Monday, September 20, 2010

PERKASA DAN MELAYU


Sekarang perbahasan mengenai kedudukan Perkasa dan hubungannya dengan UMNO digembur-gemburkan. Masalah yang di hadapi adalah kerana adanya persepsi dikalangan orang-orang Melayu yang golongan bukan Melayu tertarik untuk menyoal kedudukan orang Melayu samada dari sudut undang-undang ataupun sejarah. Mereka juga menganggap dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu UMNO bersikap defensif dan membiarkan persoalan tersebut dibahaskan secara meluas tanpa mengira perasaan dan sentuhan hati orang-orang Melayu. Ada masanya UMNO dilihat apologetik kerana kononnya jika mereka mempertahankan kepentingan orang Melayu mungkin mereka akan hilang sokongan bukan Melayu atau ia akan menyinggung perasaan atau sensitiviti kaum lain.

Pada pengalaman saya sejak negara mencapai kerajaan sendiri dan kemudian kemerdekaan, UMNO walaupun mewakili orang Melayu, sentiasa bersikap ‘Malayan’ dan ‘Malaysian’. Selama ini orang Melayu sederhana dan bertimbang rasa dalam menentukan kesejahteraan semua rakyat dan kemakmuran negara. Sikap sebegini tidak patut dianggap sebagai satu kelemahan oleh mana-mana pihak tetapi sebagai niat murni untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kestabilan negara. Hari ini sering dapat disaksikan pemimpin-pemimpin kaum lain mempertikaikan soal ‘hak’ dan ‘kedudukan’. Sememangnya Perlembagaan Malaysia memberikan hak yang sama kepada semua rakyat. Namun hak ini perlu dilaksanakan secara adil. Keadilan pula bermakna meletakkan mereka yang layak tidak mengira kaum ditempat yang sewajarnya. Kerana dasar kerajaan maka kaum-kaum lain telah dapat mencapai banyak manfaat dan menikmati kemakmuran di negara ini.

Pada hari ini UMNO sebagai tunggak kepada kerajaan bukan sahaja menjaga kepentingan orang Melayu tetapi tidak kurang memberi perhatian kepada kepentingan kaum-kaum lain. Oleh itu ada masanya orang-orang Melayu sendiri tidak melihat UMNO menonjol dan bersungguh-sungguh dalam soal-soal melibatkan kepentingan orang Melayu. Justeru itu apa yang dianggap ‘kekosongan’ diisikan oleh NGO-NGO Melayu, terutamanya Perkasa.

Pada waktu ini penting masyarakat Melayu merasakan yang UMNO walaupun tidak mengenepikan permintaan kaum lain, tetapi masa menjadi payung dan pelindung kepada umat Melayu. Justeru itu UMNO mesti merapatkan dirinya dengan NGO-NGO yang boleh menyuarakan pandangan serta rintihan umat Melayu. Jangan menyapu sampah ke bawah permaidani seolah masalah tersebut tidak wujud. Parti-parti komponen  dalam BN tidak segan memperkatakan kedudukan kaum mereka serta tidak juga mengasingkan dari NGO-NGO yang berjuang untuk kepentingan kaum mereka. Apa salahnya UMNO mendengar perkara-perkara yang dibawa oleh PERKASA dan lain-lain pertubuhan NGO Melayu. Selepas itu imbangkan perkara itu dengan mengambil kira UMNO adalah parti kerajaan dan tunggak Barisan Nasional.

Menjadi satu kesilapan sekiranya UMNO menyisihkan diri dengan NGO Melayu semata-mata takut dianggap pelampau. Pada saya selagi NGO-NGO tersebut tidak melanggari undang-undang atau dianggap terroris UMNO perlu dengar pandangan-pandangan dari mereka yang mungkin berbeza dari UMNO.


No comments:

Post a Comment