Tuesday, September 21, 2010

HAK DAN KEDUDUKAN ISTIMEWA ??


Pada masa ini ramai dikalangan masyarakat asyik berbincang mengenai Artikel 153 dan kaitannya dengan kedudukan orang Melayu dan bumiputera. Apakah ia perlu dibangkitkan dan diungkit pada masa ini seolah ianya satu perkara baru?. Saya anggap ia menarik kerana pada masa ini, ia bertujuan untuk meraih sokongan politik. Justru itu ia diwarnai oleh emosi serta mewakili kepentingan-kepentingan tertentu. Akibat polimik yang keterlaluan ia boleh menimbulkan kesan negatif yang boleh menjejaskan keharmonian diantara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Pada saya lebih berfaedah jika ianya ditinjau dari perspektif sejarah dan undang-undang. Persoalan samada Artikel 153 menyentuh hak atau kedudukan istimewa orang Melayu tidak patut dibahaskan dari sudut yang sempit. Dengan perbincangan sedemikian tidak akan lahir perdebatan yang rasional serta tidak dipengaruhi oleh emosi.

Kini subjek ‘hak’ dan ‘kedudukan’ telahpun dipolimikkan oleh ahli-ahli politik, akademik serta pengamal undang-undang. Banyak yang telah diperkatakan mengenainya tidak membantu dalam mewujudkan suasana tenang. Saya akan memberi pandangan terhadap isu penting ini dalam konteks sejarah dan undang-undang. Saya berharap ia dapat menyumbang kepada perbincangan tajuk dengan lebih rasional dan munasabah.

Dari perspektif sejarah, negara ini terletak dalam kawasan yang dikenali sebagai kepulauan Melayu dengan sistem pemerintahan dan kerajaannya yang tersendiri sehingga ia dijajah oleh berbagai kuasa besar pada masa itu. Apabila negara menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), dan kemudiannya Malaysia telah dilahirkan dengan unsur-unsur kompromi dan akomodasi. Jika diimbau sejarah, jelas sekali perjanjian Malayan Union yang cuba dilaksanakan oleh Inggeris ditolak oleh orang Melayu semata-mata kerana ia tidak mengiktiraf kedudukan orang Melayu sebagai anak watan dan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah mutlak. Masyarakat Melayu berasa marah dan menentang penubuhan Malayan Union. Oleh kerana tindakan ini juga Persatuan-persatuan Melayu telah bersatu bergabung untuk membentuk UMNO pada 11 Mei 1946. Bila pihak Inggeris sedar mereka silap langkah Malayan Union terkubur dan digantikan dengan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Apakah maknanya dalam konteks negara ini?. Pada saya ia dengan sendirinya memaparkan ianya adalah sebuah negara yang sudah ada institusi kerajaan dan pemerintahan. Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu pada Jun-Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya ia telah menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 diantara kerajaan British dan Raja-Raja Melayu. Pada 1 Februari 1948, terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian ini dengan sendirinya menentukan hak dan kedudukan Raja-Raja dan orang Melayu serta bumiputera lain di negara ini.  Oleh itu samada Artikel 153 menggunakan perkataan ‘hak’ atau ‘kedudukan’ tidak seharusnya menjadi polimik. Ianya berlainan jika timbul kehendak mana-mana pihak untuk memindanya atau menidakkan sejarah negara ini.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya kemasukan Sabah dan Sarawak bagi menubuhkan Malaysia secara langsung mengiktiraf dan mengambil kira bahawa bumi ini bukan bumi yang kosong tetapi mempunyai penduduk dan kerajaannya sendiri semasa Inggeris dan lain-lain kuasa mula menjajah negara. Kesannya ia menjamin kedudukan Raja-Raja dan juga status quo masyarakat Melayu dan bumiputera. Masyarakat bukan Melayu yang lahir dan juga bermastautin di negara ini diberi pilihan untuk menjadi rakyat persekutuan dan kemudiannya Malaysia. Bila mereka membuat pilihan untuk menjadi warga mereka menerima apa yang telah dipersetujui bersama dan Perlembagaan Negara. Oleh itu setiap perkara yang dinikmati hari ini adalah hasil dari persetujuan dan pengiktirafan sejarah Malaysia. Untuk membahas dan merungkainya semula pada masa ini tidak menyumbang kepada perpaduan, keselamatan ataupun kestabilan pembangunan sosio politik negara.  Seluruh rakyat tidak kira apa latarbelakangnya perlu menerima hakikat Malaysia ini adalah milik semua warga secara bersama dan keadilan pula dilaksanakan mengikut perbezaan masing-masing supaya tidak ada golongan yang tersisih atau berasa tersisih.

