begitulah juga bila berakhirnya perang dingin. Harapan kepada keamanan terus menjadi harapan. Kezaliman dan ketidakadilan terus menghambat dunia dan manusia. Kemajuan juga membawa banyak kemusnahan ke atas alam dan manusia terus bertelingkah dan bergeseran tanpa akhirnya. Justru pada hari ini penindasan dan hipokrasi dalam hubungan antarabangsa masih menjadi hambatan dan menghantui manusia.

Bila berbicara berkenaan hubungan antarabangsa tidak dapat dielakkan untuk memperkatakan sesuatu mengenai keputusan-keputusan samada oleh negara –negara kuasa besar ataupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Agensi-agensi dibawahnya. Saya berpendapat sering berlaku keputusan-keputusan diambil tanpa merujuk kepada fakta sebenar ataupun berasaskan fakta sahih dan tepat. Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu ada masanya memaparkan yang ia lebih gagah dan berkuasa dari PBB sendiri yang melahirkannya. Berasaskan kepada kedudukan ketenteraan dan ekonomi negara kuasa besar boleh memutarbelitkan fakta serta mengaburkannya supaya keputusan memihak pada mereka dan mencapai tujuan yang dihasratkan. Perkara sebegitu masih lagi menjadi permainan dikalangan negara-negara berkuasa khususnya Ahli Tetap Majlis Keselamatan, bagi memenuhi agenda mereka. Ada kalanya negara-negara membangun rasa tergugat kerana dipaksa ataupun terugut secara langsung atau tidak langsung bagi menyokong sesuatu resolusi atau persetujuan yang telah mereka putuskan awal-awal lagi. Inilah persekitaran antarabangsa. Seharusnya PBB menjadi harapan untuk mencapai keadilan sejagat serta negara lemah dilindungi oleh negara kuat dan negara yang besar melindungi negara yang kecil. Itu dari segi teorinya nampak sangat indah dan cantik. Namun demikian keadaan sebenar amat berbeza sekali.

Dalam suasana sedemikian rupa negara membangun dan negara kecil akan menjadi mangsa percaturan politik antarabangsa kuasa besar dan negara maju. Banyak contoh-contoh boleh diketengahkan untuk menunjukkan bagaimana ketidaktelusan dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu krisis atau masalah diperingkat antarabangsa.

Sebagaimana tersiar di media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini dunia disajikan dengan insiden-insiden yang berlaku semasa Sidang Kemucak Antarabangsa mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen. Semua masyarakat antarabangsa sudah tentu akan bersetuju yang Sidang Kemuncak yang baru berakhir adalah satu-satunya pertemuan penting ketua-ketua negara dan kerajaan yang boleh menentukan kelangsungan manusia dan dunia. Soalnya samaada wujud kemahuan politik dan komitmen bagi mengatasi masalah perubahan iklim yang amat serius sekali.

Semasa Sidang Kemuncak kita menonton rusuhan dan konflik serta demonstrasi berlaku dibawah anjuran NGO (Badan-Badan bukan kerajaan) yang mahukan tindakan serius dan segera dilaksanakan bagi mengelakkan bencana buruk menimpa dunia. Malangnya di akhir Sidang Kemuncak satu persetujuan telah diambil yang tidak memberi jawapan kepada masalah yang dihadapi. Apa yang jelas ialah keputusan yang dibuat tidak memuaskan lebih-lebih lagi untuk negara-negara membangun. Negara-negara kuat dan kuasa besar dunia telah menggunakan kuasa dan pengaruh mereka bagi meraih persetujuan di Sidang Kemuncak bagi menghasilkan apa yang dikatakan satu ketetapan. Jelas sekali ianya tidak langsung memenuhi hasrat dan cita-cita kepada masalah dunia terhadap iklim.

Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Kim Moon, hanya setakat menyatakan walaupun memahami yang dunia tidak berpuas hati, ketetapan itu adalah satu langkah yang diperlukan.

