Wednesday, August 31, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE 54



Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga Malaysia yang beragama Islam dan Selamat menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke 54 kepada semua rakyat Malaysia diseluruh pelusuk negara.




Tuesday, August 16, 2011

PARTI DAN KERAJAAN



Pada 14 Ogos 2011 yang lalu, YAB Perdana Menteri yang diiringi oleh Menteri Besar Johor telah membuat lawatan ke Daerah Kota Tinggi khususnya ke dua Kawasan Parlimen iaitu Kota Tinggi dan Pengerang. Sememangnya penduduk dan pengundi amat gembira di atas kehadiran pemimpin Negara ke Kawasan Parlimen tersebut. Lagipula kedua-duanya adalah kawasan Parlimen yang memberi keputusan PRU yang terbaik di peringkat Negeri dan Negara. Perdana Menteri mengatakan ini adalah  kawasan selamat. Saya bersetuju dengan pandangan beliau tetapi ia tidak datang bergolek tanpa usaha. Kejayaan ini dicapai kerana usaha-usaha yang dijalankan UMNO dan BN secara berterusan di peringkat akar umbi. Saya berterima kasih kepada para pengundi di Felda dan kampung tradisi di atas usaha secara berterusan memberikan sokongan. 

Program ini dilaksanakan di Pengerang kerana Felda Tungal memenangi hadiah kampung ceria Felda yang terbaik di peringkat kebangsaan. Di Parlimen Kota Tinggi pula beliau melawat dan berbuka puasa di Felda Air Tawar 2 yang mempunyai ahli UMNO yang teramai di seluruh negara. Program-program yang dilaksanakan oleh Felda dengan kerajaan Negeri Johor amat meriah dan berjaya. Ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Johor. Program yang dijalankan adalah program kerajaan di bawah Felda. Walaupun demikian ramai pemimpin dan ahli parti di peringkat tempatan hadir sama dan memberi sambutan mesra dan meriah serta memberi kerjasama sepenuhnya, tetapi malangnya mereka merasakan mereka hanya sekadar jumlah dan kehadiran mereka tidak langsung disebut dan dicatitkan, seolah parti tidak wujud dan turut serta. Mungkin kita melihat bahawa parti tidak penting. Jika keadaan begini berterusan, maka sudah pasti parti akan terus terpinggir dan jentera kerajaan sahaja yang ada. Bila parti yang memerintah tidak lagi dilihat berperanan akhirnya ia akan diganti dengan parti lain. Fikir-fikirkanlah yang kuasa sebenarnya datang dari parti yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah.

Saya tertarik dengan ucapan Yang Amat Berhormat yang antara lain mengatakan, pada 15 Ogos  lalu genap 500 tahun Portugis mula-mula menguasai Melaka. Beliau dengan tepat menekankan mengapa kerajaan Melaka jatuh dan saya percaya tujuan sebenarnya untuk mengingatkan ahli parti walaupun dalam ucapannya tidak langsung menyebutkan parti. Parti dan Pemerintah perlu mengambil iktibar daripada sejarah tersebut. Beliau menjelaskan dua perkara yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka, iaitu tidak ada kesetiaan, justru berlaku pengkhianatan dan keduanya kegagalan melakukan pembaharuan teknologi untuk mempertahankan kedaulatan dan wilayah. Tiada siapa boleh menafikan kebenaran penyataan tersebut. Persoalannya, bagaimana kesetiaan dapat dipertahankan dan bagaimana pula ia boleh runtuh? 

Tanpa teknologi terkini, Kerajaan Melayu Melaka mudah dikalahkan oleh Portugis. Yang jelas untuk berjaya semua negara memerlukan transformasi tindakan dan pendekatan. Ini siknifikan dalam konteks untuk menjamin kelangsungan parti dan pemerintah dalam semua dimensi politik, ekonomi , keselamatan dan teknologi bagi berdepan dengan tuntutan semasa. Pastinya pemimpin dan parti mesti sensitif dengan kehendak dan fikiran semasa dari segi keterbukaan, ketelusan, tawaduk dan menjiwai kehendak rakyat. Bagi menjayakan penerusan kuasa, elemen fundamental adalah kesetiaan berasaskan jalinan mesra dan kasih sayang di antara pemimpin dan pengikut dan menjiwai resmi padi yang lagi berisi lagi merendah dan tidak sombong kepada rakyat. Pendekatan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dapat diterjemahkan dalam jalinan kasih sayang diantara pemimpin dan ahli parti.... Jangan menjangka sesuatu hasil tanpa usaha.               


