Friday, October 30, 2009

KACANG LUPAKAN KULIT


Tun Mahathir mengingatkan yang orang Melayu Mudah Lupa. Itu adalah satu penyataan yang tidak boleh disangkal dan memanglah benar serta tepat. Namun sikap mudah lupa tidak hanya terhad kepada bangsa Melayu, bahkan fitrah Insan. Sememangnya Allah menjadikan manusia mudah lupa termasuk kepada Allah yang menjadikannya. Justru undang-undang dan peraturan digubal supaya manusia mematuhinya untuk hidup dengan lebih sempurna dan berdisiplin. Oleh itu tidak perlulah berasa sedih kerana semua insan ada penyakit yang sama, samada pemimpin atau pengikut.

Kedua ibu bapa saya memperingatkan kami untuk setia kepada ketua dan kebenaran. Itulah yang menjadi amalan yang saya pegang disepanjang masa untuk menghargai budi orang lain. Mengikut apa yang saya diberitahu oleh ayahanda saya penggunaan perkataan “Albar” di akhir nama keluarga kami bermula dari masa moyang saya Syed Ali, yang pada masa itu terkenal dengan wataknya yang taat kepada ibu bapa dan perjuangan. Semenjak dari itu gelaran keluarga kami menggunakan perkataan “Albar” seabagai sebahagian pengenalan keluarga.

Sesuatu perkara yang ramai sering lupa samada sebagai pemimpin atau pengikut ataupun orang biasa adalah pentingnya memiliki sikap berterima kasih kepada orang yang memberi atau menyumbang bakti untuk kersejahteraan dan kejayaannya. Pemimpin dengan sendirinya tidak akan menjadi cemerlang tanpa orang lain memberi sokongan kepada mereka. Apa yang jelas adalah hidup ini saling bertaut serta bergantungan diantara satu sama lain. Setiap satunya ada sumbangan dan peranan. Kalau hendak diceritakan hal orang tidak berterima kasih atau bersyukur mungkin ia akan melibatkan berlinangan air mata kesedihan membasahi bumi. Saya menempuh banyak pengalaman, pahit maung, masam manis mengenai kacang lupakan kulit. Saya pun takut kaku kalau saya terjadi sebegitu.

Saya berpegang teguh kepada prinsip ketaatan. Sepanjang saya di lantik Menteri misalnya apa yang saya lakukan adalah sejajar dengan amalan tanggungjawab bersama sebagai Ahli Jemaah Menteri.

Semasa mula-mula saya memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Undang-Uudang pada tahun 1990 hubungan diantara kerajaan dan Majlis Peguam retak dan renggang. Sebagai pengamal undang-undang memang saya berminat untuk melihat terjalin hubungan diantara kedua-duanya baik dan wajar. Bila tercetus perbezaan diantara kerajaan dan Majlis Peguam, sebagai ahli Jemaah Menteri, saya tetap mempertahankan tindakan kerajaan diatas asas tanggungjawab bersama dan amanah yang dipikul. Saya menangkis segala tuduhan yang saya anggap tidak benar atau keterlaluan terhadap parti dan kerajaan. Dimasa yang sama saya membuka ruang untuk berdialog dengan mereka. Begitu juga semasa krisis diantara kerajaan dan badan kehakiman disebabkan penyingkiran Tun Salleh Abas dan beberapa orang hakim mahkamah tinggi. Saya terus membela proses yang diambil bagi tujuan tersebut, walaupun sebagai seorang peguam saya menganggap tindakan kerajaan telah menjejaskan nama baik serta imej kerajaan dan negara di dalam dan luar negara.

Prinsip setia dan kasih sayang pada parti adalah paksi pengukuh serta kekuatan UMNO. Walaubagaimana pahit sekalipun perpecahan politik Melayu pada tahun 1986-1988, sehinggalah UMNO diharamkan serta tertubuhnya parti Semangat 46, saya tidak pernah lari dan meninggalkan UMNO.

Pada tahun 1984 saya sendiri menentang Anwar Ibrahim untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Bukan untuk pangkat tetapi semata-mata memberi bakti kepada parti. Disebabkan saya menentang Anwar, maka saya dihentam dan diserang habis-habisan untuk tentukan dia menang. Anwar mendapat sokongan pucuk pimpinan tertinggi UMNO dengan tidak berbelah bagi. Semua mesti jadi orang Anwar kalau mahu berjaya dalam UMNO pada ketika itu. Sebagaimana lazim dalam politik saya disisih walaupun dalam parti yang sama. Dalam pertarungan ada yang akan menjadi mangsa dan ada yang diangkat sebagai juara. Sayugia diingat pada waktu itu Anwar Ibrahim disanjung oleh pucuk pimpinan UMNO. Tidak ada orang yang berani mengatakan dia bukan orang Anwar. Saya tidak diberi ruang di media dan pentas UMNO sehingga ada majlis UMNO diperingkat bahagian pun saya tidak dibenarkan hadir dan jika saya hadir pun saya dilayani seperti saya tiada di Majlis atau mereka seolah sengaja tidak nampak atau seolah saya dari parti lawan. Ada masanya saya terfikir jua bagaimana saya dapat menempuh cabaran-cabaran sedemikian. Saya beranggapan mungkin ini disebabkan saya terlalu sayangkan parti.

Bila pada tahun 1986 saya dipilih untuk bertanding dikawasan Parlimen Sg. Benut, Johor tetapi disaat-saat akhir digugurkan. Saya dimaklumkan kemudiannya salah satu sebab tersirat adalah kerana saya menentang pucuk pimpinan parti. Saya tidak berasa hampa dan meninggalkan parti malah kesetiaan saya pada UMNO semakin menebal. Tidak dapat dielakkan ada masanya terasa segala pengorbanan dan usaha tidak berbaloi bila ianya tidak nampak diiktiraf.

Kawan-kawan dan keluarga saya sungguh terganggu dengan tragedy politik yang berlaku keatas diri saya. Tetapi saya menegaskan “ini adalah suratan dan takdir ilahi” dan saya menerimanya dan semangat saya terhadap UMNO tidak luntur. Namun saya tetap setia kepada UMNO. Pada tahun 1990 bila Dr. Mahathir sekali lagi menawarkan saya untuk bertanding di Parlimen Kota Tinggi saya menerimanya dengan penuh kesyukuran. Beliau juga mengingatkan saya yang saya tidak menyokongnya sewaktu pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1986. Saya tidak menafikan sesuatu perkara yang benar. Saya mengakui dan menjelaskan pendirian saya. Bila saya dilantik dalam kerajaan dia gunakan saya pula. Dimana juga dalam ucapan-ucapan beliau soal tidak menyokongnya diulang-ulang, tidak henti-henti samada di dalam atau diluar negara, sebagai contoh dan sikap kemurahan hatinya membawa masuk orang-orang yang tidak menyokongnya.

Pada masa itu saya dan ramai ahli-ahli UMNO lain menganggap beliau telah menyimpang dari semangat perjuangan UMNO asal. Sebab itulah kumpulan yang dipanggil “Team B” tidak bersamanya. Walaupun begitu selesai sahaja pertandingan saya kembali kepada saf dan tidak turut serta dengan golongan yang menyebabkan UMNO diharamkan, lemah ataupun menubuhkan parti baru. Semangat 46, ditubuhkan diatas asas kekecewaan beberapa pimpinan UMNO kepada UMNO yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.

Bila saya jadi ahli Kabinet, saya taat dan setia kepada kerajaan serta bertungkus lumus sebagai Menteri mempertahankan setiap dasar dan tindakan pimpinan dan kerajaan di seluruh pelusuk dalam dan luar negara. Tekanan hebat yang saya alami adalah dalam pertemuan-pertemuan saya dengan pemimpin-pemimpin di Amerika Syarikat dan Eropah. Kerana Anwar mempunyai rangkaian yang cukup kuat. Saya berhadapan dengan ahli pentadbiran, ahli Parlimen dengan tuduhan dan tohmahan terhadap Malaysia. Saya terus membela negara dan pemimpin. Di Amerika Syarikat di Eropah dan dikalangan ahli-ahli ASEAN. Dalam satu insiden pada tahun 2002 saya dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat menghadiri jamuan makan malam bersama-sama Dr. Mahathir dengan salah sebuah Pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika Syarikat. Semasa makan dan berbual-bual, beberapa ahli mereka mengambil kesempatan untuk mengkritik serta menyerang hebat sikap Dr. Mahathir sebagai anti yahudi (anti Semitik). Saya nampak jelas Dr. Mahathir tidak senang, marah dan terganggu. Lantas saya masuk campur dan membidas sikap mereka yang tidak sopan. Mereka terperanjat dengan respon saya. Selepas reaksi itu perbincangan kembali menjadi tenang dan reda. Saya diberitahu kemudian Dr. Mahathir cukup bangga dan senang dengan tindakbalas saya membelanya. Pada saya itu tugas samada diingati ataupun tidak adalah tidak penting. Saya terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana membuka peluang untuk saya dan saya membalasnya dengan memberi perkhidmatan yang terbaik semasa beliau memimpin kerajaan.

Saya masih ingat lagi beliau sering mengingatkan Ahli Kabinetnya untuk bertindak sebagai ahli satu pasukan dan setia kepada pemimpin. Itulah yang saya lakukan. Seterusnya bila Mahathir menyerahkan pucuk pimpinan parti dan kerajaan kepada Abdullah Badawi sebagai anak didik Mahathir semua penyokongnya yang dikekalkan dalam Kabinet Abdullah memberi khidmat dan menyokong kerajaan Abdullah pula.

Malangnya, sikap keterbukaan Abdullah telah memberi persepsi yang pimpinan parti dan kerajaan longgar dan lemah, yang akhirnya mengakibatkan kelihatan tidak ada pasukan dan kesatuan mantap dibawah pimpinannya. Komen-komen dan pandangan berbeza dari sama-sama rakan Kabinet menjadi lumrah. Saya berpegang kepada mempertahankan kerajaan di atas prinsip tanggungjawab bersama, jika saya memberi komen tentang pimpinan lalu ianya dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Adalah tidak wajar walaubagaimana ‘popular’ sekalipun jika ahli-ahli Kabinet menegur di antara satu sama lain di media atau dikhalayak atau menyuarakan pandangan berbeza ataupun dilihat menentang dasar kerajaan diluar Kabinet.

Segala keputusan yang diambil oleh Jemaah Menteri dibuat dengan komitmen dan kesetiaan. Lebih malang lagi bila ada keputusan bersama tetapi tidak wujud kesetiaan bersama kepada keputusan. Walaupun macam-macam fitnah dilemparkan terhadap diri dan peribadi saya terus melaksanakan tugas. Saya tidak melatah atau membocor rahsia tentang pengisian sebelum apa-apa keputusan diambil. Banyak unsur-unsur luar yang campur tangan dalam politik. Saya tidak berganjak menyuarakan pendirian kerajaan. Sering dalam arena politik banyak berlaku betis membetis kerana mahu naik. Walaupun rakan menderita ada yang rela menikam dari depan dan ada pula dari belakang. Pengalaman saya sendiri memaparkan ramai orang yang dibimbing dan bila naik tidak terkecuali dari kemungkinan menggigit tangan yang menyuap ataupun berubah menjadi megah dan sombong. Itulah dikatakan dunia.

Sebab itu Allahyarham ayahanda saya mengingatkan pada saya bila berbakti buatlah kerana Allah s.w.t kerana kalau bergantung kepada manusia mungkin mereka tidak akan ingat budi baik dan jasa yang telah dicurahkan. Pemimpin ingatkan kebaikan dan kehandalannya sahaja, sedangkan pengikut, anak didik terlupa pada yang menyumbangkan kepada pencapaian mereka. Lumrah untuk seseorang terdorong berubah disebabkan dengan pangkat dan kekayaan.

Saya ingat Dr. Mahathir pernah berpesan kepada ahli-ahli Kabinet dan parti yang dalam politik tidak ada kawan sejati atau musuh sejati, semuanya ditentukan oleh keadaan. Saya setuju dan begitulah lumrah hidup. Banyak perkara yang perlu ditimba supaya boleh menjadi insan yang insaf dan sedar serta belajar dari pengalaman. Insya-allah dapat dikikis perasaan marah dan dendam terhadap mereka yang difikir menzalimi dan menganiaya serta tidak berterima kasih pada kita. Hakim dan penghukum untuk insan adalah Allah s.w.t dan itulah hakikat yang perlu diterima. Sebab itulah tepat sekali ibarat kata pepatah “setelah habis manis dihirup, sepah dibuang”. Hanya selaku insan tersentuh jua bila mengalami situasi sedemikian. Walaupun sepah hendak dibuang janganlah lupa yang sepah juga memiliki nilainya tersendiri.


INTAI-INTAI DI PERHIMPUNAN AGONG UMNO 2009


Persidangan UMNO tahun 2009 telah berakhir dengan menyimpan semangat dan harapan tinggi. Sebagaimana lazimnya dipersidangan-persidangan agong UMNO senantiasa disaluti dengan ucapan, pujian dan sanjungan terhadap pemimpin yang baru mengambil alih serta merakamkan setinggi penghargaan kepada pemimpin UMNO yang telah lalu. Keseluruhan persekitaran Perhimpunan Agong, Wanita, Pemuda dan Puteri berkobar-kobar dengan semangat yang membakar serta keyakinan yang membara. “UMNO sudah bercahaya semula”. Itulah ungkapan-ungkapan manis dari bibir perwakilan-perwakilan UMNO. Mereka berasa lega dan senang serta mengikat janji sudah bersedia berhadapan dengan PRU13 bagi menewaskan parti-parti lawan.

Diwar-warkanlah dengan lantang yang jalan pemulihan UMNO serta hala tujunya kini telah dilandaskan dengan terang dan jelas. Malahan walaupun dikatakan ada kekhuatiran di peringkat awal terhadap nasib kepada pindaan Perlembagaan UMNO, akhirnya ia diluluskan secara sambil lewa dan mudah. Naib Presiden yang membentangkannya pun tidak perlu mengambil pendekatan serius. Segalanya berjalan dengan lancer, tertib dan teratur. Perwakilan keluar dari persidangan dengan penuh percaya yang demokrasi makin diperkuatkan dan politik wang dalam UMNO, berjaya diatasi. Dari pandangan mata kasar serta keputusan yang dicapai nyata sekali berlaku satu anjakan paradigma merangkumi budaya, nilai dan sikap ahli parti. Sudah tentu empat wahdatul yang digariskan oleh Timbalan Presiden akan mengerakkan parti bagi mencapai kemenangan.

Justru bolehlah dikatakan yang langkah pertama telah pun bermula bagi meneruskan seribu langkah lain seterusnya. Persoalan besar pada saya untuk UMNO bukan sahaja melalui program dari perspektif dasar-dasar kerajaan sahaja tetapi apakah dividen politik yang dicita-cita dan diharapkan oleh orang-orang Melayu dan bumiputra dalam konteks satu Malaysia akan dapat dikecapi dan diperolehi. Ibadat kata pepatah lama “Jangan menang sorak, sedangkan kampung tergadai” atau “ayam bertelur sebiji tetapi riuh sekampung”.

Masih lagi terdengar jelas ditelinga saya tepukan gemuruh dan sambutan mengghairahkan semasa perhimpunan. Sememangnya UMNO tidak boleh menoleh ke belakang tetapi terus memandang ke hadapan. Saya amat kagum dengan ucapan yang disampaikan oleh Presiden parti yang kelihatan bersungguh-sungguh dan tepat mengenal pasti penyakit-penyakit UMNO serta memetakan kekuatan, kelemahan dan apa UMNO perlu buat jika ia mahu terus relevan dan diterima rakyat.

Dari segi ucapan serta pengisian sememangnya UMNO sudah berubah, membuat pembaharuan serta menjanjikan kelangsungan. Sekalung bunga dan setinggi tahniah kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Namun yang hendak dijalankan adalah mereka yang berada diluar Dewan Besar. UMNO masih penuh dengan gurindam dan selokanya saya berharap UMNO akan dikasihi dan didampingi oleh ahli dan rakyat. Apa yang hendak dilihat berlaku pada PRU 13 adalah mandat untuk terus memerintah serta mengambil alih kembali negeri-negeri BN dimana tewas pada pilihanraya lalu. Kalau BN merancang, jangan lupa pihak lawan pun merancang dan berkerja keras.

Walau pun begitu UMNO ketika ini tidak boleh bersandarkan kepada teori sahaja atau mengetahui penyakit yang dihidapinya kerana perkara ini memang jelas diketahui oleh semua orang. Apa yang perlu dilaksanakan adalah melaksanakan niat suci yang dilaungkan kepada satu pelan tindakan yang bermakna iaitu berubah sebelum rebah. Ia memerlukan lebih dari kata-kata, bahkan pra-syaratnya adalah mestilah lahir satu kerelaan untuk berkorban serta meletakkan parti di atas kepentingan peribadi, projek, puak dan kumpulan masing-masing. Berpeluk tidak bermakna sudah ada perpaduan; mengikat janji tidak bermakna sudah timbul kesetiaan; manis tidak bermakna ianya tidak mengandungi tuba; justru belum menjamin segala-gala masalah telah selesai. Adalah penting untuk melihat dengan mendalam apakah masalah dan tindakan susulan sebenar yang akan diambil bagi merealisasikan keputusan tersebut. Contohnya bagaimana boleh kita bergerak bagi mencapai ikhlas dan tawadduk yang disebutkan oleh Presiden. Seperkara lagi sikap benci membenci, fitnah memfitnah hanya hilang dibibir sahaja tetapi dari segi amalan ia terus berlaku secara berleluasa dikalangan dan diantara ahli-ahli parti. Memang betul parti pembangkang lemah dan berkecamuk pada masa ini tetapi ini tidak menjanjikan UMNO dapat menewaskan mereka melainkan ‘rumah UMNO’ dibetulkan secara radikal untuk menjamin UMNO berjaya. Tidak syak lagi UMNO sudah berubah dari teorinya dan kehendak yang bersesuaian dengan ucapan Presiden dan Timbalan Presiden. Apakah perilaku sombong dan angkuh yang diulang-ulang sebutannya oleh Presiden sudah dapat diatasi. Malahan tiada siapa dapat menafikan bahawa UMNO adalah satu-satunya wadah politik orang Melayu. Jangan dibiarkan orang Melayu berfikir mereka mempunyai pilihan lain dari UMNO untuk diangkat dan ditabalkan.

Perlu diulang dan dihayati yang setiap kata serta ungkapan yang indah itu mestilah dijadikan amalan dan pakaian ahli-ahli parti disemua peringkat. Ia melibatkan perubahan manusia dan organisasi berteraskan Islah. Apakah mengenal pasti masalah sudah menyelesaikannya?. Sebagai contoh saranan Presiden “jangan masuk UMNO untuk cari makan”, “mesti ikhlas dan tawaduk” adalah kata-kata hikmah yang akan melahirkan insan kamil. Apakah kita sudah bersedia untuk menjadi Insan kamil yang dicita-citakan?. Apakah langkah susulan kepada orang-orang disekeliling atau dipersekitaran kita yang beliau takrifkan sebagai ‘Batu api’ atau ‘Batu Ronson’ yang masih berleluasa dan bermaharajalela?. Aneh sekali jika dibiarkan kerana semangat dikampung Janda Baik tidak akan tercapai selagi golongan sedemikian masih bermaharajalela. Berapa ramai dari kalangan pemimpin mengamalkan apa yang kita laungkan untuk dipatuhi oleh orang lain dalam perjuangan UMNO. Semua insan mempunyai penyakit ini, ‘mudah digoda dan mudah dituba’. Teringat saya membaca sebuah buku Inggeris sewaktu saya berada dalam Tingkatan 5 yang ditulis oleh George Orwell yang bertajuk ‘Animal Farm’ dimana semasa perjuangan pemimpin-pemimpin melaungkan keadilan dan kesamarataan. Lantaran dengan semangat itu perjuangan untuk menjatuhkan golongan yang berkuasa yang zalim dan menindas golongan lemah mencapai matlamat yang dicita-citakan. Namun apabila kejayaan telah dicapai dengan memiliki kuasa lantas mereka yang berkuasa melahirkan batasan dan kelas-kelas istimewa untuk golongan pemerintah dan jelata. Mereka ditindas oleh pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang sudah memegang tampuk kekuasaan.


Penilaian harus dibuat dari perspektif sikap dan budaya yang dikatakan oleh Presiden dan disokong oleh para Perwakilan. Malahan persoalan yang paling utama adalah apakah langkah yang perlu diambil bagi menterjemahkan cita-cita kepada satu reality baru yang berupaya untuk mengubah persepsi negatif kepada reality positif?. Persoalannya Apakah anjakan pradigma yang sesuai dan tepat yang hendak dilakukan?.

Sudah tentu ia memerlukan muhasabah yang hadir dari dalam jiwa setiap ahli UMNO sendiri. Perubahan Perlembagaan hanya satu langkah kecil tetapi sebenarnya yang lebih penting adalah perubahan sikap dan budaya. Jika perubahan ini tidak berlaku perjuangan akan hanya diselubungi oleh semangat yang berkobar-kobar di Dewan Besar yang bersejarah. Sebagaimana ingatan yang disampaikan retorika sahaja tidak memberi kesan, ianya seperti “Seolah roh tanpa jasad, ia akan berkeliaran liar”.

Saya bersetuju seratus peratus dan menganggap amat cantik untuk menyatakan UMNO itu Inklusif, progresif dan demokratik. Yang perlu dihapuskan ialah kerangka fikiran lama yang berterusan disebaliknya menggunakan kaedah baru yang memenuhi tuntutan semasa. UMNO perlu berubah bukan sahaja dari perspektif kerangka tetapi juga dari perspektif substantive. Disemua peringkat pucuk pimpinan parti hendaklah melaksanakan satu usaha yang berterusan bagi mengubah budaya dan sikap ahli UMNO dengan segera. Harapan untuk melihat UMNO kembali dijulang dipersada politik negara, akan hanya tinggal harapan jika tidak disertai dengan keupayaan untuk menjadi juara pilihan rakyat. Sebenarnya harapan begitu tinggi untuk UMNO dijulang rakyat dan orang Melayu. Bagi mencapai tujuan tersebut rakyat mesti melihat UMNO lebih putih dari putih. Bagi tujuan tersebut rasuah, penyalahguanaan kuasa, menzalimi mereka yang bukan dianggap dari puak mereka mestilah menjadi perkara yang telah berlalu. Itulah ukuran atau pra-syarat untuk UMNO terus relevan dan diterima menjadi juara rakyat.

Masanya sudah tiba untuk pucuk pimpinan UMNO beralih dari alam rhetorika ke alam nyata bagi mencapai objektif tersebut. Penyakit terbukti hadir dari bawah hinggalah keatas. Namun berapa ramai dari pimpinan dan ahli betul-betul mahu menerima serta memahami pra-syarat kepada kejayaan pengamalan demokrasi dalam parti. Masalah besar yang dihadapi UMNO hari ini adalah persaingan dikalangan pucuk pimpinan UMNO samada diperingkat cawangan, bahagian, atau Majlis Tertinggi walaupun sudah berakhir tetapi tidak dapat dihentikan. Sikap berpuak-puak, benci membenci, tidak menerima keputusan dalam proses parti, tidak peduli apa jadi pada parti, walhal sudah merasai manfaat yang banyak namun mereka tidak berasa puas dan cukup. Inilah golongan yang perlu dibenteras bagi masa depan UMNO yang lebih cemerlang dan gemilang.

Tidak hairan untuk menyaksikan kelakuan seperti sekat menyekat, menutup peluang orang lain yang tidak dianggap dari kumpulan atau puak mereka masih berleluasa berlaku. Apa hendak dibuat?. Saya diberitahu yang perangai “meletakkan pasir di periuk nasi orang menjadi amalan”. Jika mahu berjaya dalam perubahan, pembaharuan yang menjadi asas survival UMNO, tindakan berani dan tegas perlu diambil supaya parti UMNO terus menjadi relevan dan diterima.

Transformasi perlu dilakukan secara besar-besaran untuk membuat pengisian budaya dan sikap yang tepat. Ini memerlukan bukan sahaja melihat ke dalam diri tetapi mereka yang beroperasi di sekeliling kita. Mereka juga mesti prihatin dan memahami rintihan serta kehendak ahli dan rakyat. Segala-galanya bergantung kepada amalan. Jika berterusan dengan tabiat lama bagi menghapuskan apa yang disebut oleh Presiden iaitu tabiat sombong dan angkuh akibatnya UMNO akan menerima padah. Marilah digerakan dan jangan pula membiarkan anai-anai meresapi pada kayu dan tiang yang menjadi pertahanan UMNO. Tiada masa untuk ianya ditangguhkan. Saya harap akan ada tindakan yang cepat untuk mengenal pasti penyakit serta ubatkannya dengan cara yang paling mujarab sekali. Langkah seterusnya bagi menjamin parti UMNO akan terus kukuh dan kuat serta diterima oleh rakyat. Ianya tidak memadai hanya melihat dan nampak kepada simpton, lantas mengubati simptomnya tanpa memberikan diagnosis yang tepat kepada penyakit sebenar. Biarlah UMNO selamat. Yang diperjuangkan oleh semua semestinya parti bukan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu. Inilah masanya untuk mencermin diri dan membuat perubahan.


Friday, October 16, 2009

SELAMAT DEEPAVALI


Saya dan isteri mengucapkan Selamat Deepavali kepada kawan-kawan yang beragama Hindu. Semoga gembira selalu.

-Tan Sri Syed Hamid Albar dan Puan Sri Sharifah Aziah

PALESTIN DAN KEGANASAN


Apa yang berlaku di Timur Tengah serta perjuangan rakyat Palestin kini disamakan dengan tindakan keganasan walaupun mereka menuntut kemerdekaan bagi membebaskan wilayah mereka dari penaklukan Israel. Tiada negara Islam yang menyokong keganasan. Negara-negara Barat seolah lupa bahawa Israel telah menduduki wilayah Palestin, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB. Israel tidak pernah dihukum keatas perlanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB. Percambahan tenaga nuklear atau memiliki keupayaan nuklear oleh negara Islam atau umat Islam dicurigai akan membawa kemusnahan kepada dunia serta akan dipersoalkan niat mereka secara berterusan.

Namun Israel yang memiliki keupayaan nuklear dan kekuatan ketenteraan terunggul di Timur Tengah tidak siapa membincangkan atau mempersoalkannya sebagai satu ancaman. Saya masih ingat bila saya menyebut kepada Menteri-Menteri Luar negara kesatuan Eropah semasa mengadakan pertemuan dengan mereka di New York pada tahun 2006 tentang manfaat damai yang akan diperolehi jika dijadikan Timur Tengah kawasan bebas senjata nuklear. Mereka spontan memberi respon dan menepis perkara tersebut dari dibincang kerana saya dianggap sebagai membangkitkan perkara sensitif. Malahan mereka tidak mahu perkara ini dibangkitkan. Media utama yang paling berpengaruh diam seribu bahasa. Israel tidak disoal kerana tidak menandatangani Non-Proliferation Treaty (NPT) atau dipersalahkan melakukan jenayah perang (genocide).

Saya tidak lupa kepada satu insiden semasa perang Iraq ada kenyataan yang dibuat oleh seorang Menteri yang menegur pengamal media Malaysia yang merungut dengan keadaan mereka semasa meliputi perang Iraq di Baghdad. Saya kononnya dikatakan membuat kenyataan negatif terhadap mereka. Walaupun saya tidak berbuat demikian. Justru kerana kemurkaan mereka terhadap apa yang dikatakan kenyataan saya, saya telah diserang secara peribadi oleh salah seorang pengamal media kanan yang sangat berpengaruh. Bila saya menuntut untuk pengamal media tersebut meminta maaf pada saya dia tidak mahu berbuat demikian. Saya mengambil keputusan untuk mengambil saman malu terhadapnya. Pada ketika itu bermulalah saya dianggap sebagai musuh media tersebut dan rangkaian sahabatnya termasuk blogger tertentu.

Akhbar Straits Times misalnya Pengerusi dan Ketua Pengarangnya ketika itu Abdullah Ahmad, secara peribadi telah memerintahkan untuk tidak memuatkan berita saya dan memotong gambar-gambar dimana saya berada di samping pemimpin negara. Walaupun gambar tersebut menceritakan aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian saya. Bila saya merungut tindakan yang tidak wajar serta serangan peribadi terhadap diri saya sebagai Menteri kerajaan, tiada siapa yang mahu membantu dalam menyelesaikan masalah tersebut. Hubungan diantara media dan pemimpin dianggap lebih penting dari membela saya. Saya sedar hubungan pemimpin dengan akhbar selalunya akrab dan mereka diberi perlindungan. Saya kecewa tetapi tidak dapat melakukan apa-apa.

Satu lagi contoh dari pengalaman saya adalah sewaktu saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Kementerian ini sememangnya menarik minat media dan masyarakat umum. Macam-macam isu menjadi bahan penulisan, teguran dan kritikan. Adakalanya peranan Menteri dan Agensi dibawahnya dibawah Akta-Akta tertentu pun disalah laporkan atau diberikan mirip yang tidak tepat. Pelaksanaan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) misalnya kuasa menyiasat dan pendakwaan dicampur adukkan seolah semua tindakan dan kuasa dibawah Akta tersebut adalah dibawah Menteri Dalam Negeri. Sedangkan kedudukan sebenarnya pelbagai pihak diberikan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Saya faham yang ISA tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Tetapi setiap tindakan polis berasaskan siasatan Keselamatan boleh ditafsirkan sebagai bermotifkan politik. Lebih buruk lagi jika orang-orang yang terlibat adalah pengamal media ataupun ahli politik. Sebab itulah pada saya jika kita mahu meneruskan ISA mekanisma baru perlu diwujudkan bagi mengelakkan penguatkuasa dan pelaksana Akta dari berhadapan dengan publisiti negatif atau dilemparkan dengan tuduhan yang merumitkan dari perspektif keadilan dan kesaksamaan.

