Saya masih ingat kisah kehidupan sewaktu saya remaja. Kehidupan ketika itu begitu mudah dan suasana kampung begitu terasa. Kita bergantung sepenuhnya di dalam proses mendewasakan diri kepada kasih sayang yang di curahkan oleh ayahanda, bonda atau panggilannya walid atau ummi serta saudara mara. Walaupun hidup serba sederhana, namun senantiasa tenang dan bahagia. Kita hormat serta takut pada ayahanda dan bonda bukan kerana mereka garang atau keras tetapi ada adab dan santunnya dalam hubungan kekeluargaan. Terfikir saya betapa susahnya bonda menjaga 10 orang adik beradik. Tetapi mereka didik dan asuh setiap seorang dari kami supaya menjadi manusia berguna kepada keluarga dan masyarakat. Kami bimbing dan dididik supaya berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni dan beretika. Kedua-dua orang tua saya didik ahli keluarga supaya mudah bergaul dan tidak sombong dengan semua lapisan masyarakat.
Bonda tertumpu membesarkan anak-anak dan menguruskan rumahtangga. Dengan 10 orang adek-beradek (asalnya 12), rumah kami sentiasa hingar-bingar sepanjang masa lebih-lebih lagi bila berkumpul, bermesra dan bersantai. Zaman itu bonda tiada seorang pun pembantu rumah, tempatan ataupun orang asing untuk membantu.
Setelah berpindah dari Kota Baru Kelantan ke Johor Bharu ayahanda saya kelam kabut cari tempat tinggal untuk menampung semua keluarga. Masa itu tidak banyak pilihan melainkan ambil sahaja apa yang ada atau ditawarkan. Akhirnya dapat menyewa rumah berek di Jalan Storey, Johor Bharu. Bila keadaan sudah tenteram dan ayahanda ada masa untuk mencari rumah lain yang lebih selesa dan berjaya kami berpindah lagi ke Jalan Wadi Hasan. Disitu dapatlah kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah yang lebih selesa dan besar sikit. Wadi Hasan terletak diantara bandar dan kampung.
Sedih bila fikirkan bagaimana bonda terpaksa bekerja keras membasuh baju, memasak untuk menyediakan hidangan ala kadar untuk famili yang ramai. Tetapi alhamdulillah semua cukup untuk setiap ahli keluarga kami menikmatinya.
Ayahanda saya, setelah menjadi perantau dan habiskan persekolahannya di madrasah Al Junid, Singapura, beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru, kemudian menjadi guru besar di sekolah Arab Islah, Kota Bharu. Beliau juga menceburi bidang penulisan sebagai journalis akhbar dan majalah. Lebih bermakna lagi beliau menghabiskan hayatnya dengan mengabdikan diri pada UMNO.
Bila kami berpindah semula ke JB beliau diambil menjadi penolong pegawai penerangan. Selepas itu bertugas sebagai ketua penerangan dan dua kali menjadi Setiausaha Agong UMNO di bawah kepimpinan Tunku. Selaku pemegang jawatan UMNO ayahanda saya menjelajah seluruh pelusuk negara mempromosikan UMNO dan kemudiannya Parti Perikatan. Tugas tersebut di pikul dengan penuh dedikasi dan komitmen serta amanah, ikhlas dan setia. Bila negara mencapai kemerdekaan kami sekeluarga berpindah ke KL dari Johor kerana UMNO berpindah. Saya tidak lupa yang beliau pernah berhenti dari jawatan Ketua Penerangan, Setiausaha Agong UMNO dan juga Menteri Muda Penerangan kerana berselisih dengan Tunku diatas soal dasar. Tetapi hubungan beliau dan hormatnya pada Tunku tidak pernah berubah.
Pada tahun 1955 Tunku menghantarnya sebagai Menteri Kaunselor Penerangan di Suruhanjaya Malaysia di Great Britain. Tujuan utama Tunku adalah untuk memperbaiki bahasa dan pertuturannya dalam Bahasa Inggeris. Saya boleh katakan yang ayahanda saya berkorban untuk agama, bangsa dan negara dan berjuang di medan politik UMNO sehingga akhir hayatnya. Justru beliau tidak pernah meninggalkan UMNO.