Friday, August 12, 2011

UMAT ISLAM JANGAN AMBIL MUDAH



1. Saya mengikuti dengan penuh minat isu DUMC. Ramai yang mengambil bahagian untuk memberi penjelasan dan mencari alasan yang tidak bersangkut paut dengan kedudukan sebenar nya. Toleransi dan hendak mencapai keharmonian pun jangan lah melampau dan tidak munasabah. Umat Islam di negara ini jangan senantiasa melihat bahawa kedudukan kita tidak terancam. Kita terlalu bertolak ansur sehingga gulongan munafik boleh menguasai kita.

2. Lahir lah kumpulan liberal dan moden Islam yang menunjukan mereka sahaja yang memahami agama. Mereka ini yang di gunakan kononnya untuk membetulkan kekolotan dalam pegangan umat Islam. Seterusnya mencadangkan macam mana hendak menjadi maju. Pada saya sekarang sudah pun banyak usaha untuk merosak kan aqidah umat. Banyak yang sudah terpesung tapi kita menafikan dan katakan tidak ada ancaman. Majlis DUMC bukan satu yang innocent. Tidakkan lah kita begitu bodoh. JAIS hanya menjalankan amanah dan tanggungjawab.

3. Baru baru ini saya  dapat tahu tahu ramai anak2 Melayu kita tidak peduli untuk berpuasa atau sembahyang kerana ibu bapa mereka kata mereka pun tidak  pernah bersembahyang. Ada Pegawai tentera beruniform pada bulan puasa ini naik kereta terang2 merokok. Anak mudaa kita yang mengaku tidak percaya pada agama. Banyak masalah dan orang serang kita tapi kita kata tidak...... Bila kita ni nak bangun betul kan diri. Ambil langkah bantu umat dan melakukan kerja2 kebajikan. Badan2 amal, wang zakat dan baitul mal mesti telus dengan kegunaan wang nya.

4. Kalau semua kita kata tiada masalah kita akan menjemput masalah. Tidak usah lah cari glamour sangat dalam kerja agama dan kebajikan.  DUMC bukan jadi dengan begitu sahaja. Telitilah betul2. Ini bukan kali pertama.


Saturday, August 6, 2011

SELAMAT BERIBADAH DI BULAN RAMADHAN ALMUBARAK



Saya dan isteri serta keluarga mengambil kesempatan di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini untuk mengucapkan Selamat berpuasa dan beribadah khususnya kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam. Semoga semua amalan dan ibadah di bulan yang diberkati ini akan diterima oleh Allah s.w.t.

-SELAMAT BERPUASA-

Monday, August 1, 2011

TEGURAN SEPANJANG ZAMAN



Masalah yang dihadapi oleh pemerintah pada hari ini banyak melibatkan hubungan di antara pimpinan dalam pemerintah dan rakyat jelata. Justru adalah baik jika dapat menghayati pesanan Sayidina Ali r.a. supaya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab akan melaksanakan amanah pimpinan dengan berkesan. Peringatan yang disampaikan masih relevan lagi untuk menjayakan transformasi ekonomi dan politik negara yang menjiwai kehendak dan permintaan rakyat. Diantaranya adalah:

