Monday, May 25, 2009

JANGAN TERLALU BERUNDUR

Hari ini banyak persoalan telah ditimbulkan tentang masa depan UMNO dan Barisan Nasional. Yang menjadi sasaran pembangkang adalah terhadap UMNO. Malangnya okestra pembangkang ini sering turut di ikuti oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Kedudukan dan kelemahan Barisan Nasional kesuluruhannya dipertanggung jawabkan kepada UMNO, seolah mereka tidak menyumbangkan kepada kekalahan dalam PRU 12.

Namun begitu jika kita analisa dengan teliti berkenaan keputusan PRU 12 sebenarnya kehilangan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, walaupun berkurangan tetapi peratusnya tidaklah sebegitu tinggi. Disebaliknya kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap komponen Barisan Nasional begitu jelas dengan peratusannya yang amat tinggi. Jika disangkakan reformasi UMNO akan menjadi penyelesai segala masalah sokongan rakyat, terhadap Barisan Nasional, ia jauh menyimpang dari kebenaran. Saya percaya setiap parti komponen perlu membuat reformnya sendiri untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.

Persoalannya apakah sumbangan mereka bagi mendapatkan semula sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional. Apakah memadai memaksa UMNO untuk mengikut rentak pembangkang. Dengan mengkritik dan meruntuhkan segala persefahaman yang tersurat dan tersirat yang telah disepakati dulu oleh pengasas Negara, ia akan memulihkan sokongan kepada komponen Barisan Nasional. Jika kita tidak berhati-hati akhirnya sokongan pengundi Melayu pun boleh terjejas.

Malangnya bagi UMNO hasil dari tekanan dari pelbagai pihak, nampaknya kita mengaku bersalah terhadap apa jua yang berlaku pada PRU 12. Kita mula gentar dan menerima segala tohmahan dan tekanan. Kita pun mula bercakap berkenaan ‘reformasi’ UMNO. Walaupun saya bersetuju yang UMNO perlu membuat anjakan dari aspek imej, kredibiliti dan integritinya, saya khuatir UMNO tidak akan bangkit semula, walaupun kita menunjukkan kesatuan dan kekuatan. JIka mereka yang tidur sebentar dengan kita tidak berkongsi pendekatan dan harapan maka masa depan kita terancam. Apakah jika UMNO bersetuju dengan tuntutan mereka apakah yang tinggal pada UMNO dari segi perjuangan bagi kepentingan kaum bumiputra.

Justru kerana itu apa-apa perubahan atau reform yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan di semua peringkat Barisan Nasional bukan sahaja kepada UMNO. Barisan Nasional akan terus gagal jika ada kumpulan pendesak dari dalam Barisan Nasional yang membuat pernyataan yang mencerminkan tidak ada kesepakatan dalam Barisan Nasional.

Seperkara yang perlu difikirkan secara serius ialah samada pendekatan sedia ada dalam perkongsian kuasa Barisan Nasional masih lagi sesuai dan relevan dalam konteks politik semasa.
Jika kita mengimbas kembali sejarah Negara kita dapat lihat yang selepas prestasi Perikatan pada PR 1969 tidak memuaskan dan berlakunya trajedi Mei 13, pendekatan baru telah diambil dengan melahirkan Barisan Nasional. Barisan Nasional dapat diterima untuk sekian lama tapi pada 2008 Barisan Nasional mengalami satu kejutan politik yang mungkin tidak dijangka atau di duga. Sehingga kini kita masih mencari rumusan, sedangkan penghakisan kepercayaan rakyat pada kita tidak berakhir lagi. Justru itu, kita perlu kaji tindak tanduk kita pada hari ini bagi merancang penerimaan pada PRU 13. Lebih-lebih lagi bila mereka tidak beranggapan ada perubahan dalam BN. Pilihanraya Kecil demi Piliharaya Kecil telah tidak membawa penambahan sokongan pengundi bukan Melayu. Saya percaya mereka sudah tidak terima modul lama Barisan Nasional dalam konteks kerjasama politik dalam kerajaan. Apatah lagi kita sudah memerintah untuk sekian lama.

Dewasa ini kita perlu memikirkan bagaimana Barisan Nasional dapat dipulihkan secara syumul. Bolehkah ia dipulihkan ataupun satu formula baru perlu diwujudkan. Mungkin kita akan memberi seribu satu macam alasan, tetapi kebenaran rakyat belum lagi yakin pada BN.

9. Ini bukan kerana dasar yang tidak baik ataupun gagal melaksanakan dasar dengan baik. Malahan BN telah membawa kemajuan dan pembangunan yang banyak pada rakyat dan negara. Banyak lagi persoalan lain yang harus difikir mengapa segala perkara yang baik dibuat pun di anggap tidak kena. Seolah apa jua yang dilakukan bercanggah dengan kehendak rakyat.

10. Apa yang tidak dilakukan dalam pencapaian ekonomi, sosial, politik, dan budaya. Prasarana dalam belbagai bentuk ‘physical’ dan bukan ‘physical’ telah diwujudkan bagi kepentingan rakyat. Tapi yang menguasai dan menggunakan secara optima adalah parti pembangkang. Ditambah pula ada masanya ahli BN pula menembak di kaki sendiri. Pengundi tidak mahu membincangkan jasa tetapi mengukur prestasi BN dari perspektif lain. Mungkin masa untuk bercakap sudah berakhir, tetapi perlu melakukan sesuatu yang radikal. Dimana BN patut menerima kelemahan dan kesalahan dapat membuat pembetulan segera.BN perlu ada strategi dan perancangan teliti, bukan berbahas dengan retorik di halaman terbuka.

Wednesday, May 20, 2009

DUN Penanti

  1. Saya menghormati keputusan yang dibuat berkenaan pilihanraya kecil DUN Penanti. Dari segi teknikalnya memanglah tepat. Kekosongan ini adalah kekosongan yang sengaja diadakan tanpa sebab-sebab munasabah oleh pembangkang. Tetapi apa yang kini menjadi perbualan umum adalah samada di dalam konteks politik ia satu keputusan yang bijaksana atau tepat. Ada pandangan yang mengatakan keputusan tersebut akan membawa implikasi negatif terhadap BN khususnya UMNO. Inilah dikatakan kali pertama BN sebagai sebuah parti pemerintah membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil, walaupun kita mempunyai hujah dan alasan yang kukuh.

  2. Apakah persepsi rakyat dan pengundi?. Jawapan singkat mereka mengatakan UMNO tidak yakin boleh menang. Persepsi juga timbul di pemikiran rakyat yang BN tidak berani untuk berhadapan dengan pembangkang. Pada masa ini persoalannya pada mereka adalah tidak seharusnya BN disandarkan kepada menang atau kalah. Disepanjang masa kita akan berhadapan dengan cabaran dan kerenah pembangkang sehingga PRU13. Kita tidak boleh dilihat berundur dengan apa alasan sekalipun.

  3. Sebagai sebuah parti yang besar orang menganggap kita kini berjiwa kecil. Mengenai soal wang rakyat, apa pun kita katakan pembaziran, pilihanraya kecil ini tetap diadakan. Walau apa pun, perbelanjaan akan tetap dibuat kerana pilihanraya kecil ini. Saya berharap kita mengambil langkah untuk membetulkan persepsi rakyat dan pengundi. Keputusan ini diambil bukan kerana BN takut atau mengaku kalah sebelum ia bertanding. Ianya hanya dianggap sebagai permainan politik yang melampau oleh pembangkang. Walau dari perspektif teknikal pendekatan ini wajar tetapi keputusan ini tidak menghantar mesej yang positif kepada rakyat mengenai BN dan UMNO.

  4. Pilihanraya kecil ini akan membolehkan kita mengukur keberkesanan jentera dan mekanisme parti kita sebelum PRU13. Dengan keputusn tersebut kita tidak memberi peluang kepada pengundi di DUN Penanti untuk membuat pilihan diantara BN dan PR. Pada pendapat saya, Pilihanraya kecil boleh memberi gambaran awal mengenai kesiapsiagaan kita dalam berhadapan dengan segala kemungkinan cabaran politik. Ia juga boleh memberikan ukuran tahap sokongan pengundi. Lagipun DUN Penanti ini pada satu ketika dahulu adalah kerusi yang pernah dimenangi oleh BN. Namun demikian keputusan telah pun dibuat dan kita tetap menghormatinya.

Tuesday, May 19, 2009

MEMIKIRKAN SEMULA PERSEPSI

  1. Bangsa Melayu memang terkenal dengan sikap lemah lembut dan setia kepada pemimpin tidak kira dimana peringkat sekalipun. Adakalanya sikap ini mengundang kemudharatan kepada perjuangan apabila ianya dimanipulasikan oleh mereka yang “pintar”. Justeru kerana sikap dan pendirian bangsa Melayu sedemikian, pemimpin yang dipilih mestilah terdiri dari mereka yang amanah, bertanggungjawab dan menghayati aspirasi dan citarasa rakyat yang sebenar dan bukan hanya retorika.

  2. Jika pemimpin memenuhi pra-syarat ini baru ia mampu bersikap adil dan saksama dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sepadan dengan perbuatan.Kita harus mengambil teladan dan iktibar daripada dua orang sahabat ulung Nabi Muhammad s.a.w. kita, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Ali Karamallahu wajhah. Saidina Abu Bakar As-siddiq semasa megambil alih warisan kepimpinan dari Rasulullah s.a.w meminta sokongan daripada umat islam selagi beliau berada di landasan kebenaran. Saidina Ali pula memberi nasihat kepada gabenor-gabenornya dengan menulis kepada mereka supaya memberi keutamaan dan menjaga rakyat, kerana mereka adalah golongan yang teramai. Jika mereka tidak dijaga dan berpuas hati maka mereka boleh menjatuhkan kerajaan. Kita perlu mengambil iktibar daripada kisah-kisah ini, dalam mencari hala tuju baru terhadap permintaan dan dalam usaha untuk mendapat kepercayaan serta keyakinan rakyat. Cabaran utama dan ketara yang dihadapi oleh pemerintah kini adalah persepsi rakyat terhadap pemerintah.

  3. Hari ini rakyat Malaysia banyak berbincang berkenaan membina satu bangsa Malaysia. Walaupun cita-cita ini murni, gagasannya perlu dijelaskan dengan telus dan terbuka untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham.Kalau kita gagal berbuat demikian dikhuatiri akan ada pihak yang akan menganggap seolah-olah tidak ada perjanjian secara tersurat dan tersirat sebelum ini yang dicapai oleh pengasas-pengasas kemerdekaan negara. Satu bangsa Malaysia mestilah berlatarbelakangkan persekitaran politik, sejarah dan budaya negara ini. Saya melihat satu pendekatan yang perlu diberi keutamaan adalah pendekatan terhadap isu-isu kaum sendiri bukan hanya dengan kata-kata tetapi melalui amalan yang tidak bersifat perkauman.Walaupun kita bersetuju mengambil pendekatan untuk melahirkan satu bangsa, ia tidak mungkin tercapai bila mana pemikiran kita masih dibelenggu dengan perspektif kaum . Sebagai orang Melayu selaku bangsa induk di negara ini, kita perlu membina keupayaan dan keyakinan untuk bersaing dalam konteks kemajmukan negara. Malangnya ramai pemimpin bukan Melayu bila membincang berkenaan “satu bangsa”, mereka cepat meminta perkara itu dan ini untuk diruntuh atau dirombak semula. Sedangkan situasi sebenar apa jua yang dilakukan bagi mencari keseimbangan mestilah dilihat dalam konteks keMalaysiaannya. Perlu setiap rakyat Malaysia cuba untuk mengelakkan dari melihat segalanya dari perspektif etnik. Jika ini berjaya, amalan menganalisa masalah dari etnik sendiri semata-mata akan dapat dihapuskan.

  4. Pada masa ini masih lagi terserlah jurang penerimaan diantara Ahli UMNO dan pemimpin UMNO. Dalam lain perkataan masih wujud jurang persepsi yang serius sehinggakan apa jua kebaikan yang kita lakukan tidak diiktiraf oleh masyarakat umum. Sebenarnya ia semakin meluas dan oleh kerana itu ramai mengatakan yang UMNO perlu “di cipta semula” atau “dijuruterakan semula” supaya ia kekal relevan dan diminati oleh semua lapisan masyarakat. Perkara ini menjadi polemik politik dan rakyat juga diberi santapan harian oleh media tentang rasuah politik di dalam UMNO sebagai membenarkan persepsi bahawa UMNO perlu “dicipta semula” atau “dijuruterakan semula”. Rasuah politik ada masanya dijadikan bahan untuk menjatuhkan dan memalukan UMNO oleh bukan sahaja parti pembangkang malahan dari ahli-ahli UMNO sendiri.

  5. Apa yang perlu dilakukan sebenarnya ialah penghapusan penyalahgunaan wang dan bukan untuk menjatuhkan pemimpin UMNO dan kredibiliti UMNO. Justeru itu, nilai-nilai murni dan mulia perlu ditanam di dalam jiwa setiap pemimpin dan penyokong UMNO untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dan bukan yang terbaik untuk diri sendiri.Rakyat akan menilai dan mengukur prestasi setiap pemimpin dan jika ada jurang yang timbul antara pemimpin dan rakyat maka akan lahirlah persepsi negatif terhadap parti dan kerajaan. Rakyat kini menilai reaksi dan cara penyelesaian yang dilaksanakan oleh pemimpin kerajaan terhadap sesuatu isu yang timbul dari masa ke semasa dan ia menjadi persepsi pemikiran rakyat, samada ianya benar atau salah.

  6. Tidak syak lagi dalam politik, populariti sememangnya menjadi asas untuk kita dipilih tetapi populariti dengan sendirinya tanpa kualiti tidak akan membawa sebarang manfaat jika ianya tidak memberi kesan yang diharapkan oleh rakyat.

  7. Sistem penyampaian kepada rakyat harus mencapai sasarannya. Jika sesuatu yang hendak disampaikan berjaya disampaikan kepada rakyat, kita akan berjaya membina keyakinan yang teguh. Keyakinan ini tidak dapat diperolehi semata –mata dengan hanya mengatakan yang kita ini bersih tetapi harus diterjemahkan dengan perbuatan.

  8. Saya adalah orang yang suka berkerja dan berkhidmat untuk negara sehinggakan saya kadangkala terlupa yang saya juga seorang ahli politik. Walaupun kita disenangi oleh rakyat dan mendapat sokongan yang membanggakan tidak semestinya pemimpin UMNO dipersekitaran menyenangi kita. Mereka yang berkepentingan akan bercita-cita mengambil tempat dengan apa cara sekalipun. Tanpa segan silu mereka akan mengambil langkah memburukkan pemimpin parti sendiri dan memfitnah bagi mencapai cita-cita mereka. Perbuatan ini sebenarnya melahirkan kebencian rakyat dan pengundi terhadap UMNO. Kalau timbul sikap dan pendekatan berpuak-puak maka ia akan membawa kesan buruk kepada UMNO sebagai sebuah parti politik. Oleh itu UMNO perlu bangkit dan berubah tetapi jika UMNO sahaja berubah tanpa komponennya berubah ianya seperti menyiram air di daun keladi. Sikap hasad dan dengki perlu dibuang begitu juga sikap jatuh-menjatuhkan kerana kedua-duanya hanya mampu melenyapkan kredibiliti UMNO dan UMNO itu sendiri.

Tuesday, May 12, 2009

Sempena sambutan Maulidur Rasul

Sempena sambutan Maulidur Rasul 2009 bersamaan 1430 hijriah , saya sekeluarga ingin mengucapkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul dan berdoa semoga kita bersama dapat memperbanyakkan selawat dan memperingatinya serta berusaha untuk mencontohi sifat dan keperibadian Rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. supaya dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

TERIMA KASIH DAN TAHNIAH

Terima kasih diatas kata-kata semangat dan galakan yang diberikan.Kekalahan adalah proses biasa dalam demokrasi dan politik kepartian kini saya juga tiada dalam kerajaan dan ini masanya untuk saya membuat banyak refleksi terhadap politik dan pemerintahan.

Banyak pandangan dan slogan baru yang disampaikan dan diutarakan oleh Perdana Menteri baru negara dalam membina kepimpinan dan popularitinya. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik untuk bersama-sama kepimpinan ini.

Semoga rakyat memahami cita-cita kerajaan dan ia dapat memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.Bersama-samalah kita berjuang untuk kepentingan negara berteraskan kemajmukan kita.

Menghadiri Taklimat Isu-isu semasa di Auditorium Perdana Angkasapuri

(S = Soalan , DSSHA = Dato’ Seri Syed Hamid Albar )

S : Bagaimana Dato’ Seri mengendalikan masalah yang berkaitan keselamatan yang kini menampakkan seperi tidak tegas di dalam melaksanakan sesuatu tindakan seperti kes Karpal Singh di Perak ?

DSSHA : Kementerian Dalam Negeri tidak boleh mengambil sebarang tindakan dengan sewenang-wenangnya kerana setiap tindakan mestilah berpaksikan kepada keputusan yang dibuat oleh ketua organisasi di dalam sebuah pasukan ataupun sebuah organisasi. Jika keputusan yang diputuskan supaya kita mengambil tindakan maka kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Seperti kes Karpal Singh kita harus melihat dari sudut undang-undang yang mana apakah dia terikat dengan imuniti sebagai ahli parlimen ataupun sebaliknya. Kini kita sudah beralih kepada pemikiran yang baru sebagai contoh, kalau kes di Perak itu berlaku pada 10 tahun dahulu saya percaya Perak akan di isytiharkan darurat tetapi kini kita telah beralih kepada pemikiran yang baru yang mana sebarang kes perlulah melalui saluran kehakiman iaitu kepada keputusan Peguam Negara. Ini kerana pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa tetapi hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat sebarang laporan yang diterima.

S: Berkaitan penggunaan perkataan “Allah” di dalam Majalah Herald Catholic, Bagaimanakah keputusan membatalkan pewartaan itu boleh dibuat dan ianya menampakkan seperti Kementerian Dalam Negeri seolah-olah hilang integritinya dalam mentadbir?

