Tuesday, May 12, 2009


Rancangan Hujah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka
Dato Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rahim di rancangan Hujaj TV9

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Dua calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sependapat yang parti itu mampu berubah menjadi lebih baik selepas proses peralihan kuasa kelak.

Dalam rancangan bual bicara Hujah yang disiarkan di TV9 malam ini, kedua-dua pemimpin itu berkata, keyakinan tersebut didorong dengan kemahuan UMNO sendiri untuk berubah demi rakyat.

Menurut Syed Hamid, apabila adanya perubahan dalam parti maka akan ada pertukaran pucuk pimpinan yang pastinya bakal membawa kepada pandangan, pengisian dan pendekatan yang baru.

Katanya, ini akan memberikan harapan kepada rakyat bahawa barisan kepimpinan yang baru akan dapat membawa negara ke satu peringkat lebih ke hadapan.

”Sekarang orang Melayu terperanjat dengan Pilihan Raya Umum Ke-12 dan bukan Melayu yang minoriti pula, bera

sakan mereka punya kuasa politik yang paling kukuh.

”Jadi pembaharuan ini diharapkan dapat kembalikan aspirasi orang Melayu yang mahu jadi tunggak politik negara ini. Jadi ia sesuatu yang ditunggu,” katanya.

Program malam ini yang menumpukan topik peralihan kuasa, dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusof.

Sementara itu Abdul Rahim berkata, peralihan kuasa di dalam UMNO penting kerana ia bukan hanya menyaksikan peruba

han kepada jawatan tertinggi parti tetapi juga melibatkan peneraju negara.

Kata beliau, sebab itu, rakyat khususnya orang Melayu melihat peralihan kuasa UMNO Mac ini mampu memberikan harapan kepada kesejahteraan mereka.

”Pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi UMNO berada pada tahap amat tidak membanggakan jadi peralihan ini memberi harapan khususnya dalam memenuhi cita-cita orang Melayu.

”Kini Melayu berpecah-b

elah dan mereka berdepan dengan sindrom rendah diri kerana keputusan tersebut.

”Jadi harapan ini menjurus pada kemampuan membentuk kerajaan baru yang stabil dan lebih hebat selepas peralihan kuasa,” jelasnya.

Mengulas saranan pemimpin pembangkang supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Perdana Menteri sehingga krisis ekonomi berakhir, Syed Hamid berkata, UMNO sentiasa bergerak dalam tradisi iaitu Presiden UMNO adalah Perdana Menteri.

”Kita parti yang punya amalan dan jika kita beralih daripada amalan ini maka ia beri impak yang jauh kepada parti. Siapa juga yang jadi pemimpin, tak boleh hidup senang. Pemimpin mesti dapat atasi krisis,” katanya.

Bagi Syed Hamid, begitu jugalah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin UMNO kelak.


”Justeru perkara ini tak seharusnya timbul dan Perdana Menteri sedar perkara itu, apabila ada peralihan kuasa, maka yang jadi Presiden UMNO juga adalah Perdana Menteri UMNO,” tegasnya.

Mengenai penawarannya sebagai calon Naib Presiden UMNO, Syed Hamid berkata, niatnya hanya menyumbang pengalaman sebagai salah seorang pemimpin yang lama dalam kerajaan bagi mengukuhkan parti.

Sementara itu, Abdul Rahim menawarkan diri untuk menjadi ‘doktor politik’ bagi merawat permasalahan dan penyakit persepsi negatif yang ada pada UMNO gara-gara label dan fitnah pembangkang.

”Saya pernah jatuh, bangun dan oleh itu, dengan pengalaman tersebut saya mahu lihat UMNO yang lemah masa ini bangkit semula pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment