Friday, May 20, 2016

Kesan Geopolitik Tanpa Suara Hati

 Syed Hamid Albar, PhD
6 Mei 2016

Pada sidang kemuncak OIC di Istanbul baru-baru ini (14-15 April 2016), jelas sekali Turki dan semua negara Islam mahukan supaya perlakuan terorisme dan keganasan melampau tidak dikaitkan dengan agama Islam dan umatnya kerana agama Islam  menuntut kepada kedamaian dan keamanan. Ini selaras dengan tema “Unity and Solidarity for Justice and Peace”, yang telah dipilih.

Presiden Erdogan dalam ucapannya di pembukaan sidang OIC tersebut, mencadangkan agar oder antarabangsa perlu dikaji mengikut tuntutan masa dan keadaan geopolitik global yang sudah pun berubah. PBB mengikut pendapat beliau, mesti mencerminkan realiti hari ini dan bukannya realiti pasca Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin. Umat Islam yang berjumlah suku daripada jumlah penduduk dunia patut menjadi salah satu ahli tetap Majlis Keselamatan PBB. Adalah tidak tepat untuk landskap politik antarabangsa dunia  ditentukan oleh hanya lima buah kuasa besar sahaja. Oleh itu, seruan untuk menyusun semula PBB adalah munasabah dan wajar. Beliau juga menyentuh tentang perlunya kerjasama yang rapat di antara negara-negara Islam bagi mencapai keamanan dan kedamaian dunia. Pola dunia baru mestilah mempunyai keseimbangan persekitaran geopolitik berteraskan politik, ekonomi dan keselamatan serta populasi.

Persoalan geopolitik seringkali menjadi topik penting dalam perbincangan di kalangan ahli akademik dan diplomat di peringkat domestik dan antarabangsa. Mengapakah isu ini menjadi penting dalam hubungan antarabangsa dan diplomasi? Perkara tersebut menjadi lebih kritikal kerana ianya boleh memberi kesan kepada kepentingan negara dalam hubungan dua hala, perjanjian dua hala dan pelbagai hala ataupun triti pelbagai hala. Lantas, akhirnya ia akan memberi impak kepada kepentingan negara dalam isu keselamatan, politik, ekonomi dan sosial. Justeru itu, persekitaran geopolitik perlu diberikan tumpuan secara holistik dalam apa-apa keputusan domestik ataupun hubungan antarabangsa bagi memahami serta mengelakkan kesan negatif, sama ada jangka panjang ataupun jangka pendek kepada rakyat dan negara.

Perkataan geopolitik sendiri yang berasal dari bahasa Yunani; “geo” memberi makna bumi atau tanah dan “politea” (politik) pula secara literalnya melibatkan kedudukan penduduk bandar dan masyarakat dalam persekitaran politik semasa. Oleh itu, bila berbincang tentang geopolitik, ia membawa maksud kaitannya di antara geografi (manusia dan fizikal), politik dan hubungan antarabangsa. Menurut Spykman, seorang geostrategis, Geopolitik adalah perancangan dari keamanan negara yang berkaitan dengan faktor geografi. Sedangkan menurut Kamus Webster, Geopolitik adalah satu pengajian dari pengaruh faktor fizikal seperti geografi, ekonomi, penduduk dan politik khususnya berkaitan dengan dasar luar sesebuah negara.[1] Dalam penganalisaan geopolitik, kita perlu kaji dimensi ini berdasarkan dua teori Realisme; iaitu Realisme Klasik di mana Hans Morgenthau menyifatkan manusia pada dasarnya mempunyai kehendak yang tidak terhingga dan tamak yang mendorong pemimpin sesebuah negara mahukan kuasa untuk kepentingan nasional dan menguasai negara lain. Manakala mengikut teori Neorealisme, Waltz menganggap pergolakan dunia adalah berpunca daripada sistem antarabangsa yang anarkik dan tidak memiliki kuasa pusat[2]

Justeru, analisis geopolitik dilakukan bagi mengkaji dasar luar bagi kegunaan pemimpin negara dan penasihat mereka membuat ramalan terhadap iklim politik antarabangsa dan implikasinya kepada kepentingan dasar domestik dan strategi yang perlu diambil dalam soal kepentingan negara. Lagipun mutakhir ini, sikap ingin tahu dan tuntutan rakyat lebih mendesak untuk ketelusan kesan dasar luar dan impaknya. Oleh itu, penggubalan dan pelaksanaan haruslah konsisten kepada kehendak dasar domestik bagi memenuhi aspirasi negara.

Sememangnya hari ini kita hidup di dunia yang serba pantas dan dinamik. Justeru itu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk membuat ramalan tepat mengenai suasana geopolitik negara dalam persekitaran dunia yang semakin bergolak dengan pelbagai konflik dalaman dan antarabangsa. Keadaan menjadi lebih rumit lagi, dengan kehadiran aktor-aktor bukan kerajaan. Kini persoalan terhadap kepentingan nasional sering dikaitkan kepada kuasa-kuasa besar antarabangsa yang memiliki kekuatan ketenteraan dan ekonomi. Lantas itu, suasana atau iklim politik antarabangsa kerap kali dipengaruhi oleh ahli-ahli tetap (P5), Majlis Keselamatan PBB, dan tidak boleh dinafikan, kemunculan kuasa-kuasa rantau yang baharu juga mula mempengaruhi iklim geopolitik rantau dan politik antarabangsa.

Perkara-perkara dan situasi yang tidak difikirkan ataupun didengari sebelum ini, kini menjadi realiti. Oleh itu, penting untuk negara dan pemimpinnya berupaya bagi menjangkakan baik dan buruknya sesuatu dasar berasaskan kepentingan geopolitik dan strategi negara. Lumrah pada masa ini, kuasa-kuasa besar mencampuri konflik dalaman sesebuah negara lain bagi kepentingan geopolitik mereka. Ada pendapat di kalangan ahli akademik dan penganalisa politik antarabangsa bahawa sebenarnya kuasa-kuasa besar atau negara-negara barat sama ada secara langsung ataupun  tidak langsung telah mencetuskan konflik yang dihadapi dunia pada hari ini. Contohnya konflik di Iraq, Syria, Libya dan lain-lain. Selagi adanya kepentingan politik, ekonomi, keselamatan dan sosio budaya negara-negara besar, mereka tidak akan teragak-agak membuat pertimbangan dari sudut atau kacamata kepentingan nasional dan strategik mereka.

Mereka melakukan pendekatan sebegitu bagi mewarnakan kedudukan landskap politik rantau/antarabangsa supaya sesuai dengan matlamat untuk meneruskan penguasaan dan naungan mereka. Ada pendapat yang menyatakan ia berasaskan kemahuan mencapai dominasi dan status hegemoni dalam sistem politik antarabangsa. Mengikut falsafah dan prinsip tindakan tersebut, soal moral, norma atau nilai tidak timbul selagi ia memenuhi agenda tersurat dan tersirat kepada kepentingan nasional kuasa-kuasa besar, berdasarkan teori Realis yang dipelopori oleh Machiavelli dan Hans Morgenthau.

Bagi tujuan menghadapi ancaman-ancaman tertentu, kuasa-kuasa besar akan membuat andaian yang sewajarnya demi mempertahankan kepentingan nasional mereka ataupun negara-negara sekutu mereka. Mekanisma dua hala dan pelbagai hala digunakan bagi mengizinkan kuasa-kuasa ini untuk terus memonopolikan sistem politik antarabangsa dan secara tidak langsung mendominasi negara-negara kecil dengan menggunakan kekuatan ketenteraan dan ekonomi. Ini dilakukan melalui mekanisme antarabangsa seperti WTO, IMF, Bank Dunia dan lain-lain.

