Monday, December 8, 2014

PENDIRIAN MALAYSIA TERHADAP ISRAEL


Dasar Malaysia terhadap Israel adalah satu-satunya dasar yang paling konsisten dan berprinsip. Sejak zaman Tunku Abdul Rahman Malaysia tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel kerana tindakannya menzalimi dan menafikan hak rakyat Palestin. Sehingga hari ini pendirian berprinsip dan konsisten tersebut terus menjadi pegangan dasar luar Malaysia. Justru itu setiap usul Majlis Keselamatan PBB yang mengkritik atau mengutuk tindakan Israel turut serta disokong oleh Malaysia.  

Israel ditubuhkan dalam tahun 1948 oleh PBB dengan garis persempadanan yang ditetapkan dan Palestin juga dijanjikan haknya untuk menubuhkan sebuah negara merdeka pada ketika itu. Walaubagaimana pun sehingga sekarang keputusan PBB tidak lagi terlaksana sedangkan wilayah Israel semakin diluaskan tanpa mendapat endorsement undang-undang antarabangsa atau PBB. Palestin terus mengecil dan terkepong disebabkan konflik ketenteraan ataupun rampasan tanah orang Palestin oleh Israel di atas alasan keselamatan. PBB dan masyarakat antarabangsa tidak diendahkan oleh Israel kerana penguatkuasaannya tidak dapat dilakukan oleh PBB kerana penggunaan kuasa veto oleh kuasa besar tertentu. 

Pada Malaysia, Israel mengamalkan pendekatan terrorisme menzalimi dan menindas masyarakat Palestin. Rakyat Palestin menjadi pelarian diatas tindakan Israel dan tanah mereka turut dirampas. Malaysia berpendapat Israel tidak mungkin dikalahkan ataupun tunduk kepada desakan masyarakat antarabangsa. Pendekatan persenjataan untuk mengalahkan Israel pun tidak akan menghasilkan sebuah negara Palestin. Setiap tindakan rakyat Palestin bagi menuntut kebebasan dan kemerdekaan dibalas dengan tindakan ketenteraan Israel yang lebih kejam dan melampau. 

Israel berjaya membesarkan wilayah dan memperluaskan kawasan kependudukan baru walaupun dari segi undang-undang antarabangsa ia tidak sah. Di setiap peperangan yang tercetus di antara Arab/Israel, ia akan berakhir dengan kekalahan negara-negara Arab. Apa yang jelas ialah Israel merupakan kuasa ketenteraan yang terkuat di Timur Tengah yang didokong pula oleh kuasa-kuasa besar barat. Yang jelas US/UK lebih-lebih lagi US tidak akan membenarkan Israel untuk ditewaskan di dalam peperangan dengan negara Arab ataupun melalui usul di PBB atau Majlis Keselamatan. Justru hakikat sebenar pada Malaysia, negara Palestin tidak akan terbentuk melalui pendekatan persenjataan ataupun intifada. 

Apabila Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau menerima dan sedar pendekatan terbaik untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka hanya akan tercapai melalui rumusan politik dan rundingan diplomasi. Malaysia yakin melalui rumusan politik dan rundingan diplomasi yang didokong oleh masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar barat yang menjadi Ahli Tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh memenuhi aspirasi rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara merdeka. Surat-surat Dr. Mahathir adalah satu cubaan kearah itu (Rujuk surat-surat Tun Mahathir kepada tiga PM Israel yang menekankan perkara tersebut). 

Pada era Dr. Mahathir, Malaysia terus berada di barisan hadapan memainkan peranan untuk mempengaruhi Agenda multilateral di PBB, OIC, NAM dan ASEAN. Begitu juga di peringkat bilateral, Malaysia terus meningkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara Islam dan negara-negara membangun di Asia Barat, Africa dan Amerika Selatan. Lantaran itu pendirian dan penyataan Malaysia kelihatan lantang di persada antarabangsa dalam konflik Israel/Palestin. Pendirian itu diketahui dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa termasuk Palestin, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan negara-negara Islam dan Arab. 

Kini kewujudan Israel telah tidak lagi dipertikaikan oleh negara-negara Islam dan Arab, kerana mahu melihat terbentuknya sebuah negara Palestin serta menjalin hubungan diplomatik untuk mencapai kedamaian di rantau tersebut. Negara-negara yang berada di barisan hadapan Mesir dan Jordan telah awal-awal lagi menandatangani perjanjian damai dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. Turki pula dari mula penubuhan negara Israel telah mengiktirafnya dan menjalin hubungan diplomatik. Negara-negara Islam lain menerima asas rundingan-rundingan pencapaian kearah damai di antara Israel dan PLO melalui syor yang dirancang oleh negara-negara Arab ataupun P5 dan Jerman. Ia dilihat sebagai satu peluang munasabah untuk merungkaikan masalah melahirkan sebuah negara Palestin, sebelah menyebelah dengan Israel dalam keadaan aman dan selamat. 

Lebih 60 tahun telah berlalu namun kemerdekaan Palestin masih lagi menjadi impian dan jauh dari tercapai. Terdapat 224 usul Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu samaada yang dibawa oleh negara membangun atau negara lain untuk mencapai penyelesaian tetapi Israel tetap berdegil kerana Amerika Syarikat sebagai Ahli Tetap Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu melindungi dan tidak teragak-agak menggunakan kuasa ‘veto’ terhadap apa-apa usul yang dianggap bertentangan dengan kepentingan Israel. Doktrin Ponte Negro Wakil Tetap Amerika Syarikat memberi penjelasan terhadap pendirian Amerika Syarikat dalam isu-isu kritikal terhadap Israel akan ditolak. 

