Wednesday, February 3, 2010

EVOLUSI DASAR LUAR MALAYSIA


Dasar Luar Malaysia adalah berasaskan kepada beberapa prinsip utama yang senantiasa konsisten dan berprinsip. Namun demikian pendekatannya tidak beku dan terus berubah mengikut peredaran masa serta perubahan pucuk pimpinan kerajaan. Malahan ia akan terus berubah berasaskan kepada keperluan dan kepentingan negara. Salah satu aspek yang penting dalam mengformulasi dasar luar sesebuah negara adalah peranan Perdana Menteri itu sendiri serta pengaruh dari Menteri dan pegawai-pegawai Kementerian Luar. Selainnya karakter dan wibawa PM juga akan mencorakkan nama dan imej negara. Kekuatan sesuatu dasar banyak bersandarkan kepada keperluan strategik negara serta persekitaran terkini diperingkat rantau dan antarabangsa.

Selepas perang dunia kedua oder baru dunia terbahagi berasaskan kepada ideologi yang melahirkan dua blok iaitu blok timur dan barat termasuk dalam sistem pengurusan ekonomi negara-negara berkenaan. Masing-masing membentuk jalinan serta rangkaian kerjasama diperingkat rantau dan antarabangsa yang menyerlahkan pegangan ideologi masing-masing. Blok Timur (Komunis/Kiri) dipelopori oleh Soviet Union, sedangkan blok barat pula oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah dijajah oleh Inggeris pada awal kemerdekaannya terus dipengaruhi oleh Britain, justru dasarnya lebih bermirip kepada barat. Malaysia juga bersikap ‘anti-komunis’, kerana didorong oleh sejarah dan pengalamannya berhadapan dengan ancaman komunis yang mahu membentuk kerajaan melalui kekerasan.

Sebenarnya pendirian Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam menentukan hala tujunya, sebuah negara yang baru merdeka akan mengambil contoh dari negara yang mereka rasa selesa serta lebih kenal dan biasa dengannya. Lantas keutamaan yang digunapakai adalah mengikut contoh dari Britain, selain berpandukan kepada situasi keperluan domestik, rantau dan antarabangsa Malaysia sendiri.

Berlatarbelakangkan sejarah dan pengalaman tersebut, bermulalah era Tunku Abdul Rahman. Beliau membawa pendekatan dasar luar negara dengan mengambil pendirian anti-komunis dan pro-barat. Sebagaimana lazimnya berlaku pada negara-negara lain yang baru merdeka, salah satu tindakan Malaya (dan kemudiannya Malaysia) untuk mendapat endorsemen pengiktirafan sebagai sebuah negara merdeka adalah melalui keanggotaan dalam Bangsa-Bangsa Bersatu. Keanggotaan sekaligus menjadikan negara diiktiraf sebagai sebahagian dari masyarakat antarabangsa yang berdaulat dan merdeka. Pada waktu itu Malaysia aktif dalam pertubuhan negara-negara komanwel dan menjalin hubungan rapat selain dengan negara di Asia Tenggara mahupun negara-negara Islam.

Bila Tun Razak pula mengambil alih pucuk pimpinan negara pada tahun 1971 dengan adanya asas yang kukuh, beliau bertindak lebih bebas dan mengelakkan dari dikongkong kepada hubungan erat dengan negara-negara barat sahaja. Justru hubungan diplomatik Malaysia lebih bebas dan meluas termasuk dengan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara China. Objektif Malaysia adalah untuk memelihara keamanan, keselamatan serta kestabilan di rantau ini. Oleh itu hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran khususnya Indonesia diperhebatkan lagi setelah berakhirnya konfrontasi. Lagipula pendekatan yang berorientasikan ideologi tidak lagi dijadikan penentu kepada pendekatan dasar luar Malaysia dalam hubungan diplomatik serta antarabangsanya. Tun Hussein semasa pimpinannya terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN. Dasar luar negara memainkan peranan penting bagi meletakkan nama dan negara diarena antarabangsa.