Pada hari ini, perjanjian perdagangan dan ekonomi secara keseluruhannya diasaskan kepada persaingan kuasa sama ada bagi kepentingan ekonomi atau politik negara atau percaturan politik rantau dan antarabangsa. Persaingan geopolitik pada era ini mempunyai hubungkait yang rapat dengan keinginan untuk menentukan penguasaan sumber utama dunia seperti minyak dan gas, air dan makanan. Jika diperhatikan, tuntutan-tuntutan bertindih mengenai sempadan maritim dan penguasaan sempadan, kedua-duanya seringkali didorongi oleh faktor-faktor bagi memenuhi kepentingan ekonomi dan strategik negara-negara tersebut. Pertikaian dan ketegangan dalam isu tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan jelas menunjukkan keinginan negara-negara yang terlibat berminat untuk menguasai sumber ekonomi di kawasan tersebut demi kepentingan politik, ekonomi dan strategi.

Dasar luar Malaysia pada hari ini sering dilihat lebih mendekati percaturan politik antarabangsa yang bersandarkan pada pendekatan keselamatan, kedamaian, ekonomi dan politik. Justeru, dasar luar Malaysia dianggap pro-Barat, di masa yang sama tidak mengenepikan kedudukannya di kalangan negara-negara anggota ASEAN, Asia Timur dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC). Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) misalnya, yang disertai oleh Malaysia berkait rapat kepada kepentingan nasional dengan elemen politik dan ekonomi di Asia Pasifik. Begitu juga pendirian Malaysia bersama-sama negara lain terhadap terorisme/keganasan melampau antarabangsa oleh kumpulan bukan negara seperti IS, ISIL dan Daish yang berpengkalan di Asia Barat, yang kini mula mengembangkan pengaruhnya ke serata dunia. Tidak syak lagi Malaysia menyertai ‘Alliance of Muslim Countries against Terrorism’ bersama negara-negara di Timur Tengah yang dipimpin oleh Arab Saudi. Ini adalah satu lagi contoh di mana pemimpin Malaysia telah membuat keputusan berasaskan apa yang dianggap sebagai kepentingan geopolitik negara.

Kesimpulannya, percaturan politik antarabangsa hari ini amatlah berkait rapat dengan pemilikan kuasa bagi memenuhi agenda geopolitik masing-masing. Sepertimana yang dinyatakan oleh Morgenthau (2006) dalam bukunya, Politics of Nations: the Struggle for Power and Peace, “Dunia ini sentiasa berada di atas pentas arena persaingan dan pergolakkan keseimbangan kuasa dan dilema keselamatan.”[3] Walaubagaimanapun, Buzan (1997) berpendapat bahawa di dalam mengimbangi geopolitik persekitaran dunia, dilema isu keselamatan (security dilemma) adalah satu persoalan yang menyebabkan negara-negara berlumba memantapkan dan memodenkan aset ketenteraan bagi mempertahankan kepentingan nasional mereka.[4]

Seyogia, konsep kuasa memainkan peranan utama di dalam penentuan pendekatan dasar yang berasaskan geopolitik antarabangsa. Oleh hal yang demikian, tiap-tiap negara mestilah bijak menangani cabaran dan peluang dalam menguruskan kepentingan nasional dan mengatur percaturan dasar luar di arena politik antarabangsa dari perspektif politik, ekonomi, keselamatan dan sosio budaya tanpa sebarang gangguan atau tekanan daripada negara yang lebih kuat dan berpengaruh.

Kini, dunia perlu bimbang jika segala keputusan politik antarabangsa dibuat semata-mata berasaskan kepada kepentingan geopolitik dan kepentingan nasional. Sebaiknya, keputusan politik antarabangsa sepatutnya mengambil kira soal moral ataupun suara hati (conscience), serta tidak memilih bulu atau berasaskan standard berbeza (double standard). Ia juga sepatutnya tidak diwarnai oleh perasaan prejudis terhadap agama, kaum ataupun untuk meluaskan pengaruh di rantau tertentu yang dilanda konflik. Begitu juga, ianya tidak bertujuan untuk mendominasi negara-negara ataupun rantau-rantau tertentu. Kita sering mendengar alasan yang diberikan oleh negara-negara, di mana tindakan mereka adalah dengan tujuan suci dan murni di atas nama demokrasi, kebebasan dan hak asasi kepada rakyat dalam sesebuah negara tersebut. Sungguhpun begitu, agenda sebenar di atas nama kuasa selalunya sering tersembunyi. Maka akibat keputusan mereka, tindakan yang dilakukan ada masanya membawa kepada pelanggaran undang-undang asas antarabangsa dan kemanusiaan ataupun bertentangan dengan ketamadunan manusia.

