Thursday, December 3, 2009

SEDIKIT CORETAN DASAR LUAR DAN KOMENTAR KEATAS UMNO


Saya mengucapkan terima kasih pada yang suka membaca blog serta web saya dan memberikan komen khusus terhadap hubungan Malaysia / Singapura serta Isu jambatan bengkok. Sekarang saya boleh menoleh kebelakang untuk memberikan pandangan setulusnya tanpa menuding jari mencari siapa yang bersalah atau tidak bersalah. Tetapi cerita sepenuh akan terus tersimpan. Saya suka memberi penerangan dan penjelasan supaya dapat menghilangkan kekeliruan atau salah sangka. Memang tabiat manusia suka mencari kesalahan dan kelemahan orang. Kalau hanya membaca penyataan-penyataan yang tersiar di halaman media utama atau alternatif mungkin ia akan menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Dasar Luar dan keputusan dasar utama sesebuah negara ditentukan oleh Perdana Menteri (PM). Peranan yang dilaksanakan oleh seorang Menteri Luar mithalnya adalah melaksana dan menjelaskan dasar-dasar tersebut. Adalah lumrah suara Menteri Luar mesti mencerminkan pandangan PM atau dasar kerajaan. Oleh yang demikian cara dan stail setiap PM sudah tentu akan menjadi asas penyataan dasar luar itu. Begitu juga wibawa dan karakter PM akan mempengaruhi Menteri Luar itu sendiri.

Memang di era Tun Dr. Mahathir, dasar luarnya aktif dan proaktif. Malaysia menjadi terkenal kerana pendiriannya yang tegas dan konsisten diperingkat rantau dan antarabangsa. Justru itu Menteri Luarnya serta pegawai di Wisma Putra perlu menyampai dan mempertahankan dasar sejajar dengan kehendak dan pendekatan PM. Ini adalah satu amalan sejagat. Tiada Menteri Luar yang boleh membuat dasar mengikut seleranya atau bersendirian mengikut akal fikirannya. Oleh kerana pendirian dan pendekatan Tun Dr. Mahathir ada masanya tidak konvensional dan ortodoks, tindakan dan penyataannya menjadi lebih terserlah. Justru beliau mempunyai banyak pengikut diperingkat rantau dan antarabangsa yang telah menonjolkan nama negara diperingkat hubungan dua hala serta pelbagai hala. Tanggungjawab Menteri Luar adalah menghayati dan memahami dasar kerajaan khususnya pendirian PM dalam berbagai-bagai isu.

Penyataan-penyataan Tun Mahathir selalunya lantang dan tegas bila menyuarakan pandangan dan komennya di persada dunia. Menteri dan pegawai Wisma Putra perlu menghayati sikap dan pendirian beliau supaya tidak bercanggah dengan PM bila menjelaskan dasar luar Malaysia.

Saya masih ingat satu insiden yang dilaporkan secara meluas oleh media sewaktu Tun Dr. Mahathir mula-mula menjadi PM. Beliau telah membuat pengumuman yang memeranjatkan di dalam dan diluar negara dengan kenyataan dasar “Buy British Last”, asasnya kerana beliau tidak puas hati dengan pendirian Perdana Menteri Inggeris (ketika itu Margaret Thatcher) terhadap beberapa isu penting. Dengan sendirinya ia memberi kesan mengalihkan dasar luar Malaysia kepada satu paradigma baru. Malaysia dilihat tidak lagi terikat dengan hubungan lama Malaysia/Britain sebagai sebuah negara bekas jajahan Inggeris. Pihak Inggeris terpaksa bertindak cepat untuk membetulkan semula hubungan sejarah kedua-dua negara. Contoh lain yang boleh saya sebutkan termasuklah mengenai ketidakhadiran beliau di persidangan APEC di Houston, Texas, Amerika Syarikat. Saya bertanya kepada beliau sewaktu menjadi Menteri Luar, mengapa beliau tidak hadir sedangkan pemimpin-pemimpin negara lain akan bergegas untuk menghadiri mesyuarat diatas jemputan Presiden Amerika Syarikat, sebuah negara kuasa besar yang terulung di dunia. Beliau memberitahu saya, lebih baik beliau tidak hadir kerana ia lebih diingati dari jika beliau hadir. Begitu juga bila beliau kecewa dengan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), beliau tidak menghadiri Millinium Summit di New York. Saya diarah selaku Menteri Luar untuk menghadiri bagi pihaknya dan kerajaan.

Beliau seorang pemimpin negara membangun yang dilihat berani menegur pemimpin-pemimpin dari negara-negara kuasa besar. Ada masanya mereka marah dan tersinggung dengannya. Tetapi itu semua tidak dihiraukannya. Beliau lantang mengkritik tindakan Israel terhadap Palestin, peperangan Iraq dan Afghanistan. Beliau juga mengutuk tindakan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat. Beliau menjadi popular, diminati dan dihormati oleh pemimpin-pemimpin dan rakyat samada dari negara maju atau membangun. Disatu persidangan Commonwealth, yang beliau hadir untuk pertama kalinya, beliau menceritakan mengenai ucapannya yang menyebabkan Ratu Elizabeth II tersenyum, bila beliau menyebut “Walaupun persidangan ini adalah persidangan negara-negara ‘Commonwealth’ tetapi kekayaan dikalangan negara-negara ahli tidak ‘common’ seperti yang tercatit dalam namanya”.

Elok saya ulangi yang pelaksanaan dasar akan semestinya mengikut rentak PM negara pada sesuatu masa. Kenyataan-kenyataan Menteri Luar perlu berhati-hati dan tidak mengikut seleranya sendiri. Pandangan yang disuarakan Menteri Luar mesti selari dengan pendirian semasa Perdana Menteri.

Seperkara yang terserlah di era Tun Dr. Mahathir adalah hubungan Malaysia dan Singapura sering bergelora kerana dilanda dengan berbagai isu yang tidak terumus. Tidak dapat dinafikan serta diakui oleh Singapura dan pemerhati hubungan Malaysia / Singapura memang wujud pendekatan berlainan diantara Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Tun Dr. Mahathir di dalam banyak perkara menganggap pemimpin-pemimpin Singapura terlalu angkuh dan tidak berlagak sebagai jiran terdekat yang baik. Walaupun diperingkat awal beliau cuba menjalin hubungan akrab dengan Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong, akhirnya dilanda dengan perbezaan luas dalam pelbagai isu seperti soal harga air, Points of Agreement, CIQ dan lain-lain isu yang merenggangkan hubungan Malaysia/Singapura.

Disebaliknya Tun Abdullah Badawi selepas mengambil alih jawatan PM membawa pendekatan untuk mengakrab dan memesrakan hubungan. Beliau lebih lembut dan tidak berminat untuk bertelagah dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu perkara atau isu. Sebagai contoh hubungan diantara Malaysia/Singapura, diibaratkan beliau seperti penghuni di rumah berkembar atau rumah terrace. Oleh itu penting untuk tidak menyusahkan jiran sebelah. Begitu juga bila beliau mahukan isu tertunggak Singapura/Malaysia diselesaikan melalui pendekatan memetik ‘the low lying fruits’. Ini berganjak dari ‘pendekatan berpakej’ oleh Tun Dr. Mahathir. Ia juga bermakna isu yang mudah diselesaikan terlebih dahulu dan yang susah kemudiannya. Ini boleh dilihat dari penyataan-penyataan yang dibuat beliau terhadap isu-isu yang timbul ketika beliau menjadi Perdana Menteri samada dalam hubungan dengan Singapura atau dalam pelbagai isu rantau dan antarabangsa.

Walau setegas dan seberani mana sekalipun Menteri Luar ia tidak boleh bertindak lebih dari PM sesuka hatinya. Menteri Luar terpaksa berpandukan kepada pendirian dan pendekatan PM atau kerajaan. PM yang akan menetapkan dasar-dasar luar negara. Tugas Menteri Luar adalah sebagai jurucakap kepada kerajaan semasa mengutarakan pandangan kerajaan. Kalau seorang Menteri Luar berbeza pandangan serta pendapat dan tidak seiring dengan PM atau kerajaan dalam soal utama pilihan yang ada padanya adalah untuk meletakkan jawatan atau boleh diberhentikan oleh PM.