Israel sering mengatakan mereka kononnya menerima jalan penyelesaian melalui rundingan damai tetapi tindakan dan amalannya adalah disebaliknya. Yang ketara mereka gagal melaksanakan apa jua terma-terma perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani ataupun melaksanakan semangat persetujuan-persetujuan yang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa. PBB dan masyarakat antarabangsa dalam agenda melibatkan Israel tidak berupaya dan lumpuh untuk bertindak memberi keadilan kepada rakyat Palestin. Israel memberikan pelbagai alasan dan syarat-syarat baru disetiap kali rundingan akan diadakan. Di masa sama pendirian Malaysia di zaman Mahathir terhadap isu-isu Palestin terus konsisten, berprinsip, tegas dan jelas. 

Tiga surat rasmi yang pernah ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu kepada Perdana Menteri Israel yang didedahkan baru-baru ini mencerminkan pendirian Malaysia dan bukanlah satu rahsia. Mungkin ada seorang dua manusia yang tidak mahu menerima kebenaran tetapi sebenarnya orang-orang itu adalah penyokong Israel. 

Surat-surat tersebut memaparkan ketinggian diplomasi Malaysia dalam menyuarakan pandangan dan pendiriannya keatas Israel. Saya ingin memetik ungkapan dari beberapa surat tersebut yang secara jelas menunjukkan ketegasan dan sikap berprinsip Malaysia terhadap Israel seperti berikut: “….Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu. –Surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin 

Dalam suratnya kepada Nentanyahu beliau menulis : “Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga…” “….Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan. Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga….” –Surat Dr Mahathir kepada Benjamin Nentanyahu 

Suratnya kepada Ehud Barak mengulangi pendirian yang sama : “…Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan. Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel. Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen. Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansor. Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar….” –Surat Dr Mahathir kepada Ehud Barak 

Dr. Mahathir sendiri telah menggalakkan Allahyarham Presiden Arafat untuk mengambil satu keputusan yang agak payah baginya dengan meminta beliau mengambil pendekatan rundingan dengan Israel dibawah naungan PBB dan didokongi Amerika Syarikat. Sehingga sekarang rundingan demi rundingan tidak dapat mencapai apa-apa rumusan yang bermakna semata-mata kerana sikap dan kedegilan Israel. Namun tiada kuasa termasuk Amerika Syarikat dan Bangsa Bersatu boleh memaksa dan menghukum Israel. 

Justeru surat-surat Dr. Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel tidak mengubah pendirian Malaysia terhadap Palestin ataupun Israel. Dimasa sama beliau menegaskan Israel hendaklah mengambil langkah kearah kedamaian dan menunaikan tanggungjawabnya. Rakyat Palestin banyak berkorban dan Israel perlu berani mengambil langkah sama. Mangsa dalam konflik Palestin/Israel adalah warga Palestin kerana keganasan dan penganiayaan Israel yang lebih dahsyat dari sebelumnya yang pernah disaksikan di wilayah itu. 

Bagi menjalankan mandat negara, saya pernah pada tahun 1999-2000 bertemu dengan Menteri Luar Israel, sewaktu Perhimpunan Agong PBB dan sekali lagi dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar kedua-duanya di New York. Pertemuan tersebut diadakan diatas permintaan Israel. Mereka mahu menjalin hubungan diplomatik atau sekurang-kurangnya hubungan teknikal dengan Malaysia. Namun selaku Menteri Luar Malaysia ketika itu, saya menolak selagi konflik Palestin/Israel tidak diselesaikan. Tiada kompromi dan tiada perubahan dasar. Bukanlah satu kesalahan untuk menulis atau berjumpa dengan pemimpin-pemimpin Israel bagi menyatakan pendirian Malaysia. Israel menganggap Malaysia adalah negara luar biasa kerana lebih tegas dari negara-negara Arab dan berpegang teguh kepada pendiriannya berbanding negara Islam lain. Keselamatan rakyat Palestin adalah penting yang perlu dilindungi bukan keselamatan Israel yang sememangnya sudah selamat. 

Pendirian ini tidak berubah sama ada secara bilateral ataupun multilateral. Suara Malaysia tetap tidak berubah memperjuangkan secara berterusan menegakkan hak dan keadilan untuk Palestin. Ada segelintir kecil rakyat negara yang cuba memutarbelitkan fakta dengan pembohongan atau mereka-reka cerita tetapi ia tidak mengubah kebenaran. 

create : 3 Februari 2012 
edited : 28 November 2014

1 comment:

  1. Salaam Tan Sri,
    I hereby reported an important issue regarding Turkey/OIC donated materials caught in the Rakhine Rebels hand by the Myanmar Military...Is Turkey supporting Rakhine Rebels who are fighting for secession from Myanmar? Turkey donated food and aids landed in wrong hand.
    Myanmar government’s media is spreading FALSE PROPAGANDA to associate these things arrested from the Rakhine Rebels with the OIC and Turkey so that Myanmar people and Rakhine Buddhists would hate both the rebels and Muslims:OIC and Turkey. This is time for Turkey to reveal that they had just donated into the Federal Government and Rakhine State Government.
    Turkey need to demand the Myanmar Federal Government to investigate who in the Rakhine State Government is responsible to channeled and misused their donations meant for the refugees. @ https://drkokogyi9.wordpress.com/2015/04/25/is-turkey-supporting-rakhine-rebels-who-are-fighting-for-secession-from-myanmar-%E1%80%90%E1%80%B0%E1%80%9B%E1%80%80%E1%80%AE-%E1%80%94%E1%80%B2%E1%82%94-aa-%E1%80%99%E1%80%BD%E1%80%9E%E1%80%8A/

    ReplyDelete