Selain itu, media sering memainkan peranan berat sebelah semasa adanya konflik ketenteraan melalui propaganda yang terancang di mana berita sebenar tidak tersiar untuk pengetahuan awam. PBB sendiri sebenarnya tidak berperanan menegakkan keadilan antarabangsa atau memberhentikan konflik ketenteraan yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar. Malangnya dalam suasana perang, mangsa adalah orang-orang awam yang selalunya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua.  Begitulah keadaan oder dunia bila kepentingan geopolitik menjadi justifikasi ke atas semuanya. Justeru itu, adalah perlu bagi segala keputusan antarabangsa melibatkan keamanan dan ketenteraman dibuat dengan mengambil kira sentuhan suara hati dan berasaskan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan. Namun realitinya adalah sebaliknya.



[1] Syamsu Rizal. (2009). Defence cooperation agreement (DCA) RI-Singapura ditinjau dari perpektif ketahanan nasional. (Disertasi Sarjana). Diambil dari http://lib.ui.ac.id/file?file=digital/126014-T%20355.45%202009%20(6)-defence%20cooperation-literatur.pdf
[2] Brown, C. with Ainley, K. (2005) Understanding International Relations. London: Palgrave.
[3] Morgenthau, H. J., Thompson, K. W., & Clinton, W. D. (2006). Politics among nations: The struggle for power and peace. Boston: McGraw-Hill Higher Education.
[4] Buzan, B. (1997) ‘The Timeless Wisdom of Realism?’. In International Theory: Positivism and Beyond, edited by Steve Smith, Ken Booth and Marysia Zalewski, pp. 47-65. London: Cambridge University Press.

Friday, May 6, 2016

FBSHApost@1 May 2016: Morality and Humanity

It is important that our actions are governed by morality and humanity to avoid human beings being driven purely by vested personal interest, narrow national interest or based on nationalism, prejudice on a particular race or religion. It is worst when the actors are state or non state actors with authority and power. The world is witnessing too much destruction, violence and hatred. Let us pray for a proper human behaviour and conduct to achieve peace and security. Just a thought when looking at the world inundated with hypocrisy and double standards.

FBSHApost@1 May 2016

FBSHApost@23 April 2016: PUISI #9/2016 Istanbul

Istanbul oh Istanbul
Bila kau muncul
Terserlah di antara gunung-ganang lembah bukit bukau dan dataran 
Terpukau dalam satu ingatan dan kenangan
Satu lukisan sejarah beredaran
Lama dan baru bertemu
Ramai yang cemburu
Ada yang bergegas ada yang bergerak letih
Ada jalan pantas tanpa berasa cemas
Kau adunan kepelbagaian
Pada masakan dan wangian
Indah mu mengagumkan
Malam dan siang senantiasa bersambutan
Tiada kemalasan
Lautanmu bergelombangan
Barat dan timur bergelutan dalam pertembungan
Penghuni berbagai wajah dan warna
Masing masing ada cerita
Mencari kehidupan di bawah mentari
Bulan dan bintang menerangi kecerahan
Aku mengalumun mendengar bunyi
Cerita suka dan kesedihan
Meneroka kebahagian di ambang kesibukan
Tangisan dan keceriaan
Kota dan bandar kaya dan kefakiran
Di antara wisma dan gedung
Ada yang berbaring tiada yang pedulikan
Mencari sesuapan atau lira di hulurkan
Seketol roti untuk menghilangkan kelaparan
Seteguk air menghilangkan kehausan
Kisah romantis kesayangan
Kehidupan menadah harapan
Di pinggir-pinggir jalan tersembunyi
Mereka yang hilang segala nilai kemanusiaan
Mereka yang mencari teduhan
Sedang angin bayu bertiupan
Tersentuh di tubuh yang menadah kebahagiaan
Di mana terkandung seribu impian
Menunggu pada keamanan dan kedamaian
Menunggu tempat dan halaman
Kesangsian .... Meninggalkan kenangan
Istanbul kan ku tinggalkan
Dalam kotak fikiran
Aku meneruskan perjalanan
Memohon supaya ada cahaya di akhir terowongan
23hb April
11.30 mlm


FBSHApost@23 April 2016

FBSHApost@23 April 2016: Review of a Novel

I was reading...I'm not sure whether I should call it a novel or a memoir. Its quite an interesting account of Malaysia as it evolves to a nation. The writer a Malaysian and a Malay but he would like to consider himself a true Malaysian.... Open and liberal without the necessity of being attached to the do's and don'ts of the religion. Anything that is near to practicing the shariah he would consider as restrictive or old fashioned or even fundamental. He considered any policy or anything that is Islamic to be retrogressing and moving backwards and not good for the multicultural nation. According to him Malaysia would not be a truly Malaysian nation that is free if the government failed to follow the evolution towards modernity and if we wanted to progress.. 

May Allah give him guidance...

FBSHApost@23 April 2016

FBSHApost@19 April 2016: PUISI #8/2016 Bila Manusia Terlupa

Bila manusia terlupa, terlena tergoda tergelincir dari keesaan dan kuasa Allah mungkin dia berkata,

"Sekira nya aku dapat mencapai matahari bulan dan bintang
Pasti sekali akulah yang terbilang
Gemilang tersohor dipandang orang
Aku akan mengatur semuanya di setiap ruang
Akan ku isi di sudut tidak terbuang
Mentari menyinari hidup
Bulan menerangi gelita di waktu malam
Bintang-bintang menghias lelangit luas terbentang
Putaran solar bersilih ganti
Aku tetapkan kehendak alam
Berkuasa dan memiliki kuasa
Mentadbir makhluk dan kejadiannya
Pepohon gunung-ganang bukit bukau lembah dan dataran
Sungai dan lautan serta kandungan
Detik dan masa mengikut edaran nya
Aku cakupi dalam satu gengaman
Segala tiada sekatan
Kesucian dan kekotoran
Kezaliman dan keadilan
Keangkohan dan kesombongan
Aku mahu membentuk dan membina
Kewajaran dan ketidak siuman
Kekayaan dan kemiskinan
Sentuhan mewarna segala pemilikan
Kehidupan dan kematian
Jelas sekali aku pelupa
Kegilaan yang tidak berupaya
Itulah Insan terlalai".
SHA dari 9mlm ke 10.30 malam.
Alshifaq

FBSHApost@18 April 2016: Dunia Islam dan Ilmu

Dunia Islam hidup dalam gelita bila ilmu ditinggalkan seolah-olah ia bertentangan dengan kehendak AlQuran dan Sunnah dan akhirnya dijajah dan dibahagikan untuk terus berpecah berasaskan ideologi dan fahaman agama dan politik. Perkataan Ummah pun sebagai satu konsep komuniti hilang relevan nya dalam menafsirkan kepentingan negara dari aspek politik, ekonomi, keselamatan dan sosial. Akhirnya kita disogokkan dengan kepercayaan bahawa agama Islamlah yang menyebabkan kemunduran dan kelemahan negara dan umat Islam. Sejarah dan undang-undang antarabangsa pun dirangka bagi memenuhi dominasi dan penguasaan mereka terhadap negara-negara Islam. Perdagangan dan hubungan ekonomi digunakan untuk menjajah. Dengan negara-negara Islam mengenepikan ilmu dan agama serta menganuti sistem ekonomi kapitalisma dan cara hidup berasaskan hedonisma, maka kita gagal menganalisis persoalan gropolitik yang menyebabkan kejatuhan Sepanyol dan Empayar Othmaniah...Hilanglah keyakinan dan tumbuh nasionalisma berasaskan identiti etnik dan ideologi politik. Hingga hari ini negara Islam belum dapat keluar dari kepompong tersebut kerana ia tidak mewarnai oder dunia tapi menjadi pengikut.