Selama ini pun masyarakat antarabangsa sememangnya sering disajikan dengan golongan kuasa besar yang menggunakan PBB untuk menghalalkan tindakan-tindakan mereka yang bertentangan dengan undang-undang ataupun amalan antarabangsa. Ada masanya PBB diketepikan melalui tindakan ‘unilateral’ (bersendirian) jika ada kemungkinan yang ahli PBB akan menghalang tindakan yang mereka mahukan. Begitulah seterusnya di persada dunia dimana kebenaran ditentukan oleh kekuatan. Negara kecil dan negara membangun hanya akan berupaya memainkan peranannya sekira mereka bertindak secara bersama dan berpadu dalam menanggani isu-isu yang menyentuh prinsip keadilan sejagat.

Saya masih ingat lagi bila saya bertemu dengan Menteri Luar Britain, Jack Straw dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell sebelum peperangan Iraq. Saya telah menyatakan kepada beliau pendirian Malaysia tidak akan bersetuju dengan tindakan secara ‘unilateral’ dan juga tindakan untuk mengubah pimpinan Iraq, oleh negara luar. Tetapi beliau terus menegaskan yang itu bukanlah matlamat Amerika Syarikat dan UK. Tindakan yang kemudiannya diambil menggunakan alasan kerana adanya “immediate and imminent threats” “ancaman segera dan ketara” dari Iraq serta ia memiliki senjata pemusnah yang menjadi ancaman kepada keamanan dan keselamatan dunia. Saya terus memberitahu beliau yang saya beranggapan yang tujuan sebenar adalah untuk menukar rejim dan saya percaya UK dan AS telah pun membuat keputusan untuk mengambil tindakan secara ‘unilateral’ tanpa izin PBB.

Jika diimbas semula pada tahun 2003, khususnya UK dan AS memaklumkan kepada masyarakat antarabangsa yang peperangan terhadap Iraq adalah diperlukan semata-mata kerana kehadiran “Senjata Pemusnah” di negara tersebut. Serangan itu dikatakan akan hanya dilakukan untuk menghapuskan senjata pemusnah jika Iraq tidak membenarkan lawatan pasukan pemeriksa PBB. Majlis Keselamatan juga diberikan laporan yang sama bagi menjustifikasikan tindakan mereka.

Baru-baru ini Mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, bila ditemubual berkenaan isu perang Iraq jelas menyatakan yang tujuan sebenar adalah untuk mengubah pimpinan Iraq (yang pada masa itu mereka nafikan). Ini adalah satu bukti jelas yang dari awal lagi UK dan AS telah tidak bercakap benar kepada masyarakat antarabangsa kerana niat sebenar mereka adalah untuk menjatuhkan Saddam Hussein, Presiden Iraq pada ketika itu.

Semasa itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri menegaskan yang pegangan Dasar Luar Malaysia adalah diatas tiga paksi utama, iaitu Berprinsip, Konsisten dan Pragmatik. Negara tidak akan tunduk dengan tekanan kuasa besar selagi ia tidak berteraskan kepada prinsip keadilan sejagat. Sebab itu Malaysia mengambil keputusan menentang serangan keatas Iraq kerana Malaysia percaya tujuan sebenar adalah penukaran kerajaan dan pemimpin di Iraq. Malaysia berpendapat perubahan pimpinan mana-mana negara adalah hak rakyat negara itu sendiri untuk menentukannya dan bukan oleh kuasa luar. Malaysia sedar pada masa itu Amerika Syarikat tidak senang dengan pendirian Malaysia.

Walau bagaimanapun semasa serangan pengganas pada September 11, 2001 yang berlaku di New York, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut walaupun ia dilakukan oleh penganut agama Islam. Tetapi Malaysia tidak bersetuju apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan diatas alasan ancaman pengganas antarabangsa. Malaysia memutuskan untuk menentang tindakan tersebut. Malaysia terus berpegang teguh kepada pendiriannya. Nyata sekali pendirian Malaysia dilihat berprinsip dan konsisten.

