Wednesday, September 16, 2009

JASA UMNO PERLU DIKENANG


JASA UMNO


UMNO banyak berjasa pada negara dan bangsa. Mereka yang memimpin UMNO dan menegakkannya berjuang bagi mengisi keperluan untuk mengangkat maruah dan kedudukan awal bangsanya. Pejuang-pejuang semasa lampau berkorban sepanjang masa bagi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Mereka lebih banyak memberi dan tidak mengambil darinya. Tidak kira masa siang dan malam mereka membela rakyat supay tidak dihina. Walaupun ditekan dan disogok dengan pelbagai janji oleh penjajah mereka tidak berganjak dari tujuan asal perjuangan menuntut kebebasan dan kemerdekaan. Mungkin ada dikalangan kita yang akan mengatakan pejuang kemerdekaan bukan hanya terdiri pemimpin-pemimpin UMNO sahaja tetapi juga merangkumi pemimpin-pemimpin lain.Penyataan ini tidak boleh dinafikan hanya mereka tidak Berjaya meyakinkan Inggeris yang mereka mewakili rakyat teramai. Dipihak rakyat pula ideologi dan pendekatan mereka tidak didokong oleh rakyat.

Bahkan apa yang membezakan UMNO dengan parti-parti dan pemimpin lain pada waktu itu, adalah kejayaannya pemimpin UMNO mengabungkan umat Melayu dalam satu badan siasah yang mengembeling jalinan perpaduan umat yang jitu dan mantap. Kumpulan yang dipimpin UMNO akhirnya berjaya berunding dan menuntut kemerdekaan dari Inggeris. Pemimpin UMNOlah yang berunding dengan pemimpin-pemimpin kaum lain untuk bekerjasama menuntut kemerdekaan.

WADAH PERJUANGAN PEMIMPIN TERDAHULU

Saya dilahirkan semasa mula tercetus tanda-tanda kebangkitan bangsa untuk menentang penjajahan mula bertunas. Setelah UMNO ditubuhkan Allahyarham ayahanda saya menjadi Pegawai Penerangan UMNO yang pertama bekerja dengan Dato’ Onn. Beliau dibayar elaun kecil memegang jawatan yang bertanggungjawab berkempen supaya UMNO diterima oleh orang Melayu dan kemudiannya menjaja Perikatan untuk diterima oleh orang Melayu. Sebagai wadah kerjasama terbaik bagi mencapai kemerdekaan ayahanda saya ditugaskan untuk bergerak diseluruh pelusuk negara. Beliau tinggalkan kami dibawah jagaan Ibunda saya. Dia jarang kelihatan dirumah. Tapi walau betapa susah dan payah hidup kami, ibu saya tidak pernah merungut untuk menjaga anak-anak yang ramai. Itu juga sebuah pengorbanan kerana beliau tahu yang tugas ayahanda saya adalah untuk agama,bangsa dan negara.

PERMULAAN ERA UMNO

Pada tahun 1944, bila saya dilahirkan perang Jepun baru berakhir. Bila Jepun mula-mula mengalahkan kuasa-kuasa besar barat pada ketika itu lain-lain bangsa Asia baru bangkit sedar yang tidak ada keistimewaan dan kekebalan pada Barat. Ini bermakna mereka yang berwarna kulit lain termasuk yang bersawa matang, jika memiliki tekad dan kemahuan sudah pasti akan berjaya membebaskan diri dari dijajah dan dihina. Urutan daripada itu pada 10hb Mei 1946 UMNO ditubuhkan dan pada 31hb Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

DIJAJAH ATAU MERDEKA

Bangsa Melayu seharusnya mengkaji sejarah secara mendalam bagaimana mulanya mereka dijajah dan Raja-Raja terpedaya sehingga setiap negeri dikuasai dibawah naungan Inggeris. Penjajah memandang rendah kepada keupayaan anak watan dan membawa masuk orang luar ke negara ini. Mereka terus menganggap bangsa Melayu sebagai bangsa yang malas, dan tidak berminat mengeluarkan hasil negaranya sendiri walaupun buminya kaya raya.

