Monday, October 12, 2009

PENGALAMAN DENGAN MEDIA


Hari ini di mana-mana saya berada di tempat-tempat awam akan ada orang menegur, bertanya khabar, beramah mesra atau bertegur sapa. Saya rasa gembira kerana masih ramai orang biasa masih kenal dan mengingati saya. Mungkin kerana saya adalah seorang menteri pada ketika itu yang kerap mendapat liputan meluas oleh media. Saya mesra dengan pengamal media dan selesa bergaul dengan mereka. Saya mudah dihubungi dan tidak letih melayani mereka bertukar pendapat berkenaan dengan pelbagai cerita samada berasaskan fakta, khabar angin ataupun semata-mata spekulasi mereka. Saya percaya mereka juga merasa begitu.


Coretan ini tidak semestinya disetujui oleh pengamal media tetapi ia adalah berasaskan pengamatan serta pengalaman saya dengan media. Tidak salah pada tanggapan saya untuk mengatakan yang peranan dan kuasa media tidak boleh diperkecilkan dan dipermudahkan. Mereka senantiasa berada ditengah-tengah sesuatu insiden, situasi serta pergolakan dan polemik masyarakat di sepanjang masa ianya berlaku. Lantaran itu mereka boleh membentuk dan mempengaruhi sikap masyarakat mengenai apa-apa perkara atau isu yang diketengahkan. Dari sudut ini adalah diperhatikan mereka memiliki kuasa yang luas. Melalui pendekatan audio visual dan penulisan mereka akan melahirkan persepsi terhadap pelbagai perkara, yang menarik perhatian rakyat. Masalahnya apabila persepsi terbentuk ia akan menjadi lebih rumit untuk menangkis atau dibetulkan sikap dan salah faham yang timbul darinya.

Nasihat yang paling berguna yang boleh diberikan adalah semua orang atau kumpulan yang bergerak dikhalayak seharusnya menjadikan media sahabat karib dengan apa cara sekalipun supaya dapat mengenengahkan pendirian dan memperkukuhkan kefahaman masyarakat umum.

Pengalaman yang boleh digunakan sebagai iktibar adalah PRU 12 2008. Kerajaan BN telah melalui satu kejutan yang paling getir dalam sejarah politiknya. Ia bermula apabila parti dan kerajaan membiarkan persepsi negatif terhadapnya dibentuk atas nama kebebasan akhbar di media aliran utama dan media baru tanpa apa-apa tindakan menangkis atau membetulkannya. Di zaman teknologi maklumat peranan media baru menjadi lebih terserlah kerana mereka memiliki keupayaan serta peminat yang amat ramai dan jangkauan yang jauh.

Contohnya apabila bekas Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri menjadi blogger yang berkesan. Beliau menggunakan pengalaman dan pengaruhnya dengan seluas-luasnya bagi menyuarakan pandangan dan pendiriannya di atas pelbagai tajuk yang menyentuh parti dan kerajaan. Akhirnya media baru menjadi lebih berpengaruh dan dipercayai oleh masyarakat. Apatah lagi apabila yang turut serta terdiri dari personaliti terkenal dalam media aliran utama pada satu masa dulu. Justru mereka berjaya menjejaskan pandangan masyarakat terhadap pemimpin dan kerajaan. Persepsi yang dibentuk meyakinkan dan menjadi realiti serta asas utama yang menentukan pendirian masyarakat. Lontaran yang mengatakan kerajaan rasuah, ada penyalahgunaan kuasa, kronisma serta kabinet dan kerajaan lemah serta kurang kepimpinan berjaya mempengaruhi sikap pengundi lebih-lebih lagi dikalangan orang-orang muda dan bukan Melayu.

Komuniti media secara umumnya memiliki ikatan setiakawan dikalangan mereka yang lebar dan akrab. Mereka mampu menyumbang kepada kejatuhan mana-mana pemimpin yang berkonfrontasi dengannya. Dalam konteks ini merekalah golongan yang paling berkuasa dalam menentukan masa depan kerajaan atau kumpulan atau kerjaya seseorang. Saya sedar pandangan ini akan dinafikan dan ditolak sekeras-kerasnya oleh pengamal media. Ada pemerhati dan penganalisa mengatakan kuasa serta peranan media sebenarnya adalah lebih kuat dari kerajaan sendiri. Oleh itu adalah lebih bijaksana untuk tidak berperang dengan media atau mereka yang berkuasa dalam media dari melakukan tindakan yang sebaliknya. “Sesiapa yang bertembung dengan media akan kalah”, itulah pandangan umum. Mereka yang tidak diminati oleh media mungkin akan diberikan liputan tetapi negatif walaupun berita mereka tersiar. Adakalanya berita atau gambar yang paling tidak menarik sekali akan ditonjolkan. Ditahap yang “extreme” berita ataupun gambar mereka tidak disiarkan langsung. Dalam lain perkataan digam.


Oleh kerana rangkaian mereka begitu meluas, mereka memiliki akses kepada sumber, mereka akan mengetahui cerita-cerita yang dibincangkan atau diputuskan di kamar-kamar tertutup. Saya tidak boleh lupa bagaimana saya menjadi bahan kemarahan sesetengah media kerana banyak kisah dalaman terhadap isu atau subjek tertentu dalam kabinet atau mesyuarat tertutup tertinggi parti pun, bocor serta mereka mendapatkan maklumat terperinci. Kebocoran maklumat bukanlah satu perkara baru dan jika ianya menjadi lumrah serta tidak dikawal dengan baik dan sempurna ia boleh menjejaskan imej dan kewibawaan parti dan kerajaan. Mungkin dulu tidak ada siapa peduli atau kalau tahu pun tidak berupaya untuk menyekatnya ataupun memang tidak dipedulikan.

Ada masanya laporan yang dibincangkan dalam kabinet tersebar luas dan kabinet sering dimaklumkan mengenainya, namun demikian tiada apa-apa tindakan diambil. Ada masanya isu perbincangan terkeluar, termasuk siapa cakap apa pun boleh diketahui oleh media. Itulah keunikan kuasa media yang tidak semestinya ketara. Kalau ditanya pada pengamal media bagaimana maklumat sebegitu diperolehi selalunya diberikan respon dan jawapan yang sinis atau mereka hanya memberi senyuman lebar. Kalau sesiapa cukup baik dan rapat dengan mereka mungkin orang itu akan diberikan gambaran tentang siapa orangnya yang telah membocorkan rahsia tersebut. Lebih aneh lagi kalau tidak diterbitkan maklumat tersebut di akhbar berkenaan, kerana khuatir sumbernya akan terdedah, maka maklumat tersebut akan dipanjangkan ke media lain.

Oleh itu tidak hairanlah bila ada tohmahan orang-orang tertentu yang mengatakan ada dikalangan pengamal media barat yang juga bertindak sebagai ahli risik bagi negara masing-masing. Jelas sekali mereka memiliki maklumat yang berguna kerana akses kepada individu atau pun mereka yang berlegar-legar di koridor kuasa atau mendampingi mereka yang berkuasa dan bermaklumat.

Oleh kerana informasi dan kekuatan komunikasi yang mereka ada secara langsung atau tidak langsung, mereka menjadi asset yang terpenting. Perang Iraq, cerita-cerita berkenaan September 11, konflik di Timur Tengah, dan serangan ke atas Afghanistan semuanya dilaporkan mengikut mirip dan kepentingan penaung atau golongan yang mereka wakili atau hendak lindungi.

No comments:

Post a Comment