Berkenaan persoalan Iraq dan senjata pemusnahnya, masyarakat antarabangsa memang sedia maklum sehingga sekarang setelah beratus-ratus kali membuat pemeriksaan senjata pemusnah yang diwar-warkan itu tidak ditemui dibumi Iraq. Setelah serangan dan penaklukan, sehingga hari ini keadaan di Iraq terus bergolak dan tidak stabil. Peperangan sememangnya tidak menjadi penyelesai kepada masalah. Pembunuhan dan konflik sesama sendiri disana masih berterusan. Kedamaian yang dijanjikan masih jauh dari tercapai.

Amat menarik sekali bila membaca penulisan Dr. Hans Martin Blix Chairman of the WMD (Weapon of Mass Destruction) Commision dalam akhbar Guardian. Beliau telah mempersoalkan setelah pasukan pemeriksa UN berada di Iraq “How could the issue of – non-existent- WMD mislead the world for more than 10 years?”. Beliau telah memberi jawapan yang jelas kepada persoalan yang dibangkitkannya. Beliau menyatakan berasaskan usul Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1991. Iraq telah pun memusnahkan bahan-bahannya tanpa pemeriksaan PBB. Ini melahirkan was-was pula kepada AS dan UK yang senjata masih disembunyikan ditempat-tempat lain yang tertentu. Seperkara lagi disebabkan keengganan Iraq sendiri untuk membenarkan pasukan pemeriksa memilih tempat-tempat yang hendak mereka lawati dan sering memberi jawapan yang tidak tepat. Mengikut pandangan Hans Blix Iraq memang sengaja mahu memberikan gambaran seolah ia memiliki senjata pemusnah. Ini adalah kerana beberapa faktor diantaranya mengikut beliau adalah maruah negara Iraq yang dihina dan tindakbalasnya ialah dengan sengaja mengambil sikap tidak bekerjasama dan menentang. Lagipula Iraq tahu ada dikalangan ahli pasukan pemeriksa PBB terdiri daripada ahli risik negara barat yang sebenarnya bertujuan untuk mencari maklumat mengenai tempat sasaran yang hendak dikenal pasti.

Apabila Iraq membuat keputusan untuk membenarkan pasukan pemeriksa PBB pada bulan September 2002 ia sudah terlambat kerana tentera Amerika telah pun berada di Kuwait. Pada masa itu timbul satu lagi terminologi baru yang diperkenalkan oleh AS dalam hubungan antarabangsa iaitu mengambil serangan awal (Pre-emptive Strike) tanpa mendapat kebenaran dari PBB. Pada ketika itu ahli Pentadbiran Presiden Bush berpendapat bahawa jika keizinan PBB diminta terlebih dahulu, mereka tidak akan memberikannya. Justru PBB dianggap sebagai satu halangan kepada matlamat untuk menyerang Iraq.

Apa yang nyata dan menyedihkan adalah masyarakat antarabangsa terpedaya kerana tiada senjata pemusnah ditemui dan kuasa PBB tidak dihiraukan. Apa yang berlaku boleh dianggap satu pembohongan kepada masyarakat antarabangsa.

Malaysia sebagai Pengerusi NAM telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan kumpulan Troika NAM bagi menyuarakan tentangannya terhadap tindakan menyerang Iraq tetapi tidak dipedulikan. Banyak maklumat yang digunakan oleh AS dan UK adalah tidak sahih atau direka semata-mata. Sebenarnya Majlis Keselamatan telah diketepikan, Negara China, Russia, Perancis, dan Jerman yang menentang tindakan, kesemuanya tidak dihiraukan.

Inilah caranya masyarakat antarabangsa diheret ke kancah peperangan yang dari segi undang-undang antarabangsa adalah tidak sah dan tiada mempunyai justifikasi undang-undang. Tapi kuasa terkuat dunia dengan sokongan sekutu-sekutunya telah menyerang Iraq kononnya untuk menyelamatkan dunia dan diatas nama keselamatan serta keamanan dunia.