Bagi memenuhi kehendak serta keperluan Inggeris mereka membawa masuk pekerja asing. Ini bukan perkara rahsia atau khayalan atau merendahkan mana-mana kumpulan atau kaum. Penjajahan mengizinkan pihak Inggeris meraih keuntungan dari negara ini yang sekaligus memenuhi keperluan ekonomi dan politik negara mereka. Penaklukan adalah satu cara paling berkesan bagi menjamin penjajah menguasai kekayaan negara. Dengan membawa masuk orang-orang asing ke negara ini, asalnya kononnya sebagai langkah sementara, dalam usaha mereka mengeluarkan hasil kekayaan bumi di negara dan rantau ini. Namun dari perspektif kependudukan mereka menentukan dan memisahkan pribumi dan orang asing supaya tidak akan terjalin kerjasama, kesefahaman dan kesepakatan yang boleh mengancam kedudukan penjajah dari bumi Melayu.

SEJARAH KERAKYATAN NEGARA

Apabila akhirnya mereka yang sudah tinggal disini tidak mahu pulang ke negara asal mereka dan memilih untuk tinggal di negara ini, pihak Inggeris sepertimana lazim dilakukan di negara dan benua lain, mencari jalan keluar untuk menyelesaikan masalah yang mereka telah mulakan. Jalan penyelesaian Inggeris yang mudah dan cepat adalah dengan memperkenalkan satu perjanjian baru dengan Raja-Raja Melayu melalui Malayan Union pada tahun 1944-1946 dengan memberi kerakyatan kepada semua penduduk yang tinggal di negara ini secara automatik. Kedudukan Raja-raja Melayu hanya setakat menjaga adat resam dan agama Islam. Inggeris berkuasa penuh dalam mentadbir seluruh negara.

Itulah asas UMNO tertubuh dan melahirkan perjuangannya bagi menentukan kedudukan Raja dan Melayu tidak terabai serta diiktiraf yang bumi ini dimiliki mereka sebagai bangsa watan. Inggeris tidak sangka yang bangsa Melayu boleh bersatu dan bangun berpadu untuk menentang penjajah melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki. Inilah sumbangan Dato’ Onn yang terbesar kepada negara dan bangsa Melayu.

SEJARAH ASAS PERJUANGAN UMNO

Saya ingat ayahanda saya menceritakan bagaimana ahli-ahli UMNO sayang dan masih mahukan kepimpinan Dato’ Onn semasa beliau meletakkan jawatan. Mereka berarak dengan sepanduk dan kain rentang memujuk Dato’ Onn supaya tidak melepaskan jawatan dan meninggalkan UMNO. Ayahanda saya turut menceritakan yang pada waktu itu, hujan turun renyai-renyai seolah turut sedih dengan keputusannya. Kemudian Dato’ Onn menerima permintaan ahli-ahli parti untuk menarik balik perletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua UMNO. Beliau meninggalkan jawatannya setelah sekali lagi parti menolak keputusannya untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Ini dilakukannya diatas desakan Inggeris sebagai pra-syarat untuk memudahkan Inggeris memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau lantas meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti IMP, satu parti pelbagai kaum sejajar dengan kehendak beliau semasa meninggalkan UMNO. Nyata sekali pada ketika itu pendekatan sebegitu belum dapat diterima oleh orang Melayu dan juga kurang mendapat sokongan dari bukan Melayu. Maka IMP terkubur dengan sendirinya. Selepas dari itu beliau menubuhkan Parti Negara yang berteraskan nasionalisma Melayu. Tetapi kerana UMNO sudah bertapak dan menjadi harapan orang Melayu di Johor, parti itu tidak mendapat sokongan. Dato’ Onn sendiri tewas pada pilihanraya di Johor Bharu bertanding melawan Dato’ Sulaiman Abdul Rahman. Beliau hanya berjaya menjadi wakil rakyat di negeri Terengganu di kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada pilihanraya kedua.

Tunku Abdul Rahman Putra seorang putra di Raja Kedah yang berjiwa rakyat dijemput untuk memimpin UMNO. Beliau tidak tergopoh-gopoh menerimanya kerana beliau ada jawatan tinggi sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kedah. Walaupun begitu setelah dipujuk, akhirnya beliau bersetuju. Dia menjadi Yang Dipertua UMNO walaupun dicabar oleh Ahmad Fuad dan Tun Abdul Razak sebagai Timbalannya.