DSSHA : Dalam perkara ini saya ingin menegaskan bahawa jika kita bergerak didalam satu pasukan atau organisasi kita perlulah taat dan setia kepada ketua organisasi kita. Tidak ramai pemimpin yang berani mengaku kesalahan semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan saya berdoa agar saya tidak tergolong dalam golongan tersebut. Pewartaan yang dikeluarkan tidak mengikut apa yang telah diputuskan dan saya mesti mengambil keputusan untuk membatalkannya supaya tidak mengelirukan segelintir pihak dan dapat mengekalkan keamanan antara kita semua. Perkataan Allah itu sendiri telah lama wujud dan hanya boleh diguna pakai oleh orang islam kerana ianya tidak wujud di dalam mana-mana kitab yang lain selain al-quran. Jadi kita seharusnya mengambil sikap hormat-menghormati diantara kita supaya pertelingkahan agama dapat dihindarkan.


Rancangan Hujah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka
Dato Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rahim di rancangan Hujaj TV9

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Dua calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sependapat yang parti itu mampu berubah menjadi lebih baik selepas proses peralihan kuasa kelak.

Dalam rancangan bual bicara Hujah yang disiarkan di TV9 malam ini, kedua-dua pemimpin itu berkata, keyakinan tersebut didorong dengan kemahuan UMNO sendiri untuk berubah demi rakyat.

Menurut Syed Hamid, apabila adanya perubahan dalam parti maka akan ada pertukaran pucuk pimpinan yang pastinya bakal membawa kepada pandangan, pengisian dan pendekatan yang baru.

Katanya, ini akan memberikan harapan kepada rakyat bahawa barisan kepimpinan yang baru akan dapat membawa negara ke satu peringkat lebih ke hadapan.

”Sekarang orang Melayu terperanjat dengan Pilihan Raya Umum Ke-12 dan bukan Melayu yang minoriti pula, bera

sakan mereka punya kuasa politik yang paling kukuh.

”Jadi pembaharuan ini diharapkan dapat kembalikan aspirasi orang Melayu yang mahu jadi tunggak politik negara ini. Jadi ia sesuatu yang ditunggu,” katanya.

Program malam ini yang menumpukan topik peralihan kuasa, dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusof.

Sementara itu Abdul Rahim berkata, peralihan kuasa di dalam UMNO penting kerana ia bukan hanya menyaksikan peruba

han kepada jawatan tertinggi parti tetapi juga melibatkan peneraju negara.

Kata beliau, sebab itu, rakyat khususnya orang Melayu melihat peralihan kuasa UMNO Mac ini mampu memberikan harapan kepada kesejahteraan mereka.

”Pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi UMNO berada pada tahap amat tidak membanggakan jadi peralihan ini memberi harapan khususnya dalam memenuhi cita-cita orang Melayu.

”Kini Melayu berpecah-b

elah dan mereka berdepan dengan sindrom rendah diri kerana keputusan tersebut.

”Jadi harapan ini menjurus pada kemampuan membentuk kerajaan baru yang stabil dan lebih hebat selepas peralihan kuasa,” jelasnya.

Mengulas saranan pemimpin pembangkang supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Perdana Menteri sehingga krisis ekonomi berakhir, Syed Hamid berkata, UMNO sentiasa bergerak dalam tradisi iaitu Presiden UMNO adalah Perdana Menteri.

”Kita parti yang punya amalan dan jika kita beralih daripada amalan ini maka ia beri impak yang jauh kepada parti. Siapa juga yang jadi pemimpin, tak boleh hidup senang. Pemimpin mesti dapat atasi krisis,” katanya.

Bagi Syed Hamid, begitu jugalah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin UMNO kelak.


”Justeru perkara ini tak seharusnya timbul dan Perdana Menteri sedar perkara itu, apabila ada peralihan kuasa, maka yang jadi Presiden UMNO juga adalah Perdana Menteri UMNO,” tegasnya.

Mengenai penawarannya sebagai calon Naib Presiden UMNO, Syed Hamid berkata, niatnya hanya menyumbang pengalaman sebagai salah seorang pemimpin yang lama dalam kerajaan bagi mengukuhkan parti.

Sementara itu, Abdul Rahim menawarkan diri untuk menjadi ‘doktor politik’ bagi merawat permasalahan dan penyakit persepsi negatif yang ada pada UMNO gara-gara label dan fitnah pembangkang.

”Saya pernah jatuh, bangun dan oleh itu, dengan pengalaman tersebut saya mahu lihat UMNO yang lemah masa ini bangkit semula pada masa akan datang,” katanya.