Kedudukan Artikel 153 tidak seharusnya di tafsirkan dalam konteks bersendiri. Lagipula Artikel 153 tidak menjadikan orang bukan bumiputera rakyat kelas kedua. Mereka mempunyai peluang yang luas untuk terus maju kehadapan. Sebenarnya jika dikaji secara objektif kedudukan kaum lain tidak terjejas dan kemajuan ekonomi dan pendidikan mereka selepas negara mencapai kemerdekaan adalah lebih baik dari masa era penjajah dan terus pantas berkembang mengatasi pencapaian dari kaum bumiputera.

Ini tidak pula bermakna yang kaum bumiputera menafikan yang ada orang miskin dikalangan kaum bukan bumiputera. Namun demikian dari segi golongan professional, mereka yang terkaya dan pendapatan isi rumah, kedudukan kaum cina adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kaum bumiputera yang masih lagi di paras yang ke terbawah sekali. Begitu juga dalam soal pemilikan harta tanah ‘privasi’. Bila menangani isu kemiskinan tidak seharusnya ada bias terhadap mana-mana kaum. Semua rakyat miskin dalam negara ini mesti dibela. Lantas rakyat berhak menerima manfaat dari dasar-dasar kerajaan. Mungkin ada kepincangan dari segi pelaksanaan tetapi ia bukan berasaskan diskriminasi kaum.

Negara Malaysia bukan mudah untuk di urus tadbir kerana kedudukan kaum minoritinya yang agak besar. Berlainan dengan Singapura dimana kaum Melayu sudah menjadi minoriti yang kecil. Dasar kerajaan Singapura dari dahulu hingga sekarang adalah bagi menentukan kedudukan majoriti kaum Cina senantiasa tinggi, sekurang-kurangnya di paras 75%. Cara pemerintahan di Malaysia dan Singapura tidak boleh disamakan. Banyak kelainan yang wujud diantara kedua-duanya. Lebih bijak sekiranya tidak ada campur tangan dari orang luar dalam mencorakkan negara kita.

Adalah penting juga tidak dimanipulasikan sejarah. Walaupun pada mulanya ‘kedudukan istimewa’ dicadangkan ada tempoh masanya, tetapi ia rata-rata ditolak oleh orang Melayu. Akhirnya peruntukan tersebut tidak dimasukkan dalam Perlembagaan. Provisi ‘kedudukan istimewa’ dijadikan sebagai ‘entrenched’, dimana pindaan ke atasnya memerlukan 2/3 majoriti dan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Ini bermakna samada hendak dipanggil ‘hak’ ataupun ‘kedudukan’, ia seharusnya tidak menimbulkan pertikaian ataupun kontroversi. Kedudukan dalam Perlembagaan memberikan bumiputera hak untuk dilayani khusus bagi menentukan mereka tidak terpinggir kerana ketidakadilan sejarah. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan adalah hasil penolakan UMNO terhadap had masa yang dicadangkan. Tindakan itu menyebabkan satu ‘tripartite working party’ dibentuk bagi mengkaji laporan ‘Suruhanjaya Reid’.

Banyak kekeliruan ditimbulkan apabila Artikel 153 tidak dikaji secara holistik. Bukan Artikel 153 yang patut disoalkan. Sebenarnya dasar pengagihan yang diusahakan seharusnya memberikan keadilan kepada golongan yang tertinggal. Jika dirungkai semula segala persetujuan dan persefahaman lampau di antara wakil-wakil kaum di negara ini maka ia akan mengancam keselamatan, keamanan, dan kestabilan negara sedangkan perkara itu patut ditangani secara berhemah dan dengan kefahaman mendalam terhadap sejarah negara.

Hubungan Artikel 153 dengan Artikel 8 adalah amat jelas dan harmoni.  Artikel 8 memperuntukkan supaya pelaksanaan undang-undang tidak diwarnai oleh diskriminasi agama, bangsa, keturunan dan tempat lahir tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Oleh yang demikian, tiada ketidak-konsistenan di antara Artikel 8 dan Artikel 153 kerana Artikel 153 digubal dengan mengambil kira Artikel 8.

Artikel 8 telah digubal supaya memperuntukkan kewujudan Artikel 153 dengan perkataan “Except as expressly authorised by this Constitution” dan jika diselami secara logiknya, Artikel 153 yang menyusuli kemudian memanglah digubal secara kognitif terhadap prinsip am di dalam Artikel 8.

Kedudukan istimewaan orang Melayu di bawah Artikel 153 adalah pengecualian kepada prinsip di dalam Artikel 8.  Ini adalah disengajakan hasil perjanjian yang telah dicapai bagi menjamin keharmonian Negara.

