Wednesday, July 29, 2009

TITAH UCAPAN SULTAN AZLAN SHAH


Saya membaca dengan penuh minat dan tumpuan Titah Ucapan Sultan Azlan Shah di Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan yang dianjurkan oleh Pejabat Setiausha Kerajaan Negeri Perak pada 21hb Julai 2009. Apa yang menarik perhatian saya adalah isi kandungan titah tersebut berjaya menggariskan secara terperinci isu-isu melibatkan Perlembagaan Persekutuan merangkumi sejarah dan undang-undang.

Dewasa ini ramai diantara kita yang secara sengaja atau tidak sengaja melupakan bagaimana akhirnya Perlembagaan Persekutuan digubal diatas asas-asas kompromi yang diterima oleh semua pihak. Justeru itulah Perlembagaan menjadi undang-undang utama serta panduan penting kepada kerajaan dan rakyat semasa melaksanakan hak dan tanggungjawab masing masing. Apa yang jelas ialah perlembagaan tersebut memiliki latar belakang dan sejarahnya tersendiri serta tidak boleh dirobak-rabek sesuka hati diatas nama demokrasi, kebebasan serta hak asasi manusia.

Apa jua tindakan yang diambil bertentangan dengan undang undang maka perlanggaran tersebut boleh dikuatkuasakan mengikut undang undang. Oleh sebab itulah Perlembagaan Negara menetapkan kaedah pemerintahan di Negara ini berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berlembagaan. Tiada sesiapa pun dikecualikan dari tertakluk kepadanya. Melalui bidang bidang kuasa dan cabang pemisahan kuasa diwujudkan supaya akan lahir “semak dan imbang”. Ia adalah sistem terbaik bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat bagi membolehkan kita menikmati keamanan dan kestabilan negara. Di masa yang sama kerajaan juga tertakluk kepadanya.

Dalam menzahirkan hak ia mesti dipadankan dengan tanggungjawab serta sejarah negara ini. Kegagalan menghormati dan mematuhi undang undang mendedahkan negara kepada kemungkinan huru hara dan kacau bilau berlaku. Pasti sekali kita tidak boleh menafsirkan semula sejarah negara ini seolah ia Negara baru tercipta hanya semasa negara mencapai kemerdekaan. Negara ini memiliki sejarah, pemerintah, budaya dan tradisinya serta negara dan rantaunya sebelum dan selepas kemerdekaan.

Setiap dari warga yang menerima negara ini sebagai negara sendiri mestilah menerimanya dalam konteks tersebut walaupun kerajaan mahu membina negara bangsa Malaysia menggunakan slogan Satu Malaysia. Semoga ada penghayatan dan kefahaman warga untuk senantiasa berpegang kepada Malaysia yang bersatu padu walaupun majmuk. Saya berpendapat titah ucapan ini perlu dijadikan bacaan wajib untuk semua rakyat Malaysia.

Hari ini dunia dan negara kita berdepan dengan persekitaran politik dan ekonomi yang paling mencabar sekali. Kita juga dapat memerhati keadaan tidak menentu dan stabil melanda dibanyak negara. Semangat nasionalisma, extremisma berasaskan agama kaum atau budaya telah membawa konflik dan pertembungan yang memudaratkan kesejahteraan dan keselamatan negara-negara berkenaan. Perlulah diingati bahawa keamanan dan kestabilan tidak datang bergolek dengan sendirinya. Biarlah tiap seorang dari kita kenal Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 31 ogos 1957 dan lahirnya Malaysia merdeka dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura pada tahun 1963. Seterusnya apa sebabnya Singapura disingkirkan dua tahun kemudian kerana ditimbulkan api perpecahan dan perkauman yang ditiupkan telah mengancam kelangsungan negara muda Malaysia pada ketika itu. Telitilah dan bacalah dengan penuh penghayatan sejarah Mei 13 1969.

Pada pendapat saya disaat saat ada kecenderungan oleh terutamanya parti-parti politik tertentu atau pertubuhan bukan kerajaan amnya yang cuba untuk menterjemahkan semula asas-asas negara tanpa merujuk sejarah dan undang undang. Rakyat perlu berhati hati dan berwaspada terhadap masa depan dan hala tuju negara. Apakah untungnya bermain dengan isu isu lama yang telah dipersetujui secara tersurat atau pun tersirat.

Ianya adalah langkah yang amat merbahaya kepada masa depan negara. Begitu jua dalam usaha usaha mahu meraih sokongan dan kuasa tidak sepatutnya kewibawaan dan integriti semua Institusi utama terus dicabar secara melampau dan kerterlaluan. Jika semua institusi pelaksanaan undang-undang diperkecilkan sehingga hilang keyakinan rakyat bagaimanakah keamanan dan kestabilan hendak dipertahankan. Berbeza pendirian politik bukanlah satu perkara luar biasa. Namun ia perlu dilakukan dalam konteks undang-undang.

Pada pemikiran saya semasa kita berdepan dengan kecenderungan untuk menterjemahkan demokrasi dan kebebasan tanpa merujuk kepada undang-undang dan pelaksanaannya amat tepat sekali kita diingatkan melalui titah ucapan tersebut untuk mendalami secara terperinci sejarah, undang-undang, pelaksanaannya serta hak dan tanggungjawab masing-masing. Ini akan membolehkan kita menggunakan demokrasi dan kebebasan selaras dengan kehendak undang-undang dan Perlembagaan Negara. Penghayatan dan kefahaman terhadapnya akan membolehkan kerajaan mengurus tadbir dengan lancar dan sempurna. Tidak ada keamanan dan kestabilan boleh dicapai jika undang-undang diketepikan dan dinodai. Jika ianya tidak difahami dan dihormati serta jahil terhadap fungsi dan tanggungjawab yang perlu dipupuk. Jangan sekali-kali kita meletakkan hak individu dan kebebasan diatas segala-galanya tanpa menghiraukan tunggak negara, iaitu Perlembagaan dan undang-undang.

Setiap ungkapan semasa Baginda bertitah tersusun rapi dalam bahasa yang cukup tegas dan jelas. Jika semua pihak dapat menghayati serta mengamalkannya, dapat dielakkan dari terperangkap dengan undang-undang rimba semasa mahu mencapai matlamat dan kepuasan politik. Tiada siapa terkecuali dari perlembangan dan undang-undang bagi menentukan keutuhan dan kedaulatan negara terjamin disepanjang masa.

Apa ertinya “pemisahan kuasa” dan “semak dan imbang” untuk tiap-tiap cabang dari “legislatif, eksekutif sehinggalah badan kehakiman”. Masing-masing mestilah bersikap adil dan berintegriti bagi melaksanakan bidang kuasa tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur yang terpisah dari undang-undang yang menaungi semua pelaksanaan kuasa. Sudah tentu tiada siapa dapat mempertikaikan jika ia berlaku mengikut bidang tugas yang ditetapkan. Badan Kehakiman semestinya adalah cabang utama yang akan menjamin kesucian dan kemurnian undang-undang dan perlembagaan. Dalam aspek inilah Badan tersebut bertanggungjawab melaksanakan tugas tanpa dipengaruhi oleh emosi atau perasaan takut bagi memuaskan pihak-pihak tertentu atau mengikut tekanan oleh institusi lain, individu atau kuasa politik.

Saya hanya berharap titah ucapan Baginda akan diedarkan kepada semua lapisan rakyat dari penjawat awam, politikus, NGO’s dan semua rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan kebebasan yang aman, selamat dan sejahtera serta cukup celik kepada aspek sejarah yang membentuk negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment