Pada 14 Ogos 2011 yang lalu, YAB Perdana Menteri yang diiringi oleh Menteri Besar Johor telah membuat lawatan ke Daerah Kota Tinggi khususnya ke dua Kawasan Parlimen iaitu Kota Tinggi dan Pengerang. Sememangnya penduduk dan pengundi amat gembira di atas kehadiran pemimpin Negara ke Kawasan Parlimen tersebut. Lagipula kedua-duanya adalah kawasan Parlimen yang memberi keputusan PRU yang terbaik di peringkat Negeri dan Negara. Perdana Menteri mengatakan ini adalah kawasan selamat. Saya bersetuju dengan pandangan beliau tetapi ia tidak datang bergolek tanpa usaha. Kejayaan ini dicapai kerana usaha-usaha yang dijalankan UMNO dan BN secara berterusan di peringkat akar umbi. Saya berterima kasih kepada para pengundi di Felda dan kampung tradisi di atas usaha secara berterusan memberikan sokongan.
Program ini dilaksanakan di Pengerang kerana Felda Tungal memenangi hadiah kampung ceria Felda yang terbaik di peringkat kebangsaan. Di Parlimen Kota Tinggi pula beliau melawat dan berbuka puasa di Felda Air Tawar 2 yang mempunyai ahli UMNO yang teramai di seluruh negara. Program-program yang dilaksanakan oleh Felda dengan kerajaan Negeri Johor amat meriah dan berjaya. Ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Johor. Program yang dijalankan adalah program kerajaan di bawah Felda. Walaupun demikian ramai pemimpin dan ahli parti di peringkat tempatan hadir sama dan memberi sambutan mesra dan meriah serta memberi kerjasama sepenuhnya, tetapi malangnya mereka merasakan mereka hanya sekadar jumlah dan kehadiran mereka tidak langsung disebut dan dicatitkan, seolah parti tidak wujud dan turut serta. Mungkin kita melihat bahawa parti tidak penting. Jika keadaan begini berterusan, maka sudah pasti parti akan terus terpinggir dan jentera kerajaan sahaja yang ada. Bila parti yang memerintah tidak lagi dilihat berperanan akhirnya ia akan diganti dengan parti lain. Fikir-fikirkanlah yang kuasa sebenarnya datang dari parti yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah.
Saya tertarik dengan ucapan Yang Amat Berhormat yang antara lain mengatakan, pada 15 Ogos lalu genap 500 tahun Portugis mula-mula menguasai Melaka. Beliau dengan tepat menekankan mengapa kerajaan Melaka jatuh dan saya percaya tujuan sebenarnya untuk mengingatkan ahli parti walaupun dalam ucapannya tidak langsung menyebutkan parti. Parti dan Pemerintah perlu mengambil iktibar daripada sejarah tersebut. Beliau menjelaskan dua perkara yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka, iaitu tidak ada kesetiaan, justru berlaku pengkhianatan dan keduanya kegagalan melakukan pembaharuan teknologi untuk mempertahankan kedaulatan dan wilayah. Tiada siapa boleh menafikan kebenaran penyataan tersebut. Persoalannya, bagaimana kesetiaan dapat dipertahankan dan bagaimana pula ia boleh runtuh?
Tanpa teknologi terkini, Kerajaan Melayu Melaka mudah dikalahkan oleh Portugis. Yang jelas untuk berjaya semua negara memerlukan transformasi tindakan dan pendekatan. Ini siknifikan dalam konteks untuk menjamin kelangsungan parti dan pemerintah dalam semua dimensi politik, ekonomi , keselamatan dan teknologi bagi berdepan dengan tuntutan semasa. Pastinya pemimpin dan parti mesti sensitif dengan kehendak dan fikiran semasa dari segi keterbukaan, ketelusan, tawaduk dan menjiwai kehendak rakyat. Bagi menjayakan penerusan kuasa, elemen fundamental adalah kesetiaan berasaskan jalinan mesra dan kasih sayang di antara pemimpin dan pengikut dan menjiwai resmi padi yang lagi berisi lagi merendah dan tidak sombong kepada rakyat. Pendekatan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dapat diterjemahkan dalam jalinan kasih sayang diantara pemimpin dan ahli parti.... Jangan menjangka sesuatu hasil tanpa usaha.
No comments:
Post a Comment