1. Semenjak saya kecil lagi saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam dah hakim. Entah mengapa saya sentiasa melihat hidup dari perspektif keadilan dan ketidakadilan yang sering berlaku di serata dunia. Ini menjadikan saya begitu idealistik terhadap isu-isu kebenaran dan kebatilan. Manusia mesti disepanjang masa menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya percaya bahawa semua dari kita makhluk Ilahi akan sanggup menegakkannya dengan berani dan tegas. Semasa itu tidak ternampak bahawa keadilan dan kebenaran boleh juga diwarnai oleh kuasa, wang dan kekuatan. Apakah akan dapat diperjuangkan kebenaran dan keadilan jika ia hanya didokong oleh mereka yang lemah dan tertindas?
2. Manusia sepanjang hayatnya akan terus memperkatakan mengenai keadilan. Keadilan menjadi pendorong kuat bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan seseorang insan. Persoalannya apakah semata-mata menyebut tentang keadilan akan membolehkan kita menikmati keadilan. Apakah erti keadilan dari segi fakta dan realitinya? Apakah ukuran keadilan yang perlu diberikan objektif ataupun subjektif? Apakah keadilan berbeza maksudnya kerana wujudnya perbezaan agama, kaum ataupun budaya? Apakah keadilan juga akan ditafsirkan bersandarkan kepada status seseorang dalam masyarakat atau tidak mengenal bulu? Saya percaya persoalan-persoalan yang saya kemukakan ini akan diberi jawapan yang berbagai mengikut kefahaman dan persekitaran individu atau masyarakat masing-masing.
3. Sebenarnya intipati dan pengisian keadilan mestilah tidak memihak, bias atau prejudis terhadap pihak yang sedang diadili semata-mata berasaskan kepada status dan keadaan yang memerlukan kepada sesuatu keputusan. Apa yang patut dilakukan adalah untuk menentukan keputusan yang dibuat mencapai kesaksamaan bagi menegakkan kebenaran. Dalam soal ini sudah tentu akan ada jurang di antara penyataan yang berteraskan idealisma ataupun realisma. Oleh kerana adanya jurang tersebut maka pasti akan timbul perasaan tidak puas hati terhadap apa yang adil dan tidak.
4. Justru itu amat mustahak sekali untuk pengamal undang-undang dan juga mereka yang mengurusnya samada sebagai hakim atau penguatkuasa senantiasa berpegang kepada ‘maxim’ “Keadilan bukan sahaja perlu dilaksana tetapi juga dilihat terlaksana”. Bila memperkatakan hal itu saya teringat kepada tiga insiden semasa saya bertugas sebagai Majisteret/Presiden Mahkamah Sesyen pada tahun 1970- 1972. Ketika itu saya masih muda lagi berumur 26 tahun. Peguam-peguam kanan bila melihat seorang majistret baru dan muda mempunyai kecenderungan untuk ‘bully’ mereka kerana peguam-peguam tersebut menganggap mereka masih kurang arif dan mentah dalam selok belok undang-undang.
5. Saya masih ingat lagi insiden di mana keyakinan dan kredibiliti saya tercabar, semasa saya membicarakan satu kes sibil di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Seorang peguam kanan telah memaklumkan kepada Mahkamah tujuannya untuk mewakili dirinya sendiri, justeru memberhentikan perkhidmatan peguamnya yang sedia ada. Dalam berbuat demikian beliau telah menyerahkan Sijil Amalnya di atas asas untuk melayakkan dirinya menjadi peguam bagi dirinya sendiri. Saya memberitahu dengan cara berhemah yang beliau tidak perlu ada Sijil Amal untuk mewakili dirinya dan meminta beliau meneruskan sahaja kes bagi pihak dirinya sendiri. Dengan marah beliau bertanya pada saya “Bilakah undang-undang mengenainya berubah?” Saya mengatakan undang-undang tidak berubah, mungkin dia tidak menyedari. Sebagai seorang peguam kanan beliau berasa tersinggung seolah saya mengatakan beliau tidak memahami undang-undang.
6. Hasil daripada itu beliau menulis surat kepada ‘Hakim Besar’ H.T. Ong megadu tindakan dan keputusan saya terhadapnya. Hakim Besar H.T. Ong mengarahkan saya untuk menghantar fail kes untuk meneliti aduan yang dibuat terhadap saya. Di akhir semakan beliau Hakim H.T. Ong menulis surat kepada saya mengucapkan tahniah dan mengesahkan tindakan saya adalah sah dan tepat. Dalam surat itu juga beliau menasihatkan saya untuk teruskan ‘exercise justice without fear or favour’. Saya bersyukur dan tidak lupa pesanan beliau sehingga hari ini.
7. Satu lagi insiden yang terpahat dalam ingatan saya adalah semasa saya bertugas di Mahkamah Sesyen Temerloh pada tahun 1971. Pada hari itu saya sedang membicarakan kes-kes jenayah kecil yang berlaku di daerah tersebut. Salah seorang tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam bangun dan memohon izin untuk berjumpa saya di kamar. Saya merasa hairan mengapa seorang anak muda kampung yang di tuduh dengan kesalahan meminta berjumpa saya di kamar. Walaupun begitu saya bersetuju.
8. Dia kelihatan bimbang dan takut serta terpegun membisu. Lantas saya bertanya padanya apakah masalah yang hendak diceritakan pada saya? Dia pun dengan sedih memberitahu bahawa pegawai penyiasat polis telah mengasari dan menganiayanya. Dia memberitahu saya kesalahannya bukanlah kesalahan besar.
