Monday, June 22, 2009

Sejarah Politik saya - Syed Hamid Albar


Sejarah politik saya melalui bermacam-macam liku serta onak dan duri yang membina pengetahuan dan pengalaman saya. Sebenarnya ia membolehkan saya untuk menginsafi diri saya. Setelah menjadi seorang pemimpin pelajar di berbagai-bagai jawatan di dalam dan di luar negara, saya menjadi ahli UMNO di bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1971. Saya masuk dan mempelajari tending terajang politik sebagai ahli biasa, jawatankuasa cawangan, jawatankuasa bahagian sehinggalah saya terpilih sebagai Ketua Bahagian pada tahun 1983.

Di setiap peringkat saya tidak pernah diberi laluan mudah. Saya naik tangga setapak demi setapak. Walaupun ayahanda saya adalah seorang pemimpin terkenal saya tidak dapat apa pun secara percuma. Saya bukan ahli politik Helikopter. Pemimpin Johor iaitu Dato’ Shahrir dan Dato’ Musa (pada ketika itu) menawarkan untuk saya aktif di negeri sendiri. Saya menolaknya di atas alasan biar saya belajar selok belok politik Wilayah. Pemimpin Johor yang mengajak saya aktif di Johor adalah Dato’ Shahrir. Bila saya dingin dengan pelawaan Dato’ Shahrir, dia meminta Dato’ Musa panggil dan bercakap dengan saya. Saya juga menolak pelawaan itu. Bukanlah niat saya untuk sombong. Bahagian yang saya melibatkan diri adalah Kuala Lumpur Bandar, kemudiannya ditukar nama kepada Bukit Bintang. Ini bermakna saya tidak menceburi politik kerana saya hendak menjadi wakil rakyat. Parlimen ini adalah kawasan bukan Melayu. Ianya boleh dikatakan di sepanjang masa diwakili oleh DAP. Ayahanda saya walaupun sering membincangkan politik bila kami ada peluang tetapi beliau tidak pernah mempelawa saya untuk aktif dalam politik dikawasannya ataupun menyuruh saya menyertai UMNO di Kota Tinggi. Dia membiarkan saya mencari hala tuju sendiri. Apabila beliau meninggal dunia pada 14hb Januari 1977 walaupun ada suara yang menyuruh salah seorang anakanda beliau menggantikannya di Parlimen Kota Tinggi, kami ahli keluarga tidak berminat kerana kami berpendapat tiada hak warisan atau secara semulajadi untuk mengambil alih tempatnya.

Setelah Sembilan tahun ayahanda saya meninggal dunia barulah pada tahun 1986 muncul tawaran untuk saya menjadi calon pilihanraya pada pilihanraya umum ke-7. Setelah mendapat pengesahan dari pucuk pimpinan tertinggi parti diperingkat pusat dan negeri saya pasti akan menjadi Ahli Parlimen dikawasan Sg. Benut(satu kawasan baru). Boss saya Tan Sri Basir Ismail di BBMB pun telah dimaklumkan. Beliau memanggil saya untuk mengesahkan yang saya akan bertanding. Bila saya mengesahkannya, lantas beliau meminta saya melepaskan jawatan di Bank dengan serta merta. Walaupun dari segi teknikalnya tiada keperluan untuk berbuat demikian tetapi saya akur kepada permintaannya dan memberi notis 24 jam meletakkan jawatan. Saya meninggalkan jawatan tinggi dengan pendapatan yang lumayan di BBMB. Pada masa itu tidak ada sebab lagi saya meragui tawaran menjadi calon Parlimen. Saya sendiri ditunjuk senarai calon-calon Johor oleh Dato Ajib Ahmad yang telah ditandatangani oleh Dr. Mahathir.

Entah apa jadi disaat akhir saya digugurkan. Saya terperanjat, keluarga juga turut serta terperanjat, kawan-kawan turut terperanjat. Bagaimana disebuah negara merdeka yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan perkara sebegini boleh terjadi. Tetapi ia terjadi. Saya berasa bingung dan tidak mahu mempercayainya. Walau bagaimanapun setelah dimaklumkan sekali lagi oleh MB semasa hari penyerahan watikah calon, saya terpaksa menerima reality tersebut. Saya keseluruhan keluarga serta kawan-kawan berasa sedih. Dato’ Shahrir tidak percaya ia boleh berlaku dan memberikan simpatinya terhadap apa yang terjadi pada saya.

Saya, anak Syed Jaafar Albar yang mengorban tenaga dan nyawanya untuk berbakti kepada parti telah akhirnya dikorbankan bukan kerana saya melakukan kesalahan tetapi oleh tangan yang tidak terlihat oleh saya.

Baru saya tersedar sebenarnya nasi yang disuap mulut pun boleh ditepis orang untuk bertaburan dibumi. Namun banyak hikmah disebalik ini semua. “Susah sungguh laluan saya”, seolah saya merungut. Itulah permulaan liku-liku politik yang mengajar saya tidak percaya dan berharapkan sesuatu dari manusia melainkan ia sudah terbukti kebenarannya dan betulnya. Dengan semangat yang diberikan oleh isteri saya Aziah dan ibu saya Sh. Fatimah Albar, saya mengharungi arus dengan penuh tenang dan tabah. Orang yang mengambil tempat saya adalah Taufik Tun Dr. Ismail. Bagi memberi tempat kepada anak seorang pejuang politik dan pemimpin negara, saya diketepikan kerana saya tidak mempunyai pelindung politik besar. Sebenarnya kedua-dua kami adalah muka baru di kawasan baru. Saya di Sg. Benut dan Taufik di Parit Sulong. Tempat yang mula-mula ditawarkan kepada Taufik-Parit Sulong diberikan semula kepada Allahyarhamah Sharifah Dora setelah beliau merayu.

Ini adalah salah satu pengalaman pahit bagi saya tetapi saya tidak merajuk, namun terus berkempen dari hari penamaan calon sehinggalah hari mengundi bagi kawan saya Taufik, seolah saya yang bertanding. Dia pun menang dan ditabalkan sebagai Ahli Parlimen Sg. Benut.

Ada kalanya cerita dan laluan saya seolah seperti ditayang semula pahit maung pengalaman yang dilalui oleh ayahanda saya.

Pada satu Perhimpunan Agong UMNO, Dr. Mahathir secara terbuka menegaskan di Johor, beliau tidak terlibat menggugurkan nama mana-mana calon di UMNO Johor disaat akhir. Siapa yang perlu saya salahkan. Tiada siapa. Allah yang maha mengetahui. Ini semua adalah takdir dan penentuan Allah. Ketika itu saya sudah berhenti dari Bank Bumiputera maka tidak tepatlah untuk saya berpatah balik meminta jawatan lama saya. Saya perlu mencari kerjaya baru. Pada umur 42 tahun saya memulakan hidup sebagai Peguambela dan Peguamcara dengan firma guaman yang dimiliki oleh adik saya- Syed Zaid dan rakan-rakannya.

Alhamdulillah hidup saya pulih dan bertambah baik walaupun diperingkat awal saya berhadapan dengan berbagai kesulitan kewangan, lebih-lebih lagi hendak melunaskan hutang rumah saya. Saya menebus ASN milik isteri dan saya bagi membayar balik hutang. Dalam UMNO, saya terus bergerak diperingkat akar umbi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selepas insiden itu, saya tidak terfikir saya akan berpeluang untuk bertanding dalam pilihanraya. Saya bergerak aktif dengan aktiviti NGO dan Dewan Perniagaan yang amat memuaskan.

Pada tahun 1987-1988, UMNO berhadapan dengan krisis apabila ia diharamkan. Saya taat dan terus setia kepada parti. Tidak pernah menderhaka kepada parti. Namun terus mendukung cita-cita untuk membina semula organisasi siasah serta parti ulong dan utama bagi umat Islam dan orang Melayu.

Berkat kesabaran saya kepada ketentuan Allah pada tahun 1990, Dr. Mahathir ingat dan tidak lupa pada saya. Beliau sendiri memanggil saya untuk menawarkan saya bertanding di kawasan Kota Tinggi-kawasan lama ayahanda saya yang pada masa itu diwakili oleh Dato’ Musa Hitam sebagai Ahli Parlimen. Beliau telah mengumumkan tidak berhajat untuk bertanding lagi. Saya menerima tawaran Dr. Mahathir yang juga memaklumkan pada saya ianya adalah untuk menjadi Wakil Rakyat dan bukan untuk diberikan saya jawatan dalam Pentadbiran Kerajaan jika saya menang kelak. Saya bersetuju dan memberitahunya saya berterima kasih kerana peluang diberikan sudah mencukupi. Saya juga bersyukur pada Allah.

Pada PRU ke-8 saya pun bertanding di kawasan Parlimen Kota Tinggi. Berkat usaha ahli-ahli parti membantu saya mendapat peratusan undi tertinggi dalam konteks “popular vote”. Tanpa merujuk pada saya, beliau melantik saya sebagai Menteri pada tahun 1990 dan akhirnya saya terus memegang jawatan sehingga April 2009 apabila Dato’ Sri Najib mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan. Saya cukup ingat dan menghargai jasa Dr. Mahathir kepada saya walaupun sering diingatkan oleh beliau yang saya ini bukanlah penyokongnya. Dia telah memberi saya tempat dan kedudukan yang tidak saya mimpi dan sangkakan. Hanya Allah akan membalas jasanya.

