Wednesday, August 25, 2010

DOKTRIN TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Subjek tanggungjawab bersama ahli-ahli Jemaah Menteri menarik minat banyak pihak. Sebenarnya, ia mula muncul apabila sistem Raja Mutlak di Britain diambil alih oleh Sistem Raja Berperlembagaan melalui demokrasi berparlimen. Di peringkat awalnya ia juga bertujuan untuk menjamin hubungan Raja dan jemaah Menteri agar tidak bertembung. Namun demikian sekarang ini pemakaiannya adalah bagi menggariskan tanggungjawab ahli kerajaan dan bukan ahli kerajaan di Parlimen.

Bagi menentukan kaedah ini boleh dilaksanakan dengan berkesan timbullah keperluan supaya ahli-ahli Kabinet mempunyai tanggungjawab bersama dalam soal dan isu-isu mengenai pendirian Kerajaan yang telah diputuskan oleh Kabinet. Perkara ini telah diperkatakan dengan jelas oleh 

Lord Melbourne (Perdana Menteri) Britain ketika beliau menyatakan kepada Kabinetnya pada 1841:
     “Bye the bye, there is one thing we haven’t agreed upon, which is, what are we to say? Is it better to make our corn dearer, or cheaper, or to make the price steady?  I don’t care which: but we had better all tell the same story”

Apa yang disebutnya memberi gambaran jelas terhadap maksud tanggungjawab bersama yang perlu diamalkan oleh Ahli-ahli Kabinet. Dengan sendirinya ia perlu diterima oleh Ahli-ahli Kabinet yang mesti memberi pendirian dan kenyataan Kabinet yang tidak bercanggah dengan keputusan Kabinet. Walaupun konvensyen tanggungjawab bersama tidak dimaktubkan dalam undang-undang atau mana-mana akta khusus tetapi ianya diterima dan diiktiraf sebagai memiliki kuasa atau kesan undang-undang.

Perkembangan sistem Raja Berperlembagaan dalam demokrasi memindahkan hak dan kekuasaan Raja Mutlak kepada rakyat dan Parlimen.  Masing-masingnya tertakluk kepada bidang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.  Di sebaliknya di Britain kerana tidak ada Perlembagaan bertulis ia banyak bergantung kepada amalan konvensyen dan kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah tertinggi di negara tersebut.

Melihat kepada keadaan semasa, ada juga pihak yang mengatakan bahawa tanggungjawab bersama tidak boleh lagi dipakai secara total. Alasan yang digunakan adalah kerana bentuk dan saiz Kerajaan sudah berubah termasuklah peranan yang lebih luas yang dimainkan oleh media.  Mungkin doktrinnya berdepan dengan pengubahsuaian akibat perubahan persekitaran semasa.  Namun demikian prinsip dan amalan masih lagi dianggap relevan dan digunapakai bagi mengelakkan kecelaruan berkenaan dasar-dasar Kerajaan atau pendirian Kerajaan terhadap isu-isu tertentu.  Kesatuan Menteri apabila menyentuh soal dasar atau pendirian kerajaan di khalayak umum adalah perlu bagi menjamin kredibiliti Kerajaan tidak terjejas.  Jika setiap Menteri mempunyai pendirian tersendiri atau pandangan yang berbeza-beza di antara satu sama lain, kerajaan akan hilang kredibiliti dan menjejaskan kebolehpercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan untuk memerintah. Tidak syak lagi perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh Ahli-ahli Kabinet oleh kerana ia mempunyai kesan mendalam kepada kerajaan.

Begitu juga dalam soal-soal melibatkan kerahsiaan Kerajaan. Jika setiap isi kandungan dalam perbincangan di mesyuarat Kabinet diketahui umum, ia akan mengganggu Menteri dari berbincang sesuatu subjek secara telus dan terbuka.  Saya masih lagi ingat satu insiden, di mana perbincangan dalam Kabinet disiarkan oleh sebuah media cetak secara verbatim (terperinci) termasuk nama-nama Menteri dan apa yang dikatakan oleh mereka.  Ini mendedahkan ahli Kabinet kepada keadaan yang amat merbahaya dan boleh menganggu kebebasan Menteri bagi terlibat dalam perbincangan. Kebocoran itu amat serius tetapi tidak dapat diambil tindakan kerana kebocoran dikatakan berlaku dari dalam. Ia memberi implikasi negatif terhadap Ahli-ahli Kabinet. PM pada ketika itu Abdullah Badawi telah memberi peringatan keras kepada Ahli-ahli Kabinet tentang tanggungjawab bersama dan kerahsiaan mengenai perbincangan dalam Kabinet.

Geoffrey Marshall seorang pakar mengenai persoalan tanggungjawab bersama menggariskan tiga prinsip yang menyebabkan pengamalannya menjadi penting dalam sistem  pemerintahan berkabinet iaitu:-
(i) Prinsip Keyakinan;
(ii) Prinsip Sebulat Suara;
(iii) Prinsip Kerahsiaan/Sulit

Ketiga-tiga prinsip yang disebutkan beliau ada hubung kait rapat di antara satu sama lain. Tanpa keyakinan rakyat susah untuk sesuatu kerajaan ditadbir dengan stabil serta boleh menyebabkan hilang sokongan rakyat terhadapnya. Begitu juga jika Kabinet tidak bersatu akan terhakis kredibilitinya dan masyarakat tidak dapat tahu apakah dasar dan pendirian kerajaan sebenar yang boleh dipegang. Contohnya dalam kes Zaid Ibrahim semasa memegang jawatan sebagai ahli Kabinet. Beliau sering mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang berbeza dari apa yang diputuskan oleh Kabinet ataupun menunjukkan pendiriannya yang berbeza dengan rakan-rakannya dalam Kabinet. Maka akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan kerana tidak mahu menerima prinsip tanggungjawab bersama. Bahkan jika ahli Kabinet tidak boleh menyimpan rahsia ia juga akan membawa kesan negatif kepada kerajaan dan boleh menyulitkan perbincangan secara terbuka dalam Kabinet.

Setiap Perdana Menteri memiliki watak dan style nya sendiri dalam memimpin negara. Pernah juga terjadi dimana, Menteri-menteri sering memberi kenyataan  yang berbeza atau bercanggah di antara satu sama lain. Ada masa mereka juga menyentuh perkara yang bukan dalam bidang tanggungjawab mereka. Insiden sebegitu merugikan parti dan kerajaan. Ia telah juga melemah dan menjejaskan kredibiliti  kerajaan.

Setelah memenangi PRU 1990 saya dilantik sebagai  ahli Kabinet Malaysia. Pada saat itu saya sedar yang saya sudah bukan lagi seorang rakyat biasa tetapi menjadi hak milik masyarakat umum. Saya juga menghayati pentingnya untuk menerima prinsip tanggungjawab bersama dan saya adalah salah seorang yang percaya  serta berpegang tegoh kepada prinsip tersebut.

Dalam soal tanggungjawab bersama, Ahli Kabinet Kerajaan atau Ahli Jemaah Menteri semestinya mempunyai tanggungjawab tersebut. Ini bermakna setiap ahli Kabinet mestilah menerima keputusan Kabinet yang telah dibuat dalam mesyuarat Kabinet. Oleh itu tidak seharusnya timbul pendirian atau pendapat tersendiri yang berlainan dengan dasar atau pendirian yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet. Memanglah lumrah semasa mesyuarat Kabinet berbagai pandangan dan pendapat disuarakan tetapi apabila sesuatu keputusan telah tercapai semua ahli Kabinet perlu akur dan terikat kepada keputusan yang telah diambil. Soal ada pendirian atau pendapat berlainan tidak seharusnya timbul selepas keputusan.

Pada saya perkara itu mudah dan jelas. Kalau kita tidak dapat menerima keputusan secara bersama jalan yang tepat dan terhormat adalah untuk meletakkan jawatan. Jika ada perlanggaran terhadap  prinsip tanggungjawab bersama dan perkara itu serius maka Perdana Menteri berhak memberhentikan seorang ahli Kabinet ataupun memintanya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Kabinet. Semasa era Tunku Abdul Rahman, Aziz Ishak terpaksa berhenti kerana beliau mengambil pendirian yang bertentangan dengan Kabinet mengenai pembinaan kilang baja urea di negara ini. Perkara itu adalah sejajar dengan amalan sejagat khusus bagi negara yang mengamalkan  konvensyen berasaskan model Westminster.

Dalam Wikipedia  di katakan tanggungjawab bersama mengikut amalan konvensyen adalah prasyarat utama untuk Ahli-ahli Jemaah Menteri berpegang apabila berdepan dengan masyarakat umum terhadap soal  dasar atau pendirian kerajaan. Walaupun secara peribadinya seorang ahli Kabinet mungkin memilih pendirian yang berbeza terhadap keputusan yang telah diambil tetapi kepada masyarakat umum perkara tersebut tidak boleh diluahkan.

Menteri termasuklah Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen (yang bukan sebenarnya Ahli Jemaah Menteri), juga perlu akur dengan prinsip tanggungjawab bersama. Justeru itu diwajibkan setiap Menteri untuk akur kepada keputusan Kabinet. Akibatnya jika ada pengundian berlaku di Parlimen ke atas apa-apa isu yang sudah pun ada keputusan Kabinet mereka perlu mengundi mengikut apa yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri. Justeru itu menteri-menteri tidak boleh mengeluarkan pendapat yang berbeza dari keputusan Kabinet. Ini penting bagi mengelakkan kecelaruan dalam memahami dasar-dasar atau pendirian kerajaan di khalayak umum. Jika ia berlaku ia pasti akan memberi kesan negatif kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Andainya tercetus   hilang kepercayaan di Parlimen, kerajaan secara keseluruhan perlu meletakkan jawatan untuk mengadakan semula satu pilihanraya baru ataupun jika Yang diPertuan Agong berpuashati ada parti lain yang boleh mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, Baginda boleh menjemput parti tersebut untuk membentuk kerajaan.

Di negara ini tidak pernah terjadi di mana Ahli Kabinet  diberikan kebenaran untuk mengundi mengikut suara hatinya sendiri. Walaubagaimanapun, perkara-perkara sebegitu pernah berlaku di Britain dan Kanada. Tindakan sedemikian hanya terpakai dalam keadaan-keadaan tertentu atau kritikal sahaja dan tidak menjadi perkara lazim.

Bahkan dalam sistem kerajaan berkabinet semua keputusan utama kerajaan tidak dibuat oleh Menteri itu sendiri tetapi dibincang dan diputuskan oleh Kabinet. Bila Menteri yang berkenaan menyebut dasar atau pendirian beliau ia hanya melakukannya di atas nama kerajaan. Menteri lain tidak boleh buat komen terbuka jika tidak bersetuju tetapi merujuknya semula pada Kabinet. Apa juga tindakan Menteri  mesti didasari oleh apa yang diputuskan oleh Jemaah Menteri. Contohnya dalam isu tidak membenarkan penggunaan  perkataan tertentu untuk bukan Islam. Keputusan Kabinet terhadap isu tersebut telah  dibuat seawal tahun lapan puluhan semasa Dr. Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri. Justeru itu seorang Menteri perlu berhati-hati  dan berhemah bila membuat apa-apa komen di khalayak ramai ataupun kepada media. Jika sesuatu isu berada dalam prosiding mahkamah ianya boleh menjadi subjudis.

Apakah sebenarnya kesan tanggungjawab bersama? Ia bukan sahaja menentukan disiplin dapat dikawal di kalangan ahli-ahli Kerajaan tetapi juga dapat menjamin sistem pemerintahan berkabinet agar tidak bercelaru. Begitu juga seseorang Menteri tidak sepatutnya membincangkan secara terbuka dasar yang belum diputuskan dalam Kabinet. Jika ia berlaku ia boleh mengikat Kabinet di atas perkara yang belum diputuskan lagi. Oleh kerana itu Perdana Menteri yang bertanggungjawab memimpin kerajaan sering mengingatkan kepada Ahli Jemaah Menteri supaya patuh kepada keputusan Jemaah Menteri. Ada masanya ia juga melibatkan soal menyimpan rahsia terhadap perkara-perkara yang dibincangkan dalam Kabinet tetapi tidak boleh didedahkan kepada umum.

Saya ingat dalam satu mesyuarat Kabinet Dr. Mahathir mengingatkan seorang Menteri mengenai tanggungjawab bersama ahli-ahli Kabinet. Perkara ini berbangkit apabila Menteri tersebut telah membuat kenyataan  di media cetak dan elektronik menyokong pendirian tuan-tuan tanah di persekitaran 2nd link di atas soal pengambilan tanah oleh pihak kerajaan. Dr. Mahathir mengingatkan ahli Kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet boleh berhenti. Walaupun ia nampak kasar tetapi itulah amalan sebenar tanggungjawab bersama.

1 comment:

  1. Prinsip tanggungjawab bersama sememangnya penting dan perlu dipraktikkan oleh menteri kabinet.

    ReplyDelete