Tuesday, August 10, 2010

PERSATUAN ZZZ


Penubuhan mana-mana persatuan bagi menimbulkan semangat kesukarelawan dan menaburkan bakti adalah perkara yang perlu dialu-alukan. Begitulah juga bila Persatuan ZZZ dilahirkan, perasaan gembira dikalangan ahli-ahli baru terus meluap. Justeru Persatuan ZZZ telah ditubuhkan setelah mencapai Kemerdekaan, di atas niat dan tujuan yang murni. Sebagaimana lumrah pemimpin datang dan pergi seperti dalam mana-mana persatuan. Pada ahli, yang utama ialah mendapat seorang pemimpin yang adil dan bertimbang rasa.

Objektif Persatuan pun dibuat secara mudah untuk dilaksanakan dan dipatuhi, iaitu bagi menjaga serta menjamin kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahlinya. Tiada siapa boleh menyatakan objektif tersebut adalah sesuatu yang tidak baik. Ramai ahli yang menjadi komited dengan matlamat sedemikian untuk membolehkan mereka memberi sumbangan. Lagipula ia tidak terlibat dengan kancah politik. Fokusnya adalah untuk semata-mata memberi khidmat bakti secara sukarela. Oleh kerana tujuan murni sebegitu lahirlah kerjasama serta semangat kekitaan dan kemesraan di kalangan ahli.

Saya mengikuti perkembangan persatuan ini secara dekat kerana saya memang suka melihat kerja-kerja sukarela diberikan sokongan konkrit dan bersungguh-sungguh. Saya perhatikan ahli-ahli memberi sumbangan pun bersungguh-sungguh tanpa mengira penat lelah selaras dengan objektif dan aspirasi persatuan. Tidak syak lagi niatnya adalah semata-mata untuk berkhidmat dalam kerja-kerja amal bagi kebaikan rakyat jelata. Rakyat juga menghargai sumbangan persatuan.

Suasana dan hubungan ahli-ahli memang ceria, mesra dan seronok kerana mereka dapat menjalin silaturrahim sesama ahli. Semua aktiviti yang dilaksanakan berjalan dengan baik dan lancar. Namun begitu suasana mula berubah bila salah seorang ahli mempunyai cita-cita untuk menguasai dan memiliki Persatuan ZZZ. Dia pula rela melakukan apa saja bagi mencapai cita-citanya. Selaras dengan niatnya dia merancang dan bertindak untuk menjadi popular termasuk menggunakan wang ringgit. Pelbagai pelan tindakannya telah disusun oleh orang-orangnya supaya dia akan tiba di atas bersama-sama kelompoknya.

Sebenarnya kerana sikap dan caranya bertindak suasana persatuan menjadi renggang dan tegang. Dari awal-awal lagi dia telah menanam perasaan dendam untuk bertindak menyingkir sesiapa juga yang tidak menyokongnya. Dia melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendaknya. Ada masa dia berlagak mesra dan ada masanya angkuh dan sombong. Sememangnya ramai yang tidak tahu bagaimana untuk melayan kerenahnya. Lebih menakjubkan semua orang jauh dan dekat menakutinya. Salah satu perangainya adalah dia menyimpan dendam keatas sesiapa yang dianggap menentangnya.

Bila dia mengambil alih jawatan Presiden tindakannya menjadi lebih terserlah kerana dikatakan dia banyak menzalimi dan menganiayai orang yang tidak berdosa. Dia terang-terang hanya bergaul dan berasa selesa dengan “geng”nya sahaja yang pandai ‘kipas’ dan memujanya. Kawan saya dapat merasakan seolah dia terdiri dalam golongan yang tidak disukai dan dimusuhi oleh Presiden. Dia tidak segan memulau sesiapa yang tidak disukainya. Oleh kerana itu ramai ahli menjadi hilang minat kepada Persatuan. Lantas tidak lagi mahu mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan. Sikap Presiden meminggirkan orang yang dibencinya itu tidak berakhir di situ. Kawan saya yang tidak berdosa dan tidak ada cita-cita untuk mengambil alih tampuk pimpinan persatuan pun menjadi mangsanya. Ramai juga yang hairan mengapa walaupun telah menjadi Presiden, masih tidak puas dan terus bermusuhan serta berasa ada ancaman terhadap kedudukannya.

Kata kawan-kawan saya bila dia marah, dendamnya semakin memuncak. Dia sering memberitahu “geng-geng”nya “Tunggulah bila aku berkuasa aku tahulah ajar mereka”. Memang benar bila dia berkuasa dia segera melakukan apa yang dikatakan. Bagi mengelak dari dimalukan dan dihina kawan saya terus memisahkan dirinya dari Persatuan. Walaupun begitu bila berada diluar persekitaran persatuan Presiden cepat memberi persepsi semuanya elok, sedangkan keadaan sebenar disebaliknya dan terus bergolak.

Dari awal-awal lagi Presiden Persatuan, sudah mengatur apa yang hendak dilakukan serta bagaimana beliau hendak menguruskan Persatuan mengikut rentak dan caranya. Ramai yang tidak suka pada kerenahnya tapi semua orang takut dan patuh padanya kerana dialah yang berkuasa. Ahli pun tidak berani menentang. Mereka yang menentang pasti akan berdepan dengan padahnya.

Lebih buruk lagi apabila akhirnya dia menyingkir kawan saya. Berbagai alasan telah digunakan untuk tujuan tersebut. Presiden baru itu setelah mencapai cita-citanya terus melakukan perkara-perkara yang dijanjikan. Diluar mereka bercakap macam-macam hal berkenaannya. Tetapi bila bersamanya terus memuji kerana mereka takut berdepan dengan kemurkaannya kerana mereka tahu kesannya berbuat demikian. Boleh dikatakan Presiden memiliki dwi watak. Pada orang awam dia cuba menunjukkan sifat lembutnya tetapi hakikatnya dia menggunakan kuasa untuk menzalimi orang lain. Pada mulanya saya tidak percaya cerita kawan saya tetapi setelah lebih ramai memberikan cerita yang sama baru saya yakin. Kawan saya menganggap dirinya malang kerana tidak pandai memuji atau mengampu. Saya mengoyangkan kepala. Lebih buruk lagi bila ada dikalangan ahli yang menjadi tukang pengapi dan pemfitnah kawan-kawan sendiri. Presiden pula terus mempercayai tanpa usul periksa.

Saya terus tanya pada ahli dan orang lain yang mempunyai pengalaman, kisah mengenai Presiden, semuanya konsisten dengan satu cerita. Saya teringat balik lagenda dongeng dari Shakespear “Macbeth” dan “Louis Carol” dalam “Alice in Wonderland”. Banyak betul kisah lama rekaan manusia yang mempunyai kesamaan dengan hakikat kehidupan hari ini. Saya hairan mengapa bila sudah berkuasa mesti bengis dan garang. Cita-cita sudah tercapai lebih baik bertindak adil. Tidak merugikan sekiranya berbuat demikian. Tapi dalam hidup ada macam-macam perangai dan tabiat. Kuasa dan pangkat memabukkan. Semoga Allah s.w.t berikan pentunjuk dan hidayah kepada kita semua.


No comments:

Post a Comment