Tuesday, September 14, 2010

ISLAMOPHOBIA DUNIA BARAT


Semakin lama jika diperhati semakin banyak kes-kes Islamophobia yang berlaku di dunia Barat. Bermacam insiden penghinaan samada di Amerika ataupun di Eropah terhadap agama Islam dan umat Islam. Seolah segala keburukan dan kejahatan itu adalah ajaran agama Islam. Undang-undang diadakan bagi menyekat hak umat Islam dan ia tidak dianggap melanggar hak asasi manusia.

Kejadian baru-baru ini yang melibatkan seorang pemandu teksi dipukul kerana beragama Islam, membakar dan mengoyakkan Al-Quran oleh paderi kristian, kenyataan penghinaan terhadap Islam oleh Ahli Parlimen Belanda Geert Wilders dan kesemuanya diberikan tempat di media serata dunia. Chancellor Germany Angella Merkel memberikan anugerah tertinggi kepada kartunis Denmark Kurt Westergaard yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. kononnya sebagai pengganas, Salman Rushdi yang menulis buku Satanic Verses juga diberikan anugerah oleh kerajaan British dengan gelaran ‘Sir’, seorang dikatakan ulama beragama Islam dari Mesir yang menukar agama ke Kristian Katolik diberikan liputan istimewa bertemu Pope di Vatican. Siapa juga orang Islam yang datang ke Barat yang menghina Islam akan diberikan sanjungan dan kehormatan yang tinggi.

Bagaimana perlu kita menafsir sikap Barat yang sebenar terhadap agama dan orang Islam dengan kejadian-kejadian sebegitu. Insiden-insiden tersebut adalah contoh yang mempamerkan sikap benci dan bias terhadap agama Islam. Apakah kejadian 11 September tidak melibatkan orang Islam yang turut menjadi mangsa? Pendek kata segalanya disalahkan kepada agama Islam. Tujuan untuk membina satu Pusat Islam berdekatan tapak Ground Zero kini dengan sendirinya menimbulkan kontroversi dan penentangan oleh orang-orang Kristian di Amerika Syarikat terhadap Islam. Sikap tidak bertoleransi dan kebencian dilakukan di atas nama kebebasan. Pelbagai penganiayaan dan kezaliman dilakukan terhadap umat Islam setiap hari di serata dunia. Jika sesuatu kejadian dilakukan oleh orang bukan Islam ianya dianggap sebagai kelakuan jenayah tetapi jika dilakukan oleh orang Islam ianya dikaitkan dengan terrorisma.

Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair juga tidak langsung mempunyai perasaan terhadap umat Islam yang dipandang rendah oleh beliau jika kita teliti melalui kenyataan-kenyataannya. Apakah nyawa orang Islam tidak sepenting nyawa orang bukan Islam. Apakah pemimpin-pemimpin barat ini cukup bersih dan suci?. Mengapa kita tidak pernah mengingatkan kembali dan menghukum pemimpin-pemimpin barat yang membawa kematian dan kemusnahan terhadap negara-negara yang mereka jajah. Kini ada negara-negara yang telah mereka jajah semula diatas nama demokrasi dan kebebasan. Pemimpin Islam mudah dituduh melakukan genocide dan peperangan terhadap manusia dan pelanggaran hak asasi. Mengapa kita lekas membuat keputusan mengenai jenayah kemanusiaan (genocide) terhadap mereka sedangkan pemimpin Barat yang melakukan pembunuhan dan kekejaman terlepas begitu sahaja.

Pada saya tidak akan ada kerapatan jurang di antara Barat dan Islam selagi mereka tidak bersikap adil dan seimbang samada dalam isu Palestin, Afghanistan, Iran atau Iraq. Itulah pentingnya negara-negara Islam membina keupayaan dan bersatu supaya dapat berdepan dengan cabaran era globalisasi dan dunia tanpa zzsempadan.

No comments:

Post a Comment