Lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Singapura boleh disimpulkan sebagai berjaya. Dari lawatan tersebut lahirlah harapan tinggi yang ianya akan membentuk satu era baru yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara. Persoalan yang perlu direnungi bersama adalah apakah manfaat sebenar yang akan diperolehi untuk mencapai nilai tambah kepada hubungan dua hala.
Seperti mana biasa bila sahaja PM baru mengambil alih pimpinan negara akan timbullah apa yang dilihat sebagai kesungguhan bagi menjalin hubungan dua hala yang lebih mesra dari yang lalu. Oleh itu semasa dan selapas lawatan berbagai kenyataan dikeluarkan yang dipermukaannya amat menggalakkan. Matlamat yang ingin dicapai ialah untuk melahirkan satu persikitaran yang boleh membantu melahirkan hubungan dua hala yang lebih sihat serta penuh persefahaman. Ianya juga merupakan satu lagi penegasan supaya tidak memandang ke belakang atau menjadikan masalah sebagai penghalang yang boleh membelenggu niat baik bagi menjalin hubungan yang positf dan membina. Justeru itu cita-cita dan aspirasi pemimpin kedua-dua negara adalah bagi mengatasi legasi sejarah yang sentiasa menghantui pembentukan hubungan baik.
Sememangnya rakyat Malaysia berasa bangga jika sesuatu yang bermenafaat dapat dihasilkan dari lawatan lawatan tersebut. Mungkin dalam pengamatan pemerhati hubungan Malaysia/Singapura dan rakyat, dibawah kepimpinan PM Najib akan tercipta satu era baru bagi mengukuhkan hubungan yang sedia ada. Walaupun dapat dilihat penyataan dan harapan membina dan positif yang dinyatakan oleh kedua-dua pihak bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi ia tetap menjadi satu harapan. Lagipula ini lazimnya berlaku apabila seorang pemimpin baru mengambil alih pucuk pimpinan negara.
Apa yang ketara umumnya hubungan diantara Malaysia/Singapura senentiasa menghadapi pasang surut yang berterusan. Walaupun kita patut optimis namun tidak dapat dielakkan kekhuatiran ia boleh berlaku lagi. Ianya kadangkala di sebabkan dari apa yang tersiar diruang-ruang akhbar atau media eleltronik yang secara sedar atau tidak menyentuh sensitiviti-sensitviti tertentu. Memanglah ada harapan tinggi dan niat baik untuk mengukuhkan hubungan dengan negara jiran terdekat Malaysia iaitu Singapura. Walaupun begitu ianya tidak boleh terpisah dan akan dipengaruhi oleh pengalaman dan sejarah yang dilalui oleh kedua-dua negara. Dalam lain perkataan ianya bukanlah satu perkara mudah untuk dicapai. Ia memerlukan kepada perubahan sikap dan kebijaksanaan.
Tidak dapat dinafikan dari sudut hubungan ekonomi, sosio budaya serta hubungan rakyat bersama rakyat memanglah berkait rapat dan sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah. Persoalan yang sering dibangkitkan adalah mengapapula hubungan politik dan diplomasi tidak dapat diurus dan ditangani dengan cara dan iklim yang sama? Jawapan pendek yang boleh diberikan ialah, hubungan politik dan diplomasi dipengaruhi dinamiknya yang tersendiri dan berbeza serta lebih kompleks. Justeru kedua-dua negara terus berhadapan dengan salah faham dan sengketa. Bila membincangkan misalnya mengenai prisip menang-menang, ia tidak semestinya difahami oleh kedua-dua negara dalam konteks yang sama. Seharusnya menang-menang ialah satu pendekatan bagi mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak. Namun di Malaysia prinsip menang-menang Malaysia/Singapura ada masanya dilihat tidak mencerminkan menafaat yang sama rata atau seimbang. Oleh kerana itu dalam rundingan-rundingan mengenai pelbagai isu diantara Malaysia/Singapura rakyat di negara ini senentiasa beranggapan Malaysia lemah dan Singapura sahaja yang menang. Persepsi ini akan terus menjadi hambatan yang merumitkan yang memerlukan rumusan.
Dari perspektif masyarakat umum Malaysia, hubungan dan rundingan dengan Singapura tidak memperlihatkan sikap kejiranan dan kemesraan. Singapura sering dilihat bersikap ‘Business Like’ dan “legalistic” dalam menaggani isu dua hala, serta tidak langsung mengambil kira soal kemesraan, kejiranan dan sentimen. Di sebaliknya Malaysia pula dianggap oleh rakyat negara ini terlalu mengambil kira perasaan atau sentimen pihak lain. Lantas dilihat mengunakannya sebagai salah satu asas utama bila mencari penyelesaian kepada apa jua konflik atau ketetapan yang hendak dicapai.
Tidak dapat dinafikan, hubungan Malaysia/Singapura adalah bertaut dan saling kebergantunggan. Apa yang selalu menimbulkan keresahan dan ada kalanya kemarahan disebelah sini adalah apa yang dilihat sebagai kecenderunggan Singapura mencampuri soal politik atau kepimpinan negara lain melalui komen komenya yang pedas, sinis dan memperlihatkan Singapuralah yang menjadi negara contoh di rantau ini.
Baru-baru ini Menteri Mentor Singapura telah membuat lawatan ke Malaysia untuk menyusuli lawatan PM Najib ke Singapura. Lawatan 8 hari ini telah mencipta pelbagai sejarah dan pandangan serta reaksi. Ianya bukan kerana lawatan tersebut tetapi pengisian substantifnya. Pada persepsi rakyat di negara ini status yang diberikan kepada beliau setaraf dengan taraf yang diberikan kepada lawatan seorang ketua negara. Sayugia diingat bahawa lawatan ini dilakukan oleh seorang Menteri Mentor Singapura sebuah negara berdaulat, yang juga melawat negara jiran yang berdaulat. Pada pandangan umum beliau telah menerima layanan yang tidak pernah diberikan kepada pemimpin-pemimpin negara asing yang lain. Pengisian substantif juga melalui program-program yang diaturkan cukup anih dan istimewa. Beliau berpeluang bertemu dengan semua pemimpin politik dan kerajaan dinegara ini termasuk beberapa Baginda Raja-Raja Melayu. Apa yang juga menarik ialah liputan meluas yang diberi kepada lawatan tersebut serta komen-komen beliau terhadap pelbagai isu di Semenanjung Malaysia. Pemerhati politik dan diplomasi mengatakan ianya menimbulkan pelbagai persoalan dan polimik. Jika dihalusi dan diperhatikan secara mendalam banyak pandangan dan komen-komen beliau menyentuh sensiviti politik kerajaan serta rakyat. Mungkin hubungan kita sudah menjadi cukup matang yang membolehkan seorang pemimpin negara luar membuat kenyataan-kenyataan sedemikian. Justeru kematangan ini mungkin dimasa akan datang akan membolehkan pemimpin Malaysia pula membuat lawatan yang sama ke Singapura. Saya percaya berasaskan kepada resiprositi mereka akan diberikan layanan istimewa. Pada pandangan saya adalah positif dan membina untuk kita memandang kehadapan terhadap hubungan Malaysia/Singapura. Namun demikian biarlah ianya berlaku dalam konteks memahami latar belakang sejarah negara masing-masing. Saya lebih berminat melihat terjemahan hubungan baik ini berlaku bila mana isu-isu melibatkan persoalan-persoalan harga air, POA, CIQ dan Jambatan Bengkok dirumuskan untuk selama-lamanya supaya hubungan diplomatik yang holistik dan bermakna akan tercapai. Jika perkara sedemikian berlaku akan tercetuslah satu wajah baru dalam hubungan diantara Malaysia/Singapura.
Saya percaya Malaysia perlu terus berusaha bagi melahirkan hubungan dua hala yang ikhlas dan bermaruah diantara Malaysia / Singapura. Banyak keuntungan yang dapat diraih daripada hubungan yang positif dan membina.
Senanglah dato jual pasir kan kepada Singapura.Dato lah salah seorang yang bersetuju buat jambatan bengkok tetapi kemudian dato lah yang memungkirkan janji.
ReplyDelete