Semasa saya menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar negara-negara berkecuali di Havana setelah rejim Saddam dimusnahkan, saya berpeluang untuk bertemu dengan Presiden Cuba Fidel Castro. Saya bertanyakan padanya berkenaan serangan keatas Iraq oleh Amerika Syarikat. Beliau menjawab yang Saddam silap membuat perkiraan dan tidak membaca tepat sikap dan pendirian Presiden Bush. Jika Saddam Hussein Presiden Iraq ketika itu tidak membuat pertimbangan silap ia tidak akan membuka ruang kepada Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq. Pada ketika itu majoriti masyarakat antarabangsa tidak sependapat dengan AS. Tapi ini semua sudah menjadi sejarah untuk dikaji terhadap hipokrasi dan ‘double standard’ yang diamalkan bagi memenuhi cita-cita dan kehendak kuasa-kuasa besar tertentu.

Malaysia sebagai sebuah negara kecil senantiasa berpegang kepada prinsip, konsisten dalam tindakannya dan pragmatik dalam amalannya. Pada tempoh itu Malaysia berhadapan dengan pelbagai desakan dan tekanan. Namun negara akan hanya beralah berteraskan prinsip. Justru dasar luar dan pendirian negara terus dihormati dalam pelbagai isu-isu multilateral yang melanda dunia.


DUTA MALAYSIA

Baru-baru ini pula negara telah membaca kenyataan kerajaan yang Duta Besar Malaysia ke Austria telah dipanggil balik, berasaskan apa yang dikatakan tindakannya yang salah serta bertentangan dengan prosedur kerajaan. Perkara ini harus dilihat dalam konteks yang lebih luas lagi. Selama ini Malaysia senantiasa berpegang kepada pendirian yang sama dengan IAEA yang mahukan isu Iran dicari penyelesaian secara rundingan. Lagipula ia masih di tahap rundingan. Pada pandangan IAEA resolusi keatas Iran pada masa sekarang adalah ‘counter productive’.

Pada ketika itu pula Malaysia untuk pertama kalinya pula telah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga IAEA. Usul yang dibawa oleh Jerman telah diluluskan oleh IAEA dengan Cuba, Venezuela dan Malaysia menentangnya. Apa yang menjadi persoalan kepada masyarakat umum Malaysia adalah samada pendirian ini bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini. Kalau sudah ada perubahan adakah Duta Besar dimaklumkan terlebih dahulu berkenaan perkara tersebut. Lagipula rundingan-rundingan sedang dijalankan oleh IAEA dengan Iran. Mengikut amalan biasa perwakilan Malaysia di luar negara,kalau ada perkara sensitif melibatkan dasar, Duta diperlukan merujuk persoalan tersebut kepada Wisma Putra di Kuala Lumpur untuk mendapat arahan.

Apakah tiada rujukan kepada Wisma Putra dilakukan oleh perwakilan Malaysia? Jika ada rujukan, apakah arahan yang telah diberikan? Adakah Duta gagal mematuhi arahan yang telah diberikan? Oleh kerana keputusan memanggil balik atau memendekkan perkhidmatan seorang Duta yang telah berkhidmat lebih dari 30 tahun adalah satu perkara yang serius ia harus diberikan penjelasan yang lengkap supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar dan kerajaan juga dilihat telah berlaku adil kepada seorang Pegawai kerajaan.

Malaysia selama ini dihormati kerana ketegasan dan keberaniannya berpegang kepada prinsip. Betulkah seorang Duta yang cukup berpengalaman telah membuat keputusan mengikut selera dan nafsunya sendiri sebagaimana dikatakan oleh penulis di akhbar “Straits Times” yang menggunakan terma “Maverick” untuknya dan telah menyatakan beliau tidak mementingkan hubungan Malaysia/AS pada ketika ini. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pada masa ini masih kabur lagi. Diatas nama keadilan biarlah rakyat mendapat fakta sebenar. Saya berharap di masa akan datang perkara sebegini tidak berlaku yang boleh melahirkan pelbagai persoalan.

No comments:

Post a Comment