Friday, June 26, 2009

Hubungan Malaysia / Singapura


Lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Singapura boleh disimpulkan sebagai berjaya. Dari lawatan tersebut lahirlah harapan tinggi yang ianya akan membentuk satu era baru yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara. Persoalan yang perlu direnungi bersama adalah apakah manfaat sebenar yang akan diperolehi untuk mencapai nilai tambah kepada hubungan dua hala.

Seperti mana biasa bila sahaja PM baru mengambil alih pimpinan negara akan timbullah apa yang dilihat sebagai kesungguhan bagi menjalin hubungan dua hala yang lebih mesra dari yang lalu. Oleh itu semasa dan selapas lawatan berbagai kenyataan dikeluarkan yang dipermukaannya amat menggalakkan. Matlamat yang ingin dicapai ialah untuk melahirkan satu persikitaran yang boleh membantu melahirkan hubungan dua hala yang lebih sihat serta penuh persefahaman. Ianya juga merupakan satu lagi penegasan supaya tidak memandang ke belakang atau menjadikan masalah sebagai penghalang yang boleh membelenggu niat baik bagi menjalin hubungan yang positf dan membina. Justeru itu cita-cita dan aspirasi pemimpin kedua-dua negara adalah bagi mengatasi legasi sejarah yang sentiasa menghantui pembentukan hubungan baik.

Sememangnya rakyat Malaysia berasa bangga jika sesuatu yang bermenafaat dapat dihasilkan dari lawatan lawatan tersebut. Mungkin dalam pengamatan pemerhati hubungan Malaysia/Singapura dan rakyat, dibawah kepimpinan PM Najib akan tercipta satu era baru bagi mengukuhkan hubungan yang sedia ada. Walaupun dapat dilihat penyataan dan harapan membina dan positif yang dinyatakan oleh kedua-dua pihak bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi ia tetap menjadi satu harapan. Lagipula ini lazimnya berlaku apabila seorang pemimpin baru mengambil alih pucuk pimpinan negara.

Apa yang ketara umumnya hubungan diantara Malaysia/Singapura senentiasa menghadapi pasang surut yang berterusan. Walaupun kita patut optimis namun tidak dapat dielakkan kekhuatiran ia boleh berlaku lagi. Ianya kadangkala di sebabkan dari apa yang tersiar diruang-ruang akhbar atau media eleltronik yang secara sedar atau tidak menyentuh sensitiviti-sensitviti tertentu. Memanglah ada harapan tinggi dan niat baik untuk mengukuhkan hubungan dengan negara jiran terdekat Malaysia iaitu Singapura. Walaupun begitu ianya tidak boleh terpisah dan akan dipengaruhi oleh pengalaman dan sejarah yang dilalui oleh kedua-dua negara. Dalam lain perkataan ianya bukanlah satu perkara mudah untuk dicapai. Ia memerlukan kepada perubahan sikap dan kebijaksanaan.

Tidak dapat dinafikan dari sudut hubungan ekonomi, sosio budaya serta hubungan rakyat bersama rakyat memanglah berkait rapat dan sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah. Persoalan yang sering dibangkitkan adalah mengapapula hubungan politik dan diplomasi tidak dapat diurus dan ditangani dengan cara dan iklim yang sama? Jawapan pendek yang boleh diberikan ialah, hubungan politik dan diplomasi dipengaruhi dinamiknya yang tersendiri dan berbeza serta lebih kompleks. Justeru kedua-dua negara terus berhadapan dengan salah faham dan sengketa. Bila membincangkan misalnya mengenai prisip menang-menang, ia tidak semestinya difahami oleh kedua-dua negara dalam konteks yang sama. Seharusnya menang-menang ialah satu pendekatan bagi mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak. Namun di Malaysia prinsip menang-menang Malaysia/Singapura ada masanya dilihat tidak mencerminkan menafaat yang sama rata atau seimbang. Oleh kerana itu dalam rundingan-rundingan mengenai pelbagai isu diantara Malaysia/Singapura rakyat di negara ini senentiasa beranggapan Malaysia lemah dan Singapura sahaja yang menang. Persepsi ini akan terus menjadi hambatan yang merumitkan yang memerlukan rumusan.

Dari perspektif masyarakat umum Malaysia, hubungan dan rundingan dengan Singapura tidak memperlihatkan sikap kejiranan dan kemesraan. Singapura sering dilihat bersikap ‘Business Like’ dan “legalistic” dalam menaggani isu dua hala, serta tidak langsung mengambil kira soal kemesraan, kejiranan dan sentimen. Di sebaliknya Malaysia pula dianggap oleh rakyat negara ini terlalu mengambil kira perasaan atau sentimen pihak lain. Lantas dilihat mengunakannya sebagai salah satu asas utama bila mencari penyelesaian kepada apa jua konflik atau ketetapan yang hendak dicapai.

Tidak dapat dinafikan, hubungan Malaysia/Singapura adalah bertaut dan saling kebergantunggan. Apa yang selalu menimbulkan keresahan dan ada kalanya kemarahan disebelah sini adalah apa yang dilihat sebagai kecenderunggan Singapura mencampuri soal politik atau kepimpinan negara lain melalui komen komenya yang pedas, sinis dan memperlihatkan Singapuralah yang menjadi negara contoh di rantau ini.

Baru-baru ini Menteri Mentor Singapura telah membuat lawatan ke Malaysia untuk menyusuli lawatan PM Najib ke Singapura. Lawatan 8 hari ini telah mencipta pelbagai sejarah dan pandangan serta reaksi. Ianya bukan kerana lawatan tersebut tetapi pengisian substantifnya. Pada persepsi rakyat di negara ini status yang diberikan kepada beliau setaraf dengan taraf yang diberikan kepada lawatan seorang ketua negara. Sayugia diingat bahawa lawatan ini dilakukan oleh seorang Menteri Mentor Singapura sebuah negara berdaulat, yang juga melawat negara jiran yang berdaulat. Pada pandangan umum beliau telah menerima layanan yang tidak pernah diberikan kepada pemimpin-pemimpin negara asing yang lain. Pengisian substantif juga melalui program-program yang diaturkan cukup anih dan istimewa. Beliau berpeluang bertemu dengan semua pemimpin politik dan kerajaan dinegara ini termasuk beberapa Baginda Raja-Raja Melayu. Apa yang juga menarik ialah liputan meluas yang diberi kepada lawatan tersebut serta komen-komen beliau terhadap pelbagai isu di Semenanjung Malaysia. Pemerhati politik dan diplomasi mengatakan ianya menimbulkan pelbagai persoalan dan polimik. Jika dihalusi dan diperhatikan secara mendalam banyak pandangan dan komen-komen beliau menyentuh sensiviti politik kerajaan serta rakyat. Mungkin hubungan kita sudah menjadi cukup matang yang membolehkan seorang pemimpin negara luar membuat kenyataan-kenyataan sedemikian. Justeru kematangan ini mungkin dimasa akan datang akan membolehkan pemimpin Malaysia pula membuat lawatan yang sama ke Singapura. Saya percaya berasaskan kepada resiprositi mereka akan diberikan layanan istimewa. Pada pandangan saya adalah positif dan membina untuk kita memandang kehadapan terhadap hubungan Malaysia/Singapura. Namun demikian biarlah ianya berlaku dalam konteks memahami latar belakang sejarah negara masing-masing. Saya lebih berminat melihat terjemahan hubungan baik ini berlaku bila mana isu-isu melibatkan persoalan-persoalan harga air, POA, CIQ dan Jambatan Bengkok dirumuskan untuk selama-lamanya supaya hubungan diplomatik yang holistik dan bermakna akan tercapai. Jika perkara sedemikian berlaku akan tercetuslah satu wajah baru dalam hubungan diantara Malaysia/Singapura.

Saya percaya Malaysia perlu terus berusaha bagi melahirkan hubungan dua hala yang ikhlas dan bermaruah diantara Malaysia / Singapura. Banyak keuntungan yang dapat diraih daripada hubungan yang positif dan membina.

Monday, June 22, 2009

Sejarah Politik saya - Syed Hamid Albar


Sejarah politik saya melalui bermacam-macam liku serta onak dan duri yang membina pengetahuan dan pengalaman saya. Sebenarnya ia membolehkan saya untuk menginsafi diri saya. Setelah menjadi seorang pemimpin pelajar di berbagai-bagai jawatan di dalam dan di luar negara, saya menjadi ahli UMNO di bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1971. Saya masuk dan mempelajari tending terajang politik sebagai ahli biasa, jawatankuasa cawangan, jawatankuasa bahagian sehinggalah saya terpilih sebagai Ketua Bahagian pada tahun 1983.

Di setiap peringkat saya tidak pernah diberi laluan mudah. Saya naik tangga setapak demi setapak. Walaupun ayahanda saya adalah seorang pemimpin terkenal saya tidak dapat apa pun secara percuma. Saya bukan ahli politik Helikopter. Pemimpin Johor iaitu Dato’ Shahrir dan Dato’ Musa (pada ketika itu) menawarkan untuk saya aktif di negeri sendiri. Saya menolaknya di atas alasan biar saya belajar selok belok politik Wilayah. Pemimpin Johor yang mengajak saya aktif di Johor adalah Dato’ Shahrir. Bila saya dingin dengan pelawaan Dato’ Shahrir, dia meminta Dato’ Musa panggil dan bercakap dengan saya. Saya juga menolak pelawaan itu. Bukanlah niat saya untuk sombong. Bahagian yang saya melibatkan diri adalah Kuala Lumpur Bandar, kemudiannya ditukar nama kepada Bukit Bintang. Ini bermakna saya tidak menceburi politik kerana saya hendak menjadi wakil rakyat. Parlimen ini adalah kawasan bukan Melayu. Ianya boleh dikatakan di sepanjang masa diwakili oleh DAP. Ayahanda saya walaupun sering membincangkan politik bila kami ada peluang tetapi beliau tidak pernah mempelawa saya untuk aktif dalam politik dikawasannya ataupun menyuruh saya menyertai UMNO di Kota Tinggi. Dia membiarkan saya mencari hala tuju sendiri. Apabila beliau meninggal dunia pada 14hb Januari 1977 walaupun ada suara yang menyuruh salah seorang anakanda beliau menggantikannya di Parlimen Kota Tinggi, kami ahli keluarga tidak berminat kerana kami berpendapat tiada hak warisan atau secara semulajadi untuk mengambil alih tempatnya.

