Monday, August 24, 2009

AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)


Akta Keselamatan Dalam Negeri bukanlah satu Akta baru. Semenjak ia diwujudkan, undang-undang ini telah menjamin keamanan dan keselamatan negara dari ancaman komunis dan pihak yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Adalah penting untuk diingat yang salah satu sebab utama, Malaysia mencapai status negara membangun serta mencapai kejayaan selama ini adalah kerana keamanan dan kestabilan politik. Justeru itu juga dapat mempertahankan perkongsian kuasa diantara masyarakat majmuk bersandarkan kepada sosial kontrak yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Melalui keamanan dan kestabilan, negara mengecapi kemajuan dan pembangunan ekonomi yang boleh dibanggakan serta tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Demokrasi Berparlimen semenjak kemerdekaan Negara pada tahun 1957 telah diamalkan dengan teratur dan berkesan. Walaupun ada kepincangan dan kekurangannya disana sini, alhamdulillah negara ini tidak terjerumus ke lembah kehancuran sebagaimana yang diramalkan oleh pemerhati politik luar. Bukti jelas terhadap kejayaan adalah dengan adanya pilihanraya setiap 5 tahun bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas kerajaan yang mereka mahu. Mereka yang merungut kononnya tidak ada kebebasan dan demokrasi sebenarnya pun telah menikmati kemajuan dan berjaya mendapat kuasa dan pemerintahan melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Demokrasi tidak semestinya diseragamkan mengikut model Westminster 100% tetapi mestilah pengamalannya mengambil kira alam dan persekitaran negara itu sendiri. Walaupun ianya tidak sempurna, namun semua pihak perlu bersyukur kita tidak memilih pemerintahan ‘dictator’ atau ‘totalitarian’.

Merujuk kepada ISA semenjak ia digubal menjadi Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1960, ia sememangnya tidak bermatlamatkan politik. Ianya berobjektif memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Tanpa keamanan dan kestabilan politik, negara tidak akan mengecapi kemajuan dan pembangunan yang dinikmati hari ini. Hakikatnya kita menyerahkan sebahagian hak dan kebebasan bagi kepentingan yang lebih utama dan luas. Saya percaya tanpa Akta ini mungkin akan tercetus lebih banyak kejadian seperti Mei 13 1969 yang menggugat kemajuan dan pembangunan negara. Akta ini tidak boleh digunakan bagi menyekat hak orang politik atau rakyat untuk berpolitik serta menikmati dan melaksanakan kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan.

Namun demikian kebebasan ini perlu dinikmatikan berteraskan kepada undang-undang negara. Ianya perlu dihayati oleh setiap cabang yang wujud di negara samada rakyat ataupun Raja. Jika undang-undang diketepikan dengan menggunakan sikap mengambil tindakan sesuka hati samada mengikut perasaan dan sentimen masing-masing kononnya diatas nama hak individu ataupun kumpulan, akibatnya amat buruk sekali dan kemungkinan negara ini akan berhadapan dengan persekitaran huru-hara.

Undang-undang rimba tidak patut menjadi kaedah bagi mencapai tujuan dan matlamat mana-mana individu atau kumpulan. Apabila perlu menahan satu atau 10 atau 20 orang untuk keselamatan dan keamanan negara ianya mesti dilakukan bagi memastikan kesejahteraan 27 juta rakyat Malaysia. Walaupun begitu keadilan dan rasionaliti mestilah dijadikan asas untuk bertindak. Lagipula Akta ini tidak menyekat pihak yang tidak berpuas hati untuk mengambil tindakan mahkamah ataupun membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk menyemak tindakan yang diambil pihak penguatkuasa dan pelaksana Akta. Peruntukan dibawah Akta memberikan kuasa pada polis dan menteri dalam keadaan-keadaan tertentu untuk menahan seseorang tanpa dibawa pertuduhan di mahkamah apabila berpuas hati yang ada ancaman yang perlu dibenteras sebelum ia berlaku. Namun demikian ada juga beberapa peruntukan dibawah Akta yang memerlukan pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Bukan semua peruntukan Akta tersebut dilaksanakan diluar sistem ‘due process’.

Apa yang kini menjadi perdebatan hangat serta menimbulkan perbalahan, konflik dan pertelingkahan adalah berkenaan penahanan yang boleh dibuat tanpa pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Tidak hairan timbul kekuatiran ianya akan disalahgunakan untuk tujuan politik. Jika diimbas sejarah dibawah Akta ini, seseorang itu tidak seharusnya ditahan kerana fahaman politiknya tetapi ia tidak membezakan diantara politikus dan bukan. Sesiapa pun tidak boleh ditahan kerana ideologi politiknya tetapi penahanan boleh dibuat kerana perilaku serta tindakan mereka yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara. Jika kerajaan berniat untuk mengecualikan ahli-ahli politik dari ISA ia bergantung kepada kebijaksanaannya. Tidak dapat dinafikan jika ia melibatkan penahanan ahli politik akan menimbulkan kontroversi dan menarik perhatian dari dalam dan luar negara. Walaupun demikian jika semua warga bertindak selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan, mereka perlu diberi layanan yang sama.

Maka adalah tidak wajar dan munasabah jika ahli politik terlibat bertindak liar serta menjejaskan keselamatan dan keamanan, dia atau mereka dikecualikan daripada tindakan semata-mata diatas alasan pemerintah takut disalah tafsirkan sebagai satu tindakan politik. Andainya pendekatan tersebut diamalkan, maka penguatkuasa dan pelaksana undang-undang akan dipandang serong dan tidak dihormati.

Tujuan Akta ini adalah untuk mencegah sesuatu dari berlaku. Oleh itu tindakan cepat dan segera perlu diambil bagi mengelakkan keadaan buruk dari berlaku berasaskan fakta yang dimiliki dan andaian yang dibuat. Walaupun begitu seseorang yang ditahan dibawah ISA samada dibawah kuasa polis atau Menteri memiliki hak untuk diwakili oleh peguam dan mencabar keputusan pihak berkuasa semasa ia ditahan. Ini adalah sebahagian dari sistem untuk melindungi hak individu dari ditahan secara “arbitrari” atau tanpa alasan yang munasabah yang menyimpang dari keadilan. Tidak syak lagi ada pihak akan menyatakan keadilan hanya boleh dicapai melalui ‘due process’ sahaja. Ini adalah hak dan kebebasan masing-masing untuk mengambil ketentuan. Ada masanya mereka yang melaungkan keadilan sendiri bersikap sedemikian jika ia menguntungkan pandangan dan ideologi mereka.

Bagi menentukan Akta ini mengambilkira perkembangan semasa, ianya telah dipinda 20 kali semenjak digubal. Tidak dapat dinafikan yang ada kemungkinan boleh berlaku ketidakadilan atau penyalahgunaan kuasa dalam menguatkuasakan Akta ataupun bila melakukan penahanan oleh polis ataupun Menteri. Apa-apa pun kelemahan yang ada ia boleh diatasi melalui pindaan kepada peruntukan-peruntukan sedia ada dan menghapuskan Akta tersebut bukanlah jawapannya. Perlindungan tertentu, samada jangka masa semasa penahan polis ataupun memperluaskan hak untuk mencabar di mahkamah boleh diwujudkan.

Semua pihak harus matang dalam menterjemahkan undang-undang kebebasan dan demokrasi dan tidak hanya dengan pendekatan demonstrasi jalanan. Begitu juga menjadi tanggungjawab ahli politik untuk mendaulatkan undang-undang bukan mempolitikkan jenayah untuk tujuan politik. Jika perkara tersebut dibiarkan ia akan menyebabkan kesan disebaliknya. Ia tidak langsung memberi jawapan kepada apa-apa masalah atau membawa penyelesaian kepada keamanan dan keselamatan. Bahkan akan menimbulkan ketakutan, kesusahan dan kesulitan kepada rakyat, peniaga dan pengguna jalanraya. Soal hak memang perkara besar dan tidak remeh. Namun ia perlu sensitif supaya hak orang lain tidak diganggu. Jika tidak dipedulikan ia juga boleh menimbulkan konflik dan salah faham yang akan membawa padah buruk kepada keamanan negara. Oleh itu adalah lebih wajar untuk parti-parti politik terutamanya, menghormati undang-undang dan sistem dari melakukan dan menggunakan hak bagi menghalalkan mereka untuk melanggar undang-undang.

Lebih aneh, mereka hanya menerima sesuatu keputusan undang-undang bila ia memihak kepada mereka. Lantas mengatakan undang-undang tersebut baik dan perlu dipatuhi. Bila keputusan bertentangan dengan selera mereka maka keputusan tersebut akan dikritik dan dicabar. Macam-macam tuduhan akan dilempar seolah ada konspirasi dan kezaliman. Undang-undang semestinya bertujuan untuk memberi keadilan kepada semua tanpa kira status dan kedudukan mereka yang berkenaan. Oleh itu setiap rakyat perlu menghormati dan patuh pada undang-undang. Adalah songsang dan jika undang-undang pula yang dikehendaki memihak kepada pesalah. Jika setiap warga Malaysia mematuhi dan menghormati undang-undang nescaya kesejahteraan dan keamanan boleh dikongsi bersama dan dipertahan disepanjang masa.

No comments:

Post a Comment