Hari ini kita hidup dalam dunia yang mencabar, kritikal dan bergolak. Kita berada di era seolah manusia sudah hilang arah dan tidak beriman. Adakah insan sudah kehilangan pegangan, prinsip dan shariat? Persoalan mengenai Tuhan di pandang ringan dan kemanusiaan diabai dan tidak dipedulikan. Justru dunia berleluasa dengan kezaliman dan keadilan tidak terlaksana serta dipinggirkan. Lantas dunia berdepan berbagai krisis tanpa penyelesaian. Pergolakan kuasa dan kepentingan berlaku di berbagai rantau. Maka terdengarlah teriakan dan tangisan yang tidak dihiraukan. Mata tidak melihat dan telinga tidak mendengar kerana wujudnya pertelingkahan dan konflik semata-mata berasaskan kepada apa yang dilaungkan sebagai kepentingan nasional ataupun national interests. National Interests menghalalkan untuk melakukan apa saja di atas alasan kuasa dan kelangsungan negara ataupun tamaddun ataupun mempertahankan kedaulatan.
Undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan serta kebebasan dan tanggunjawab tidak diendahkan. Masing-masing mahu menegakkan kebenaran tetapi tidak mengambil kira nilai moral dan etika. Makanya kita terlalu sibuk mengangkat ego dan melaungkan slogan. Mangsanya adalah jelata yang tidak terlibat dan tidak berdosa. Bukankah ini masanya untuk memohon kepada Allah azajawalla petunjuk dan hidayahNya dan jalan penyelesaian yang baik untuk seluruh umat? Mengapa kita semua tidak boleh bertawaduk secara peribadi, berkumpulan dan negara supaya dapat menyelesaikan masalah politik, ekonomi, keselamatan dan sosio budaya secara bersama? Diketepikan kepentingan nasional yang sempit, kepada kepentingan nasional yang berteraskan kepada keperluan material dan rohani manusia untuk memperkukuhkan kemerdekaan dan kedaulatan bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan negara bangsa sekaligus kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat.
FBSHApost@9 September 2015
No comments:
Post a Comment