SIKAP PEMIMPIN YANG DIJULANG

Pemimpin-pemimpin pada ketika itu tidak berebut jawatan. Ada masanya dipaksa untuk memegang jawatan. Saya ingat ayahanda saya pernah menceritakan bagaimana seorang rakannya yang ditawarkan menjadi ADUN menangis kerana menganggap dirinya tidak layak dan tidak berkemampuan. Mereka hanya mahu menjadi ahli parti. Pada hari ini sikap ini sudah tiada. Yang lebih ketara pertarungan sengit akan berlaku untuk pangkat dan jawatan. Kes cantas-mencantas dan sabotaj sesama sendiri lumrah berlaku untuk memegang jawatan dan menjadi calon pada mana-mana pilihanraya. Semangat setia kawan pun makin lama semakin tipis dan boleh dikatakan tidak diamalkan. Kalau dulu saya boleh menyaksikan ada hubungan peribadi dikalangan pemimpin tertinggi dan pemimpin dibawah mereka. Menziarahi rumah antara satu sama lain bukanlah satu perkara yang pelik.

TERKUBURNYA MALAYAN UNION

Kejayaan menolak Malayan Union adalah satu tanda jelas yang rakyat Melayulah yang menjamin dan mendaulatkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Kerjasama bagi mencapai kemerdekaan dengan kaum-kaum lain wujud kerana kerelaan umat Melayu berbuat demikian. Semua laluan serta detik-detik sejarah ini perlu diketahui dan dihayati oleh semua golongan rakyat bukan dengan tujuan untuk mengungkit. Tapi perpaduan dan rasa satu bangsa Malaysia hanya akan tercapai bila semua rakyat mengenali dan mengetahui sejarah negara serta rasa bangga dengannya.

MENGIMBAS PENGAJARAN DARI SEJARAH

Setelah 52 tahun merdeka sudah banyak yang negara ini tempuhi seperti tragedi Mei 13 1969 dan penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 1965. Justeru itu setiap rakyat perlu mengimbau dengan halus dan teliti dimana negara berada sekarang untuk memaju kehadapan. Jangan jadi bangsa Melayu Bumiputera yang tinggal di pangsapuri murah atau dipinggir bandar serta dikampung pendalaman dan ramai yang bermasalah serta hidup miskin. Sedang rakyat lain yang tinggal dikawasan-kawasan pinggir bandar dan bandar hidup mewah di kawasan perumahan yang dikawal rapi. Pendapatan isi rumah dikalangan Melayu Bumiputera masih lagi jauh ketinggalan pada tahap terendah jika dibandingkan dengan kedudukan kaum lain. Ini tidak pula bermakna tiada kejayaan yang dicapai atau tiada kaum bumiputera yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dengan terbentuknya satu Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 melalui perjanjian Persekutuan mengantikan Malayan Union serta dengan kebangkitan kesedaran politik, timbullah semangat mahukan kemerdekaan. UMNO mengabungkan aspirasi jelata dengan golongan bangsawan negara. Namun perjuangannya adalah bagi memenuhi citarasa jelata orang-orang biasa.

Semenjak kemerdekaan hingga kini Perikatan dan kemudiannya BN, hanya tercabar pada tahun 1969 dan 2008. Banyak iktibar dan pengajaran yang telah diperolehi dari pilihanraya 1969 dan rusuhan pada 13 Mei tahun itu. Pembangkang ghairah dengan kemenangan mereka dan mengadakan perarakan di Bandar Kuala Lumpur secara besar-besaran. Mereka telah menunjukkan sikap perkauman yang tebal bila berjaya meniup api perkauman. Politik dan ekonomi Malaysia tercabar dan satu formula baru bagi membentuk bangsa Malaysia terpaksa dilahirkan.