"KETAHUILAH kamu wahai Malik bahawa aku mengutuskan engkau sebagai pemerintah di negeri yang pada masa lalu pernah mengalami pemerintahan yang adil dan tidak adil. Penduduknya akan memerhatikan tindakan-tindakan kamu dengan mata yang tidak senang, walaupun kamu sebelum ini pernah meneliti tindak-tanduk orang-orang yang kamu pimpin. Mereka juga akan bercakap mengenai kamu seperti apa yang kamu cakapkan mengenai mereka. Hakikatnya, masyarakat hanya memuji mereka yang melakukan perkara yang baik. Merekalah yang akan membuktikan kebenaran tindak-tanduk kamu. Oleh itu harta yang paling berharga yang amat dicari ialah amalan-amalan baik. Tetapkan iman kamu dan jauhi sama sekali perkara-perkara yang dilarang, dan kamu akan dapat mengenal antara yang baik atau sebaliknya.
Semaikan di hati kamu perasaan kasih kepada rakyat kamu dan biarkan ia menjadi sumber kebaikan dan rahmat kepada mereka. Jangan percaya bahawa mereka seperti orang yang tidak bertamadun dan janganlah merampas apa yang mereka miliki.Ingatlah bahawa rakyat negara itu terbahagi kepada dua. Mereka sama ada saudara seagama dengan kamu atau sebangsa. Mereka mempunyai kelemahan dan boleh melakukan kesilapan, malah sesetengahnya memang melakukan kesalahan. Maafkan mereka seperti kamu mahukan Allah mengampunkan kamu. Ingatlah bahawa kamu diletakkan di atas mereka, begitu juga saya diletakkan di atas kamu. Dan ingatlah bahawa Tuhan mengatasi orang yang melantik kamu sebagai pemimpin bagi membolehkan kamu menjaga kebajikan orang-orang bawahan kamu. Kamu akan diadili atas apa yang sudah kamu lakukan terhadap mereka.

Janganlah kamu melanggar perintah Allah kerana kamu bukan saja tidak mempunyai kekuatan untuk melindungi diri kamu daripada kemurkaanNya, tetapi kamu juga tidak boleh meletakkan diri kamu di luar belas kasihanNya dan keampunanNya. Jangan berasa bersalah atas tindakan kamu memberi maaf atau bergembira atas hukuman yang kamu jatuhkan terhadap mereka. Janganlah biarkan diri kamu dalam kemarahan kerana ia tidak akan membawa sebarang keuntungan.

Jika kamu dilantik ke jawatan yang mempunyai kuasa dan berasa megah atau sombong, ingatlah kuasa dan keagungan Yang Maha Esa ke atas alam ini yang kamu langsung tidak mempunyai sebarang kawalan. Ini akan mengembalikan kepada kamu unsur-unsur keseimbangan dan akan meletakkan kamu dalam ketenteraman dan ketenangan. Berhati-hatilah dan janganlah menentang keagungan dan kebesaran Tuhan dan jangan meniru kekuasaanNya: kerana Allah boleh membinasakan orang-orang yang menentangNya dan orang yang zalim.

Orang Biasa
Biarkan fikiran kamu menghormati, melalui tindak-tanduk kamu, akan kuasa dan hak Tuhan serta juga hak-hak manusia. Oleh itu pujuklah rakan-rakan kamu dan saudara-saudara kamu supaya turut sama berbuat demikian. Jika tidak,kamu akan bersikap tidak adil bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga terhadap kemanusiaan. Kedua-dua manusia dan Allah akan menjadi musuh kamu.Tidak pernah diketahui ada orang yang menjadikan Allah musuhnya dan jika ini berlaku dia akan dianggap “berperang” dengan Allah sehingga dia mohon ampun. Tidak ada yang boleh menafikan manusia daripada menerima rahmat atau membangkitkan kemurkaanNya kecuali kekejaman. Itulah sebabnya Allah mendengar doa mereka yang tertindas dan menghukum mereka yang melakukan penindasan itu.

Kekalkan keadilan dalam pentadbiran dan semaikan semangat ini dalam jiwa kamu dan dapatkan persetujuan orang ramai kerana rasa tidak puas hati rakyat jelata mengatasi rasa puas hati segelintir masyarakat yang menikmati keistimewaan. Ingatlah bahwa mereka yang mempunyai keistimewaan itu kecil golongannya dan mereka tidak akan membantu kamu ketika dalam kesusahan. Mereka akan cuba memesongkan keadilan dan akan meminta lebih daripada yang mereka sepatutnya terima. Mereka juga tidak akan bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada mereka. Mereka akan gelisah menghadapi dugaan dan tidak berasa kesal akan kelemahan-kelemahan mereka. Sesungguhnya, rakyat biasalah yang menjadi kekuatan sesebuah negara dan agama.

Jauhilah mereka yang cuba mendedahkan kelemahan orang lain. Lagipun, rakyat jelata tidak terkecuali daripada kelemahan. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah melindungi mereka. Jangan mendedahkan sesuatu yang tersembunyi, tetapi cuba hilangkan kelemahan yang sudah nyata. Allah sentiasa melihat segala yang terselindung daripada kamu, dan Dia saja yang akan mengendalikan perkara itu. Kamu hendaklah sebaik mungkin menutup kelemahan rakyat kamu dan Allah akan menutup kelemahan-kelemahan yang kamu cuba sembunyi daripada pengetahuan mereka.

Hapuskan kekusutan perasaan benci membenci antara rakyat dan pentadbiran dan hapuskan segala perkara yang menyebabkan ketegangan dalam hubungan mereka. Lindungi diri kamu daripada melakukan perkara-perkara yang tidak adil bagi kamu. Jangan tergesa-gesa mencari kebenaran fitnah yang diceritakan kepada kamu kerana orang itu adalah manusia yang tidak jujur serta cuma berpura-pura menjadi sahabat kamu.

Janganlah terima nasihat daripada orang yang kedekut kerana dia akan melemahkan semangat dan menakutkan kamu sehingga menjadi miskin. Janganlah terima nasihat daripada orang yang pengecut kerana dia akan melemahkan semangat kamu. Juga jangan terima nasihat daripada orang yang tamak kerana dia akan menanamkan sifat tamaknya kepada kamu dan menjadikan kamu zalim. Sikap kedekut, pengecut dan tamak akan menghakiskan keyakinan seseorang terhadap Allah.

Penasihat yang buruk adalah mereka yang pernah berkhidmat kepada pemimpin yang tidak adil dan berkongsi jenayah yang dilakukan. Jadi janganlah sekali-kali menerima orang-orang seumpama ini sebagai penasihat kamu. Kamu boleh mendapat orang-orang yang lebih baik daripada mereka iaitu orang- orang yang dianugerahkan kepintaran dan pandangan yang jauh serta tidak dinodai oleh dosa dan tidak pernah bersubahat dengan orang yang zalim melakukan kezalimannya atau penjenayah dalam melakukan jenayahnya. Orang seperti ini tidak akan membebankan kamu. Mereka sebaliknya akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan kepada kamu pada setiap masa. Dia akan menjadi kawan kamu dan orang yang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang seperti ini sebagai rakan baik dalam perjuangan mahupun ketika bekerja. Di kalangan mereka itu juga, tunjukkan minat kamu terhadap mereka yang jujur, walaupun ini kadangkalanya sukar dilakukan.

Dekatilah mereka yang jujur dan takutkan Tuhan dan beritahu mereka bahawa mereka tidak boleh cuba memuji kamu atas sebarang perkara kebaikan yang mungkin kamu belum lakukan. Ini kerana sikap tolak ansur terhadap kata-kata pujian akan hanya memupuk sikap megah dalam jiwa manusia dan ini akan menjadikannya angkuh. Jangan beri layanan yang sama kepada orang-orang yang baik dan yang jahat. Ini akan menghalang mereka yang baik daripada terus mlakukan perkara yang baik dan akan menggalakkan mereka yang jahat supaya terus melakukan perbuatan itu. Berilah pujian kepada mereka yang berhak diberi pujian. Ingatlah bahawa kepercayaan dan muhibah antara pemimpin dan rakyat hanya dapat dipupuk melalui kebaikan, keadilan dan perkhidmatan. Oleh itu pupuklah muhibah di kalangan rakyat kerana hanya muhibah sahaja akan menyelamatkan kamu daripada bencana. Mereka akan membalas sikap murah hati kamu dengan memberi kepercayaan mereka kepada kamu……"

Warkah tersebut dari Sayidina Ali r.a. kepada Malik Al-Haris Alashtar Gabenor Mesir yang perlu diamalkan dengan penuh tawadduk dan kejujuran untuk mendapat keredhaan Allah. Pelaksanaan kerja-kerja yang membawa manfaat kepada rakyat hendaklah dirasai dan diterima mereka. Nasihat ini jelas sekali boleh menjadikan pemerintah itu adil dan memahami amanah serta disayangi rakyat. Pemerintah yang diterima dan disayangi rakyat semestinya akan dibela oleh rakyat. Dewasa ini terlalu ramai yang belum cukup tawadduk ataupun mudah didampingi rakyat. Justru rakyat mempunyai perasaan yang pemimpin-pemimpin sering melontar kata-kata indah tetapi gagal melakukan apa yang dikatakan. Tidak syak lagi kuasa dan harta memang mempersonakan. Begitu juga pemimpin boleh diperdayakan oleh kekayaan dan jawatan. Lantas seorang pemimpin cepat lupa kepada tanggungan mereka. Ada yang lupa bahawa kuasa dan takhta adalah pinjaman Allah s.w.t. kepada manusia. Lantaran ada diantara mereka yang berada di pedesta kuasa merasakan kedudukan tersebut sebagai hak semulajadi mereka. Pemimpin pula asyik berpoya sebagai golongan bangsawan yang mesti dikagumi dan dihormati.

Pemimpin dengan jelas menyeru supaya pengikut dan penyokongnya tawadduk dan merendah, namun pemimpin dan gerombolan di sekeliling terus bermegah dengan pangkat, kesenangan dan memaparkan apa yang dianggap kesombongan. Sebenarnya bermacam-macam tembuk dan rintangan memisahkan rakyat dan pemerintah. Bersiar-siar di jagat raya tidak mencukupi bagi memenuhi aspirasi rakyat atau menghayati dan menjiwai kehendak mereka. Justru itu nasihat Sayidina Ali boleh digunapakai untuk memberi keadilan dan memenuhi aspirasi rakyat. Shakespear mengatakan dunia ini satu pentas, dimana setiap orang adalah pelakon di atasnya, jelas sekali menggambarkan peranan individu diatas bumi Allah swt. sebagai khalifah.

Pemimpin-pemimpin atau penyokong mereka jangan sekali-kali jijik dengan sentuhan rakyat. Jangan juga dikhalayak memaparkan suntingan mesra tetapi bertindak disebaliknya. Lebih parah lagi bila mereka tidak mahu tangan dikotorkan oleh sentuhan jelata. Begitulah cerita-cerita tentang kerenah manusia yang perlu diperbetulkan tidak kira di mana peringkat pimpinan sekalipun. Adalah lebih mencemaskan jika mereka cepat terbawa-bawa apabila digula-gulakan dengan kehebatan dan kecantikan diri mereka sehingga terlupa melihat kepada golongan yang berada dibawah naungan mereka.

Pasti sekali semua insan mahu diiktiraf kedudukannya serta statusnya dalam keluarga atau negara. Pemimpin sebagaimana disarankan oleh Sayidina Ali perlu menaungi keseluruhan rakyat di berbagai lapisan, bukan hanya kelompok dan puaknya sahaja (Dato Najib berkata di Konvensyen UMNO Pahang). Dengan itu barulah pemimpin dapat berlaku adil dan bertindak dengan saksama kepada warga pimpinannya. Apabila pemimpin bertindak tidak seimbang maka ia akan mengundang kezaliman. Mungkin ada yang berupaya memaparkan dua watak yang berlainan serta berpura-pura dikhalayak tetapi bertindak disebaliknya. Karenah dan pael setiap pemimpin diperhati dan diketahui dan akan dihakimi jelata. Nyata sekali pemimpin tidak boleh bersikap seperti pengikut kerana jika itu berlaku pemimpin tidak boleh diterima sebagai contoh (role model) yang boleh teladani.

Sejarah mengajar manusia bahawa mereka yang berlaku zalim dan sombong akhirnya akan kecundang juga. Justru itu penting untuk mereka di pedesta kuasa tidak kira di tahap mana sekalipun bersikap rendah diri dan membantu rakyat. Persoalannya berapa ramai dari golongan pelaksana yang mudah didekati dan tidak pula membina bermacam-macam benteng dan protokol sehingga tidak dapat ditemui dan didekati. Persepsi dan sentimen terhadap pemimpin bergantung kepada kelakuan dan sikap mereka sendiri. Ayuh bangun berubah dengan sebenarnya bukan hanya terlafaz dibibir yang sering berdusta.