Oleh itu, tidak timbul keperluan bagi Yang Di-Pertuan Agong atau suatu badan yang diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk mentafsirkan Artikel 153 bagi merungkaikan maksud keistimewaan orang Melayu mengikut peruntukan Artikel 8.  Apa-apa percubaan untuk mentafsirkan Artikel 153 selain dari maksudnya yang sudah jelas adalah cubaan untuk meminda niat asal Perlembagaan.

Perdebatan bahawa Artikel 153 adalah tidak adil tidak sepatutnya dibangkitkan kerana keputusan untuk menginstitusikan kedudukan istimewa orang Melayu adalah dibuat berdasarkan keperluan jangka panjang serta persetujuan pada masa itu.  Isu ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah tidak kena-mengena dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.  Kita tidak boleh menuduh orang yang menegakkan peruntukan Artikel 153 sebagai tanda mereka menyokong gejala yang tersebut di atas.

Mekanisma pindaan perundangan juga adalah jelas bagi memperuntukkan supaya undang-undang adalah dinamik dan boleh diubah mengikut keperluan semasa. 

Apakah kaum-kaum lain secara umum tertindas dengan adanya Artikel 153 selama ini?  Pincang dan terdesak kah keadaan sekarang ini sehingga Perlembagaan Persekutuan dan dengannya “kontrak sosial” perlu dirombak?  Apakah ianya tidak lagi menjamin keharmonian dan sebaliknya mengugat keamanan?  Jika demikian maka terdapat saluran yang sah bagi membincangkan keadaan tersebut.

Persoalannya sekarang ialah samada pindaan kepada peruntukan Perlembagaan dan dengannya “kontrak sosial” ini adalah jalan yang terbaik bagi memastikan hubungan kaum akan menjadi lebih akrab dan baik bagi semua?

Langkah yang utama sekali adalah untuk setiap rakyat Malaysia tidak melihat segala-galanya dari perspektif kaum. Tidak ada gunanya kalau tuntutan yang berlandaskan perkauman tetapi ditopengkan dengan ‘keMalaysiaan’.

Monday, September 20, 2010

PERKASA DAN MELAYU


Sekarang perbahasan mengenai kedudukan Perkasa dan hubungannya dengan UMNO digembur-gemburkan. Masalah yang di hadapi adalah kerana adanya persepsi dikalangan orang-orang Melayu yang golongan bukan Melayu tertarik untuk menyoal kedudukan orang Melayu samada dari sudut undang-undang ataupun sejarah. Mereka juga menganggap dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu UMNO bersikap defensif dan membiarkan persoalan tersebut dibahaskan secara meluas tanpa mengira perasaan dan sentuhan hati orang-orang Melayu. Ada masanya UMNO dilihat apologetik kerana kononnya jika mereka mempertahankan kepentingan orang Melayu mungkin mereka akan hilang sokongan bukan Melayu atau ia akan menyinggung perasaan atau sensitiviti kaum lain.

Pada pengalaman saya sejak negara mencapai kerajaan sendiri dan kemudian kemerdekaan, UMNO walaupun mewakili orang Melayu, sentiasa bersikap ‘Malayan’ dan ‘Malaysian’. Selama ini orang Melayu sederhana dan bertimbang rasa dalam menentukan kesejahteraan semua rakyat dan kemakmuran negara. Sikap sebegini tidak patut dianggap sebagai satu kelemahan oleh mana-mana pihak tetapi sebagai niat murni untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kestabilan negara. Hari ini sering dapat disaksikan pemimpin-pemimpin kaum lain mempertikaikan soal ‘hak’ dan ‘kedudukan’. Sememangnya Perlembagaan Malaysia memberikan hak yang sama kepada semua rakyat. Namun hak ini perlu dilaksanakan secara adil. Keadilan pula bermakna meletakkan mereka yang layak tidak mengira kaum ditempat yang sewajarnya. Kerana dasar kerajaan maka kaum-kaum lain telah dapat mencapai banyak manfaat dan menikmati kemakmuran di negara ini.

Pada hari ini UMNO sebagai tunggak kepada kerajaan bukan sahaja menjaga kepentingan orang Melayu tetapi tidak kurang memberi perhatian kepada kepentingan kaum-kaum lain. Oleh itu ada masanya orang-orang Melayu sendiri tidak melihat UMNO menonjol dan bersungguh-sungguh dalam soal-soal melibatkan kepentingan orang Melayu. Justeru itu apa yang dianggap ‘kekosongan’ diisikan oleh NGO-NGO Melayu, terutamanya Perkasa.

Pada waktu ini penting masyarakat Melayu merasakan yang UMNO walaupun tidak mengenepikan permintaan kaum lain, tetapi masa menjadi payung dan pelindung kepada umat Melayu. Justeru itu UMNO mesti merapatkan dirinya dengan NGO-NGO yang boleh menyuarakan pandangan serta rintihan umat Melayu. Jangan menyapu sampah ke bawah permaidani seolah masalah tersebut tidak wujud. Parti-parti komponen  dalam BN tidak segan memperkatakan kedudukan kaum mereka serta tidak juga mengasingkan dari NGO-NGO yang berjuang untuk kepentingan kaum mereka. Apa salahnya UMNO mendengar perkara-perkara yang dibawa oleh PERKASA dan lain-lain pertubuhan NGO Melayu. Selepas itu imbangkan perkara itu dengan mengambil kira UMNO adalah parti kerajaan dan tunggak Barisan Nasional.

Menjadi satu kesilapan sekiranya UMNO menyisihkan diri dengan NGO Melayu semata-mata takut dianggap pelampau. Pada saya selagi NGO-NGO tersebut tidak melanggari undang-undang atau dianggap terroris UMNO perlu dengar pandangan-pandangan dari mereka yang mungkin berbeza dari UMNO.


Tuesday, September 14, 2010

ISLAMOPHOBIA DUNIA BARAT


Semakin lama jika diperhati semakin banyak kes-kes Islamophobia yang berlaku di dunia Barat. Bermacam insiden penghinaan samada di Amerika ataupun di Eropah terhadap agama Islam dan umat Islam. Seolah segala keburukan dan kejahatan itu adalah ajaran agama Islam. Undang-undang diadakan bagi menyekat hak umat Islam dan ia tidak dianggap melanggar hak asasi manusia.

Kejadian baru-baru ini yang melibatkan seorang pemandu teksi dipukul kerana beragama Islam, membakar dan mengoyakkan Al-Quran oleh paderi kristian, kenyataan penghinaan terhadap Islam oleh Ahli Parlimen Belanda Geert Wilders dan kesemuanya diberikan tempat di media serata dunia. Chancellor Germany Angella Merkel memberikan anugerah tertinggi kepada kartunis Denmark Kurt Westergaard yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. kononnya sebagai pengganas, Salman Rushdi yang menulis buku Satanic Verses juga diberikan anugerah oleh kerajaan British dengan gelaran ‘Sir’, seorang dikatakan ulama beragama Islam dari Mesir yang menukar agama ke Kristian Katolik diberikan liputan istimewa bertemu Pope di Vatican. Siapa juga orang Islam yang datang ke Barat yang menghina Islam akan diberikan sanjungan dan kehormatan yang tinggi.

Bagaimana perlu kita menafsir sikap Barat yang sebenar terhadap agama dan orang Islam dengan kejadian-kejadian sebegitu. Insiden-insiden tersebut adalah contoh yang mempamerkan sikap benci dan bias terhadap agama Islam. Apakah kejadian 11 September tidak melibatkan orang Islam yang turut menjadi mangsa? Pendek kata segalanya disalahkan kepada agama Islam. Tujuan untuk membina satu Pusat Islam berdekatan tapak Ground Zero kini dengan sendirinya menimbulkan kontroversi dan penentangan oleh orang-orang Kristian di Amerika Syarikat terhadap Islam. Sikap tidak bertoleransi dan kebencian dilakukan di atas nama kebebasan. Pelbagai penganiayaan dan kezaliman dilakukan terhadap umat Islam setiap hari di serata dunia. Jika sesuatu kejadian dilakukan oleh orang bukan Islam ianya dianggap sebagai kelakuan jenayah tetapi jika dilakukan oleh orang Islam ianya dikaitkan dengan terrorisma.

Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair juga tidak langsung mempunyai perasaan terhadap umat Islam yang dipandang rendah oleh beliau jika kita teliti melalui kenyataan-kenyataannya. Apakah nyawa orang Islam tidak sepenting nyawa orang bukan Islam. Apakah pemimpin-pemimpin barat ini cukup bersih dan suci?. Mengapa kita tidak pernah mengingatkan kembali dan menghukum pemimpin-pemimpin barat yang membawa kematian dan kemusnahan terhadap negara-negara yang mereka jajah. Kini ada negara-negara yang telah mereka jajah semula diatas nama demokrasi dan kebebasan. Pemimpin Islam mudah dituduh melakukan genocide dan peperangan terhadap manusia dan pelanggaran hak asasi. Mengapa kita lekas membuat keputusan mengenai jenayah kemanusiaan (genocide) terhadap mereka sedangkan pemimpin Barat yang melakukan pembunuhan dan kekejaman terlepas begitu sahaja.

Pada saya tidak akan ada kerapatan jurang di antara Barat dan Islam selagi mereka tidak bersikap adil dan seimbang samada dalam isu Palestin, Afghanistan, Iran atau Iraq. Itulah pentingnya negara-negara Islam membina keupayaan dan bersatu supaya dapat berdepan dengan cabaran era globalisasi dan dunia tanpa zzsempadan.