Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam adalah sikap mereka yang suka melihat kepada kelemahan dan keburukan sesama sendiri, sedangkan mereka berhadapan dengan golongan yang mahu melemahkan dan menghancurkan umat islam. Malahan sering berlaku dimana kaum muslim lebih rapat dan bergantung kepada golongan tidak beriman dari yang beriman.
Kita tidak cuba mengukuhkan hubungan dan integrasi diantara satu muslim dan muslim yang lain tetapi mementingkan pengukuhan hubungan terhadap puak mereka yang terang-terangan tujuannya adalah untuk menghancurkan perpaduan sesama muslim. Ada masanya terserlah didepan mata kita yang mereka ini menggunakan soal-soal yang tidak bersangkut paut dengan mereka untuk memecah belahkan kita.
Mereka senantiasa berfikir mencari jalan untuk tujuan ini dan kadang kala perbuatan mereka tidak kelihatan sehinggalah diambang keruntuhan. Ini akan membuka ruang yang seluasnya kepada mereka untuk menunduk dan menindas kita. Ada kalanya keyakinan yang tidak bertempat terhadap keupayaan mereka membuat mereka diberi kepercayaan penuh bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal umat Islam.
Dengan kedudukan mereka sedemikian, mereka menggunakan wang ringgit dan harta benda dari sumber negara dan umat Islam untuk melemah dan mengalahkan kita. Tidak hairanlah kalau keadaan kita boleh diibaratkan seperti apa yang dikatakan oleh pepatah menang sorak tetapi kampung tergadai.
Oleh kerana mereka dapat mempengaruhi dan menguasai pemikiran, maka akhirnya umat Islam sendiri menjadi yakin untuk tujuan mencapai kejayaan mereka perlu berubah dan menganut gaya hidup dan budaya mereka. Lama kelamaan golongan ini amat gembira kerana diterima sebagai golongan “Muslim Liberal”. Lantaran memisahkan ajaran dan amalan agama dari pengisian hidup seharian mereka. Golongan inilah yang paling disenangi dan didampingi oleh mereka dalam membicarakan persoalan mengenai Islam dan Muslim.
Dengan tidak disedari bermulalah satu prosess penjajahan baru yang berasaskan pengaruh kuasa dan pemikiran. Mereka yang mengamalkan ajaran agama bagi memandu hidup akan dilabelkan sebagai golongan pelampau atau ekstremis. Mana-mana kumpulan yang mendesak untuk kebaikan serta kepentingan umat akan disamakan dengan kumpulan militan Islam. Agama juga cuba dipisahkan secara terang-terangan dari politik. Mereka lupa bahawa Islam adalah cara hidup dan mempunyai asas dan unsurnya yang tersendiri berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah.
Wasiat terakhir Rasulullah,
“Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku."
Namun demikian agama tidak boleh dimanipulasikan untuk kepentingan dan keuntungan diri atau politik. Menyamakan parti politik dan agama adalah sesuatu yang salah. Walaupun begitu ia tidak bermakna Islam dan politik harus dipisahkan.
Umat Islam seharusnya tidak berasa segan untuk berjihad bagi menegakkan perjuangan berasaskan kepada keadilan dan meninggikan syiar agama serta mengelakkan umat Islam dari dihina dan dipinggirkan. Memperjuangkan sesuatu diatas nama “jihad” tidak boleh disamakan dengan melakukan keganasan dan kerosakan di muka bumi kerana di dalam Al-quran Allah melarang manusia dari melakukan perkara-perkara yang membinasakan manusia lain atau alam sekitar.
Bagi mencapai tujuan tersebut kuncinya adalah setiap tindakan umat Islam perlu menggunakan pendekatan yang berhemah dan bijaksana. Umat Islam juga perlu mengenepikan perbezaan sesama sendiri untuk membina kekuatan politik dan ekonomi, merapatkan silaturrahim diantara satu sama lain dan bersatu dalam soal yang melibatkan kepentingan umat Islam. Kekuatan Islam dari mula ianya diwahyukan kepada junjungan kita nabi Muhammad s.a.w adalah kepada ilmu pengetahuan. Tamaddun yang digerakkan oleh Islam juga dibina diatas kekuatan ilmu. Justeru itu marilah kita kembali kepada contoh-contoh yang lama tetapi bergerak di dalam suasana semasa kerana Islam adalah agama yang relevan sepanjang zaman bagi mencapai tujuan dan matlamat yang suci.
Akhirnya jika perjuangan ini tercapai kita tidak akan lagi hidup terumbang ambing dan tidak dipinggirkan dalam arus perdana era globalisasi. Inilah masa dan ketika untuk umat Islam senantiasa menonjol dan mencerminkan perkara-perkara yang positif yang terkandung dalam ajaran agama Islam.
No comments:
Post a Comment