Pada ketika itu sekiranya saya tidak dapat melaksanakan dasar kerajaan atau apa yang diharapkan oleh PM pilihan yang ada untuk saya adalah meletakkan jawatan. Mungkin itulah yang patut saya lakukan. Tetapi saya tidak berbuat demikian kerana menganggap kesannya kepada kerajaan lebih buruk dari saya memilih untuk menyuarakan pandangan saya di kamar-kamar tertutup. Dari segi karakter dan peribadi saya tegas dan tidak pernah longlai. Perkara ini amat diketahui oleh rakan-rakan dalam Kabinet serta dikalangan anggota-anggota ASEAN dan rakan sejawat saya dari negara-negara barat atau timur. Apa jua yang saya lakukan adalah demi menjaga nama baik dan kepentingan Malaysia. Ada masanya kerana pendirian dan suara Malaysia begitu, kita sering rasa terpinggir dan dipencilkan. Tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul. Saya adalah pelaksana dasar luar pada era Tun Dr. Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Badawi. Walau bagaimanapun saya bukanlah penentu yang boleh bertindak bersendirian. Ini tidak bermakna saya mencari alasan atau sebab terhadap diri saya. Diri saya tidak penting, negara dan kerajaan adalah menjadi keutamaan saya.

Dalam soal jambatan bengkok pelbagai andaian dan pandangan telah diutarakan mengenai keputusan pembinaannya diberhentikan langsung. Saya sedar jambatan bengkok adalah isu paling sensitif dan menarik untuk saya dan pegawai-pegawai di Wisma Putra. Apatah lagi saya adalah orang Johor. Dalam hal ini ada pihak mempersalahkan saya seolah orang yang bertanggungjawab memberhenti dan menyekat pembinaan jambatan bengkok. Siapalah saya untuk membuat keputusan sedemikian. Beberapa tuduhan dan bermacam serangan dibuat oleh individu dan penyokong Tun Dr. Mahathir keatas peribadi saya yang menyedihkan. Saya juga tidak ada kekuatan untuk berkonflik dengan seorang bekas PM yang begitu gagah dan berpengaruh. Selaku Menteri saya menjalankan tugas.

Apa dia isu Jambatan bengkok?. Pada mulanya bila Tun Dr. Mahathir mencadangkan untuk membina sebuah jambatan baru menggantikan Tambak Johor secara bersama dengan Singapura, ia adalah pembinaan jambatan lurus. Isu Jambatan bengkok hanya timbul bila rundingan membina jambatan secara bersama dengan Singapura berdepan jalan buntu. Setelah rundingan gagal, barulah keputusan dibuat untuk Malaysia membina jambatan bengkok bersendirian tanpa melibatkan Singapura. Tun Dr. Mahathir berpegang teguh kepada keputusannya kerana ia melibatkan soal maruah negara. Kerajaan memutuskan supaya membina jambatan dalam kawasan perairan Malaysia dan disambung dengan tambak yang sedia ada di kawasan Singapura. Semua pembinaannya dilakukan dalam kawasan persempadanan Malaysia. Isu-isu teknikal yang lain seperti paip air dibincangkan secara berasingan. Pada pendiriannya pembinaan jambatan bengkok adalah hak Malaysia selagi ia tidak memasuki kawasan perairan Singapura mengikut sempadan yang dipersetujui oleh kedua-dua negara. Menteri dan pegawai-pegawai Malaysia terus mempertahankan pendirian itu. Kami akur dengan taat dan setia dengan keputusan yang dibuat oleh PM dan kerajaan. Pendirian Malaysia dalam hal ini adalah Singapura tidak berhak mempertikaikannya. Diatas asas itulah projek jambatan bengkok diteruskan walaupun Singapura membantahnya.

Apabila Tun Abdullah mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kerajaan memutuskan untuk sekali lagi berunding dengan Singapura bagi membina jambatan lurus. Namun demikian beliau tidak memberhentikan pembinaan jambatan bengkok.