Melalui DEB pendekatan serampang dua mata iaitu menyusun semula masyarakat supaya tidak dikenal melalui aktiviti dan fungsi ekonomi dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Semua kaum di negara kita memperolehi manfaat. Namun jurang ekonomi diantara kaum dan wilayah masih kekal walaupun negara dapat mengecilkan kumpulan miskin di negara ini.

KEGAGALAN UMNO DAN BN PADA PRU-12

Pada tahun 2008, BN dikejutkan dengan kekalahan yang tahapnya tidak diduga oleh pucuk pimpinan parti. Semenjak dari itu UMNO dan parti-parti komponen berasa cemas dan tercabar. Perpecahan dan hilang keyakinan menjadi lebih ketara. Ahli-ahli komponen pula menuding jari kepada UMNO diatas kekalahan mereka. Sokongan bukan Melayu berubah kepada parti pembangkang termasuk PAS, lebih disebabkan masalah dalaman parti BN dari kekuatan sebenar parti-parti lawan.

Tahun 2008 adalah satu detik yang paling bersejarah untuk Barisan Nasional, khususnya UMNO. Sedangkan pilihanraya umum 2004, BN dibawah pimpinan Abdullah Badawi mendapat kemenangan yang terbaik dalam sejarah pilihanraya negara ini. Tahun 2008 pula mencatatkan sejarah terburuk. Untuk pertama kalinya parti-parti pembangkang mendapat kerusi yang banyak dan menguasai kerajaan dibeberapa buah negeri. Bahkan boleh dikatakan yang negara ini tidak lagi bersandarkan kepada sistem satu parti tetapi sudah ada “parti alternatif” yang berkemungkinan membentuk kerajaan. Sebenarnya bibit-bibit yang melemahkan UMNO mula berkembang apabila Abdullah Badawi dilihat cuba mencorakkan warnanya sendiri dalam peta politik dan ekonomi negara. Bila legasi dulu tercabar ia membawa kesan yang amat mendalam kepada kewibawaan dan kedudukan UMNO dan kerajaan.

Siapa yang bersalah yang menyebabkan kekalahan sebegitu teruk berlaku? Banyak jari menuding kepada UMNO dan pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Parti-parti komponen pun turut serta menyalahkan UMNO walaupun mereka yang menyebabkan kekalahan dikawasan-kawasan mereka diamanahkan bertanding. Kelihatan pada masa ini kaum bukan Melayu secara keseluruhan menolak kerjasama dan perkongsian politik dalam Barisan Nasional. UMNO sebenarnya juga terjejas tetapi tidak seteruk yang dialami oleh rakan-rakan kongsi dalam BN. Persoalannya apakah pendekatan lama yang diamalkan oleh BN masih lagi relevan dan diterima rakyat pada hari ini? Jika tidak, satu pendekatan baru perlu dikaji bagi mencapai kejayaan di setiap pilihanraya akan datang. Setakat ini berasaskan keputusan pilihanraya kecil BN masih lagi belum dapat mengubah persepsi negatif rakyat terhadapnya. Mungkin ianya berbeza dengan pilihanraya umum tetapi tanda sokongan mesti dirasai dari sekarang. Wajar dibuat kajian sebelum terlambat. Jangan senantiasa mengamalkan sindrom penafian dengan memberikan pelbagai alas an dan justifikasi.

Keputusan telah diperolehi dan kita berhadapan dengan realiti baru. Hakikat ini perlu diterima oleh UMNO kerana kepimpinan UMNO tidak lagi dilihat keramat dan terus dicabar termasuk kedudukan dan peranan Raja-Raja tidak terkecuali dalam persekitaran Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Dalam persekitaran ini, tidak siapa pun boleh mengatakan ia atau mereka terkecuali dari menyumbangkan kepada kekalahan BN. Semua pemimpin di setiap peringkat terlibat menyumbang kepada kelemahan dan kejatuhan BN. Yang berbeza hanya tahap sumbangan masing-masing.

