Friday, October 30, 2009

KACANG LUPAKAN KULIT


Tun Mahathir mengingatkan yang orang Melayu Mudah Lupa. Itu adalah satu penyataan yang tidak boleh disangkal dan memanglah benar serta tepat. Namun sikap mudah lupa tidak hanya terhad kepada bangsa Melayu, bahkan fitrah Insan. Sememangnya Allah menjadikan manusia mudah lupa termasuk kepada Allah yang menjadikannya. Justru undang-undang dan peraturan digubal supaya manusia mematuhinya untuk hidup dengan lebih sempurna dan berdisiplin. Oleh itu tidak perlulah berasa sedih kerana semua insan ada penyakit yang sama, samada pemimpin atau pengikut.

Kedua ibu bapa saya memperingatkan kami untuk setia kepada ketua dan kebenaran. Itulah yang menjadi amalan yang saya pegang disepanjang masa untuk menghargai budi orang lain. Mengikut apa yang saya diberitahu oleh ayahanda saya penggunaan perkataan “Albar” di akhir nama keluarga kami bermula dari masa moyang saya Syed Ali, yang pada masa itu terkenal dengan wataknya yang taat kepada ibu bapa dan perjuangan. Semenjak dari itu gelaran keluarga kami menggunakan perkataan “Albar” seabagai sebahagian pengenalan keluarga.

Sesuatu perkara yang ramai sering lupa samada sebagai pemimpin atau pengikut ataupun orang biasa adalah pentingnya memiliki sikap berterima kasih kepada orang yang memberi atau menyumbang bakti untuk kersejahteraan dan kejayaannya. Pemimpin dengan sendirinya tidak akan menjadi cemerlang tanpa orang lain memberi sokongan kepada mereka. Apa yang jelas adalah hidup ini saling bertaut serta bergantungan diantara satu sama lain. Setiap satunya ada sumbangan dan peranan. Kalau hendak diceritakan hal orang tidak berterima kasih atau bersyukur mungkin ia akan melibatkan berlinangan air mata kesedihan membasahi bumi. Saya menempuh banyak pengalaman, pahit maung, masam manis mengenai kacang lupakan kulit. Saya pun takut kaku kalau saya terjadi sebegitu.

Saya berpegang teguh kepada prinsip ketaatan. Sepanjang saya di lantik Menteri misalnya apa yang saya lakukan adalah sejajar dengan amalan tanggungjawab bersama sebagai Ahli Jemaah Menteri.

Semasa mula-mula saya memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Undang-Uudang pada tahun 1990 hubungan diantara kerajaan dan Majlis Peguam retak dan renggang. Sebagai pengamal undang-undang memang saya berminat untuk melihat terjalin hubungan diantara kedua-duanya baik dan wajar. Bila tercetus perbezaan diantara kerajaan dan Majlis Peguam, sebagai ahli Jemaah Menteri, saya tetap mempertahankan tindakan kerajaan diatas asas tanggungjawab bersama dan amanah yang dipikul. Saya menangkis segala tuduhan yang saya anggap tidak benar atau keterlaluan terhadap parti dan kerajaan. Dimasa yang sama saya membuka ruang untuk berdialog dengan mereka. Begitu juga semasa krisis diantara kerajaan dan badan kehakiman disebabkan penyingkiran Tun Salleh Abas dan beberapa orang hakim mahkamah tinggi. Saya terus membela proses yang diambil bagi tujuan tersebut, walaupun sebagai seorang peguam saya menganggap tindakan kerajaan telah menjejaskan nama baik serta imej kerajaan dan negara di dalam dan luar negara.

Prinsip setia dan kasih sayang pada parti adalah paksi pengukuh serta kekuatan UMNO. Walaubagaimana pahit sekalipun perpecahan politik Melayu pada tahun 1986-1988, sehinggalah UMNO diharamkan serta tertubuhnya parti Semangat 46, saya tidak pernah lari dan meninggalkan UMNO.

Pada tahun 1984 saya sendiri menentang Anwar Ibrahim untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. Bukan untuk pangkat tetapi semata-mata memberi bakti kepada parti. Disebabkan saya menentang Anwar, maka saya dihentam dan diserang habis-habisan untuk tentukan dia menang. Anwar mendapat sokongan pucuk pimpinan tertinggi UMNO dengan tidak berbelah bagi. Semua mesti jadi orang Anwar kalau mahu berjaya dalam UMNO pada ketika itu. Sebagaimana lazim dalam politik saya disisih walaupun dalam parti yang sama. Dalam pertarungan ada yang akan menjadi mangsa dan ada yang diangkat sebagai juara. Sayugia diingat pada waktu itu Anwar Ibrahim disanjung oleh pucuk pimpinan UMNO. Tidak ada orang yang berani mengatakan dia bukan orang Anwar. Saya tidak diberi ruang di media dan pentas UMNO sehingga ada majlis UMNO diperingkat bahagian pun saya tidak dibenarkan hadir dan jika saya hadir pun saya dilayani seperti saya tiada di Majlis atau mereka seolah sengaja tidak nampak atau seolah saya dari parti lawan. Ada masanya saya terfikir jua bagaimana saya dapat menempuh cabaran-cabaran sedemikian. Saya beranggapan mungkin ini disebabkan saya terlalu sayangkan parti.

Bila pada tahun 1986 saya dipilih untuk bertanding dikawasan Parlimen Sg. Benut, Johor tetapi disaat-saat akhir digugurkan. Saya dimaklumkan kemudiannya salah satu sebab tersirat adalah kerana saya menentang pucuk pimpinan parti. Saya tidak berasa hampa dan meninggalkan parti malah kesetiaan saya pada UMNO semakin menebal. Tidak dapat dielakkan ada masanya terasa segala pengorbanan dan usaha tidak berbaloi bila ianya tidak nampak diiktiraf.

Kawan-kawan dan keluarga saya sungguh terganggu dengan tragedy politik yang berlaku keatas diri saya. Tetapi saya menegaskan “ini adalah suratan dan takdir ilahi” dan saya menerimanya dan semangat saya terhadap UMNO tidak luntur. Namun saya tetap setia kepada UMNO. Pada tahun 1990 bila Dr. Mahathir sekali lagi menawarkan saya untuk bertanding di Parlimen Kota Tinggi saya menerimanya dengan penuh kesyukuran. Beliau juga mengingatkan saya yang saya tidak menyokongnya sewaktu pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1986. Saya tidak menafikan sesuatu perkara yang benar. Saya mengakui dan menjelaskan pendirian saya. Bila saya dilantik dalam kerajaan dia gunakan saya pula. Dimana juga dalam ucapan-ucapan beliau soal tidak menyokongnya diulang-ulang, tidak henti-henti samada di dalam atau diluar negara, sebagai contoh dan sikap kemurahan hatinya membawa masuk orang-orang yang tidak menyokongnya.

Pada masa itu saya dan ramai ahli-ahli UMNO lain menganggap beliau telah menyimpang dari semangat perjuangan UMNO asal. Sebab itulah kumpulan yang dipanggil “Team B” tidak bersamanya. Walaupun begitu selesai sahaja pertandingan saya kembali kepada saf dan tidak turut serta dengan golongan yang menyebabkan UMNO diharamkan, lemah ataupun menubuhkan parti baru. Semangat 46, ditubuhkan diatas asas kekecewaan beberapa pimpinan UMNO kepada UMNO yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.

Bila saya jadi ahli Kabinet, saya taat dan setia kepada kerajaan serta bertungkus lumus sebagai Menteri mempertahankan setiap dasar dan tindakan pimpinan dan kerajaan di seluruh pelusuk dalam dan luar negara. Tekanan hebat yang saya alami adalah dalam pertemuan-pertemuan saya dengan pemimpin-pemimpin di Amerika Syarikat dan Eropah. Kerana Anwar mempunyai rangkaian yang cukup kuat. Saya berhadapan dengan ahli pentadbiran, ahli Parlimen dengan tuduhan dan tohmahan terhadap Malaysia. Saya terus membela negara dan pemimpin. Di Amerika Syarikat di Eropah dan dikalangan ahli-ahli ASEAN. Dalam satu insiden pada tahun 2002 saya dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat menghadiri jamuan makan malam bersama-sama Dr. Mahathir dengan salah sebuah Pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika Syarikat. Semasa makan dan berbual-bual, beberapa ahli mereka mengambil kesempatan untuk mengkritik serta menyerang hebat sikap Dr. Mahathir sebagai anti yahudi (anti Semitik). Saya nampak jelas Dr. Mahathir tidak senang, marah dan terganggu. Lantas saya masuk campur dan membidas sikap mereka yang tidak sopan. Mereka terperanjat dengan respon saya. Selepas reaksi itu perbincangan kembali menjadi tenang dan reda. Saya diberitahu kemudian Dr. Mahathir cukup bangga dan senang dengan tindakbalas saya membelanya. Pada saya itu tugas samada diingati ataupun tidak adalah tidak penting. Saya terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana membuka peluang untuk saya dan saya membalasnya dengan memberi perkhidmatan yang terbaik semasa beliau memimpin kerajaan.

Saya masih ingat lagi beliau sering mengingatkan Ahli Kabinetnya untuk bertindak sebagai ahli satu pasukan dan setia kepada pemimpin. Itulah yang saya lakukan. Seterusnya bila Mahathir menyerahkan pucuk pimpinan parti dan kerajaan kepada Abdullah Badawi sebagai anak didik Mahathir semua penyokongnya yang dikekalkan dalam Kabinet Abdullah memberi khidmat dan menyokong kerajaan Abdullah pula.

Malangnya, sikap keterbukaan Abdullah telah memberi persepsi yang pimpinan parti dan kerajaan longgar dan lemah, yang akhirnya mengakibatkan kelihatan tidak ada pasukan dan kesatuan mantap dibawah pimpinannya. Komen-komen dan pandangan berbeza dari sama-sama rakan Kabinet menjadi lumrah. Saya berpegang kepada mempertahankan kerajaan di atas prinsip tanggungjawab bersama, jika saya memberi komen tentang pimpinan lalu ianya dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Adalah tidak wajar walaubagaimana ‘popular’ sekalipun jika ahli-ahli Kabinet menegur di antara satu sama lain di media atau dikhalayak atau menyuarakan pandangan berbeza ataupun dilihat menentang dasar kerajaan diluar Kabinet.

Segala keputusan yang diambil oleh Jemaah Menteri dibuat dengan komitmen dan kesetiaan. Lebih malang lagi bila ada keputusan bersama tetapi tidak wujud kesetiaan bersama kepada keputusan. Walaupun macam-macam fitnah dilemparkan terhadap diri dan peribadi saya terus melaksanakan tugas. Saya tidak melatah atau membocor rahsia tentang pengisian sebelum apa-apa keputusan diambil. Banyak unsur-unsur luar yang campur tangan dalam politik. Saya tidak berganjak menyuarakan pendirian kerajaan. Sering dalam arena politik banyak berlaku betis membetis kerana mahu naik. Walaupun rakan menderita ada yang rela menikam dari depan dan ada pula dari belakang. Pengalaman saya sendiri memaparkan ramai orang yang dibimbing dan bila naik tidak terkecuali dari kemungkinan menggigit tangan yang menyuap ataupun berubah menjadi megah dan sombong. Itulah dikatakan dunia.

Sebab itu Allahyarham ayahanda saya mengingatkan pada saya bila berbakti buatlah kerana Allah s.w.t kerana kalau bergantung kepada manusia mungkin mereka tidak akan ingat budi baik dan jasa yang telah dicurahkan. Pemimpin ingatkan kebaikan dan kehandalannya sahaja, sedangkan pengikut, anak didik terlupa pada yang menyumbangkan kepada pencapaian mereka. Lumrah untuk seseorang terdorong berubah disebabkan dengan pangkat dan kekayaan.

Saya ingat Dr. Mahathir pernah berpesan kepada ahli-ahli Kabinet dan parti yang dalam politik tidak ada kawan sejati atau musuh sejati, semuanya ditentukan oleh keadaan. Saya setuju dan begitulah lumrah hidup. Banyak perkara yang perlu ditimba supaya boleh menjadi insan yang insaf dan sedar serta belajar dari pengalaman. Insya-allah dapat dikikis perasaan marah dan dendam terhadap mereka yang difikir menzalimi dan menganiaya serta tidak berterima kasih pada kita. Hakim dan penghukum untuk insan adalah Allah s.w.t dan itulah hakikat yang perlu diterima. Sebab itulah tepat sekali ibarat kata pepatah “setelah habis manis dihirup, sepah dibuang”. Hanya selaku insan tersentuh jua bila mengalami situasi sedemikian. Walaupun sepah hendak dibuang janganlah lupa yang sepah juga memiliki nilainya tersendiri.


No comments:

Post a Comment