Setelah Sembilan tahun ayahanda saya meninggal dunia barulah pada tahun 1986 muncul tawaran untuk saya menjadi calon pilihanraya pada pilihanraya umum ke-7. Setelah mendapat pengesahan dari pucuk pimpinan tertinggi parti diperingkat pusat dan negeri saya pasti akan menjadi Ahli Parlimen dikawasan Sg. Benut(satu kawasan baru). Boss saya Tan Sri Basir Ismail di BBMB pun telah dimaklumkan. Beliau memanggil saya untuk mengesahkan yang saya akan bertanding. Bila saya mengesahkannya, lantas beliau meminta saya melepaskan jawatan di Bank dengan serta merta. Walaupun dari segi teknikalnya tiada keperluan untuk berbuat demikian tetapi saya akur kepada permintaannya dan memberi notis 24 jam meletakkan jawatan. Saya meninggalkan jawatan tinggi dengan pendapatan yang lumayan di BBMB. Pada masa itu tidak ada sebab lagi saya meragui tawaran menjadi calon Parlimen. Saya sendiri ditunjuk senarai calon-calon Johor oleh Dato Ajib Ahmad yang telah ditandatangani oleh Dr. Mahathir.

Entah apa jadi disaat akhir saya digugurkan. Saya terperanjat, keluarga juga turut serta terperanjat, kawan-kawan turut terperanjat. Bagaimana disebuah negara merdeka yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan perkara sebegini boleh terjadi. Tetapi ia terjadi. Saya berasa bingung dan tidak mahu mempercayainya. Walau bagaimanapun setelah dimaklumkan sekali lagi oleh MB semasa hari penyerahan watikah calon, saya terpaksa menerima reality tersebut. Saya keseluruhan keluarga serta kawan-kawan berasa sedih. Dato’ Shahrir tidak percaya ia boleh berlaku dan memberikan simpatinya terhadap apa yang terjadi pada saya.

Saya, anak Syed Jaafar Albar yang mengorban tenaga dan nyawanya untuk berbakti kepada parti telah akhirnya dikorbankan bukan kerana saya melakukan kesalahan tetapi oleh tangan yang tidak terlihat oleh saya.

Baru saya tersedar sebenarnya nasi yang disuap mulut pun boleh ditepis orang untuk bertaburan dibumi. Namun banyak hikmah disebalik ini semua. “Susah sungguh laluan saya”, seolah saya merungut. Itulah permulaan liku-liku politik yang mengajar saya tidak percaya dan berharapkan sesuatu dari manusia melainkan ia sudah terbukti kebenarannya dan betulnya. Dengan semangat yang diberikan oleh isteri saya Aziah dan ibu saya Sh. Fatimah Albar, saya mengharungi arus dengan penuh tenang dan tabah. Orang yang mengambil tempat saya adalah Taufik Tun Dr. Ismail. Bagi memberi tempat kepada anak seorang pejuang politik dan pemimpin negara, saya diketepikan kerana saya tidak mempunyai pelindung politik besar. Sebenarnya kedua-dua kami adalah muka baru di kawasan baru. Saya di Sg. Benut dan Taufik di Parit Sulong. Tempat yang mula-mula ditawarkan kepada Taufik-Parit Sulong diberikan semula kepada Allahyarhamah Sharifah Dora setelah beliau merayu.

Ini adalah salah satu pengalaman pahit bagi saya tetapi saya tidak merajuk, namun terus berkempen dari hari penamaan calon sehinggalah hari mengundi bagi kawan saya Taufik, seolah saya yang bertanding. Dia pun menang dan ditabalkan sebagai Ahli Parlimen Sg. Benut.

Ada kalanya cerita dan laluan saya seolah seperti ditayang semula pahit maung pengalaman yang dilalui oleh ayahanda saya.

Pada satu Perhimpunan Agong UMNO, Dr. Mahathir secara terbuka menegaskan di Johor, beliau tidak terlibat menggugurkan nama mana-mana calon di UMNO Johor disaat akhir. Siapa yang perlu saya salahkan. Tiada siapa. Allah yang maha mengetahui. Ini semua adalah takdir dan penentuan Allah. Ketika itu saya sudah berhenti dari Bank Bumiputera maka tidak tepatlah untuk saya berpatah balik meminta jawatan lama saya. Saya perlu mencari kerjaya baru. Pada umur 42 tahun saya memulakan hidup sebagai Peguambela dan Peguamcara dengan firma guaman yang dimiliki oleh adik saya- Syed Zaid dan rakan-rakannya.

Alhamdulillah hidup saya pulih dan bertambah baik walaupun diperingkat awal saya berhadapan dengan berbagai kesulitan kewangan, lebih-lebih lagi hendak melunaskan hutang rumah saya. Saya menebus ASN milik isteri dan saya bagi membayar balik hutang. Dalam UMNO, saya terus bergerak diperingkat akar umbi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selepas insiden itu, saya tidak terfikir saya akan berpeluang untuk bertanding dalam pilihanraya. Saya bergerak aktif dengan aktiviti NGO dan Dewan Perniagaan yang amat memuaskan.

Pada tahun 1987-1988, UMNO berhadapan dengan krisis apabila ia diharamkan. Saya taat dan terus setia kepada parti. Tidak pernah menderhaka kepada parti. Namun terus mendukung cita-cita untuk membina semula organisasi siasah serta parti ulong dan utama bagi umat Islam dan orang Melayu.

Berkat kesabaran saya kepada ketentuan Allah pada tahun 1990, Dr. Mahathir ingat dan tidak lupa pada saya. Beliau sendiri memanggil saya untuk menawarkan saya bertanding di kawasan Kota Tinggi-kawasan lama ayahanda saya yang pada masa itu diwakili oleh Dato’ Musa Hitam sebagai Ahli Parlimen. Beliau telah mengumumkan tidak berhajat untuk bertanding lagi. Saya menerima tawaran Dr. Mahathir yang juga memaklumkan pada saya ianya adalah untuk menjadi Wakil Rakyat dan bukan untuk diberikan saya jawatan dalam Pentadbiran Kerajaan jika saya menang kelak. Saya bersetuju dan memberitahunya saya berterima kasih kerana peluang diberikan sudah mencukupi. Saya juga bersyukur pada Allah.

Pada PRU ke-8 saya pun bertanding di kawasan Parlimen Kota Tinggi. Berkat usaha ahli-ahli parti membantu saya mendapat peratusan undi tertinggi dalam konteks “popular vote”. Tanpa merujuk pada saya, beliau melantik saya sebagai Menteri pada tahun 1990 dan akhirnya saya terus memegang jawatan sehingga April 2009 apabila Dato’ Sri Najib mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan. Saya cukup ingat dan menghargai jasa Dr. Mahathir kepada saya walaupun sering diingatkan oleh beliau yang saya ini bukanlah penyokongnya. Dia telah memberi saya tempat dan kedudukan yang tidak saya mimpi dan sangkakan. Hanya Allah akan membalas jasanya.

Secara berjenaka sebelum upacara mengangkat sumpah di Istana Negara beliau memberitahu saya “you patut terima kasih kerana ayahanda you hanya menjadi Timbalan Menteri. You jadi Menteri Penuh”. Saya ucapkan Terima Kasih padanya. Beliau terus sambut “You kena belanja saya”. Saya rasa selesa dengan sikapnya yang mesra.

Cukup istimewa seorang baru ketika umur muda iaitu 46 tahun berpeluang berkhidmat selama 19 tahun berterusan sebagai Menteri. Diberikan kepercayaan, kedudukan dan pangkat, dimana senantiasa didampingi dengan sambutan dan dikawal rapi. Ini semua satu anugerah yang amat tinggi. Sudah tentu dikawasan Parlimen saya rakyat cukup gembira yang wakil mereka menjadi Menteri dalam kerajaan. Seperti lazimnya saya memberikan dedikasi, komitmen dan tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai seorang Menteri. Cuti dan waktu rehat tidak langsung saya pedulikan. Yang penting buat kerja sepanjang masa. Termasuk pada hujung minggu. Sebenarnya saya seorang professional dan teknokrat dalam melaksanakan tugas. Soal politik tidak begitu saya beri perhatian. Walau saya rapat diperingkat akar umbi setempat dan dengan para pengundi. Namun ada juga kedudukan saya tidak disenangi dikalangan sesetengah pimpinan UMNO dibeberapa peringkat. Walaupun saya selesa dengan rakyat dan orang biasa, saya sering kaku dengan pimpinan tertentu dalam parti diperingkat Bahagian, Negeri dan Persekutuan.

Kerana kurang peka terhadap perkara-perkara yang saya anggap remeh-temeh, akhirnya saya menjadi mangsa fitnah dan hasad dengki. Sekali lagi saya terjebak dengan campur tangan yang tidak saya dugakan.

Kini saya tidak sibuk lagi. Saya pun sudah hilang segala-galanya keistimewaan, ada juga kawan-kawan yang takut mahu kelihatan bersama saya. Saya kena menyesuaikan diri bertugas sebagai Ahli Parlimen biasa. Sekarang saya tidak dikawal dan tiada orang yang mengatur apa yang patut saya buat dan apa yang tidak patut. Ramai yang bersimpati dengan saya dan tidak percaya yang saya tidak berada dalam Barisan Kabinet baru. Tetapi ada segelintir kecil yang berasa gembira dengan menyatakan yang usaha mereka supaya saya tidak dilantik semula telah berjaya. Kononnya mereka bertanggungjawab menjatuhkan saya. Ini harga politik, saya terima semua ini. Saya tahu ada diantara kita berasa marah dan kecewa apabila kita tidak berjawatan. Namun bagi saya ini adalah perkara lumrah dalam arena politik. Saya terima dengan baik dan merasakan hikmahnya kerana saya dapat memberikan masa lebih kepada keluarga saya dalam saki baki hidup.

Saya masih ingat lagi pada 1 April 2009, Tun Abdullah Badawi mempengerusikan Kabinet terakhirnya. Diantara perbincangan semasa mesyuarat tersebut adalah kedudukan Ahli Kabinet setelah Abdullah Badawi berhenti. Dato’ Shahrir sudah pun membuat keputusan meletakkan jawatan. Pada saya dari perspektif prinsip apabila PM berhenti ahli kabinetnya sememangnya patut turut serta. Ini sejajar dengan amalan di UK. Saya bersetuju kita patut mengikut amalan ini kerana seorang Menteri Kabinet adalah Menteri PM. Setelah berbincang dengan panjang lebar Kabinet bersetuju semua Menteri berhenti berkuatkuasa 8 April 2009 untuk membolehkan PM baru melantik siapa yang beliau kehendaki. Dalam senarai baru Kabinet saya tidak tersenarai.

Memang pada umur 65 tahun untuk membuat pengubah suaian dalam susuntara hidup bukanlah perkara mudah.

Tetapi saya menerima reality ini semua. Perlahan-lahan saya mula meneroka apakah yang perlu saya lakukan bagi meneruskan hidup. Baru saya sedar sekarang dalam politik seseorang patut buat persiapan untuk bersara. Semasa saya memilih kerjaya politik saya tidak membekalkan diri bila bersara. Walau bagaimanapun Ilahi tidak pernah meninggalkan saya keseorangan atau hampa. Saya bersyukur kerana saya taat pada parti, tidak menderhaka dan tidak pernah menganiayanya sebagai meneruskan kesinambungan pusaka yang ditinggalkan ayahanda saya. Pentingnya kita berkhidmat untuk rakyat dan parti adalah hanya alat bagi mencapai matlamat tersebut.

Syed Hamid Albar
20.35 malam
17 Jun 2009


Wednesday, June 17, 2009

LAUT SULAWESI (AMBALAT)


Hubungan dua hala Malaysia / Indonesia adalah salah satu tunggak penting dasar luar Malaysia dalam menyumbangkan kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan rantau ASEAN. Malaysia boleh dikatakan sering melihat hubungannya dengan Indonesia sebagai sesuatu yang istimewa melalui perspektif geografi, sejarah dan budaya. Justeru itu ianya senantiasa dipupuk dan dibelai secara berhemah dalam konteks negara jiran yang berdaulat serta berkongsi sempadan darat, maritim dan ruang udara.

Tidak dapat di elakkan hubungan sebegitu rapat dari masa ke semasa akan berdepan dengan cabaran-cabaran samaada yang diduga ataupun tidak. Sayugia di ingat masalah menjadi tegang dan meruncing sehingga membawa konflik serta kesan negatif jika ianya dibiarkan bergerak dengan sendirinya. Pada masa lampau dirasai ada rangkaian individu atau kumpulan di peringkat pemerintah atau diluar yang ada jalinan mesra tertentu, yang sering menjernihkan suasana yang keruh sekaligus berupaya mencari penyelesaian bagi mengelakkan berterusan menjejaskan hubungan. Ada kalanya dirasai berbangkit salah faham kerana sindrom Indonesia yang melihat Malaysia dalam kerangka adik kecil. Oleh kerana kita dianggap sedemikian maka mereka mudah tersinggung dengan setiap tindakan kita yang dianggap tidak sepatutnya berlaku. Mereka mahukan Malaysia memiliki sikap yang terbuka bagi membantu Indonesia di sepanjang masa dalam pelbagai aspek.

Sebab itulah hubungan ini sering dilanda dengan perasaan sensitif luarbiasa. Apatah lagi apabila media Indonesia yang sengaja meniup dan membentuk pra-sangka dan perasaan marah terhadap Malaysia. Pada saya perkara ini tidak harus dipandang ringan.

Kebelakangan ini tiga perkara yang menghantui hubungan Malaysia / Indonesia yang akan berbangkit dari masa ke semasa ialah:

  1. Isu Ligitan dan Sipadan. Walaupun telah dirumuskan penyelesaian terhadap kedaulatan melalui proses undang-undang di ICJ (International Court of Justice) pada tahun 2002 tetapi sikap tidak puas hati masih meluap dikalangan rakyat Indonesia. Ia tidak menyelesaikan masalah perasaan dan marah mereka. Walaupun sebenarnya pertikaian tersebut dikemukakan ke ICJ setelah kedua-dua pihak secara bersama menyetujuinya.

  2. Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Pada masa ini kita berdepan dengan persoalan Pekerja Asing Indonesia yang datang secara sah ataupun tidak sah (PATI). Walaupun Malaysia membuka peluang pekerjaan dan menjadi salah satu sumber aliran wang masuk ke Indonesia, ia tidak juga menjadikan Malaysia disukai atau diminati oleh pihak media atau ahli-ahli parti politik di Indonesia. Ia juga menjadi bahan publisiti negatif apabila ada kes-kes penderaan melibatkan banyak penganiayaan terhadap rakyatnya. Ianya dihebohkan secara meluas sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia. Sedangkan perkara itu bukanlah berpunca dari tindakan kerajaan ataupun majoriti majikan Malaysia.

  3. Dengan kedaulatan Ligitan dan Sipadan memihak kepada Malaysia, soal persempadanan darat dan maritim perlu diselesaikan lebih lagi berkenaan Laut Sulawesi kerana konsesi minyak yang diberikan kepada syarikat minyak antarabangsa. Apatah lagi pada dewasa ini masih ada soal tuntutan bertindih dan persempadanan yang masih belum selesai. Mereka menganggap bahawa Malaysia mahu menguasai kekayaan khazanah maritim di laut Sulawesi. Rundingan untuk menyelesaikan masalah sempadan maritim, planta benua dan zon eksklusif ekonomi diantara Malaysia dan Indonesia akan mengambil masa yang lama untuk mencapai persefahaman kedua-dua Negara kerana isu-isunya rumit, kompleks dan melibatkan banyak soal-soal teknikal dari segi tafsiran undang-undang laut antarabangsa.

Semasa perkara-perkara ini berada dalam proses rundingan, kawasan laut Sulawesi yang berkait dengan tuntutan bertindih masih dalam pertikaian, yang memberi makna hak kedaulatan dituntut oleh kedua-kedua negara. Oleh kerana itu bagi mengelakkan pertembungan militari semasa menjalankan tugas rondaan untuk memelihara keselamatan laluan laut di kawasan tersebut, Angkatan Tentera kedua-dua negara telah mensepakati satu tatacara pengawasan yang dapat mengelakkan pertembungan.