Masalah yang sering dihadapi oleh pemimpin adalah kecenderungan untuk hanya mendengar laporan dan cerita yang baik sahaja, sehinggakan akhirnya tiada siapa yang mahu menceritakan yang benar kerana takut dimarah atau dikatakan anti pemimpin tertentu. Justeru itu laporan yang dibentangkan mungkin hanya menceritakan perkara yang baik serta mengembira dan menyeronokkan atau kecenderungan mengampu dan tidak berterus terang menular dikalangan ahli dan pemimpin parti. Lantas tidak memberitahu masalah-masalah sebenar yang dihadapi. Hidup dalam hedonisma dan kebendaan memang menyeronokkan. Sindrom terlalu mementingkan diri sendiri ini sering diamalkan sehinggakan terlupa yang rakyat sedang memerhati kerana merekalah yang menjadi penentu. Ahli-ahli politik boleh dianggap dimiliki oleh orang awam dari segi perilaku dan amalannya.

HAKIKAT SEBENAR

Pemimpin-pemimpin hanya bangun dari lena apabila mendapat keputusan PRU12. Setelah mengetahui dan mendapat sebab musabab kekalahan parti-parti komponen BN, namun mereka tidak henti-henti bertelingkah sesama sendiri. Begitulah ceritanya sepintas lalu berkenaan yang lemah tetapi tidak menerima hakikat kelemahan. Yang kuat dan berpengaruh mula terus menghentam anak didik sehingga tidak bermaya dan hampir mati. Mereka masih lagi ingat kuat dan perkasa. Ada negeri-negeri akan terus dikuasai pembangkang kerana pembangunan dan kemajuan tidak dihentikan. Mereka hanya perlu tunjuk contoh teladan baik dan mengurus tadbir negeri dengan sempurna dan memuaskan untuk memenangi pilihanraya demi pilihanraya. Pembangunan yang besar dan kecil akan tetap dibawa oleh kerajaan pusat untuk negeri mereka. Sorak banyak dan gaya pun banyak tetapi bagaimana persepsi rakyat terhadap parti dan pemerintah, Adakah ia boleh berubah?

Semenjak kemenangan di pilihanraya umum tahun 2004, musuh politik utama BN adalah dikalangan sesama sendiri. Tidak asing untuk mendengar kutukan, kritikan, tohmahan yang bertalu-talu secara terbuka terhadap kerajaan dan parti.

KETERBUKAAN

Dengan sikap terbuka yang diamalkan, pandangan-pandangan negatif terhadap pemimpin, parti dan kerajaan diberi liputan meluas samada di media utama atau media alternatif yang akhirnya membentuk persepsi umum terhadap pemimpin parti dan kerajaan yang kelihatan tidak memberikan jawapan yang mempunyai kredibiliti dan memuaskan. Akibatnya, kerja-kerja parti pembangkang menjadi lebih mudah dan kerjasama serta perpaduan diantara mereka berjaya menumpaskan kerajaan dibeberapa negeri dan memperolehi banyak kerusi di Dewan Rakyat.

Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan kerajaan dibawah Najib Tun Razak yang telah memperkenalkan pelbagai pendekatan baru yang cuba memikat rakyat. Saya yakin ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Sudah tentu rakyat dapat merasai rangsangan dan kedudukan ekonomi kita yang bertambah baik. Persoalannya apakah dividen politik yang akan diperolehi melalui pendekatan baru yang akan membolehkan BN menang pada PRU 13?. Apakah pengundi muda dan bukan Melayu mahu mengembalikan kuasa politik pada BN? Terlalu banyak contoh berlaku yang tidak mengembirakan BN. Di Jepun, Taiwan dan Indonesia dimana rakyat telah menumbangkan kerajaan yang sedia ada kerana mahu perubahan dan bertukar selera politik setelah mencapai pembangunan menakjubkan.

HARAPAN SAYA

Saya harap UMNO yang menjadi tunggak akan menyemak dan menganalisa secara terperinci setiap dasar yang ditonjolkan supaya ia akan memberikan pulangan politik dalam PRU 13. Jika keputusan dan pendekatan dibuat tidak berpijak diatas bumi nyata, mungkin kita akan berubah menjadi parti pembangkang. Pada ketika itu mungkin terlambat hendak membuat perubahan. Perubahan yang dilakukan mesti berteraskan kepada citarasa rakyat dan betul-betul dirasai mencerminkan dan mengamalkan “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.



No comments:

Post a Comment