FBSHApost@18 April 2016

FBSHApost@17 April 2016: Tawaduk


Ini catitan saya semasa tazkirah di Masjid Saidina Umar Ibn Khattab lepas solat subuh. Alasan Iblis tidak mahu sujud kepada Adam walaupun diperintah Allah kerana dia dijadikan dari api biru dan Adam dari Tanah..,mengapa...kerana kesombongan. Minta Allah membenarkannya untuk umur panjang....dan menyesatkan manusia dari jalan lurus....melainkan yang sikit yang beriman pada Allah dan Rasul. (Ayat Isra; 61- 65). 


Iblis kenal Allah dan kuasanya sebab itu minta izin dan menderhaka pada Allah. Allah berikan kebenaran. Kalau manusia, kita ingat kita ini hamba Allah tidak akan kita tergelincir dan sombong, bongkak dan angkuh....akan jadi tawaduk.... Kaya jawatan tinggi dan kedudukan jangan jadikan kita sombong dan angkuh... Siapa kita di sisi Allah.., Rasulullah S.A.W sentiasa merendah diri..... Tawaduk.

Ambil pengajaran dari Quran dan Sunnah Rasul. Jangan takut untuk bertawaduk. Allah penentu segalanya.. Bisikan dari Iblis dan bisikan dari manusia yang jadi kader Iblis dan alat Iblis (Annas). Kerja Iblis tipu daya kita untuk angkuh dan sombong dengan jawatan dan kekayaan. Kerjanya mengajak orang buat jahat. Dunia bukan kita punya. Kekal jadi hamba Allah bukan hamba syaitan...

Wallahua'lam.

Semoga kita dapat petunjuk dari Allah dan syafaat dari Rasulullah S.A.W.

FBSHApost@17 April 2016

Thursday, May 5, 2016

FBSHApost@17 April 2016: Our Short Life

This morning short lecture after the Subuh prayer focused on the need to realize that we are on this world for a short or temporary period only. Thus the need for us to be good and to avoid evil or to do harm to others. In this regard he reminded the congregation to practice humility and avoid being proud or arrogant because of position, status, wealth or knowledge. Satan is always there to tempt and let us astray by wrong doing and create dissension amongst us. We should seek for a straight path and not waste our life or wealth in meaningless things or deeds.

FBSHApost@17 April 2016

FBSHApost@16 April 2016: Bicara mengikut suratan kejadian.

Tiga hari berbicara, berbincang, berdebat dengan kata-kata hebat... Merencana, mengesyor berbagai plan mahu laksana... Mencari arah penyatuan dan kesepaduan...mendokong dan menyokong....Kemantapan dan kejituan...jalan-jalan berlikuan....perkataan dan amalan...berpisahan... Kedamaian dan keadilan...Ada masam manisnya meniti jalan tiada kesampaian...mungkin terukir di bibiran...semangat dikobarkan....dengar ungkapan kesedaran dan keinsafan... keakraban dan kemesraan.... Bahasa tertinta dalam harapan...keletihan dan kelesuan...jasad dan akal fikiran....bertemu dan akhirnya meninggalkan kenangan...selamat jalan diucapkan...dunia terus berputaran... Satu saat, satu minit..,satu jam dan dua puluh empat jam....peredaran masa bermula hari, minggu menanti, sebulan pula menyinggahi, setahun dan seterusnya seterusnya...,hingga lah kiamat.... Insan akan terus bicara mengikut suratan kejadian.

FBSHApost@16 April 2016