Ayahanda saya berkerja sepenuh masa untuk politik dan UMNO. Sedangkan bonda menunggu dengan taat dan setia di rumah, betul-betul berfungsi sebagai suri rumah. Saban hari ayahanda di perantauan menjelajah untuk berceramah dan berkempen di seluruh pelusuk negara untuk memasarkan UMNO sebagai wadah perjuangan bagi memerdekakan negara dan umat Melayu dari belenggu penjajahan. Walau apa pun ayahanda saya tetap taat pada Tunku selaku Presiden Parti walaupun dari masa ke semasa dia mempunyai pegangan dan pendirian yang berbeza. Selalunya bila ada perbezaan prinsip berlaku, beliau akan mengundurkan diri dari jawatan tetapi tetap bertungkus lumus untuk UMNO.
Apa yang saya catitkan adalah dari perhatian dan cerita kawan-kawan sezaman beliau. Ini bukanlah satu cerita lengkap tetapi selintas pandang. Ayahanda mengambil pendekatan menegakkan kebenaran secara tegas dan berani apabila menyentuh persoalan agama dan bangsa Melayu. Bukan bertujuan untuk menjadi juara dan beliau tidak ambil peduli apabila di panggil sebagai ultra oleh penjajah atau Lee Kuan Yew dalam menegakkan hak dan kedudukan orang Melayu. Padanya Lee Kuan Yew lebih chauvinis dan ultra bila memperjuangkan kedudukan kaum Cina di Singapura dan Semenanjung Malaya. Padanya ia jelas kelihatan jika di teliti dari ucapan serta penyataan-penyataan Lee Kuan Yew, semasa beliau berkempen ataupun dalam hujah-hujahnya. Tapi sebagai seorang yang cerdas dan pintar Lee Kuan Yew bijak berselindung disebalik kata-katanya. Adakalanya Lee Kuan Yew boleh dianggap lebih extreme lagi bila menghujahkan mengenai isu orang Melayu juga bangsa pendatang, yang dengan sendirinya menafikan realiti sejarah nusantara di rantau ini.
Secara jujur dan ikhlas ayahanda saya berani menegur dan mengkritik siapa juga pemimpin tertinggi parti dan kerajaan semata-mata untuk kebaikan parti dan kerajaan. Walaupun demikian hubungannya dengan pemimpin tertinggi parti ataupun diperingkat akar umbi. Mithalnya beliau tidak segan menyatakan dia tidak setuju dengan pemberian Carcosa kepada kerajaan British dengan alasan mengapa perlu beri hadiah pada penjajah sedangkan mereka telah menjajah negara untuk sekelian lama dan meraih keuntungan darinya. Begitu juga prinsip terus terang beliau apabila menentang cadangan menyingkirkan Singapura dari Malaysia. Jajaran politiknya menarik dan ada masanya kontroversial.
Oleh kerana keberanian dan ketegasannya beliau terkenal dan digelar ’Singa UMNO’. Di atas pengorbanannya Allah swt membalasnya. Bila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, ia berlaku semasa membuat ucapan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Johor selaku jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Beliau berpegang kuat kepada prinsip maruah agama, bangsa dan negara tidak boleh digadai dan dipermudahkan. Penulisan ini hanya secebis cerita kecil tentang pengorbanan seorang pejuang negara. Matlamatnya bukan wang ringgit tetapi mahu melihat bangsa dan negara bebas dari belenggu penjajahan. Ucapannya menanamkan semangat waja kepada anak bangsa. Umno menjadi wadah suci yang di pupuk dengan jujur dan ikhlas.
Penghormatan kepadanya adalah bila Dr. Mahathir mengizinkan supaya beliau disemadikan di perkarangan makam pahlawan di Masjid Negara diatas permintaan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Semoga Allah swt mencucuri rahmat keatas rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan para solehin.
Al-Fatehah
Hebat maknusia bernama Tan Sri Syed Jaafar Albar ini
ReplyDelete