Tuesday, May 19, 2009

MEMIKIRKAN SEMULA PERSEPSI

  1. Bangsa Melayu memang terkenal dengan sikap lemah lembut dan setia kepada pemimpin tidak kira dimana peringkat sekalipun. Adakalanya sikap ini mengundang kemudharatan kepada perjuangan apabila ianya dimanipulasikan oleh mereka yang “pintar”. Justeru kerana sikap dan pendirian bangsa Melayu sedemikian, pemimpin yang dipilih mestilah terdiri dari mereka yang amanah, bertanggungjawab dan menghayati aspirasi dan citarasa rakyat yang sebenar dan bukan hanya retorika.

  2. Jika pemimpin memenuhi pra-syarat ini baru ia mampu bersikap adil dan saksama dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sepadan dengan perbuatan.Kita harus mengambil teladan dan iktibar daripada dua orang sahabat ulung Nabi Muhammad s.a.w. kita, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Ali Karamallahu wajhah. Saidina Abu Bakar As-siddiq semasa megambil alih warisan kepimpinan dari Rasulullah s.a.w meminta sokongan daripada umat islam selagi beliau berada di landasan kebenaran. Saidina Ali pula memberi nasihat kepada gabenor-gabenornya dengan menulis kepada mereka supaya memberi keutamaan dan menjaga rakyat, kerana mereka adalah golongan yang teramai. Jika mereka tidak dijaga dan berpuas hati maka mereka boleh menjatuhkan kerajaan. Kita perlu mengambil iktibar daripada kisah-kisah ini, dalam mencari hala tuju baru terhadap permintaan dan dalam usaha untuk mendapat kepercayaan serta keyakinan rakyat. Cabaran utama dan ketara yang dihadapi oleh pemerintah kini adalah persepsi rakyat terhadap pemerintah.

  3. Hari ini rakyat Malaysia banyak berbincang berkenaan membina satu bangsa Malaysia. Walaupun cita-cita ini murni, gagasannya perlu dijelaskan dengan telus dan terbuka untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham.Kalau kita gagal berbuat demikian dikhuatiri akan ada pihak yang akan menganggap seolah-olah tidak ada perjanjian secara tersurat dan tersirat sebelum ini yang dicapai oleh pengasas-pengasas kemerdekaan negara. Satu bangsa Malaysia mestilah berlatarbelakangkan persekitaran politik, sejarah dan budaya negara ini. Saya melihat satu pendekatan yang perlu diberi keutamaan adalah pendekatan terhadap isu-isu kaum sendiri bukan hanya dengan kata-kata tetapi melalui amalan yang tidak bersifat perkauman.Walaupun kita bersetuju mengambil pendekatan untuk melahirkan satu bangsa, ia tidak mungkin tercapai bila mana pemikiran kita masih dibelenggu dengan perspektif kaum . Sebagai orang Melayu selaku bangsa induk di negara ini, kita perlu membina keupayaan dan keyakinan untuk bersaing dalam konteks kemajmukan negara. Malangnya ramai pemimpin bukan Melayu bila membincang berkenaan “satu bangsa”, mereka cepat meminta perkara itu dan ini untuk diruntuh atau dirombak semula. Sedangkan situasi sebenar apa jua yang dilakukan bagi mencari keseimbangan mestilah dilihat dalam konteks keMalaysiaannya. Perlu setiap rakyat Malaysia cuba untuk mengelakkan dari melihat segalanya dari perspektif etnik. Jika ini berjaya, amalan menganalisa masalah dari etnik sendiri semata-mata akan dapat dihapuskan.

  4. Pada masa ini masih lagi terserlah jurang penerimaan diantara Ahli UMNO dan pemimpin UMNO. Dalam lain perkataan masih wujud jurang persepsi yang serius sehinggakan apa jua kebaikan yang kita lakukan tidak diiktiraf oleh masyarakat umum. Sebenarnya ia semakin meluas dan oleh kerana itu ramai mengatakan yang UMNO perlu “di cipta semula” atau “dijuruterakan semula” supaya ia kekal relevan dan diminati oleh semua lapisan masyarakat. Perkara ini menjadi polemik politik dan rakyat juga diberi santapan harian oleh media tentang rasuah politik di dalam UMNO sebagai membenarkan persepsi bahawa UMNO perlu “dicipta semula” atau “dijuruterakan semula”. Rasuah politik ada masanya dijadikan bahan untuk menjatuhkan dan memalukan UMNO oleh bukan sahaja parti pembangkang malahan dari ahli-ahli UMNO sendiri.

  5. Apa yang perlu dilakukan sebenarnya ialah penghapusan penyalahgunaan wang dan bukan untuk menjatuhkan pemimpin UMNO dan kredibiliti UMNO. Justeru itu, nilai-nilai murni dan mulia perlu ditanam di dalam jiwa setiap pemimpin dan penyokong UMNO untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dan bukan yang terbaik untuk diri sendiri.Rakyat akan menilai dan mengukur prestasi setiap pemimpin dan jika ada jurang yang timbul antara pemimpin dan rakyat maka akan lahirlah persepsi negatif terhadap parti dan kerajaan. Rakyat kini menilai reaksi dan cara penyelesaian yang dilaksanakan oleh pemimpin kerajaan terhadap sesuatu isu yang timbul dari masa ke semasa dan ia menjadi persepsi pemikiran rakyat, samada ianya benar atau salah.

  6. Tidak syak lagi dalam politik, populariti sememangnya menjadi asas untuk kita dipilih tetapi populariti dengan sendirinya tanpa kualiti tidak akan membawa sebarang manfaat jika ianya tidak memberi kesan yang diharapkan oleh rakyat.

  7. Sistem penyampaian kepada rakyat harus mencapai sasarannya. Jika sesuatu yang hendak disampaikan berjaya disampaikan kepada rakyat, kita akan berjaya membina keyakinan yang teguh. Keyakinan ini tidak dapat diperolehi semata –mata dengan hanya mengatakan yang kita ini bersih tetapi harus diterjemahkan dengan perbuatan.

  8. Saya adalah orang yang suka berkerja dan berkhidmat untuk negara sehinggakan saya kadangkala terlupa yang saya juga seorang ahli politik. Walaupun kita disenangi oleh rakyat dan mendapat sokongan yang membanggakan tidak semestinya pemimpin UMNO dipersekitaran menyenangi kita. Mereka yang berkepentingan akan bercita-cita mengambil tempat dengan apa cara sekalipun. Tanpa segan silu mereka akan mengambil langkah memburukkan pemimpin parti sendiri dan memfitnah bagi mencapai cita-cita mereka. Perbuatan ini sebenarnya melahirkan kebencian rakyat dan pengundi terhadap UMNO. Kalau timbul sikap dan pendekatan berpuak-puak maka ia akan membawa kesan buruk kepada UMNO sebagai sebuah parti politik. Oleh itu UMNO perlu bangkit dan berubah tetapi jika UMNO sahaja berubah tanpa komponennya berubah ianya seperti menyiram air di daun keladi. Sikap hasad dan dengki perlu dibuang begitu juga sikap jatuh-menjatuhkan kerana kedua-duanya hanya mampu melenyapkan kredibiliti UMNO dan UMNO itu sendiri.

No comments:

Post a Comment