Saya tidak akan lupa keseluruhan komuniti media bukan sahaja memaparkan kejahilan saya tetapi ada banyak juara-juara lain dalam pasukan yang mengambil kesempatan dan peluang untuk menyerang rakan sekamar. Sedangkan banyak perkara yang dilakukan bukanlah mengikut pandai-pandai Menteri sendiri atau untuk mencapai populariti pada dirinya tetapi bagi memelihara kepentingan awam.

Setelah melalui pengalaman yang banyak, saya dapat merasai kuasa dan kesan. Media memanglah berkuasa dan betullah kata-kata hikmat yang mengatakan “Pena adalah lebih tajam dari pedang”.


Wednesday, October 14, 2009

ISLAM DAN ARUS MEDIA


Salah satu kelemahan ketara dunia Islam masa kini adalah kegagalan untuk menguasai atau memiliki media, yang sealiran dengan prinsip dan pendiriannya. Dunia Islam berhadapan lebih-lebih lagi dengan media barat yang tidak memihak kepada mereka walaupun pengamal media itu terdiri dari golongan Muslim. Mereka tidak berminat untuk memaparkan cerita positif dan baik berkenaan Islam dan umatnya. Malahan menjadi lebih rumit untuk mendapat cerita yang pro Islam atau Muslim. Sering apabila kejadian yang melibatkan individu Muslim ia digambarkan sebagai perilaku agama Islam yang kononnya buruk seolah itulah Islam dan umatnya yang sebenar.

HARAPAN UNTUK DUNIA ISLAM

Lantaran adalah penting untuk memiliki suara dan ruang sendiri jika mahu memaparkan cerita positif tentang Islam dan Muslim. Imej menimbulkan persepsi dan persepsi melahirkan realiti. Oleh kerana itu segala bentuk keganasan dan keburukan yang dilakukan oleh individu Muslim atau kumpulan Muslim terhadap orang lain akan terus diulang tayang dan diperingatkan kepada dunia insiden tersebut. Lantas dengan sendirinya ia sekaligus melahirkan sikap dan pendirian mereka melalui imej-imej yang dipancarkan. Ini juga membentuk sikap dan pendirian mereka keatas Islam dan umatnya. Namun kematian dan keganasan yang dilakukan samada diatas asas kebencian atau dikatakan tersilap sasaran terhadap orang-orang Muslim tidak diberi laporan meluas dan mudah dilupakan dengan pelbagai justifikasi.



Monday, October 12, 2009

PENGALAMAN DENGAN MEDIA


Hari ini di mana-mana saya berada di tempat-tempat awam akan ada orang menegur, bertanya khabar, beramah mesra atau bertegur sapa. Saya rasa gembira kerana masih ramai orang biasa masih kenal dan mengingati saya. Mungkin kerana saya adalah seorang menteri pada ketika itu yang kerap mendapat liputan meluas oleh media. Saya mesra dengan pengamal media dan selesa bergaul dengan mereka. Saya mudah dihubungi dan tidak letih melayani mereka bertukar pendapat berkenaan dengan pelbagai cerita samada berasaskan fakta, khabar angin ataupun semata-mata spekulasi mereka. Saya percaya mereka juga merasa begitu.


Coretan ini tidak semestinya disetujui oleh pengamal media tetapi ia adalah berasaskan pengamatan serta pengalaman saya dengan media. Tidak salah pada tanggapan saya untuk mengatakan yang peranan dan kuasa media tidak boleh diperkecilkan dan dipermudahkan. Mereka senantiasa berada ditengah-tengah sesuatu insiden, situasi serta pergolakan dan polemik masyarakat di sepanjang masa ianya berlaku. Lantaran itu mereka boleh membentuk dan mempengaruhi sikap masyarakat mengenai apa-apa perkara atau isu yang diketengahkan. Dari sudut ini adalah diperhatikan mereka memiliki kuasa yang luas. Melalui pendekatan audio visual dan penulisan mereka akan melahirkan persepsi terhadap pelbagai perkara, yang menarik perhatian rakyat. Masalahnya apabila persepsi terbentuk ia akan menjadi lebih rumit untuk menangkis atau dibetulkan sikap dan salah faham yang timbul darinya.

Nasihat yang paling berguna yang boleh diberikan adalah semua orang atau kumpulan yang bergerak dikhalayak seharusnya menjadikan media sahabat karib dengan apa cara sekalipun supaya dapat mengenengahkan pendirian dan memperkukuhkan kefahaman masyarakat umum.

Pengalaman yang boleh digunakan sebagai iktibar adalah PRU 12 2008. Kerajaan BN telah melalui satu kejutan yang paling getir dalam sejarah politiknya. Ia bermula apabila parti dan kerajaan membiarkan persepsi negatif terhadapnya dibentuk atas nama kebebasan akhbar di media aliran utama dan media baru tanpa apa-apa tindakan menangkis atau membetulkannya. Di zaman teknologi maklumat peranan media baru menjadi lebih terserlah kerana mereka memiliki keupayaan serta peminat yang amat ramai dan jangkauan yang jauh.

Contohnya apabila bekas Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri menjadi blogger yang berkesan. Beliau menggunakan pengalaman dan pengaruhnya dengan seluas-luasnya bagi menyuarakan pandangan dan pendiriannya di atas pelbagai tajuk yang menyentuh parti dan kerajaan. Akhirnya media baru menjadi lebih berpengaruh dan dipercayai oleh masyarakat. Apatah lagi apabila yang turut serta terdiri dari personaliti terkenal dalam media aliran utama pada satu masa dulu. Justru mereka berjaya menjejaskan pandangan masyarakat terhadap pemimpin dan kerajaan. Persepsi yang dibentuk meyakinkan dan menjadi realiti serta asas utama yang menentukan pendirian masyarakat. Lontaran yang mengatakan kerajaan rasuah, ada penyalahgunaan kuasa, kronisma serta kabinet dan kerajaan lemah serta kurang kepimpinan berjaya mempengaruhi sikap pengundi lebih-lebih lagi dikalangan orang-orang muda dan bukan Melayu.

Komuniti media secara umumnya memiliki ikatan setiakawan dikalangan mereka yang lebar dan akrab. Mereka mampu menyumbang kepada kejatuhan mana-mana pemimpin yang berkonfrontasi dengannya. Dalam konteks ini merekalah golongan yang paling berkuasa dalam menentukan masa depan kerajaan atau kumpulan atau kerjaya seseorang. Saya sedar pandangan ini akan dinafikan dan ditolak sekeras-kerasnya oleh pengamal media. Ada pemerhati dan penganalisa mengatakan kuasa serta peranan media sebenarnya adalah lebih kuat dari kerajaan sendiri. Oleh itu adalah lebih bijaksana untuk tidak berperang dengan media atau mereka yang berkuasa dalam media dari melakukan tindakan yang sebaliknya. “Sesiapa yang bertembung dengan media akan kalah”, itulah pandangan umum. Mereka yang tidak diminati oleh media mungkin akan diberikan liputan tetapi negatif walaupun berita mereka tersiar. Adakalanya berita atau gambar yang paling tidak menarik sekali akan ditonjolkan. Ditahap yang “extreme” berita ataupun gambar mereka tidak disiarkan langsung. Dalam lain perkataan digam.


Oleh kerana rangkaian mereka begitu meluas, mereka memiliki akses kepada sumber, mereka akan mengetahui cerita-cerita yang dibincangkan atau diputuskan di kamar-kamar tertutup. Saya tidak boleh lupa bagaimana saya menjadi bahan kemarahan sesetengah media kerana banyak kisah dalaman terhadap isu atau subjek tertentu dalam kabinet atau mesyuarat tertutup tertinggi parti pun, bocor serta mereka mendapatkan maklumat terperinci. Kebocoran maklumat bukanlah satu perkara baru dan jika ianya menjadi lumrah serta tidak dikawal dengan baik dan sempurna ia boleh menjejaskan imej dan kewibawaan parti dan kerajaan. Mungkin dulu tidak ada siapa peduli atau kalau tahu pun tidak berupaya untuk menyekatnya ataupun memang tidak dipedulikan.

Ada masanya laporan yang dibincangkan dalam kabinet tersebar luas dan kabinet sering dimaklumkan mengenainya, namun demikian tiada apa-apa tindakan diambil. Ada masanya isu perbincangan terkeluar, termasuk siapa cakap apa pun boleh diketahui oleh media. Itulah keunikan kuasa media yang tidak semestinya ketara. Kalau ditanya pada pengamal media bagaimana maklumat sebegitu diperolehi selalunya diberikan respon dan jawapan yang sinis atau mereka hanya memberi senyuman lebar. Kalau sesiapa cukup baik dan rapat dengan mereka mungkin orang itu akan diberikan gambaran tentang siapa orangnya yang telah membocorkan rahsia tersebut. Lebih aneh lagi kalau tidak diterbitkan maklumat tersebut di akhbar berkenaan, kerana khuatir sumbernya akan terdedah, maka maklumat tersebut akan dipanjangkan ke media lain.

Oleh itu tidak hairanlah bila ada tohmahan orang-orang tertentu yang mengatakan ada dikalangan pengamal media barat yang juga bertindak sebagai ahli risik bagi negara masing-masing. Jelas sekali mereka memiliki maklumat yang berguna kerana akses kepada individu atau pun mereka yang berlegar-legar di koridor kuasa atau mendampingi mereka yang berkuasa dan bermaklumat.

Oleh kerana informasi dan kekuatan komunikasi yang mereka ada secara langsung atau tidak langsung, mereka menjadi asset yang terpenting. Perang Iraq, cerita-cerita berkenaan September 11, konflik di Timur Tengah, dan serangan ke atas Afghanistan semuanya dilaporkan mengikut mirip dan kepentingan penaung atau golongan yang mereka wakili atau hendak lindungi.