9. Dia boleh mengaku salah tapi tidak perlulah dalam mendapatkan butiran keterangan melakukan kezaliman keatasnya. Saya berasa tersentuh dengan apa yang dimaklumkan kepada saya oleh seorang anak kampung miskin tentang perilaku seorang pegawai polis. Saya mengucapkan terima kasih di atas keberaniannya memberitahu saya terhadap kejadian tersebut. Kemudiannya saya memanggil pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dan memberitahunya walaupun saya faham tugasnya untuk menyiasat dan memperolehi keterangan tetapi saya ingatkan pada beliau untuk tidak melanggari tatatertib dan prosedur dalam membuat penyiasatan. Saya juga memberitahunya saya tidak mahu mendengar lagi pesalah-pesalah membuat aduan salahlaku pegawai polis semasa membuat siasatan. Semasa perbicaraan orang yang dituduh telah mengaku salah. Saya menjatuhkan hukuman dengan memberi amaran untuk berkelakuan baik.
10. Satu lagi insiden yang saya ingat adalah sewaktu saya menjadi majistret Mahkamah Trafik di Kuala Lumpur. Saya membicarakan satu kes dimana peguambela yang mewakili orang yang dituduh adalah bekas guru sekolah saya. Saya mendapati kliennya bersalah dan menghukumnya. Pada ketika itu saya berasa khuatir yang mungkin dia beranggapan kliennya bersalah kerana saya ingin membalas apa yang pernah dia lakukan pada saya semasa dia menjadi guru saya. Justeru itu saya memanggilnya ke kamar serta memperkenalkan diri saya sebagai bekas anak muridnya. Beliau mengatakan yang dia tidak lupa pada saya. Walaubagaimanapun saya memesan padanya jika tidak berpuas hati untuk membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi. Tujuan saya mengambil langkah itu adalah bagi menentukan dia tidak merasa yang saya tidak adil didalam membuat penghakiman kes tersebut. Beliau mengaku berpuas hati dan mengatakan dia tiada masalah dengan keputusan yang telah saya buat.
11. Ketiga-ketiga kes ini saya ceritakan sebagai ilustrasi betapa pentingnya dalam pelaksanaan keadilan atau penguatkuasaan undang-undang kita menunjukkan sikap keadilan.
12. Dari segi prinsip dan falsafah keadilan memberi erti mentadbir atau mengurus keadilan dan sistemnya supaya sesuatu yang dilakukan adalah saksama dan bertimbang rasa kepada mereka yang mahu atau mencari keadilan. Begitu juga dalam sistem keadilan ia bermakna mereka yang mentadbir dan menguatkuasa undang-undang merasakan keadilan telah diberikan kepadanya, sekaligus berpuas hati mendapat pertimbangan yang rasional dan waras. Ia dirumus atau diambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan kepentingan tertentu selain dari berlaku adil.
13. Dari aspek prinsip dan falsafah juga keadilan sememangnya suci dan murni serta sejajar dengan perintah Allah S.A.W. untuk senantiasa berlaku adil kepada semua makhluk bila menghakimi sesuatu pertikaian. Namun dalam konteks manusia dan sistem yang dilaksanakan, kita tidak dapat elakkan dari dipengaruhi oleh elemen nilai yang dipegang oleh individu atau masyarakat itu. Dalam lain perkataan mereka yang menjadi pelaksana undang-undang mestilah memiliki sifat dan sikap yang adil dalam dirinya. Pengurusan keadilan semestinya selain dari berasaskan fakta dan kebenaran tidak memerhati kepada kedudukan mereka yang hendak diadili. Ini juga bermakna mereka mesti berani untuk menegakkan keadilan dalam apa keadaan sekalipun bagi mengelakkan kezaliman atau penindasan berlaku. Soal siapa orang itu tidak seharusnya mempengaruhi keputusan atau rumusan yang akan dibuat.
14. Apa yang jelas ialah jiwa dan pemikiran orang yang terlibat mentadbir serta mengurus keadilan mestilah semata-mata melihat kepada apa yang benar bagi memisahkan yang hak dan batil.
15. Isu yang penting sekali ialah hakim atau mereka yang menguatkuasakan undang-undang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang menafikan mereka yang menuntut diberikan keadilan. Hanya dengan cara ini sahajalah yang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa di atas asas mereka memiliki kuasa, lantaran boleh melakukan kezaliman kononnya dalam mencari keadilan. Dalam lain perkataan undang-undang yang di laksanakan hanya digunakan untuk merelisasikan keadilan. Bukan satu tindakan yang menganiayai mereka yang lemah atau untuk menundukkan musuh melalui penggunaan kuasa.
16. Ada masa kita akan mendengar rungutan yang undang-undang telah digunakan bagi mencapai tujuan atau matlamat tertentu meraih kebaikan atau keuntungan bagi diri sendiri walaupun ia bertentangan dengan prinsip keadilan. Oleh itu bila berbincang tentang keadilan ia banyak berteraskan pada individu yang mentadbir serta mengurus keadilan. Keadilan sepatutnya menjadi penyelamat dan pelindung masyarakat dan tidak di sebaliknya. Selagi ada sifat timbang rasa dan ihsan serta ketegasan dan keberanian harapan mereka yang menuntutnya akan dapat dipenuhi secara adil. Dengan itu juga akan timbullah kepercayaan dan keyakinan. Ini akan menggagalkan mana-mana pihak untuk melahirkan persepsi negatif terhadap tindakan dan sistem.
17. Namun demikian ada masanya keadilan menjadi subjektif kerana kebenaran dikaburi dengan kepalsuan. Dalam suasana sebegitu apa yang dipanggil keadilan akan diwarnai oleh kepentingan semata-mata tanpa mempedulikan yang hak dan batil.
18. Biarlah keadilan berjaya dengan meletakkan sesuatu di tempat yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment