Dasar Luar Negeri mana-mana negara mestilah mempunyai kecairannya tersendiri berasaskan kepada bagaimana negara tersebut mahu menampilkan kedaulatan dan kepentingan strategiknya. Penonjolan dasar luar jika ia kuasa besar akan memaparkan kuasa ekonomi serta ketenteraannya. Sekaligus akan membolehkannya memastikan jalinan pengaruhnya dengan negara-negara yang digolongkan sebagai negara sahabat.
Dalam dunia yang dikatakan satu perkampungan global, kebergantungan negara-negara diantara satu sama lain tidak lagi dapat dielakkan. Justru cara menguruskan dasar luar mestilah mengambil kira perubahan-perubahan di persekitaran rantau dan antarabangsa. Ia memberi impak secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi, perdagangan, politik dan hubungan samada diperingkat dua hala ataupun pelbagai hala. Di dalam penentuan dasar luar jalinan hubungan diplomasi dua hala, mahupun pelbagai hala akan memainkan peranan utama.
Masing-masingnya akan mempunyai hubungkait rapat dalam menentukan hala tuju dasar luar negara. Adalah lumrah bagi negara-negara kecil untuk lebih berminat berpegang kepada dasar luar yang pasif, sering tidak aktif atau proaktif. Keputusan akan diambil oleh negara berkenaan berasaskan kepentingan strategik atau ekonomi yang akan mendorong pendekatan yang hendak dipilih. Walaupun dunia kini tidak lagi terbagi kepada pegangan bersandarkan kepada ideology, malahan lebih dipengaruhi oleh kepentingan ekonomi dan politik. Ada masanya negara-negara melahirkan kumpulan “like minded” ataupun memiliki “kepentingan bersama” bagi mencapai tujuan dan matlamat tertentu. Kumpulan longgar sebegini menjalin kerjasama bagi tujuan mencapai tujuan strategik (Strategic Alliance) negara-negara tersebut.
Sememangnya diyakini bahawa keselamatan dan kestabilan negara-negara kecil dan sederhana banyak bergantung kepada keahlian dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun pertubuhan rantau ataupun ikatannya dengan negara kuasa besar yang bertindak sebagai penaung mereka. Kemajuan ekonomi serta pengaruh akan menjadi lebih meluas dari saiz negara masing-masing seperti negara Sweden dan Netherland sebagai ahli Kesatuan Eropah (EU). Ini bermakna saiz sesebuah negara tidak semestinya menjadi penentu muktamad dalam hubungan antarabangsa ataupun pengaruh sesebuah negara. Bagi mengambil contoh contoh lain seperti Israel jika dibandingkan dengan negara-negara Arab, Israel sebuah negara kecil dari sudut saiz dan penduduk. Namun kedudukan mereka kukuh kerana negara penaungnya adalah Amerika Syarikat dan Britain, ia menjadi kuasa terkuat di Timur Tengah. Menentang dan mengkritik mereka samalah berdepan dengan negara-negara barat lain. Begitu juga kumpulan pelobi mithalnya di Amerika Syarikat, Israel sungguh berkuasa dan berpengaruh sehinggakan tiada calon Presiden atau Presiden boleh berjaya jika mereka tidak pro-Israel. Amerika Syarikat menggunakan kuasa ‘veto’nya di Majlis Keselamatan bagi melindungi Israel. Selainnya penguasaan ekonomi, politik dan pengaruh pertubuhan Zionis, tiada dapat ditandingi oleh mana-mana negara di Timur Tengah. Saya pernah bertanya pada Presiden Perancis Jacque Chirac mengapa Eropah yang kelihatan lebih simpati kepada perjuangan Palestin tidak melakukan sesuatu bagi mencapai penubuhan negara Palestin. Beliau memberitahu saya bahawa kata pemutus bergantung pada Amerika Syarikat.
Saya tidak boleh lupa peristiwa melibatkan ucapan Dr. Mahathir semasa Sidang Kemuncak OIC. Beliau dalam ucapan perasmiannya, telah menggariskan fakta sejarah terhadap kekuatan sebenar Israel diperingkat global. Reaksi Amerika Syarikat disuarakan kepada Duta Malaysia di Washington terhadap ucapannya begitu hebat sekali. Lantas Barat melabelkan beliau sebagai anti yahudi (anti Semitism). Walaupun di Sidang Kemuncak yang sama ucapan beliau juga membidas dengan jelas dan tegas menuding jari keatas kelemahan negara-negara dan masyarakat Islam. Tetapi negara-negara barat tertentu tidak melihatnya dalam konteks sebenar dan seimbang.
Saya tidak lupa yang saya dibanjiri dengan temubual oleh media barat termasuk Australia terhadap pendirian Malaysia yang dilihat mereka sebagai anti yahudi. Saya telah menjelaskan pada mereka mengapa apabila ia melibatkan Israel, negara barat melompat dengan segera seolah tidak boleh disentuh atau ditegur walaupun dari perspektif sejarah dan keadaan sebenar sememangnya pengaruh mereka sangat meluas. Adalah tidak tepat dan adil untuk melabel Dr. Mahathir sebagai anti yahudi sedangkan negara-negara Islam juga dikritik hebat.
Pada bulan Mei 2002, lawatan kerja Dr Mahathir ke Amerika Syarikat pada 13-15 Mei, telah dipersetujui dan diatur. Ianya nyaris-nyaris dibatalkan. Saya bertemu dengan Dr. Mahathir supaya meneruskan lawatan tersebut kerana saya tahu ada tangan-tangan lain yang cuba membatalkannya. Akhirnya beliau bersetuju dengan saranan saya. Lawatannya juga dimungkinkan kerana pendirian Malaysia terhadap tragedi September 11 dan Amerika Syarikat perlukan negara Islam yang sederhana sebagai rakan menentang keganasan.
Negara kecil seperti Singapura bersekutu dengan Amerika Syarikat, dan kedudukan ekonominya menjadi kukuh kerana jalinan tersebut. Mereka berjaya menjadi lebih menyerlah dalam pertubuhan antarabangsa dan rantau. Dalam forum dan perbincangan bersama Singapura dapat dirasai yang pendirian mereka lebih bergabung dan bermirip kepada barat khususnya Amerika Syarikat.
Kesan dan impak positif dan kukuh bagi negara kecil dan sederhana kini bergantung kepada penglibatan serta keahlian mereka dalam pertubuhan rantau. Tidak memadai untuk hanya menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) kerana keahliannya hanya akan menjamin pengiktirafan sebagai negara merdeka dan berdaulat. Kini pertubuhan-pertubuhan rantau sudah menjadi lebih berpengaruh dan mendatangkan banyak manfaat kepada negara ahli. Pertubuhan seperti ASEAN, Kesatuan Eropah(EU) dan NAFTA sememangnya memberi pengaruh dan kekuatan yang meluas kepada negara-negara ahli. Dalam EU negara-negara seperti Ireland dan Portugal beruntung dengan menjadi ahli EU. Di ASEAN pula selain dari Singapura negara seperti Laos, Cambodia, Vietnam dan Myanmar merasa selesa melalui ASEAN untuk membangunkan sosio ekonomi mereka dan melaksanakan rancangan pembangunan keseluruhan negara masing-masing melibatkan sokongan bukan sahaja dari ASEAN tetapi rangkaian rakan-rakan dialog yang terdiri dari kuasa-kuasa besar dan sederhana. Sebab itulah organisasi rantau antarabangsa memberi keyakinan kepada negara-negara kecil dan sederhana bahawa melalui kesepakatan mereka dapat memperjuangkan kepentingan bersama mereka diperingkat rantau dan global.
Dengan menjadi ahli dalam pertubuhan antarabangsa negara ahli terikat pada piagamnya, treati atau konvensyen. Keahlian secara tidak langsung bermakna mereka menyerahkan sebahagian dari kedaulatan negara kepada pertubuhan-pertubuhan multilateral antarabangsa ataupun rantau. Justru minat menyertai organisasi rantau oleh kerana manfaat serta pengaruh yang tidak mungkin diperolehi secara sendirian. Lagipula negara-negara berkenaan akan berasa lebih terselamat sebagai sebahagian dari kumpulan yang besar untuk berdepan dengan tekanan serta cabaran yang datang dari dalam dan luar. Dengan sendirinya tujuan seperti melahirkan satu komuniti ASEAN lebih berkemungkinan dicapai kerana pelbagai prasarana politik dan ekonomi telah disediakan bagi mencapai tujuan dan matlamat tersebut.
Perkembangan politik dan hubungan antarabangsa terus berubah mengikut keperluan semasa. Jika pada masa lampau golongan yang memperjuangkan kemerdekaan negara mereka dari dibelenggu penjajah menggunakan pelbagai pendekatan termasuk menggunakan kekerasan dianggap sah.
Walaubagaimana pun pada masa ini persekitaran dunia telah berubah dengan campurtangan PBB dan kuasa-kuasa besar tertentu diatas nama undang-undang kemanusiaan. Pada hari ini opsyen yang ada bagi memperjuangkan kebebasan berdepan dengan kekangan baru. Pejuang kini boleh dilabelkan sebagai pengganas atau kumpulan pengganas. Justru mereka tidak dapat sokongan menyeluruh dari masyarakat antarabangsa. Perbuatan mereka jika melibatkan kegunaan kekerasan dikutuk oleh masyarakat antarabangsa. Kaedah perjuangan boleh dirumuskan oleh kuasa-kuasa besar sebagai melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Oleh hal demikian mereka juga boleh dituduh dan dibawa ke Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk dihakimi dan dihukum.
Namun begitu tindak balas oleh negara yang menakluk dan menjajah dengan cara keganasan yang keterlaluan terhadap pejuang-pejuang tidak pula dilabelkan sebagai ‘state terrorism’. Lazimnya keganasan yang dilakukan oleh sesebuah negara yang mendampingi kuasa besar berbeza dan mereka tidak dihukum, seolah menghalalkan keganasan yang dilakukan. Walaupun apa yang dilakukan sebenarnya bukanlah bagi tujuan mempertahankan wilayah mereka. Terang-terang telah menggunakan kekerasan berlebihan (excessive force) bila berdepan dengan pejuang-pejuang kebebasan. Ia banyak menyebabkan kematian orang awam yang tidak berdosa. Kini taktik dan strategi sama digunakan di Iraq dan Afghanistan melalui serangan udara. Sering berlaku orang awam terbunuh kerana silap sasar. Yang terbaik mereka akan hanya meminta maaf.
Perbuatan mereka sememangnya tidak setimpal dengan mempertahankan kedaulatan wilayah dari apa yang dilabelkan sebagai serangan pengganas. Pelbagai alasan akan diberikan untuk tidak mengambil tindakan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lumpuh bila berhadapan dengan keadaan sebegitu. Baru-baru ini ‘Goldstone Report’, yang menunjukkan Israel melakukan ‘genocide’ ditolak oleh Israel. Mengikut laporan tersebut Israel melakukan jenayah perang. Mereka terus bersandar kepada negara penaung untuk dikecualikan berdepan dengan keadilan.
Rejim pertubuhan antarabangsa yang pada masa ini masih lagi tidak berperanan secara effektif dan berkesan bagi menanggani masalah di Palestin, Kashmir, Iraq dan Afghanistan serta perang-perang saudara di Afrika. Masyarakat antarabangsa juga sering dikaburi oleh kepimpinan diperingkat antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya digunakan apabila mereka mencari legitimasi keatas tindak tanduk mereka. Mungkin jika PBB ada kredibiliti dan integritinya ia dapat mengelakkan peperangan tercetus diserata tempat.
Buat masa ini negara-negara kecil dan sederhana terpaksa tunduk kepada kuasa ekonomi dan ketenteraan yang terkuat. China sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan pun berhati-hati, tidak mahu ‘assert’ pengaruh dan autoritinya. Kuasa ‘veto’ yang ada pada ahli tetap di dalam Majlis Keselamatan berperanan melemahkan keberkesanan PBB dan Majlis itu sendiri. Malaysia senantiasa berpendirian yang PBB sepertimana ia ada sekarang tidak dapat memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah semasa dunia. Sebab itu Malaysia menyokong penyusunan semula PBB dan Majlis Keselamatan.
Dasar luar yang konsisten, berprinsip dan pragmatik telah menjadikan Malaysia dihormati dan disegani oleh negara-negara lain. Selagi Malaysia tidak berdiam diri dan terus berperanan ketara, dasar luar Malaysia membawa kebaikan untuk negara.
Semenjak tahun 1981 sehingga 2003 semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia diletakkan dipeta dunia. Malaysia telah mengambil bahagian di dalam pelbagai isu rantau dan antarabangsa. Beliau telah bergerak mengikut arus dan tidak khuatir untuk menentang arus. Apa juga yang menyentuh soal kemanusiaan dan keadilan sejagat Malaysia tidak sunyi menyuarakan pandangan dan perspektifnya. Isu ekonomi, politik, social dan budaya, sistem dan oder dunia akan dianalisis dan diberi teguran oleh Malaysia diforum rantau dan global. Akhirnya kawan dan lawan terpaksa mengiktiraf peranan dan sumbangannya kepada masyarakat antarabangsa. Selaku Menteri Luar Negeri, saya dapat mengikut dengan dekat penglibatannya yang seringkali meletakkan Malaysia ditengah persada dunia.
Jelas sekali di antara Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir bertanggungjawab menjadikan Malaysia pemain global yang dikagumi dan dihormati. Saya terpaksa bergerak dari satu sudut dunia membawa mesejnya diperingkat dua hala dan pelbagai hala. Bertemu ketua negara/kerajaan serta Menteri dalam isu yang menjanjikan untuk melahirkan dunia yang lebih adil dan seimbang. Kerana sikapnya yang pragmatik, beliau sering mengubah pendekatan dalam soal dasar luar untuk menyesuaikan dengan keadaan dan kepentingan strategik Malaysia. Yang penting sekali ramai pemimpin negara yang berkunjung ke Malaysia mahu belajar dari kejayaan yang telah ditunjukkan oleh Malaysia. Sudah tentu peranan yang aktif dan proaktif dasar luar terlaksana dalam iklim dalaman atau domestik yang stabil dan pembangunan ekonomi yang membanggakan.
Jika Dr. Mahathir mengatakan pada masa dulu ini Abad Asia, kemudiannya beliau menukarkan kepada abad dunia bagi mencapai keamanan dan kedamaian dunia. Walaupun beliau dingin diperingkat awal kepada APEC, akhirnya beliau menjadi lebih komited kepadanya setelah melihat manfaat yang boleh diperolehi oleh negara, sehinggakan beliau bersetuju untuk Malaysia menjadi hos kepada Sidang Kemuncak APEC November 1998.
Saya ingat apabila saya mengesyorkan kepada beliau untuk menjadi pengerusi NAM dan OIC, reaksi beliau diperingkat awal ialah pertubuhan ini adalah ‘talking shop’ dan tidak ada sesuatu yang bermanfaat akan diperolehi dengan memimpin pertubuhan tersebut.
Saya memberitahunya yang beliau senantiasa memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun dan negara-negara Islam, maka masanya telah tiba untuk beliau memimpin kedua-dua organisasi tersebut. Beliau bersetuju dan dengan itu juga Malaysia memainkan peranan yang aktif dan membanggakan semasa kepimpinan Malaysia di kedua-dua organisasi itu.
Itulah yang saya maksudkan pendekatan dasar luar Malaysia tidak beku dan dibelenggu oleh negara maju ataupun barat. Malaysia telah mendaki gunung dan menentang arus. Namun Malaysia terus berjaya dalam hubungan politik antarabangsa serta sebagai negara perdagangan. Ia satu proses yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara global.