Wednesday, June 17, 2009

LAUT SULAWESI (AMBALAT)


Hubungan dua hala Malaysia / Indonesia adalah salah satu tunggak penting dasar luar Malaysia dalam menyumbangkan kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan rantau ASEAN. Malaysia boleh dikatakan sering melihat hubungannya dengan Indonesia sebagai sesuatu yang istimewa melalui perspektif geografi, sejarah dan budaya. Justeru itu ianya senantiasa dipupuk dan dibelai secara berhemah dalam konteks negara jiran yang berdaulat serta berkongsi sempadan darat, maritim dan ruang udara.

Tidak dapat di elakkan hubungan sebegitu rapat dari masa ke semasa akan berdepan dengan cabaran-cabaran samaada yang diduga ataupun tidak. Sayugia di ingat masalah menjadi tegang dan meruncing sehingga membawa konflik serta kesan negatif jika ianya dibiarkan bergerak dengan sendirinya. Pada masa lampau dirasai ada rangkaian individu atau kumpulan di peringkat pemerintah atau diluar yang ada jalinan mesra tertentu, yang sering menjernihkan suasana yang keruh sekaligus berupaya mencari penyelesaian bagi mengelakkan berterusan menjejaskan hubungan. Ada kalanya dirasai berbangkit salah faham kerana sindrom Indonesia yang melihat Malaysia dalam kerangka adik kecil. Oleh kerana kita dianggap sedemikian maka mereka mudah tersinggung dengan setiap tindakan kita yang dianggap tidak sepatutnya berlaku. Mereka mahukan Malaysia memiliki sikap yang terbuka bagi membantu Indonesia di sepanjang masa dalam pelbagai aspek.

Sebab itulah hubungan ini sering dilanda dengan perasaan sensitif luarbiasa. Apatah lagi apabila media Indonesia yang sengaja meniup dan membentuk pra-sangka dan perasaan marah terhadap Malaysia. Pada saya perkara ini tidak harus dipandang ringan.

Kebelakangan ini tiga perkara yang menghantui hubungan Malaysia / Indonesia yang akan berbangkit dari masa ke semasa ialah:

  1. Isu Ligitan dan Sipadan. Walaupun telah dirumuskan penyelesaian terhadap kedaulatan melalui proses undang-undang di ICJ (International Court of Justice) pada tahun 2002 tetapi sikap tidak puas hati masih meluap dikalangan rakyat Indonesia. Ia tidak menyelesaikan masalah perasaan dan marah mereka. Walaupun sebenarnya pertikaian tersebut dikemukakan ke ICJ setelah kedua-dua pihak secara bersama menyetujuinya.

  2. Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Pada masa ini kita berdepan dengan persoalan Pekerja Asing Indonesia yang datang secara sah ataupun tidak sah (PATI). Walaupun Malaysia membuka peluang pekerjaan dan menjadi salah satu sumber aliran wang masuk ke Indonesia, ia tidak juga menjadikan Malaysia disukai atau diminati oleh pihak media atau ahli-ahli parti politik di Indonesia. Ia juga menjadi bahan publisiti negatif apabila ada kes-kes penderaan melibatkan banyak penganiayaan terhadap rakyatnya. Ianya dihebohkan secara meluas sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia. Sedangkan perkara itu bukanlah berpunca dari tindakan kerajaan ataupun majoriti majikan Malaysia.

  3. Dengan kedaulatan Ligitan dan Sipadan memihak kepada Malaysia, soal persempadanan darat dan maritim perlu diselesaikan lebih lagi berkenaan Laut Sulawesi kerana konsesi minyak yang diberikan kepada syarikat minyak antarabangsa. Apatah lagi pada dewasa ini masih ada soal tuntutan bertindih dan persempadanan yang masih belum selesai. Mereka menganggap bahawa Malaysia mahu menguasai kekayaan khazanah maritim di laut Sulawesi. Rundingan untuk menyelesaikan masalah sempadan maritim, planta benua dan zon eksklusif ekonomi diantara Malaysia dan Indonesia akan mengambil masa yang lama untuk mencapai persefahaman kedua-dua Negara kerana isu-isunya rumit, kompleks dan melibatkan banyak soal-soal teknikal dari segi tafsiran undang-undang laut antarabangsa.

Semasa perkara-perkara ini berada dalam proses rundingan, kawasan laut Sulawesi yang berkait dengan tuntutan bertindih masih dalam pertikaian, yang memberi makna hak kedaulatan dituntut oleh kedua-kedua negara. Oleh kerana itu bagi mengelakkan pertembungan militari semasa menjalankan tugas rondaan untuk memelihara keselamatan laluan laut di kawasan tersebut, Angkatan Tentera kedua-dua negara telah mensepakati satu tatacara pengawasan yang dapat mengelakkan pertembungan.

Selagi ada tuntutan bertindih, kedua-dua negara memiliki hak bagi mengawal “status quo” untuk memelihara laluan maritim daripada apa jua bentuk ancaman. Sebab itu telah dipersetujui bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, pasukan tentera mengadakan prosedur dalam menjaga keselamatan dikawasan laut Sulawesi dimana pertikaian belum dirumuskan lagi.

Malaysia sangat memahami bahawa mengapi-apikan isu pekerja dan tuntutan bertindih tidak membantu dalam melahirkan suasana dan persekitaran yang kondusif dalam memantapkan serta mengukuhkan hubungan dua hala atau menyumbang kearah keamanan dan keselamatan dirantau ini.

Adalah lebih bijak bahawa perkara ini tidak dihangatkan sebagai isu politik. Biarlah ianya dipastikan dalam perspektif keamanan dan kedamaian. Mengawas dan menjaga keselamatan laut Sulawesi dimasa yang sama isu tuntutan bertindih, persempadanan dan hak-hak di bawah undang-undang Laut Antarabangsa seharusnya diusahakan oleh kumpulan pakar dari kedua-dua buah negara untuk terus berunding.

Dewasa ini media di Indonesia sememangnya memainkan isu ini. Seawalnya semasa soal konsesi minyak kepada syarikat petroleum antarabangsa. Pemimpin Malaysia hendaklah berhati-hati dalam membuat kenyataan. Hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia terlalu berharga untuk digadaikan kepada sensasi keterlaluan. Semasa perkara ini belum mencapai penyelesaian semua pihak disarankan supaya tidak membuat kenyataan ataupun tindakan provokasi yang boleh mencetus keadaan yang tidak diingini. Perkara ini jika tidak dapat diselesaikan di peringkat pegawai ia memerlukan campur tangan pemimpin tertinggi kedua-dua buah negara.

No comments:

Post a Comment