Secara berjenaka sebelum upacara mengangkat sumpah di Istana Negara beliau memberitahu saya “you patut terima kasih kerana ayahanda you hanya menjadi Timbalan Menteri. You jadi Menteri Penuh”. Saya ucapkan Terima Kasih padanya. Beliau terus sambut “You kena belanja saya”. Saya rasa selesa dengan sikapnya yang mesra.

Cukup istimewa seorang baru ketika umur muda iaitu 46 tahun berpeluang berkhidmat selama 19 tahun berterusan sebagai Menteri. Diberikan kepercayaan, kedudukan dan pangkat, dimana senantiasa didampingi dengan sambutan dan dikawal rapi. Ini semua satu anugerah yang amat tinggi. Sudah tentu dikawasan Parlimen saya rakyat cukup gembira yang wakil mereka menjadi Menteri dalam kerajaan. Seperti lazimnya saya memberikan dedikasi, komitmen dan tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai seorang Menteri. Cuti dan waktu rehat tidak langsung saya pedulikan. Yang penting buat kerja sepanjang masa. Termasuk pada hujung minggu. Sebenarnya saya seorang professional dan teknokrat dalam melaksanakan tugas. Soal politik tidak begitu saya beri perhatian. Walau saya rapat diperingkat akar umbi setempat dan dengan para pengundi. Namun ada juga kedudukan saya tidak disenangi dikalangan sesetengah pimpinan UMNO dibeberapa peringkat. Walaupun saya selesa dengan rakyat dan orang biasa, saya sering kaku dengan pimpinan tertentu dalam parti diperingkat Bahagian, Negeri dan Persekutuan.

Kerana kurang peka terhadap perkara-perkara yang saya anggap remeh-temeh, akhirnya saya menjadi mangsa fitnah dan hasad dengki. Sekali lagi saya terjebak dengan campur tangan yang tidak saya dugakan.

Kini saya tidak sibuk lagi. Saya pun sudah hilang segala-galanya keistimewaan, ada juga kawan-kawan yang takut mahu kelihatan bersama saya. Saya kena menyesuaikan diri bertugas sebagai Ahli Parlimen biasa. Sekarang saya tidak dikawal dan tiada orang yang mengatur apa yang patut saya buat dan apa yang tidak patut. Ramai yang bersimpati dengan saya dan tidak percaya yang saya tidak berada dalam Barisan Kabinet baru. Tetapi ada segelintir kecil yang berasa gembira dengan menyatakan yang usaha mereka supaya saya tidak dilantik semula telah berjaya. Kononnya mereka bertanggungjawab menjatuhkan saya. Ini harga politik, saya terima semua ini. Saya tahu ada diantara kita berasa marah dan kecewa apabila kita tidak berjawatan. Namun bagi saya ini adalah perkara lumrah dalam arena politik. Saya terima dengan baik dan merasakan hikmahnya kerana saya dapat memberikan masa lebih kepada keluarga saya dalam saki baki hidup.

Saya masih ingat lagi pada 1 April 2009, Tun Abdullah Badawi mempengerusikan Kabinet terakhirnya. Diantara perbincangan semasa mesyuarat tersebut adalah kedudukan Ahli Kabinet setelah Abdullah Badawi berhenti. Dato’ Shahrir sudah pun membuat keputusan meletakkan jawatan. Pada saya dari perspektif prinsip apabila PM berhenti ahli kabinetnya sememangnya patut turut serta. Ini sejajar dengan amalan di UK. Saya bersetuju kita patut mengikut amalan ini kerana seorang Menteri Kabinet adalah Menteri PM. Setelah berbincang dengan panjang lebar Kabinet bersetuju semua Menteri berhenti berkuatkuasa 8 April 2009 untuk membolehkan PM baru melantik siapa yang beliau kehendaki. Dalam senarai baru Kabinet saya tidak tersenarai.

Memang pada umur 65 tahun untuk membuat pengubah suaian dalam susuntara hidup bukanlah perkara mudah.

Tetapi saya menerima reality ini semua. Perlahan-lahan saya mula meneroka apakah yang perlu saya lakukan bagi meneruskan hidup. Baru saya sedar sekarang dalam politik seseorang patut buat persiapan untuk bersara. Semasa saya memilih kerjaya politik saya tidak membekalkan diri bila bersara. Walau bagaimanapun Ilahi tidak pernah meninggalkan saya keseorangan atau hampa. Saya bersyukur kerana saya taat pada parti, tidak menderhaka dan tidak pernah menganiayanya sebagai meneruskan kesinambungan pusaka yang ditinggalkan ayahanda saya. Pentingnya kita berkhidmat untuk rakyat dan parti adalah hanya alat bagi mencapai matlamat tersebut.

Syed Hamid Albar
20.35 malam
17 Jun 2009


No comments:

Post a Comment