Setelah Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatan PM dan serahkannya pada Tun Abdullah, pembinaan jambatan bengkok masih diteruskan lagi. Semasa rundingan untuk membina jambatan lurus secara bersama dengan Singapura, pembinaan jambatan bengkok tidak dihentikan. Ia adalah selaras dengan nasihat teknikal yang mengatakan bila persetujuan tercapai oleh kedua-dua pihak, perubahan boleh dibuat kepada pembinaan sedia ada tanpa apa-apa kesulitan. Akhirnya kedua-dua kerajaan bersetuju bagi pembinaan jambatan lurus tertakluk kepada terma-terma baru dan kelulusan Kabinet di kedua-dua buah negara. Diantara perkara yang disyorkan dan dimuatkan dalam satu perjanjian baru adalah penggunaan ruang udara (secara bersyarat) dan penjualan pasir. Kemudahan tersebut memang pernah dinikmati Singapura di masa lampau. Apabila persetujuan diberikan oleh Kabinet untuk membina jambatan lurus dengan terma-termanya, saya mengumumkan bagi pihak kerajaan. Ia telah menarik perhatian umum serta menjadi polemik hebat dan melahirkan banyak kontroversi termasuk dari kalangan media, ahli politik dan awam (termasuk Ahli Parlimen BN). Mantan PM Tun Dr. Mahathir pun tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan serta memilih untuk menjadi pengkritik utama serta menyerang dan membantah keputusan kerajaan. Ada masanya pemimpin lupa pengaruh dan kekuatannya. Walaupun sudah melepaskan jawatan, pandangan dan pendapatnya tetap dan masih memberi kesan. Pada saya perkara yang terburuk untuk parti dan kerajaan adalah apabila berkonflik dan bertelingkah diantara yang lama, yang kuat pengaruhnya dan yang baru.

Saya telah diarahkan untuk memberi taklimat kepada ahli Parlimen, yang juga tidak senang dengan keputusan kerajaan. Saya telah memaklumkan perkara itu kepada Kabinet. Sebelum mesyuarat Kabinet PM Abdullah memanggil saya dan memaklumkan keputusan beliau untuk tidak meneruskan dengan jambatan lurus sepertimana yang awalnya dipersetujui dengan Singapura disebaliknya meneruskan dengan jambatan bengkok. Beliau meminta pandangan saya apakah kesannya?. Saya memaklumkan kepadanya, jika itu keputusannya pasukan Malaysia telah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.

PM Tun Abdullah mengarahkan saya memberi penjelasan terhadap penerusan keputusan membina jambatan bengkok kepada Kabinet. Saya pun lakukan apa yang telah diarahkan. Perkara itu dibincang panjang lebar di Kabinet dan akhirnya Kabinet telah sebulat suara memutuskan untuk memberhentikan pembinaan jambatan lurus dan dimasa yang sama memutuskan tidak meneruskan dengan pembinaan jambatan bengkok. Kabinet mengambil ketetapan untuk membayar pampasan kepada kontraktor kerana pemberhentian kontrak.

Saya lihat yang menjadi kontroversi adalah kebenaran penggunaan ruang udara dan penjualan pasir kepada Singapura. Apa yang dipersetujui bukanlah perkara baru diantara Malaysia dan Singapura, hanya kaedah ditukar kerana mengambil kira kepentingan Malaysia. Seperkara lagi ramai yang mempertikaikan kenapa pembinaan jambatan bengkok mesti dihentikan langsung. Reaksi umum pada ketika itu amat negatif. Harus diingat sebelum itu hubungan Malaysia / Singapura sebelum ini juga renggang kerana tindakan Singapura seperti dalam soal penambakan di Pulau Ubin yang dilaksanakan tanpa berunding dengan Malaysia.

Pada ketika keputusan memberhentikan pembinaan jambatan bengkok terfikir saya bagaimana untuk berdepan dengan Ahli Parlimen dan masyarakat umum. Saya diarah untuk memaklumkan semua keputusan-keputusan kerajaan. Kontroversi dan polemic dari keputusan itu memberi impak dan kesan buruk kepada kerajaan dan membangkitkan kemarahan rakyat. Seharusnya pada ketika itu saya meletakkan jawatan kerana melihat keputusan yang dibuat tidak menentu dan berubah-rubah.

Tun Dr. Mahathir mengkritik hebat PM Abdullah, ahli Kabinet, dan Kerajaan sehingga segala kredibiliti dan ‘goodwill’ pada mata rakyat terhakis. Kita terpaksa berhadapan dengan kontroversi ini walaupun keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh semua ahli jemaah Menteri. Mereka semua mengambil bahagian tetapi Menteri dihadapan adalah saya serta pegawai saya di Wisma Putra. Kami menjadi orang jahat dan pelbagai tohmahan dilemparkan seolah ada kepentingan peribadi dalam perkara ini. Sebenarnya dalam keputusan itu tidak ada sinister motif atau niat jahat. Hanya keputusan dibuat kerana Kabinet memutuskan diatas alasan banyak persoalan yang tidak dapat dirumuskan. Persoalan samada keputusan itu bijak atau tidak tepat atau tidak hanya sejarah boleh menentukannya.

GENERASI BUNDLE

Saya mengucapkan terima kasih kerana ‘generasi bundle’ menulis secara terbuka terhadap penulisan saya. ‘Generasi bundle’ kadangkala perkara-perkara dan fakta yang ketara tidak perlu diulang kerana ia jelas didepan mata kita. Kalau ada anak sekolah yang boleh tulis macam saya Al-hamdulillah. Penulisan saya ada dua pendekatan yang saya gunakan. Pertama menulis secara terperinci dan kedua menggariskan dengan singkat dan umum. Banyak fakta yang berkait dengan subjek tersebut juga telah disentuh oleh penulis-penulis lain. Bukan semua orang akan bersetuju dengan pendapat penulis dalam semua perkara. Biasalah dalam zaman kebebasan ini. Lagi pula penulisan ini dibuat dalam blog bukan dalam journal akademik.

Kekalahan banyak kerusi di Parlimen dan kehilangan kerusi kerajaan di beberapa negeri pada PRU12 sering dikaitkan kepada UMNO oleh pelbagai pihak. Sebenarnya ia boleh dibuat kajian untuk ijazah, PHD. Secara ringkasnya kekalahan dalam PRU12 banyak dipengaruhi oleh soal kepimpinan, dasar, integriti pemimpin, soal keselamatan dan peranan media samada media utama atau media baru itu sendiri. UMNO memang bermasalah kalau perkara-perkara tersebut tidak terumus sebelum PRU13. Harus diingat sokongan orang Melayu pada PRU12 tidak menurun seteruk parti-parti komponen. Jangan lupa dalam membetulkan UMNO tanggungjawab parti komponen MCA, MIC, Gerakan dan PPP, yang semuanya bermasalah perlu juga diambil kira. Masing-masing berdepan masalah kepimpinan yang dibincang dikhalayak dan menyusahkan BN.

Walaupun begitu pembangkang pun tidak sunyi dari pertelagahan. PAS ada konflik dikalangan pucuk pimpinan mereka. PKR juga dilanda pertelingkahan. Anwar dilanda pelbagai krisis peribadi yang diakui terus terang oleh Zaid Ibrahim yang mahukan Pakatan dipimpin oleh Nik Aziz. Sedangkan DAP tidak bersetuju dengan PAS dan PKR. Bukankah itu semua fakta ketara. Kalau UMNO bersatu, mantap dan kukuh di PRU13 ia patut ada laluan mudah untuk BN tewaskan pembangkang sekurang-kurangnya dengan mendapat dua pertiga majoriti kerusi Parlimen dan negeri. Namun masalah dalaman masing-masing perlu diselesaikan.

Apa kelebihan yang akan kita perolehi sekiranya BN masih bertelagah dan pertelagahan ini tidak akan memberikan ‘political dividen’ yang diharapkan. Tindakan popular harus diambil tetapi bukan populis supaya rakyat senang memberi sokongan kepada BN. Yang hendak diyakinkan ada pengundi yang memerhati kelakuan dan amalan parti-parti politik.

Saya bukan seorang yang suka berdebat untuk menegakkan benang basah tetapi semua itu hanyalah pandangan dan perpektif saya. Saya sedar bukan semua orang akan bersetuju.

No comments:

Post a Comment