Selagi ada tuntutan bertindih, kedua-dua negara memiliki hak bagi mengawal “status quo” untuk memelihara laluan maritim daripada apa jua bentuk ancaman. Sebab itu telah dipersetujui bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, pasukan tentera mengadakan prosedur dalam menjaga keselamatan dikawasan laut Sulawesi dimana pertikaian belum dirumuskan lagi.

Malaysia sangat memahami bahawa mengapi-apikan isu pekerja dan tuntutan bertindih tidak membantu dalam melahirkan suasana dan persekitaran yang kondusif dalam memantapkan serta mengukuhkan hubungan dua hala atau menyumbang kearah keamanan dan keselamatan dirantau ini.

Adalah lebih bijak bahawa perkara ini tidak dihangatkan sebagai isu politik. Biarlah ianya dipastikan dalam perspektif keamanan dan kedamaian. Mengawas dan menjaga keselamatan laut Sulawesi dimasa yang sama isu tuntutan bertindih, persempadanan dan hak-hak di bawah undang-undang Laut Antarabangsa seharusnya diusahakan oleh kumpulan pakar dari kedua-dua buah negara untuk terus berunding.

Dewasa ini media di Indonesia sememangnya memainkan isu ini. Seawalnya semasa soal konsesi minyak kepada syarikat petroleum antarabangsa. Pemimpin Malaysia hendaklah berhati-hati dalam membuat kenyataan. Hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia terlalu berharga untuk digadaikan kepada sensasi keterlaluan. Semasa perkara ini belum mencapai penyelesaian semua pihak disarankan supaya tidak membuat kenyataan ataupun tindakan provokasi yang boleh mencetus keadaan yang tidak diingini. Perkara ini jika tidak dapat diselesaikan di peringkat pegawai ia memerlukan campur tangan pemimpin tertinggi kedua-dua buah negara.

Friday, June 12, 2009

KERAJAAN PERPADUAN PAS (2)


Isu perpaduan yang dihebohkan oleh PAS semasa Muktamarnya hebat dibahaskan. Pada saya isu bermusim ini tidak sepatutnya disambut oleh UMNO atau BN. PAS adalah sebahagian dari Pakatan Rakyat. Kalau sungguh-sungguh mereka berminat pendekatan mereka tidak sepatutnya sebegitu. Lagipun perkara itu dilemparkan begitu sahaja dan diselubungi dengan pelbagai kekaburan.

Tidak ada apa-apa yang diperjelaskan dan menimbulkan kekecohan dikalangan mereka sendiri. Sekarang pula pucuk pimpinan PAS sudah membuat macam-macam kenyataan yang menambah kecelaruan. Ada dikalangan mereka menyatakan perkara tersebut tidak perlu ditimbulkan lagi. Ada pula yang mengatakan perbincangan mengenainya perlu diteruskan. Sedangkan sekutu mereka melompat-lompat marah dan juga mempersoalkan motif kepimpinan PASberbuat demikian. Mungkin PAS terperangkap dengan permainan politiknya sendiri .Lim Kit Siang dari DAP menegaskan Pakatan Rakyat berdepan dengan krisis keyakinan. Yang peliknya, macam mana PAS boleh tidur sebantal dengan DAP dan PKR?

UMNO tak payah terlibat dengan polemik PAS dan Pakatan Rakyat. Ini satu lagi contoh ketidakjujuran dan ketidakikhlasan PAS. Soal perpaduan ummah UMNO memang berminat. Namun cara PAS kemukakannya menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Perpaduan Melayu dan umat Islam adalah pra-syarat utama untuk mencari kekuatan. Umat kita sedang terancam kerana perpecahan.

Kita tidak mahu menyisih atau meminggirkan mana-mana puak atau kaum di Negara ini. Namun kerjasama yang bermakna di kalangan umat Islam bergantung kepada perpaduan ummah.

Rumusan-rumusan yang dibuat di Muktamar PAS yang baru berakhir menunjukkan kecenderongan ahli-ahli PAS untuk memperlihatkan seolah partinya pejuang umat Islam dan Melayu. Sebenarnya tujuan utama PAS adalah untuk meraih sokongan dan simpati pengundi.

Pada masa ini sememangnya umat Islam tercabar dan tertekan. Sudah tentu ada keperluan untuk menyatupadukan umat Islam di peringkat domestik, rantau dan juga antarabangsa. Namun demikian ianya tidak boleh dilaksanakan tanpa kejujuran atau hanya secara bermusim. Perkara ini hendaklah dilakukan secara berterusan serta bersungguh-sungguh bagi mengangkat maruah dan martabat umat Islam yang berdepan dengan pelbagai cabaran baru.

Marilah kita bersatu dan berpadu untuk mengatasi tekanan dan kehinaan yang amat kuat yang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia. Walaupun tidak berada bersama-sama dalam satu kerajaan, jika PAS benar-benar mahu menanggani isu perpaduan umat kita tidak perlu berada dalam satu kerajaan. Kita boleh bekerjasama untuk kepentingan ummah tanpa membawa soal politik kepartian.

Tuesday, June 9, 2009

KERAJAAN PERPADUAN PAS


Muktamar PAS yang berlangsung pada 5-7 Jun yang lepas mencapai kata sepakat untuk mengambil initiatif bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan atas alasan untuk menyelesaikan masalah dalaman Negara secara menyeluruh.

Penyataan ini sangat menarik kerana PAS dengan sendirinya menyatakan yang masalah dalaman Negara ini berpunca dari UMNO atau BN. Hanya PAS dan sekutunya yang mampu dan dapat membetulkan keadaan ini. Pada saya Initiatif ini bukanlah untuk menyelesaikan masalah malahan ia lebih bermotifkan tujuan PAS untuk memaparkan yang ia adalah sebuah parti Nasional yang utama di Negara kita. Kini PAS telahpun semasa muktamanya dan dalam perbahasan menunjukkan yang ianya adalah sebuah parti siasah yang memperjuangkan Islam dan kepentingan Melayu. Ia tidak kuatir untuk berhadapan dengan parti-parti sekutunya bagi menjelaskan penjelasannya.

Justeru itu UMNO bukanlah dinampakkan seolah bukan lagi parti yang mewakili umat Islam atau Melayu. Dengan itu PAS Berjaya mempamerkan dirinya sebagai sebuah parti yang matang tegas dan berani serta berwibawa mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu.

UMNO seharusnya peka terhadap persepsi yang cuba dan hendak dilahirkan PAS terhadapnya. Oleh itu jangan cepat menyambut tanpa menimbang dan menghalusi syor ini dengan berhati-hati, bagi menilai sejauh mana kebenaran dan keikhlasan PAS mahu mewujudkan sebuah kerajaan Perpaduan. Pada dasarnya apa yang jelas PASlah yang mengambil initiatif dan jika berlaku apa-apa kegagalan UMNO akan menjadi mangsa dan dipersalahkan.

Berwaspadalah sebelum berkata-kata.

Friday, June 5, 2009

Euphoria For Peace between the US and Muslim World

Naturally Obama's speech at Cairo University created much euphoria and a sense of excitement at the possibilities of forging new relationships. The need to build a bridge between the Muslim world and the US was well received, particularly by the Muslims. The most important consideration, however, would be how Obama will translate the good intentions to that of a constructive, workable relationship and cooperation based on respect, justice and goodwill. The bottom line is whether he has the political will to ensure the contentious issues that anger and infuriate the Arabs and the Muslim world can be overcome. The expectation from most, if not all Muslim quarters, is to see a balanced treatment on issues affecting the Muslim world and the Muslims, especially the establishment of a Palestinian state.

Now that Obama has shown that he is willing to reach out to the Muslims, the next phase would be to bridge the gap between the two sides - the Arabs and the Israelis. There should be a comprehensive political solution to resolve these conflicts. We await eagerly the US' steps in taking the lead and demonstrating its seriousness and sincerity in terms of what it promises to achieve - for the betterment of all.

We put a lot of faith that this is indeed a genuine desire and new call to achieve justice and peace between the two worlds. There is much substance from Obama's speech which ought to be translated into actions and Insha'Allah it will not be another rhetorical speech of a US President. It's time the world ceases to label or associate all forms of extremism and acts of violence to Islam and the Muslims. We want to believe that "America is not the crude stereotype of a self-interested empire " but America must prove and show it has political will and resolute to carry the same message to its close ally, Israel and put an end to the Palestinian/Israeli and Arab/Israeli conflicts.

Monday, June 1, 2009

Forum Umno Menempuh arus

Terima kasih kerana mengundang saya untuk berbincang dengan rakan-rakan lain sebagai ahli panel malam ini. Saya ingin memulakannya dengan membuat penyataan iatu seharusnya kita lebih bijaksana lepas mengalami sesuatu kejadian ataupun melalui sesuatu pengalaman.


1. FAKTOR KEMOROSOTAN UMNO DIPRU 12
2. MACAM MANA KEPIMPINAN SEKARANG HENDAK MENANGANI
PRU 13




Ada dua faktor utama:

1. Faktor Dalaman
  • Timing – tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihanraya umum awal kerana sudah pun ada majority yang tinggi.
  • Persediaan tidak rapi.
  • Perpaduan dalam UMNO tidak mantap. Begitu jugak dikalangan komponen BARISAN NASIONAL.
  • Tidak ada kerjasama sebenar diantara ahli-ahli komponen BARISAN NASIONAL.
  • Tidak sensitif terhadap kehendak rakyat
  • Kepimpinan lemah dan longgar
  • Kita tidak tumpu pada pilihanraya, kita lebih bertumpu kepada pilihan parti.
  • Keterbukaan yang tidak terkawal atau tidak terurus
  • Lebih cenderung kepada menembak kaki sendiri
  • Tidak sedar pada selera pengundi.
  • Tidak dapat tawan hati penggundi muda, tidak ada persediaan untuk memahami aspirasi golongan muda, ada jurang diantara pemimpin muda UMNO dan penggundi muda.
  • Peranan media samaada media utama atau alternatif.
  • Peperangan persepsi.
  • Sindrom penafian.
  • Berada dalam zon selesa/tidak melihat kepada ancaman lawan.
  • Terlalu yakin yang tidak mungkin BARISAN NASIONAL kalah.
2. Faktor Luaran

  • Persepsi negatif
  • Pembangkang dilihat sebagai lebih bersatu
  • Rancangan teratur dan berkesan oleh pembangkang.
  • Berhasil untuk menguasai hati dan pemikiran rakyat.
  • Parti komponen BARISAN tidak langsung dapat menguasai penggundi bukan Melayu, semuanya terlalu bergantung pada UMNO.
  • Parti komponen tidak dapat mempertahankan dasar-dasar dan pendekatan BARISAN NASIONAL.
  • Komponen BN melahirkan persepsi seolah mereka hanya turut serta dalam keputusan yang telah dibuat oleh UMNO.
  • Pembangkang Berjaya memaparkan mereka pembela rakyat.

HAKIKAT PERUBAHAN SEBENAR

Malaysia masih lagi berada dalam persekitaran menghidapi selsema politik sehinggakan segala tajuk menjadi bahan lemparan tohmahan dan tuduhan terhadap segala usaha yang dilaksanakan oleh pemerintah. Apa jua yang dibuat oleh pemerintah akan membawa impak dan kesan kepada politik tanah air. Sebabnya yang jelas dilihat pada waktu ini adalah kerana parti pembangkang beranggapan yang mereka sudah terlalu dekat diambang kuasa. Mereka sedar bila mereka berkuasa, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengusahakan sesuatu yang baru. Ini adalah kerana segala nikmat dan pencapaian telah pun disediakan dengan cukup baik oleh pihak pemerintah. Mereka mahu mengemukakan yang rakyat sudah bosan dengan cara dan pendekatan Barisan Nasional.

Tiada isu yang tidak dipolitikkan oleh mereka. Jenayah, budaya, sosial, pendidikan, ekonomi dan undang-undang, semuanya diberikan perspektif politik. Mereka menggunakan media samada di aliran utama atau di saluran alternatif sepenuhnya bagi memaparkan yang mereka lebih baik dan bijak dari parti pemerintah. Tindakan mereka lebih agresif dan offensive sedangkan di sebaliknya tindakan parti pemerintah kelihatan terlalu defensive. Suara dan keberanian mereka ini sampai kepada rakyat, orang UMNO dan BN.

Justeru itu bila berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang-orang UMNO dan BN, seolah-olah mereka sedang mula berenang di lautan dalam dengan arus yang kuat. Jika tidak mempunyai stamina dan keupayaan berenang sudah tentu tidak akan kesampaian pada destinasi yang dicita-citakan dan mungkin lemas di pertengahan jalan.

Salah satu perkara yang terpenting untuk UMNO lakukan ketika ini adalah pucuk pimpinan tertinggi parti tidak kira dimana peringkat sekalipun samada di peringkat negeri atau kebangsaan, tidak boleh membiarkan “pertumpahan darah” berterusan berlaku di peringkat bahagian tanpa campur tangan untuk mendamaikan ahli-ahli UMNO. Mereka perlu dan terpaksa memberikan arahan dan kepimpinan.

Saya melihat arus dibawah menunjukkan banyak perkara-perkara yang tidak sihat telah berlaku yang akan menyulitkan bila berhadapan dengan PRU-13. Sudah timbul parti dalam parti, kesukuan dan sikap berpuak-puak. Di waktu yang sama parti-parti lawan pula sedang mengembangkan pengaruhnya dan menyebarkan pelbagai dakyah yang membangkitkan banyak tanda tanya terhadap pucuk pimpinan parti. Penyebaran dakyah yang palsu dan tidak tepat yang disengajakan ini, boleh membawa kesan sejati kepada BN.

Adalah diharapkan kita tidak mengamalkan “sindrom penafian”. Pelbagai laporan dalaman disebarkan mengenai pemerintah dan pemimpin yang tidak semestinya betul dan tepat. Pada masa ini mungkin program dan rancangan ekonomi kita akan mencapai kejayaan, namun pemulihan politik masih lagi jauh dari peyelesaian.

Parti-parti lawan makin yakin terhadap kekuatan dan penerimaan rakyat kepada mereka. Disebaliknya BN di landa dengan pelbagai masalah luaran dan dalaman. Yang ketara sekali adalah ahli-ahli BN sendiri sering dalam perbualan mereka sesama sendiri atau dengan orang luar banyak menyuarakan yang PRU-13 tidak akan memihak kepada BN. Jika ini dibiarkan secara berterusan serta sokongan sesama ahli parti tidak dapat dipulihkan, maka padahnya amat berat sekali bila berhadapan dengan parti lawan.

Sehingga kini soal persepsi masih lagi menjadi masalah yang berat pada kita walaupun mungkin ada yang tidak mahu mengatakan sedemikian. Justeru itulah mustahak sekali kita mengambil pendekatan serius dalam setiap langkah supaya tindakan kita tidak terus diberikan tafsiran negatif dan tidak dipercayai oleh rakyat. Apa jua pengumuman dan penyataan dibuat oleh pemimpin mestilah dapat memuaskan hati rakyat dan pengundi teramai supaya mereka akan menyanjung dan menghormati tindakan kita. Pentafsiran yang berbeza dan kenyataan-kenyataan yang tidak selari perlu dielakkan di sepanjang masa. Apa yang patut disuarakan di peringkat dalaman tidak perlu dihebohkan pada umum. Janganlah kita menang sorak kampung tergadai kerana kita terlupa siapa musuh politik yang sebenar. Lagipula parti lawan kita secara berterusan membuat perancangan dan tidak akan henti-henti melamar ahli-ahli kita, samada dalam UMNO ataupun parti-parti komponen. Kalau kita beranggapan kita telah berada di zon selesa akhirnya kita akan dikenang sebagai bahan sejarah. Kita perlu kukuhkan kesepakatan dan kesetiaan diantara satu sama lain.