Apabila Tun Dr. Mahathir mengambil alih pucuk pimpinan negara dari Tun Hussein Onn pada tahun 1981 kelihatan perubahan yang radikal dan ketara. Boleh dikatakan satu transformasi dan perubahan besar telah berlaku kepada dasar luar Malaysia. Peranan Malaysia terhadap isu-isu hubungan antarabangsa menjadi lebih terbuka dan kritikal. Beliau mengambil sikap di peringkat global yang berteraskan apa yang difikirkan terbaik untuk kepentingan Malaysia dan keadilan antarabangsa. Justru Malaysia menjadi lebih aktif di arena antarabangsa. Hasilnya Malaysia lebih terkenal dan dihormati kerana ketegasan dan kelantangannya memperjuangkan kepentingan negara-negara kecil dan membangun. Justru suara Malaysia terdengar dalam kritikan terhadap sistem multilateral. Banyak perkara dan tajuk disuarakan Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan oder dunia yang dianggapnya pincang serta berat sebelah kepada negara maju di barat. Persoalan keadilan antarabangsa, politik, kewangan, ekonomi, serta peranan Bangsa-Bangsa Bersatu ditegur dan dikritik berulang demi mencari oder dunia yang lebih adil dan saksama.

Malaysia percaya bahawa Bangsa-Bangsa Bersatu adalah mustahak serta penting dalam sistem multilateral. Namun Tun Mahathir terus sinis serta kritikal kepada apa yang dianggap sebagai kegagalan dalam menyelesaikan masalah keamanan dunia dan sistem ekonomi dunia yang seimbang. Beliau berpendapat Bangsa-Bangsa Bersatu mudah dimanipulasikan oleh negara-negara kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau menjadi pengkritik utama kepada sistem multilateral (pelbagai hala).

Pada ketika itu dapat dirasai bahawa Malaysia lebih menekankan kepada diplomasi bilateral, lebih-lebih lagi dengan negara-negara kecil dan membangun. Apa yang dilakukan oleh beliau tidak dapat disangkal membawa banyak manfaat kepada negara. Diperingkat multilateral negara-negara kecil dan membangun pula memiliki undi terbanyak dan mereka sering memberi sokongan kepada Malaysia bila Malaysia bertanding untuk mana-mana jawatan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Agensi-agensi dibawah Bangsa-Bangsa Bersatu. Malaysia disegani dan dihormati oleh mereka kerana berjaya menjuarai perjuangan mereka. Hanya Majlis Keselamatan yang tidak dapat diubah bagi mencerminkan suara teramai keanggotaan Bangsa-Bangsa Bersatu. Bila negara-negara membangun kuat, berpengaruh serta berpadu, negara-negara kuasa besar berasa kurang senang dengan keadaan tersebut. Oleh kerana mereka adalah pembiaya utama kepada kewangan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka menganggap bahawa peranan dan pengaruh tidak seharusnya diganggu gugat. Kuasa penentu di Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu yang memihak kepada negara kecil dan membangun akan meletakkan kedudukan mereka terancam.

Selaku Menteri Luar, saya merasai kehadiran Malaysia dan peranannya begitu jelas dalam pelbagai tajuk dan isu mengikut tuntutan masa dan perkembangan di arena antarabangsa. Tidak dapat dielakkan oleh kerana peranan Malaysia maka anjakan tersebut telah mempengaruhi peranan yang dimainkan Malaysia di pentas Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi-agensi antarabangsa lain Bangsa-Bangsa Bersatu. Tugas dan tanggungjawab Malaysia serta Menteri Luar menjadi lebih bertambah dan mencabar apabila Malaysia memegang pelbagai jawatan penting, seperti Presiden Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu, Pengerusi NAM, OIC, dan kemudiannya ASEAN. Pengaruh Malaysia melangkaui kedudukannya sebagai sebuah negara membangun yang saiznya tidak begitu besar.

Oleh kerana pendirian Malaysia tegas dan jelas, dimasa yang sama munasabah serta berprinsip interaksi Malaysia menjadi lebih berkesan ditahap bilateral dan multilateral. Saya yakin sebagai sebuah negara kecil jika dasar luar Malaysia hanya tunduk kepada kepentingan kuasa besar, ia lebih merugikan dan melemahkan negara. Adalah lebih berfaedah untuknya berpegang kepada pendirian yang seimbang dari perspektif prinsip, konsisten dan pragmatik. Malaysia tidak mencari musuh dengan mana-mana negara. Sikap berbaik-baik adalah bermanfaat kepada Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan. Bila Malaysia membuat pendirian negara kecil dan membangun lain dapat memberi sokongan kerana jalur alurnya berteraskan kepada keadilan sejagat. Lagipula Malaysia tidak perlu bergantung kepada negara lain untuk menguruskan dasar domestiknya. Kedudukan dasar ekonomi dan rencana kerajaan diteraskan kepada keupayaan dan kewangan negara. Malaysia berdagang dengan negara kuasa besar dan kecil berasaskan kepada manfaat bersama.

No comments:

Post a Comment