Kekuatan dan keberkesanan undang-undang bergantung kepada rakyat menghormatinya, tidak zalim dan sentiasa adil untuk kepentingan rakyat. Bila tidak ada kepatuhan terhadap undang-undang ia boleh dipermain dan diperlekehkan justru kestabilan negara akan menjadi tidak menentu. Perkara yang amat penting ialah bagaimana pelaksana dan penguatkuasa undang-undang melaksanakannya dengan bebas tanpa berat sebelah atau berasa takut. Jika tidak ada ketegasan untuk melaksanakan undang-undang atau pelaksanaannya tidak adil maka akan hilanglah kehormatan terhadap undang-undang.
Pada akhir-akhir ini telah timbul minat untuk merosakkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Institusi yang mendukung kedaulatan dan keluhuran undang-undang dan negara ini. Bila ini berlaku imej dan keberkesanan Institusi tersebut menjadi negatif dan tidak lagi dianggap berupaya untuk melindungi rakyat jelata.
Institusi Raja
Institusi Raja adalah salah satu Institusi penting dalam sistem Raja Berperlembagaan yang bertaut kepada sejarah, budaya, tradisi negara dan rantau ini. Bila kita memilih untuk menjadi rakyat di negara ini sudah tentu pra-syarat utama adalah untuk menghayati sejarah dan budaya negara dimana kita telah menjadi warganya. Justeru itu tepatlah pepatah yang mengambarkan kesetiaan berasaskan kepada bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Bila ada individu atau kumpulan yang mengheret sistem beraja ke kancah polemic politik dan tidak menghormatinya, tindakan tersebut adalah bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang. Oleh itu ketegasan adalah mustahak untuk mempertahankan sistem. Andainya Institusi tersebut dihina dan dirobak-rabekkan akhirnya ia akan menjadi lemah dan diketepikan.
Institusi Polis
Institusi Polis juga tidak terkecuali dari diheret sehingga menjejas kepercayaan rakyat terhadap mereka untuk melaksana dan menguatkuasakan undang-undang. Semua tindakan mereka dipolitikkan sehinggalah kes-kes jenayah yang berasaskan kepada siasatan dan peruntukan undang-undang dipertikaikan. Bila mana Institusi Polis tidak lagi dianggap sebagai pelindung keselamatan dan kesejahteraan rakyat maka timbullah ketidakpercayaan terhadap integriti dan wibawa pelaksana dan penguatkuasa undang-undang. Mungkin ada kelemahan yang berlaku dalam penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang tetapi ianya tidak seharusnya dikaitkan dengan persoalan integriti dan kewibawaan polis. Saya berpendapat kelemahan boleh dibetulkan. Lagipula polis tertakluk kepada pelbagai peraturan dan undang-undang yang boleh digunapakai bagi mengawal dan memelihara disiplin dan kewibawaan polis. Apabila integriti dan wibawa Institusi Polis dan pemegang jawatan tertinggi polis dicabar secara sembrono, tujuan tindakan boleh dikatakan adalah untuk melahirkan perasaan benci terhadap polis. Kerajaan perlu mengkaji motif sebenar orang-orang yang cuba merosakkan dan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan terhadap polis. Peranan penyiasat dan penguatkuasaan tidak boleh dipisahkan dari tugas dan tanggungjawab polis jika ianya bersifat jenayah atau menyentuh soal keselamatan negara.
Institusi Pencegahan Rasuah (SPRM)
Apa juga tindakan SPRM, mereka tidak perlu merasa terancam dan berasa takut selagi tindakan mereka mengikut lunas undang-undang. SPRM juga tidak perlu melayan kata-kata orang yang menjadikan semua isu, sebagai isu politik. Seharusnya setiap tindakan tidak mengira samada mereka dari pembangkang ataupun pihak kerajaan. Yang hendak dihapuskan adalah rasuah dan tindakan perlu diambil mengikut proses dan ketetapan undang-undang. Saya berharap isu penyiasatan SPRM ini tidak dipolitikkan.
Institusi Kehakiman dan Peguam Negara
Adalah mendukacitakan apabila institusi Peguam Negara dan Kehakiman dicaci dan diserang bertalu-talu untuk memberi persepsi negatif dikalangan rakyat terhadapnya. Sudah pasti ia juga akan merosakkan kredibiliti dan integriti Institusi tersebut. Sikap bersetuju jika keputusan memihak kepada kita dan dikritik jika sebaliknya adalah sikap hipokrit yang bermotif politik. Saya berpandangan ini adalah satu usaha untuk menghakis persepsi baik rakyat kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang.
Masanya sudah tiba untuk pihak yang berwajib untuk mengambil sikap yang tegas supaya soal undang-undang tidak dicampur adukkan dengan politik. Malahan tidak juga digunakan bagi tujuan mendapat simpati atau meraih keuntungan politik. Rakyat pula perlu dapat membezakan apa yang benar dan apa yang palsu supaya tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang boleh mengancam kestabilan negara. Semua rakyat sememangnya maklum yang setiap Agensi dan Institusi yang ditubuhkan melalui undang-undang mempunyai tanggungjawab dan tugasnya dan oleh itu jika ada apa-apa ketidakpuasan dan kelemahan serta kepincangan yang berlaku adalah perlu untuk mengunakan saluran yang ditetapkan oleh undang-undang. Rakyat tidak perlu memberi sokongan dan membantu pihak-pihak yang mengenepikan Institusi dan Agensi yang diwujudkan bagi melindungi rakyat. Apa yang perlu dielakkan adalah membuat pelbagai andaian dan tuduhan sehingga setiap keputusan dan tindakan kerajaan yang hendak dilaksanakan memerlukan kepada pembentukan badan-badan istimewa atau khusus. Penubuhan mana-mana badan khusus untuk tujuan-tujuan tertentu mestilah berasaskan kepada keperluan yang tidak dapat dielakkan ataupun skop bagi melakukan penyiasatan terkeluar dari tugas dan tanggungjawab Institusi atau Agensi yang sedia ada. Apa yang hendak ditegakkan adalah keadilan berteraskan undang-undang. Marilah semua tidak mewarnai keadilan dengan sikap prejudis, bias, dan bermain dengan sentiment dan emosi dengan meniupkan api perkauman agama atau budaya keatas setiap tindakan dan kejadian.
Saya menyeru kepada kerajaan supaya tidak membentuk suruhanjaya bila berlaku sesuatu insiden atau kejadian. Persoalannya apakah kesannya kepada agensi dan badan sedia ada bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab masing-masing?.
No comments:
Post a Comment